PENGENALAN
Penyalahgunaan dadah bukanlah satu isu baru yang terjadi di dunia. Malah jika diperincikan lagi skopnya, hampir seluruh negeri di Malaysia mempunyai indeks penyalahgunaan dadah yang tinggi. Dadah pada asalnya tidak memberi kemudaratan kepada manusia jika digunakan mengikut kuantiti dan cara yang betul. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, dadah merujuk kepada bahan kimia psikoaktif, sama ada yang asli atau tiruan yang digunakan dengan pelbagai kaedah seperti suntikan, hisap, atau dimakan. Dadah secara tidak langsung mampu merubah fungsi organ, emosi dan juga tingkah laku seseorang secara sedar atau tidak. Istilah psikoaktif dalam bidang perubatan merujuk kepada rawatan penyakit yang tersebar luas dan diterima secara umum. Berdasarkan istilah ini, dapat dirumuskan bahawa dadah pada asalnya hanya digunakan untuk tujuan perubatan untuk memulihkan penyakit-penyakit tertentu, namun jika digunakan secara berlebihan dan tanpa kawalan daripada pakar perubatan bertauliah, ianya menjadi racun dalam badan manusia.
Dadah boleh didapati dalam penggunaan ubat tidur, alkohol, tembakau, ganja, pil khayal dan juga gam. Seseorang dianggap sebagai ketagihan bahan terlarang ini apabila bahan-bahan tersebut di ambil melebihi sukatan yang disarankan oleh pakar perubatan bertauliah dan pengambilannya adalah bukan untuk merawat penyakit – penyakit tertentu. Seseorang yang menggunakan dadah secara salah juga cenderung untuk menggunakannya dengan cara yang tidak betul dan terus menggunakannya walaupun mereka menghadapai masalah ketika proses penggunaan dadah tersebut.
Individu yang mengambil dadah secara berlebihan ini sudah toleran terhadap dadah tersebut dan tidak boleh menggunakannya mengikut dos atau sukatan yang biasa ditetapkan oleh doctor perubatan. Mereka perlu menambah sukatan normal dadah untuk mendapatkan kesan yang sama seperti sebelumnya. Apabila dadah diambil dengan dos yang tinggi, pengguna cenderung untuk hilang kawalan terhadap diri sendiri dan berisiko tinggi untuk membahayakan orang di sekeliling mereka. Mereka menjadi sangat bergantung harap terhadap dadah dan hanya mampu melakukan aktiviti harian apabila mendapat dos yang tinggi.
KAWASAN KAJIAN
Kawasan yang dikaji adalah daerah Pokok Sena yang terletak di negeri Kedah. Pokok sena merupakan daerah terbaharu yang diisyhtiharkan di Kedah selepas Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia Tahun 2010. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, daerah yang berkeluasan 244 km2 ini mempunyai seramai 57,500 penduduk dengan kepadatan penduduk berjumlah 232 orang/km2 sehingga tahun 2019. Bilangan penduduk juga terus bertambah dari sejak lima tahun kebelakangan ini.
PUNCA PENYALAHGUNAAN DADAH DI POKOK SENA
Penyalahgunaan dadah menjadi punca kepada keruntuhan akhlak individu sehingga memusnahkan masa depan sendiri. Kebanyakan individu yang menggunakan dadah untuk tujuan yang tidak betul ini adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Seperti yang dikeluarkan dalam statistic Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang ditunjukkan di bawah, punca seseorang individu menggunakan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya meningkat bermula dari tahun 2016 sehingga 2020. Di sekitar kawasan Pokok Sena, dapat dilihat penagih – penagih dadah bergerak secara berkumpulan bersama rakan sebaya mereka dan berkumpul di rumah terbiar atau kawasan hutan.
Dapat disimpulkan bahawa sesorang individu akan terpengaruh dengan sikap rakan sebaya yang bergaul bersama mereka. Pengaruh rakan sebaya mampu mempengaruhi semua kategori umur yang ada dan tidak tertakluk terhadap anak muda sahaja. Oleh itu, semua pihak perlu berhati – hati dan bijak memilih rakan sebaya agar tidak terjerumus dengan najis dadah. Pengaruh rakan sebaya yang kuat juga mendorong perasaan ingin tahu yang tinggi dalam diri seseorang untuk mencuba perkara baharu seperti dadah. Hal ini menjadi semakin teruk apabila kawasan – kawasan kampung seperti yang terdapat di daerah Pokok Sena juga mempunyai banyak tanaman ganja, yang mana ianya merupakan dalah satu sumber yang menjadi dadah apabila disalahgunakan kerana mampu membuat individu ketagihan dan khayal. Penanaman pokok ganja ini memudahkan orang yang ingin mencuba bahan kimia berbahaya ini.
Rajah 2: Trend Statistik Penagih Dadah Dikesan AADK Mengikut Sebab Mengguna Dadah 2016-2020Penagih dadah juga cenderung untuk berasa seronok apabila menggunakan bahan terlarang ini. Hal ini adalah kerana kesan sampingan dadah yang membuatkan emosi penggunanya berubah secara tidak menentu dan khayal. Kebanyakan orang yang mengambil dadah bertujuan untuk melupakan masalah dan tekanan yang dihadapi oleh mereka dan bersuka ria dengan kesan yang diberikan oleh dadah. Berdasarkan pemerhatian saya, majoriti individu yang menagih dadah di sekitar Pokok Sena mempunyai latar belakang yang bermasalah, sama ada masalah tekanan yang dihadapi oleh mereka di rumah sehingga menyebabkan mereka memutuskan untuk menghilangkan masalah tersebut dengan menggunakan dadah. Kebanyakan mereka juga mempunyai masalah kewangan yang tidak stabil kerana tidak mempunyai kerja tetap. Hal ini sekaligus mendorong pengguna untuk mendapat tekanan mental yang teruk. Berdasarkan rajah di atas, dapat dilihat bahawa punca tekanan perasaan semakin meningkat daripada tahun 2016 sehingga 2020.
CADANGAN BAGI MENGATASI PENYALAHGUNAAN DADAH
Antara jalan penyelesaian terhadap isu penyalahgunaan dadah di kawasan Pokok Sena adalah dengan memperketatkan tindakan undang – undang yang dikenakan terhadap penagih dadah. Terdapat tiga hukum yang merujuk kepada penyalahgunaan dadah iaitu kesalahan penggunaan dadah untuk diri sendiri, pemilikan dadah dan pengedaran dadah. Kesalahan yang paling berat sehingga menyebabkan penjara seumur hidup dan hukuman mati adalah kesalah memiliki dan mengedar dadah. Kebanyakan penagih dadah di Pokok Sena adalah kesalahan penggunaan dadah untuk diri sendiri, di mana hukumannya lebih ringan daripada dua kesalahan yang dinyatakan sebelum ini. Oleh hal yang demikian, banyak penagih yang kembali menghisap dadah apabila dibebaskan daripada hukuman yang dikenakan. Untuk mengatasi hal ini dengan lebih baik, pihak berwajib perlu meneliti semula hukuman yang diberikan agar lebih berkesan untuk memberi pengajaran dan kesedaran kepada mereka.
Selain itu, penagih – penagih sedia ada yang sudah bebas perlu diberikan sokongan moral yang tinggi agar mereka mampu melawan keinginan untuk kembali mengambil bahan kimi berbahaya itu dan dapat menghilangkan ketagihan buat selamanya. Dalam hal ini, golongan – golongan terdekat seperti keluarga, sahabat, dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan masing – masing demi memastikan bekas penagih dadah tidak kembali mengambil dadah yang membahayakan nyawa tersebut. Kebanyakan masyarakat memandang serong terhadap bekas banduan atau penagih dadah dan tidak mahu memberikan peluang untuk mereka membuktikan kebolehan diri mereka. Ianya secara tidak langsung mematahkan semangat mereka yang ingin berubah dan memulakan kehidupan baharu selepas keluar daripada penjara. Justeru itu, keluarga dan masyarakat memainkan peranan yang sangat penting untuk menguatkan benteng pertahanan mereka daripada kembali ke kesalahan lama.
Bagi individu yang masih tidak terjerumus ke lembah penagihan benda terlarang itu, mereka perlulah menjaga kesihatan minda dan fizikal dengan beriadah atau bersukan secara teratur. Terdapat banyak kajian yang mampu membuktikan kesan positif senaman terhadap kesihatan fizikal dan mental. Menurut kajian yang dinyatakan oleh Rosli Hamid, Syed Kamaruzaman Syed Al, Megat Ahmad Kamaludin Megat Daud, Hutkemri Zulnaidi, dan Zanariah Hamid (2019), Åberg, Pedersen., Torén., Svartengren., Bäckstrand., Johnsson,dan Kuhn pada tahun 2009 menyatakan bahawa kecergasan metabolisma mampu mengubah perasaan seseorang daripada negatif kepada positif. Melalui senaman yang dilakukan secara rutin, pelbagai penyakit dapat dihindari dan menjanjikan kehidupan yang seimbang terhadap manusia dan mengelakkan daripada terjerumus dengan is yang dibincangkan ini.
RUJUKAN
bin Haji Jaidin, Z. (2020). Kepentingan sokongan sosial dalam mengukuhkan kawalan sosial terhadap bekas pengguna dadah: satu kajian sorotan literatur. SUSURGALUR, 8(2), 175-188.
Hamid, R., Ali, S. K. S., Daud, M. A. K. M., Zulnaidi, H., & Hamid, Z. (2019). KEBERKESANAN LIMA MINIT SENAMAN QIGONG TERHADAP TAHAP KEMURUNGAN, KEBIMBANGAN DAN STRES DALAM KALANGAN MURID TINGKATAN EMPAT. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 6(4), 61-80.
Sobri, A. A. (2016, July 17). Please wait... Retrieved from https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/07/173383/14-zon-paling-kronik-dadah- di-seluruh-negara
Trend Statistik Penagih Dadah Dikesan AADK Mengikut Negeri, 2016 - 2020 - Agensi Antidadah Kebangsaan. (2021, June 17). Retrieved from https://www.adk.gov.my/trend-statistik-penagih-dadah-dikesan-aadk-mengikut-negeri-2016-2020/
Trend Statistik Penagih Dadah Dikesan AADK Mengikut Sebab Mengguna Dadah, 2016 - 2020 - Agensi Antidadah Kebangsaan. (2021, June 17). Retrieved from https://www.adk.gov.my/trend-statistik-penagih-dadah-dikesan-aadk-mengikut- sebab-mengguna-dadah-2016-2020/
NAMA: SITI AISHAH BINTI MUHAMMAD
NO. MATRIK: D20182085932
KUMPULAN: B
No comments:
Post a Comment