Thursday, June 16, 2022

SIKAP MASYARAKAT TERHADAP PENCEMARAN AIR DI MIRI, SARAWAK

1.0       Pengenalan

 

Air merupakan sumber alam semula jadi yang memberi banyak kepentingan kepada kita. Menurut Ang (2015), air merupakan molekul polar yang terdiri daripada H2O yang mempuyai gas negatif pada atom oksigen dan cas separuh positif pada kedua-kedua atom hidrogen menyebabkan air menjadi dwikutub kekal. Dalam konteks ini, isu alam sekitar bukanlah merupakan suatu perkara yang asing lagi di negara kita terutamanya isu yang melibatkan pencemaran air. Secara amnya, perubahan yang berlaku disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dari segi kandungan atau warna serta sifat-sifat kimia dikenali sebagai pencemaran air. Bahan pencemar boleh dibahagikan kepada pelbagai bentuk antaranya adalah seperti cecair, pepejal dan gas. Dalam kebanyakan kes, pencemaran air berlaku disebabkan oleh sikap, kegiatan dan aktiviti manusia yang boleh memberi kesan kepada kemusnahan ekosistem akuatik. Dalam masa yang sama pencemaran air mempengaruhi kehidupan tumbuhan dan organisma yang hidup di dalam air. Sikap segelintir masyarakat yang mengambil mudah akan kepentingan sumber air inilah yang menyumbang kepada berlakunya pencemaran air. Oleh yang demikian, dalam kajian ini akan menitikberatkan aspek sikap masyarakat terhadap pencemaran air di Miri Sarawak.

 

 

2.0       Latar kawasan tempat kajian

 

Kawasan tempat kajian dilaksanakan adalah di Miri, Sarawak. Miri terletak dibahagian utara negeri Sarawak bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Kalimantan, Timur Indonesia. Menurut Lam, K. C dan Hay, A. N. (2017), keluasan daerah Miri Sarawak, adalah 977.43 KM persegi dan terletak di 4.38° latitud Utara dan 113.98° longitud Timur dengan ketinggian 3 meter di atas paras laut. Bahagian Miri terbahagi kepada lima daerah iaitu daerah Miri, Subis, Beluru, Telang Usan dan juga Marudi. Secara amnya bentuk muka bumi Miri adalah berbukit bukau dan turut mempunyai kawasan landai di sepanjang persisiran pantai. Bandaraya Miri dikelilingi oleh laut di bahagian timur dan terdiri daripada lebih kurang 330 ribu penduduk setempat. Pada awalnya Miri hanyalah merupakan sebuah perkampungan nelayan yang kecil, akan tetapi pertemuan minyak petroleum diatas bukit Kanada telah membangunkan Bandaraya Miri sebagai sebuah Bandar Minyak. Miri juga sebuah daerah yang dikelilingi oleh sumber air yang pelbagai seperti sungai-sungai dan juga terletak dikawasan disepanjang persisiran pantai.


                 


Rajah 1: Peta Kawasan Miri, Sarawak

                                           Sumber: Google 



3.0       Ringkasan Kajian kes

 

Isu pencemaran air sama ada di sungai mahupun sekitar pinggir laut semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini di Miri. Umum mengetahui bahawa daerah Miri terdiri daripada pelbagai sungai misalnya, Sungai Baram, Sungai Lutong, Sungai Baong, Sungai Adong dan pelbagai lagi serta pinggir pantai yang sering dikunjungi iaitu pantai Lutong, Kuala Baram, Pantai Luak dan pelbagai lagi yang mana memainkan peranan penting sebagai sumber air kepada penduduk dan juga sebagai tarikan utama pelancongan di Miri. Namun yang demikian, kita dapat lihat pencemaran air ini semakin merosot saban hari. Perkara ini boleh dibuktikan dengan kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Miri iaitu Datuk Lee Kim Shin pada program Kempen Kesedaran Awam dan Keselamatan Sungai yang menyatakan bahawa punca utama pencemaran air sungai Miri adalah dari darat dan kediaman serta sektor perindustrian (Utusan Borneo, 2020). Hal ini demikian disebabkan oleh sikap masyarakat di Miri itu sendiri yang mengambil ringan dan tidak memandang serius terhadap kesan yang berlaku pada masa akan datang. Menurut beliau juga, walaupun aktiviti gotong royong sering kali dikendalikan, akan tetapi isi masalah air ini masih lagi belum dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, jika perkara ini terus berterusan dan tidak dapat dibendung, maka ia akan memberikan kesan yang buruk kepada sumber alam, bandar dan masyarakat.


 


Rajah 2: Pencemaran di sekitar Pantai Marina Bay, Miri

Sumber: Berita Harian Online



4.0       Punca berlakunya

 

Terdapat beberapa punca yang boleh mempengaruhi status kualiti air di terhadap sumber air di Miri antaranya adalah disebabkan pencemaran sungai, pembuangan sampah dipersisiran pantai dan pembangunan sektor pengangkutan. Pencemaran air di sungai Miri semakin merosot dari semasa ke semasa adalah disebabkan oleh pencemaran sungai di sekitar kawasan Miri. Namun yang demikian, indeks kualiti air di sungai ini masih lagi berada pada tahap yang memuaskan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh manusia boleh mempengaruhi kebersihan air di sungai ini. Punca utama berlakunya pencemaran sungai boleh dibahagikan kepada dua iaitu punca titik (point source) dan punca tidak bertitik (non-point source). Punca titik merujuk kepada pelepasan daripada sumber-sumber mahupun sisa-sisa buangan. Dalam konteks ini, pencemaran sungai di Miri adalah disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat itu sendiri. Segelintir penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai telah mengambil jalan mudah dengan cara membuang sampah sarap dan sisa domestik ke dalam sungai yang berhampiran. Secara tidak langsung, perkara ini telah menyebabkan sampah-sampah daripada kawasan perumahan seperti plastik, sisa domestik telah menurunkan kualiti air di sungai sekitar Miri. Bukan itu sahaja, kebersihan air di sungai Miri juga dipengaruhi oleh pembuangan sisa-sisa toksik daripada kilang-kilang terdekat. Hal ini demikian, pusat utama kilang perindustrian berhampiran dengan kawasan sekitar sungai. Oleh yang demikian, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik daripada kilang yang tidak terawat ke dalam sungai. Pembuangan sisa dan produk sampingan industri yang berkaitan dengan sebatian toksik tanpa rawatan yang betul boleh memberikan kesan kepada hidupan akuatik dan kualiti air di sungai Miri.

 

Dalam konteks di pencemaran air laut juga disebabkan oleh aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat. Sampah-sampah dan sisa makanan daripada makanan yang dijual oleh perniaga di sekitar persisiran pantai telah dibuang begitu sahaja walaupun tong sampah disediakan. Bukan itu sahaja, tong sampah yang terlalu penuh juga boleh menyebabkan sampah berterbangan dan masuk ke dalam kawasan persisiran pantai. Dalam masa yang sama pihak perniaga juga tidak bertanggungjawab menyediakan plastik untuk membuang sampah. Secara tidak langsung perkara ini boleh memberi kesan kepada tarikan pelancongan di sekitar kawasan persisiran pantai Miri yang dipenuhi dengan sampah seperti plastik, botol dan pelbagai lagi.

 

Faktor kemerosotan kualiti air di Sungai Miri juga dipengaruhi oleh pembangunan dalam sektor pengangkutan. Umum mengetahui bahawa perkembangan sektor pengangkutan seperti kapal-kapal di sekitar kawasan sungai Miri dipengaruhi oleh perkembangan sektor perindustrian. Hal ini demikian kerana Miri merupakan salah kawasan pelabuhan dan sebuah daerah yang mengeluarkan petroleum di Malaysia. Oleh yang demikian, sumber air di sungai mahupun laut mudah tercemar disebabkan oleh pertumpahan minyak daripada kapal-kapal dan pelanggaran di antara kapal-kapal. Apabila minyak bercampur dengan air ini boleh menyebabkan kemerosotan terhadap kualiti air sungai. Bukan itu sahaja, dalam konteks pengangkutan pula, Menurut Jong, Tan dan Franz L. Kessler (2021), peralatan penggerudian berat dan bahan binaan ke tapak gerudi di kawasan terpencil dengan menggunakan pengangkutan sungai sukar diakses berhampiran tebing sungai. Hal ini boleh menimbulkan risiko untuk potensi kemalangan dan tumpahan bahan kimia penggerudian yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan habitat hidupan liar.

 

 

5.0       Kesan

 

Pencemaran air boleh membawa kesan yang negatif kepada persekitaran dan kehidupan manusia dan haiwan serta kepada benda yang tidak hidup di atas permukaan bumi. Antara kesan pencemaran air adalah menjejaskan kesihatan manusia. Hal ini demikian kerana air yang tercemar membawa banyak jenis bakteria, virus dan parasit yang terhasil daripada bahan toksik dan sisa domestik yang dibuang. Umum mengetahui bahawa air adalah penting untuk dijadikan sebagai sumber minuman kepada manusia dan haiwan. Penyebaran virus, bakteria dan parasit melalui pencemaran air boleh mengundang penyakit seperti cirit birit, keracunan makanan dan sakit perut. Bahan toksik dan sisa domestik yang banyak juga boleh menghasilkan udara yang berbau busuk. Menurut Nur Syuhada Mustakim, Muhammad Wafi Ramli dan Chan, (2019), masalah bau yang berpunca daripada pembuangan sambah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada masyarakat setempat yang berdepan dengan ketidakselesaan tetapi juga kepada persekitaran fizikal yang kotor. Selain itu, pencemaran air juga boleh memberi kesan kepada hidupan akuatik seperti ikan, udang, pokok-pokok tumbuhan yang hidup di dalam air dan pelbagai lagi. Air yang mempunyai kualiti yang rendah boleh mengurangkan tahap oksigen di dalam air lantas mengganggu kualiti ekosistem secara keseluruhan. Tambahan pula, pencemaran air boleh mengurangkan jumlah cahaya menembusi air dan mengganggu pertumbuhan mikroorganima. Secara tidak langsung kesan ini boleh menjejaskan rantaian makanan hidupan akuatik.

 

 

6.0 Cadangan

 

Antara langkah yang perlu dilakukan dalam usaha untuk pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah peranan daripada pihak kerajaan. Pihak kerajaan selaku pihak berkuasa hendaklah melaksanakan dasar untuk mendukung pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air dalam pembangunan. Majlis Bandaraya Miri (MBM) seharusnya mengetatkan dan memperkasakan lagi undang-undang untuk memastikan masalah pencemaran air di Miri dapat dikurangkan. Bukan itu sahaja, pihak MBM juga seharusnya merangka perancangan yang lebih efektif bagi memastikan sungai, laut mahupun sumber air di sekitar kawasan Miri dapat dipelihara daripada sebarang pencemaran. Hukuman yang setimpal dan berat harus dikenakan kepada pesalah yang melanggar undang-undang. Hal ini demikian untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan masyarakat bahawa kesalahan yang sengaja keatas alam sekitar akan mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Dengan cara ini, individu yang tidak bertanggungjawab tidak akan berani untuk melanggar undang-undang yang sedia ada. Pemantauan yang kerap juga wajar dilaksanakan bagi memantau tahap kebersihan sumber air seperti air sungai. Secara tidak langsung, dapat membentuk sikap masyarakat yang bertanggungjawab.

 

Selain itu, pembangunan bandar Miri haruslah dirancang dengan rapi dan strategik. Hal ini demikian kerana, pembangunan yang tidak terurus dengan baik boleh mengancam kebersihan dan keperluan sumber air di Miri. Kerancakkan pembangunan tanpa perancangan yang strategik pada masa kini telah menyebabkan kebersihan sungai semakin terancam. Oleh hal yang demikian, perancangan yang efektif adalah penting agar pembangunan yang ini dilaksanakan di sesebuah kawasan tidak akan menjejaskan alam sekitar dan sumber air. Pada masa kini terdapat pelbagai alternatif yang boleh dilaksanakan bagi membangunkan sebuah pembangunan yang lestari dalam masa yang sama dapat menjamin kebersihan air sungai dan laut tanpa memberikan kesan kemudaratan kepada hidupan ekosistem dan manusia. Oleh itu, unit pembangunan di Miri harus merancang strategi secara teratur dan holistik agar dapat membantu pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air di kawasan sekitar Miri.

 

Akhir sekali adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dengan cara menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dengan aktiviti-aktiviti yang boleh memupuk kesedaran. Misalnya, seperti mengadakan kempen-kempen penjimatan air, kempen untuk membersihkan sungai dan persisiran pantai daripada sebarang kekotoran dan sampah sarap. Dalam masa yang sama, masyarakat setempat harus memainkan peranan yang signifikan dalam membantu pihak kerajaan melestarikan sumber air dan alam sekitar. Kebersihan sungai harus dijaga, sampah sarap dan sisa domestik di larang sesama sekali untuk dibuang ke dalam sungai. Kerjasama di antara penduduk Miri dan pihak MBM dapat membantu dalam membina sebuah negara yang lestari dan mampan.

 

7.0 Kesimpulan

 

Kesimpulannya, sumber air merupakan sumber yang penting kepada semua organisma dan bukan organisma untuk meneruskan kehidupan seharian. Sikap masyarakat Miri yang mengambil mudah akan kepentingan air telah menyumbang kepada pencemaran air yang berlaku di sungai-sungai dan lautan di sekitar Miri. Bukan itu sahaja, sikap individu yang mementingkan keuntungan semata-mata untuk membangunkan pembangunan yang pesat juga boleh memberi kesan kepada kualiti air. Oleh yang demikian, setiap individu memainkan peranan yang penting untuk menjaga kebersihan air. Kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan untuk menjamin kualiti air alam sekitar dalam keadaan yang baik.



8.0       Rujukan

 

Amit Kumar Maharjan, Wong., D., R., E. & Rubiyatno. (2021). Level and distribution of heavy metals in Miri River, Malaysia. Tropical Aquatic and Soil Pollution, 1(2), 74-86. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/355587910_Level_and_distribution_of_heavy_metals_in_Miri_River_Malaysia

 

Ang, K., H. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia. GEOGRAFIA Malaysia Journal of Society and Space, 11(6), 98-108. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf

 

Jong, J., Tan., T., Q. & Franz L. Kessler. (2021). Environmental impacts and social concerns - A case study associated with petroleum exploration activities from onshore Baram Delta, NW Sarawak. Bulletin of the Geological Society of Malaysia, 72, 89-100. Diperoleh daripada https://gsm.org.my/products/702001-101920-PDF.pdf

 

Kandau Sidi. (2018, 25 Januari). Jawatankuasa khas pantau kebersihan pantai. Berita Harian Online. Bahan diakses pada 13 Jun 2022 daripada https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/380454/jawatankuasa-khas-pantau-kebersihan-pantai

 

Nur Syuhada Mustakim, Muhammad Wafi Ramli & Chan, N., W. (2019). Kesedaran komuniti terhadapisu pencemaran sungai di Sungai Pinang, Pulau Pinang. GEOGRAFIA Malaysian Journal of Society and Space, 15(3), 28-39. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/335329384_Kesedaran_komuniti_terhadap_isu_pencemaran_sungai_di_Sungai_Pinang_Pulau_Pinang

 

Steve Annuar. (2020, 13 September). Sampah dari darat cemarkan sungai, pantai Miri. Utusan Borneo Online. Bahan diakses pada 14 Jun 2022 daripada  https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/13/sampah-dari-darat-cemarkan-sungai-pantai-miri 


NAMA: NUR ALIA ATHIRAH BINTI SARKAWI

NO MATRIK: D20191088275

KUMPULAN: KUMPULAN A


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...