Thursday, June 16, 2022

ISU PENCEMARAN SUNGAI DI BANTING, KUALA LANGAT, SELANGOR


1.0  PENGENALAN

Sungai merupakan sumber alam penting daripada segi sumbangannya kepada kehidupan manusia dan pembangunan negara. Ini kerana sungai adalah nadi sumber air semula jadi yang membekalkan air bagi keperluan domestik, bekalan air pertanian, industri, pengairan dan penjanaan tenaga hidro elektrik.  Berdasarkan kepentingan sumber air kepada manusia maka tidak hairanlah, sejarah awal telah menyaksikan bahawa corak petempatan awal manusia sangat dipengaruhi oleh kedudukan sesebuah sungai. (Hamidi Ismail et al, 2011). Nur Syuhada Mustakim et al, (2019) menyatakan bahawa secara keseluruhannya, bumi mengandungi isi padu air yang terdiri daripada 93 peratus air laut, 2.5 peratus air bawah tanah, dua peratus sebagai litupan ais dan kurang daripada satu peratus merupakan air kepada sumber alam semula jadi yang wujud sebagai sungai, tasik, kolam dan air lembapan.

Isu Pencemaran air sungai telah menjadi semakin meruncing pada masa kini terutamanya melibatkan isu perbandaran dan perubahan guna tanah. Menurut Mohmadisa Hashim et al, (2018), punca pencemaran air boleh dibahagikan kepada dua iaitu antropogenik dan bukan antropogenik.  Faktor antropogenik yang lebih banyak mempengaruhi kualiti udara yang disebabkan oleh proses pembandaran, aktiviti perindustrian, pertanian, aktiviti perlombongan, penebangan hutan dan pelancongan.  Manakala unsur bukan antropogenik meliputi hakisan tanah oleh air hujan, proses pereputan biologi, sumber - sumber bionik seperti haiwan dan proses luluhawa. Pada permukaan badan air, nitrogen (N) dan fosforus (P) memainkan peranan penting dalam kualiti udara. Hal ini demikian kerana nutrien ini penting untuk pertumbuhan fitoplankton dan eurotifikasi udara (Mohmadisa Hashim et al., 2011). 

Pencemaran air ialah perubahan kandungan atau warna dan sifat kimia air yang disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dalam bentuk pepejal, cecair dan gas. Ia merujuk kepada pencemaran badan air seperti tasik, sungai, lautan, akuifer dan air bawah tanah, biasanya akibat daripada aktiviti manusia. Dalam banyak kes, pencemaran air disebabkan oleh pembuangan kumbahan ke dalam badan air tanpa rawatan yang sewajarnya. Pencemaran air boleh mengakibatkan kemusnahan ekosistem akuatik. Sebaliknya, ini boleh menyebabkan masalah kesihatan awam, contohnya, jika orang di hilir menggunakan air sungai yang sama tercemar untuk minum atau mandi. Ia juga menjejaskan penggunaan air lain, seperti aktiviti pengairan. Pembangunan yang pesat dan tidak terkawal sering menimbulkan masalah kepada sungai terutamanya dari segi kuantiti dan kualiti air. Apabila keadaan kualiti air semakin merosot, bilangan sungai yang tercemar juga meningkat. Kejadian banjir, pencemaran sungai, hakisan dan pemendapan sungai adalah antara beberapa masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan sungai-sungai. Isu-isu ini sering mendapat perhatian pihak media terutama akhbar dan media elektronik


2.0 KAWASAN KAJIAN

                                                               

  

Rajah 1: Peta Banting, Kuala Langat, Selangor

 

Kajian ini telah dijalankan di Banting Selangor. Banting terletak di negeri Selangor Darul Ehsan pada kedudukan 2.8' Utara dan 101.6' Timur. Ia merupakan bandar pentadbiran bagi Daerah Kuala Langat. Daerah Kuala Langat merupakan salah satu dari sembilan daerah yang terletak di Negeri Selangor Darul Ehsan. Kedudukannya terletak di bahagian Barat Daya Negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 44 km dari Shah Alam iaitu ibu Negeri Selangor. Seterusnya, Banting terletak di tepi Sungai Langat. Terdapat rangkaian jalan raya yang baik dari Bandar Klang, Banting dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Perkhidmatan awam seperti bas dan teksi menyambungkan lokasi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Bandar Di Raja Klang dan Bandaraya Kuala Lumpur. Jumlah penduduk banting adalah sebanyak 51,039 orang.  Banting pesat membangun kerana limpahan pembangunan dari pembukaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan Lapangan Terbang KLIA. Di Banting terdapat pelbagai kemudahan infrastruktur utama yang telah disediakan seperti masjid, taman rekreasi, stadium, balai polis, pejabat pos dan sebagainya.


3.0 PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PENCEMARAN AIR SUNGAI DI BANTING

Sungai merupakan punca kehidupan manusia pada zaman dahulu. Namun, setelah mengecapi kemajuan pembangunan dan teknologi, sungai semakin dilupakan malah dicemari tanpa sebarang rasa serba salah. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis tandusnya pertimbangan manusia terhadap khazanah alam. Sungguh pun negara kita dikurniakan sumber alam yang banyak, ia tidak memberikan kita peluang untuk mengendahkan pemeliharaannya demi maslahat bersama.  Pelbagai kesan yang merugikan kita akan berlaku walaupun sungai tidak lagi menjadi sumber kehidupan masyarakat hari ini. Maka, mustahak untuk kita mengetahui punca-punca berlakunya masalah ini supaya solusi yang terbaik dapat di rencana. Justeru itu, wajar untuk kita kupas apakah punca-punca berlakunya masalah pencemaran sungai di Banting.


Rajah 2: Kawasan sungai di Banting yang telah tercemar


Rajah 3: Kawasan sungai di Banting yang telah dicemari dengan sampah sarap

            Berdasarkan pemerhatian pengkaji, punca utama yang dapat dilihat secara zahir adalah berlakunya pembuangan sampah sarap oleh individu yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai di Banting. Apabila semua sampah domestik dibuang ke dalam sungai, ia memberi kesan yang buruk kepada saliran air. Sebagai contoh air menjadi kotor dan berbau serta berlakunya perubahan warna air sungai. Selain itu, ia juga disebabkan oleh pemikiran dan sikap penduduk yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar. Hal ini akan menyebabkan sungai dipenuhi sampah dan plastik terapung di permukaan sungai. Mengikut maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, sejumlah 3,700kg Oksigen Biokimia (BOD), dan 11,000kg Keperluan Oksigen Kimia (COD) dikesan dalam sungai berkenaan setiap hari, belum mengambil kira sampah sarap yang dibawa aliran air dan terbenam di sepanjang sungai sehingga muara sistem saliran berkenaan (Berita Harian, 29 Disember 2020). 


Rajah 4: Salah satu kilang yang berdekatan dengan sungai di Banting


    Rajah 5: Saluran bahan buangan daripada kilang dan penduduk yang disalur terus ke sungai di Banting

              Pada masa yang sama, Pembukaan secara agresif aktiviti perindustrian di daerah Kuala Langat terutama kilang-kilang berdaftar dan tidak berdaftar di kawasan Banting telah menyebabkan berlakunya pembuangan sisa-sisa kimia tanpa sebarang tapisan. Situasi ini telah menyebabkan berlakunya pembuangan sisa toksik ke dalam sungai sehingga pencemaran sungai berlaku dan bukan itu sahaja ia juga boleh menyebabkan pencemaran udara serta mengancam kesihatan masyarakat sekeliling. Pembuangan sisa-sisa kimia memerlukan kaedah yang betul dan menggunakan kos. Disebabkan pengusaha kilang-kilang ini mengejar keuntungan dan ingin menjimatkan kos, mereka sanggup menggadaikan sumber alam iaitu sungai. Jalan mudah yang diambil oleh individu yang tidak bertanggungjawab ini akan menyebabkan hidupan akuatik dalam sungai mati, seterusnya mengancam sumber air mentah di kawasan keliling. Menurut Ida Royani Amran & Rahaya Md. Jamin (2021), pihak berkuasa seharusnya komited dalam menjalankan tugas dengan penuh intergriti bagi mengekalkan kebersihan sungai-sungai di dalam negara ini. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga harus dielakkan kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat untuk perkembangan masyarakat. Tegasnya, melepaskan sisa-sisa kilang ke sungai adalah kesalahan yang menyebabkan pencemaran tidak terkawal berlaku.

 

4.0 KESAN – KESAN BERLAKUNYA PENCEMARAN SUNGAI DI BANTING

Pencemaran air sungai boleh menjejaskan kehidupan manusia, haiwan dan benda tidak hidup di atas permukaan bumi. Pengetahuan tentang impak negatif terhadap benda hidup dan benda tidak hidup wajib diketahui untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian setiap individu manusia. Ini penting bagi mengelakkan pencemaran air daripada terus berlaku. Antara kesan pencemaran air adalah menjejaskan kesihatan, kepupusan hidupan akuatik dan menjejaskan punca-punca lain.

Kesan utama pencemaran air sungai ini kepada penduduk kawasan Banting adalah dapat menjejaskan kesihatan mereka. Pencemaran air boleh menyebabkan kuantiti sumber air berkurangan dan menyebabkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan. Bahan-bahan yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tersebut mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan hidupan air tersebut (Mohmadisa Hashim et al., 2011). Selain itu, manusia akan mendapat penyakit jika terminum air yang penuh bahan-bahan cemar seperti lumpur, pasir dan batu halus, karat besi, bahan buangan industri, logam berat, racun rumpai, bakteria, virus, dan haloform. Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga iaitu jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.


Rajah 6: Hidupan akuatik banyak yang mati disebabkan sungai di Banting penuh dengan sampah sarap dan sisa toksik


Seterusnya, kesan kemusnahan hidupan akuatik. Di Banting telah berlakunya pertambahan perindustrian maka berlakunya pencemaran sungai. Penyaluran sampah sarap dan sisa toksik ke dalam sungai akan menyebabkan kemusnahan habitat dan kepupusan hidupan akuatik seperti ikan dan udang yang menjadi sumber makanan kepada penduduk. Hari ini, jumlah tangkapan ikan air tawar telah semakin berkurangan disebabkan keadaan sungai yang tercemar dan masalah tersebut akan menjadi lebih parah sekiranya masalah pencemaran ini tidak segera diatasi. Keadaan ini turut memberi impak kepada penduduk di kawasan Banting yang bergantung hidup mencari rezeki secara sambilan sebagai nelayan sungai. Selain mengancam peluang pekerjaan mereka, hal ini turut menjejaskan mata pencarian para nelayan yang bergantung hidup daripada hasil tangkapan ikan sungai. Secara tidak langsung, pencemaran sungai akan mempengaruhi taraf hidup masyarakat di kawasan Banting justeru langkah tegas perlu diambil sebelum nasi menjadi bubur.

 

5.0 LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN PENCEMARAN SUNGAI DI BANTING

Jelaslah bahawa pencemaran sungai mendatangkan impak negatif terhadap persekitaran penduduk di Banting. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan bagi mengatasi pencemaran sungai di Banting bagi mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.

        Antara langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di Banting adalah perlu menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bagi mengatasi masalah pembuangan air sisa domestik supaya tidak dibuang terus ke dalam sistem perparitan, perlu menyediakan tangki bawah tanah dan menggunakan bioteknologi untuk rawatan, selaras dengan usaha negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air. Malah, kerajaan sepatutnya memperuntukkan sedikit dana untuk menjadikan sistem perparitan kawasan perumahan khususnya kawasan perindustrian dan pengusaha kedai makanan perlu membina paip khas untuk mengumpul air sisa di dalam tangki dan seterusnya ke sistem perparitan.

          Seterusnya, langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di Banting adalah Pemasangan perangkap sampah. Hal ini kerana bagi mengatasi sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang di tempat-tempat strategik di sepanjang parit utama    untuk    memerangkap    sampah sarap juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan. Selain itu, penyelenggaraan sistem perparitan berkala perlu untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tidak tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu 1 atau 2 kali sebulan.  Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.

       Akhir sekali, langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di Banting adalah perlu mengadakan Kempen Cintai Sungai. Kempen Cintai Sungai telah dimulakan sejak tahun 1993 yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Kempen ini menumpukan kepada aktiviti-aktiviti gotong-royong membersihkan sungai. Selain dapat merapatkan hubungan antara masyarakat, aktiviti gotong-royong juga  dapat menyemai sikap mencintai sungai kita  dalam kalangan masyarakat setempat. Selain membersihkan sungai, Aktiviti ini seharusnya diadakan secara berkala sepanjang tahun dan melibatkan pelbagai kategori di mana setiap kategori akan dipertandingkan bagi memupuk minat masyarakat setempat ke arah mencintai sungai Jelaslah melalui Kempen Cintai Sungai bukan sahaja dapat mendidik tetapi juga mendewasakan masyarakat tentang kepentingan sungai dalam kehidupan.

 

6.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, sumber air merupakan sumber alam semula jadi yang sangat diperlukan oleh semua organisma dan bukan organisma untuk meneruskan kehidupan seharian. Perkembangan dan kemajuan yang menuju ke arah kemodenan telah menyebabkan kualiti dan kuantiti sumber air semakin berkurangan. Pelbagai aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung telah menyebabkan pelbagai kerosakan terhadap sumber air. Pencemaran air di Banting ini terutamanya air sungai boleh dikatakan berada pada tahap yang agak membimbangkan. Aktiviti perindustrian yang semakin bertambah dan juga sikap penduduk di sekitar Banting yang telah membuang sampah sarap ke dalam air sungai telah menjadi punca utama kepada pencemaran air sungai di Banting. Sikap penduduk yang tamak dan mementingkan diri sendiri menyebabkan pencemaran air sungai terus berlaku. Oleh itu, penduduk di kawasan Banting perlu mengambil langkah dan inisiatif yang berkesan untuk mengurangkan punca penyumbang kepada pencemaran air sungai agar kualiti sumber air di Banting ini dapat dijaga dengan sebaiknya.


RUJUKAN

Hamidi Ismail, Rokiah Syed Hussin & Raman Mariyappan, (2011). Sikap Komuniti Setinggan Tebingan Sungai:Pencemaran Alam Sekitar dan Pengurusannya. Jurnal Perspektif. 3(1), 1-12. http://ojs.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/view/1587/1140

Ida Royani Amran & Rahaya Md. Jamin (2021), Kajian Pencemaran Air Terhadap Komuniti Orang Asli Di Tasik Chini, Pahang. Journal of Undergraduate Research. 3(2), 119-128. https://umtjur.umt.edu.my/wp-content/uploads/sites/141/2021/04/Article-V3N1-12.pdf

Mohmadisa Hashim, Nasir Nayan, Yazid Saleh dan Hanifah Mahat (2018). Penilaian Kualiti Air Di Malaysia. Universiti pendidikan Sultan Idris: Nur Niaga Sdn Bhd.

Nur Syuhada Mustakim, Muhammad Wafi Ramli, Chan Ngai Weng, (2019). Kesedaran komuniti terhadap isu pencemaran sungai di Sungai Pinang, Pulau Pinang. Journal of Society and Space. 15(3), 28-39.  https://doi.org/10.17576/geo-2019-1503-03.

Ilah Hafiz Aziz, (2020, Disember 29). Sungai Buloh dicemari 4 tan sisa kumbahan setiap hari. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/770087/sungai-buloh-dicemari-4-tan-sisa-kumbahan-setiap-hari


NAMA PELAJAR: NURALIYA AFIFAH BINTI MURAT

NO. MATRIKS: D20201094299

KUMPULAN KULIAH: B


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...