Friday, June 17, 2022

Isu Fenomena Air Pasang Besar Luar Biasa Di Kampung Berhampiran Muara Sungai Kuala Terengganu: Kampung Losong Haji Mamat

1.0       PENGENALAN

Fenomena air pasang besar sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran muara sungai. Secara umumnya, kejadian ini menyebabkan berlakunya banjir di kawasan-kawasan terlibat. Banjir ialah satu bencana alam yang berlaku disebabkan oleh faktor klimatologi atau faktor iklim seperti keadaan suhu, taburan hujan, sejatan, pergerakan angin dan keadaan semula jadi muka bumi (Jaroslav Balek, 1983). Bencana banjir ditakrifkan sebagai limpahan atau kegagalan sungai untuk menampung air di dalamnya terutama ketika hujan lebat dan melepaskan ke dataran banjir (Akasah et al. 2015). Banjir adalah bencana alam yang sangat serius dan paling biasa berlaku di kebanyakan negara di dunia. Bahkan menurut Pradhan et al., (2011), bencana banjir merupakan bencana alam yang paling membinasakan di Malaysia dimana 90 peratus kerosakan daripada kejadian bencana alam adalah berkait dengan bencana banjir.

            Di Malaysia, banjir berlaku secara tradisi, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung semasa musim tengkujuh (Muhammad Barzani Gasim et al., 2010). Banjir yang biasanya berlaku sama ada akibat hujan yang berterusan sehingga wujudnya kuantiti air yang lebih besar daripada biasa atau air sungai yang melimpah ke tebing sungai akibat terlebih daripada kapasiti ataupun kedua-duanya (Nor Rohaizah Jamil et al., 2012). Tambahan lagi, keadaan kawasan perbandaran yang didasari oleh tanah liat yang tidak telap air, cepat tepu dan kurang menyerap air akan menyebabkan air larian cepat bergerak ke dalam sungai jika berlaku hujan lebat (Dontsova & Norton, 2002). Dalam pada itu, pertembungan hujan lebat di daratan dan pengaruh air pasang menyebabkan berlakunya banjir yang luar biasa di kawasan yang terdedah dengan risiko tersebut sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa manusia, kerugian ekonomi, kemusnahan tanaman serta kemusnahan infrastruktur.

            Ekoran daripada itu, fenomena air pasang besar yang luar biasa sehingga menyebabkan banjir besar telah terjadi pada Februari 2022 yang menjejaskan beberapa buah kampung yang terletak di berhampiran muara sungai Kuala Terengganu termasuklah Kampung Losong Haji Mamat. Keadaan tersebut dikatakan tercetus kerana fenomena bulan baru iaitu kedudukan bulan yang agak berhampiran dengan bumi, sekaligus menyebabkan air pasang besar di kawasan Pantai Timur. Peningkatan paras air sungai secara mendadak telah menimbulkan keributan kerana banyak tempat telah digenangi air dalam tempoh yang singkat.

2.0       KAWASAN KAJIAN

Rajah 1: Peta kawasan Kampung Losong Haji Mamat
Sumber: Mapcarta

Kajian penyelidikan ini dijalankan hanya tertumpu kepada penduduk yang tinggal di Kampung Losong Haji Mamat. Pemilihan kawasan kajian kerana kawasan ini berdekatan dengan tempat tinggal pengkaji. Selain itu, kawasan ini juga sering berhadapan dengan kejadian banjir memandangkan sungai utama iaitu Sungai Terengganu, terdapat di kawasan tersebut. 

3.0       PUNCA MENDORONG BERLAKUNYA BANJIR YANG LUAR BIASA

Secara umumnya, kejadian air pasang besar merupakan fenomena alam yang semula jadi. Namun, penduduk di Kampung Losong Haji Mamat berdepan ancaman air pasang besar sehingga mencetuskan banjir terutamanya kepada kawasan kediaman penduduk yang berada di muara sungai Kuala Terengganu. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa punca yang mendorong berlakunya bencana ini.

3.1       Kawasan Rendah

Banjir yang berlaku biasanya melanda kawasan rendah ataupun dikenali sebagai dataran banjir dan juga kawasan pinggir pantai (Ward R. C, 1978). Secara umumnya bentuk muka bumi kawasan kajian merupakan kawasan rendah yang mudah dinaiki air semasa hujan lebat ataupun air pasang dan berpotensi untuk berulang di kawasan terbabit kerana kriteria fizikal yang mempengaruhi bencana itu sudah dipenuhi. Kawasan sebegini akan paling mudah terjejas dan menyebabkan air bergenangan. Tambahan lagi, terdapat rumah kediaman yang berada sangat dekat dengan muara sungai, hal ini telah memburukkan lagi kerosakan yang dialami oleh penduduk tersebut.

3.2       Borneo Vortex dan La Nina

Hujan yang berterusan dan banjir di luar kebiasaan yang melanda kawasan ini berlaku akibat kewujudan sistem pusaran angin tekanan rendah yang dikenali sebagai Borneo Vortex (Ahmad Shael Adnan, 2022). Pakar klimatologi di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Borneo Vortex menyebabkan negeri-negeri pantai timur terutamanya Kelantan dan Terengganu berdepan situasi berbeza daripada kebiasaan apabila menerima jumlah hujan yang tinggi di penghujung Monsun Timur Laut ataupun lebih dikenali sebagai musim tengkujuh.

            Kewujudan sistem tekanan angin rendah atau Borneo Vortex di Laut China Selatan telah menghalang angin bergerak merentasi Khatulistiwa untuk menuju ke Kepulauan Jawa. Hal ini telah mengakibatkan angin tertumpu di sekitar Kelantan dan Terengganu, sekali gus menyebabkan penumpuan kelembapan dan hujan di kawasan ini. Selain itu, faktor La Nina turut memainkan peranan meningkatkan jumlah hujan sehingga menyebab banjir. Hal ini dikatakan demikian kerana fenomena La Nina ketika itu berkekuatan sederhana dan terdapat kajian yang mendapati La Nina sederhana meningkatkan kebarangkalian hujan di Semenanjung Malaysia.

            Perkara ini disokong oleh pakar meteorologi Jabatan Geografi Universiti Malaya (UM), menurutnya curahan hujan yang tinggi di Malaysia sudah dijangka berikutan fenomena La Nina. Hal ini terjadi disebabkan oleh luruan dari Siberia adalah angin kering sejuk. Apabila melalui kawasan Laut China Selatan yang memiliki suhu lebih tinggi, ia menyebabkan kelembapan terkumpul dibawa ke Pantai Timur Semenanjung. Oleh itu, jelaslah bahawa fenomena air pasang besar dan menyebabkan banjir yang luar biasa di Kampung Losong Haji Mamat disebabkan oleh faktor Borneo Vortex dan fenomena La Nina.

 4.0       MASALAH YANG TIMBUL

Kesan banjir menjadi lebih ketara apabila masyarakat yang terjejas kurang bersedia dan kurang berdaya tahan menghadapinya sehingga mengorbankan banyak kehilangan nyawa dan memberikan kesan mendalam kepada psikologi masyarakat. Kebanyakan penduduk menyifatkan fenomena air pasang besar kali ini sebagai kejadian luar biasa kerana banjir yang biasanya terjadi pada akhir tahun, sekali lagi berlaku pada akhir Februari baru-baru ini. Hal ini telah meninggalkan kesan kepada penduduk kawasan yang terjejas.

4.1       Kerosakan harta benda

Risiko sesuatu bencana dapat dilihat melalui kerosakan harta benda. Kejadian bencana banjir telah membawa kerugian kepada ekonomi penduduk sama ada disebabkan harta benda mereka tenggelam ataupun dihanyutkan oleh arus. Kerugian ini merupakan impak yang paling besar dan boleh dinilaikan dari seri wang ringgit. Kehilangan aset yang melibatkan kerugian kepada pemilik harta benda oleh mangsa banjir dan penduduk sekitarnya.

Rajah 2: Seorang pemilik kedai di Kampung Losong Haji Mamat melihat keadaan kedainya dimasuki air berikutan air pasang besar dan hujan lebat
Sumber: BH Online

 


Rajah 3: Keadaan rumah salah seorang penduduk ketika air pasang besar Februari 2022 di Kampung Losong Haji Mamat

            Terdapat aset yang sama sekali tidak dapat dikembalikan seperti kehilangan barang berharga, perkakas rumah, barangan saraan hidup, dan kerosakan kenderaan menyebabkan kemerosotan ekonomi bagi individu dan keluarga terlibat. Taksiran kerugian akibat kerosakan dan kehilangan aset menunjukkan mangsa banjir terpaksa berbelanja untuk menggantikan atau membaikpulih yang telah rosak (Sarina Yusoff & Rahimah Abdul Aziz, 2016). Begitu juga dengan pemilik kedai yang terjejas berikutan peningkatan air sungai itu, banyak barangan yang hanyut dan rosak seperti makanan ringan, roti, kerosakan peti sejuk dan lain-lain. Oleh itu, akibat daripada kemusnahan dan kehilangan aset ini boleh mengakibatkan satu kejatuhan dalam kualiti hidup atau kemelesetan serius daripada pelaburan sosial.

4.2       Perpindahan Penduduk

Kejadian peningkatan paras air sungai sehingga menyebabkan banjir di kawasan berisiko telah mengakibatkan perpindahan penduduk berlaku. Kesan daripada kenaikan paras air sungai menyebabkan penduduk terpaksa berpindah meninggalkan kediaman mereka ke kawasan yang lebih selamat. Berdasarkan data yang diperolehi, 37 kampung berhampiran muara sungai di Terengganu telah terjejas. Banjir besar yang berlaku di kawasan ini telah menyaksikan sebahagian besar kawasan kediaman mangsa telah ditenggelami air. Ekoran daripada itu, ada sebahagian mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan ada juga yang memilih untuk tinggal sementara di rumah kenalan dan saudara mara.


Rajah 4: Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SK Seri Nilam, Chabang Tiga

            Terdapat dua pusat pemindahan sementara yang dibuka pada waktu itu iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Nilam di Chabang Tiga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga di Kampung Tok Ku sebagai tempat tinggal sementara bagi mangsa-mangsa banjir. Dalam tempoh itu, ada dalam kalangan mangsa banjir berasa tidak selesa tinggal di pusat pemindahan disebabkan tiada privasi, padat dan keadaan yang tidak selesa serta bising. Keadaan ini diakui oleh pengkaji kerana pada ketika itu pengkaji juga ditempatkan di pusat pemindahan sementara SK Seri Nilam, Chabang Tiga.

4.3       Kualiti Air Terjejas

Gangguan kualiti air berpunca daripada penerobosan air masin pada muka sauk Pulau Musang melibatkan tangki Bukit Kecil dan Tangki Bukit Losong menjejaskan 31,750 akaun pengguna (Rahayu Mustafa, 2022). Hal ini disebabkan oleh fenomena air pasang surut yang berlaku pada ketika itu. Sepanjang tempoh itu pengguna akan berisiko mengalami gejala air masin atau payau. Hal ini secara langsung menyusahkan penduduk untuk menggunakan air yang bersih bagi keperluan seharian mereka.

            Bagi yang terlibat dalam sektor perniagaan makanan ianya telah menimbulkan kesulitan kepada peniaga-peniaga untuk menguruskan perniagaan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana sumber air yang bersih merupakan elemen yang sangat penting dalam proses menyediakan makanan dan minuman. Ekoran daripada itu, perkara ini boleh menjejaskan pendapatan dan seterusnya memberikan sedikit tekanan dalam menguruskan perbelanjaan harian.

4.4       Sampah Sarap

Berikutan daripada kejadian air pasang besar ianya telah menyebabkan timbulnya banyak sampah sarap di kawasan ini. Sampah sarap yang hanyut seperti plastik sampah, botol plastik, bekas polisterin, sisa-sisa makanan, dan sebagainya mencemari kawasan kediaman yang terjejas. Hal ini berpunca daripada masalah pembuangan sampah yang berleluasa di saliran air terutamanya sungai oleh sesetengah individu yang mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.

            Selain itu, pembuangan sisa-sisa domestik daripada isi rumah di daratan seperti dalam longkang telah mewujudkan pencemaran alam sekeliling. Sampah sarap yang dibuang merata-rata dan tidak diuruskan dengan baik akan berbau busuk serta mendorong pembiakan nyamuk aedes, lalat dan lain-lain. Hal ini sekaligus memberikan kesan visual yang negatif dimana menjejaskan sesuatu kawasan itu dengan sisa-sisa yang hanyut daripada kejadian air pasang besar tersebut. Maka bauan dan kotoran akan menjejaskan kehidupan sekeliling kawasan ini.

5.0       CADANGAN MENGATASI MASALAH

Fenomena air pasang membawa kerisauan yang serius kepada penduduk berisiko. Hal ini bukan sahaja terpaksa memikirkan tentang keselamatan keluarga, bahkan juga terpaksa memikirkan kerugian yang bakal ditanggung setiap kali berhadapan dengan bencana ini (Haryati Shafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Norasyikin Miskam, 2011). Oleh hal yang demikian, pengurusan banjir haruslah merangkumi pengurusan sebelum, semasa dan selepas banjir. Terdapat beberapa langkah untuk mengatasi masalah yang timbul sebelum, semasa dan selepas bencana tersebut.

5.1       Meningkatkan Persediaan Awal Menghadapi Bencana

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah mengeluarkan beberapa langkah sebagai persiapan persediaan awal sebelum banjir yang disebabkan oleh fenomena air pasang ataupun hujan lebat iaitu sentiasa peka dengan persekitaran. Penduduk hendaklah sentiasa mendengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta bilik-bilik gerakan banjir negeri atau daerah yang berhampiran untuk kawasan banjir dan lalu terjejas. Selain itu, dapatkan talian penting seperti nombor telefon Community Emergency Response Team (CDERT), ketua kampung, bilik gerakan banjir dan pasukan keselamatan.

            Disamping itu, kempen kepada penduduk di kawasan kediaman yang berisiko terjejas hendaklah dilaksanakan melalui pendedahan sistem amaran banjir, petunjuk alam sekitar seperti hujan lebat, topografi, ketinggian paras bahaya banjir dan sejarah banjir di tempat tersebut. Dalam pada itu melakukan pemeriksaan lubang air seperti longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya. Akhir sekali, setiap isi rumah haruslah mempunyai beg kecemasan untuk meletakkan dokumen penting, lampu suluh, pakaian, ubat-ubatan, wang tunai dan sebagainya. Oleh itu, persediaan awal penduduk sebelum menghadapi bencana banjir ini amatlah penting bagi mengurangkan impak yang diterima oleh penduduk selepas bencana tersebut terjadi.

5.2       Penambahbaikan Sudut Bantuan

Antara bentuk penambahbaikan yang dicadangkan dari sudut bantuan yang tidak mencukupi pula merangkumi pemberian dan penambahan peruntukan bantuan di mana bantuan perlu diberikan berdasarkan bilangan ahli keluarga, bukannya berdasarkan bilangan rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat rumah yang berada di Kampung Losong Haji Mamat ini didiami oleh lebih daripada sebuah keluarga. Oleh itu, peruntukan bantuan yang sama rata bagi setiap rumah adalah tidak relevan bagi rumah yang didiami lebih dari sebuah keluarga. Selain itu, dicadangkan agar pusat pemindahan menyediakan almari khas untuk mangsa banjir menyimpan barangan peribadi atas tujuan menjaga privasi mangsa-mangsa banjir. Ekoran daripada itu, ianya dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk dan memperbanyak kemudahan di pusat pemindahan tersebut.

5.3      Pembinaan Benteng Bagi Sungai Berdekatan

Seperti yang kita ketahui kawasan kajian kali ini berdekatan dengan muara sungai Terengganu. Oleh itu pelaksanaan pembinaan benteng sungai amatlah disarankan sepertimana yang telah dibuat di beberapa kawasan lain. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan kajian ini merupakan kawasan rendah yang sangat mudah dilimpahi air apabila hujan lebat ataupun air pasang. Pembinaan benteng ini adalah bagi menghalang limpahan air sungai tersebut dan diyakini ia mampu mengurangkan risiko banjir. Pendekatan ini haruslah diambil oleh agensi-agensi terlibat dalam bersiap siaga menghadapi sebarang bencana banjir pada monsun timur laut dan mengurangkan kerosakan harta benda penduduk terjejas.

 6.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, fenomena air pasang besar yang luar biasa terjadi di Kampung Losong Haji Mamat, Kuala Terengganu sehingga banyak kawasan ini digenangi air akibat limpahan sungai Terengganu. Berikut daripada itu, timbulnya beberapa masalah seperti kerosakan harta benda, berlakunya perpindahan penduduk, kualiti air terjejas dan mengakibatkan sampah sarap yang dihanyutkan air banjir timbul. Hal ini disebabkan oleh bentuk muka bumi kawasan ini yang rendah serta berpunca daripada Borneo Vortex dan fenomena La Nina yang terjadi. Oleh hal yang demikian, beberapa cadangan penambahbaikan seperti penduduk haruslah membuat persediaan awal menghadapi bencana banjir terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko terjejas, cadangan penambahbaikan daripada sudut bantuan semasa banjir, dan pembinaan benteng di muara sungai kampung ini haruslah dipandang serius oleh agensi-agensi terlibat agar dapat mengurangkan impak bencana banjir ini.

RUJUKAN

Ahmad Suhael Adnan (2022, Februari 26). Borneo vortex, La Nina punca hujan 'luar kebiasaan' di Kelantan, Terengganu. BH ONLINE. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/ 2022/02/927542/borneo-vortex-la-nina-punca-hujan-luar-kebiasaan-di-kelantan

Akasah, Z. A. & Doraisamy, S. V. (2015). Malaysia flood: impacts & factors contributing towards the restoration of damages. Journal of Scientific Research and Development. 2(14), 53-59.

Balek, J. (1983). Hydrology and water resources in tropical regions. Developments in Water Science, 18, 3-271.

Dontsova, K. M., & Norton, L. D. (2002). Clay Dispersion, Infiltration, and Erosion as Influenced by Exchangeable Ca and Mg. Soil Science, 167(3), 184-193. https://journals.lww.com/soilsci/Abstract/2002/03000/CLAY_DISPERSION,_INFILTRATION,_AND_EROSION_AS.3.aspx

Google Maps. (2022, Jun 10). Peta Kawasan Kampung Losong Haji Mamat. https://mapcarta.com/N9494289625

Haryati Shafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Norasyikin Miskam. (2011). Kajian kesanggupan pemilik rumah untuk mendapatkan perlindungan daripada bencana banjir. Persidangan Kebangsaan Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar.

Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Mazlin Mokhtar, Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Sahibin Abd. Rahim dan Chong Huei Bee, (2010). Analisis Banjir Disember 2006. Kajian kes: Kawasan Bandar Segamat, Johor. Sains Malaysiana, 39(3), 353-361. http://journalarticle.ukm.my/7344/1/01_Md_Yeaminhossain.pdf

N.A. (2022, Februari 28). Air pasang besar: 37 kampung berhampiran muara sungai di Terengganu berisiko banjir. BH ONLINE. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/928522/air-pasang-besar-37-kampung-berhampiran-muara-sungai-di-terengganu

Nor Rohaizah Jamil, and Mohd Ekhwan Toriman, and Mushrifah Idris, and Ng, Lee How (2012). Analasis Ciri-ciri Luahan Sungai Chini dan Sungai Paya Merapuh Tasik Chini, Pahang Bagi Waktu Normal dan Sungai Paya Merapuh Tasik Chini, Pahang Bagi Waktu Normal Waktu Basah dan Selepas Banjir. Ebangi: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 7(1), 1-16. http://journalarticle.ukm.my/2828/

Pradhan, B. & Youssef, A. M. (2011). A 100year maximum flood susceptibility mapping using integrated hydrological and hydrodynamic models: Kelantan River Corridor, Malaysia. Journal of Flood Risk Management, 4(3), 189-202.

Rahayu Mustafa. (2022, Februari 04). Gangguan kualiti air jejaskan 31,750 akaun pengguna. Sinar Harian. https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=230567

Sarina Yusoff & Rahimah Abdul Aziz. (2016). Bencana Alam dan Impak Banjir Besar 2014 Terhadap Komuniti Tempatan di Hulu Dungun, Terengganu: Satu Perspektif Sosiologi Bencana. Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 675-683. http://eprints.usm.my/41159/1/ART_93.pdf

Ward R. C. (1978). Floods: A Geographical Perspective. Macmillan Press, London. Earth Surface Processes, 4(3), 303-304. https://doi.org/10.1002/esp.3290040320


DISEDIAKAN OLEH:

NUR AYUNI SYARIAH BINTI AMDAN
D20201094337
KUMPULAN B


 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...