Thursday, June 16, 2022

ISU PEMBANGUNAN LEBUH RAYA BERTINGKAT SUNGAI BESI-ULU KELANG (SUKE) MENJEJASKAN KAWASAN DI AMPANG

ISU PEMBANGUNAN LEBUH RAYA BERTINGKAT SUNGAI BESI-ULU KELANG (SUKE) MENJEJASKAN KAWASAN DI AMPANG


PENGENALAN

Isu pembangunan lebuhraya ini sentiasa berlaku di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Dapat dilihat juga bahawa pembinaan lebuhraya ini kebanyakan besar dilakukan di Lembah Kelang dan juga Kuala Lumpur. Oleh kerana pembangunan lebuh raya yang semakin pesat di kawasan-kawasan ini, ia sekaligus telah menjejaskan alam sekitar dan juga penempatan yang terdapat di situ.


RINGKASAN ISU 


Pembangunan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) merupakan salah satu pembangunan yang dijalankan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di sekitar Lembah Kelang. SUKE merupakan lebuh raya yang mempunyai 3 laluan dan panjang lebuh raya tersebut adalah 24.4km. Ia juga mempunyai 14 persimpangan bermula daripada Ulu Kelang hingga ke Sri Petaling dan ia juga melintasi sebanyak 60 kawasan perumahan di sepanjang lebuh raya tersebut. Pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ini juga adalah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan jalan utama yang selalu digunakan oleh penduduk di Ampang dan sekitarnya untuk pergi ke tempat yang lain iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang (SUKE, 2020). 

Walaubagaimanapun, pembinaan lebuh raya bertingkat ini dilihat telah mendapat banyak tentangan daripada penduduk-penduduk di sekitar kawasan Ampang oleh kerana banyak tempat yang tidak pernah disentuh seperti Taman Rimba Ampang di Bukit Belacan, Bukit Ampang telah digunakan oleh pemaju untuk membina lebuh raya bertingkat ini. Menurut akhbar Harian Metro Online yang telah disiarkan pada 27 Januari 2018, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah meminta pemberhentian sementara projek pembinaan lebuh raya bertingkat ini oleh kerana ia telah menyebabkan banyak kejadian yang terjadi di kawasan Ampang antaranya adalah berlakunya banjir lumpur. Keadaan lain yang menjadi kegerunan penduduk setempat adalah berlaku runtuhan-runtuhan kecil di kawasan perumahan mereka (Nasir, 2018).


Gambaran keadaan akibat pembinaan SUKE

(Sumber: Hmetro)


Dapat dilihat bahawasanya pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ini telah menyebabkan banyak perkara-perkara yang menjejaskan serta mengganggu kelestarian awam di sekitar Ampang.



PUNCA/MASALAH

Kelestarian alam di Ampang telah banyak terjejas akibat daripada pembinaan lebuh raya bertingkat SUKE dan juga perkara-perkara lain yang telah banyak berlaku di kawasan petempatan utama di sekitar Ampang. Pembinaan lebuh raya bertingkat SUKE dilihat menjadi punca utama kepada kelestarian alam dan ekosistem di Ampang semakin merosot dan secara tidak langsung menyebabkan berlakunya bencana alam yang terjadi dan ini menjadikan penduduk setempat menjadi takut jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini terjadi. Pembinaan lebuh raya ini dilihat oleh pihak kerajaan persekutuan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan utama yang menggunakan lebuh raya utama iaitu MRR2, sebagai laluan utama penduduk untuk ke serata tempat. 

Pembinaan lebuh raya bertingkat ini juga telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri dalam memberi pertimbangan serta kelulusan dan dilihat bahawa banyak perkara diambil kira oleh pihak berkenaan dalam meluluskan pembinaan lebuh raya yang baru. PlanMalaysia@Selangor pula bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan sepanjang lebuh raya bertingkat SUKE ini berjalan dan juga mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor (Dewan Negeri Selangor, 2018).

Oleh itu, dapat dilihat bahawasanya sebahagian besar punca kepada terjejasnya kelestarian alam di Ampang adalah disebabkan pembinaan lebuh raya bertingkat yang sedang giat dijalankan oleh pemaju sehingga saat ini. 


KESAN

Setiap pembangunan yang dijalankan dilihat banyak memberikan kesan kepada pelbagai perkara dan perkara ini semestinya melibatkan kelestarian alam sekitar. Ini kerana pembangunan yang ingin dijalankan semestinya menggunakan kawasan tanah yang tertentu dan ini melibatkan kawasan-kawasan yang telah dijaga dan juga di kawasan penduduk setempat. 

Antara kesan pembangunan lebuh raya bertingkat SUKE terhadap kelestarian alam sekitar adalah banyak tempat khususnya di kawasan perumahan penduduk di sekitar Ampang telah terjejas akibat daripada pembinaan lebuh raya. Ia dilihat telah mengganggu kawasan perumahan bagi menjalankan pembinaan tersebut dan sekaligus ia juga telah menyebabkan beberapa kawasan tersebut dilanda musibah berkaitan dengan alam sekitar. 

Di dalam Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 ada disuarakan oleh Y.B Tuan Lai Wai Chong berkenaan dengan apakah tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan berkaitan dengan kejadian tanah runtuh di sempadan Lebuh raya Bertingkat SUKE dan juga di kawasan Hutan SImpan Bukit Sg Putih. Perkara ini telah mendapat respons bahawasanya ia disebabkan hujan yang telah turun dengan lebat secara berterusan beberapa hari telah menyebabkan kejadian tersebut berlaku. Dapat dilihat bahawasanya pelbagai kejadian boleh terjadi sehingga boleh meragut nyawa penduduk di sekitarnya atas sebab pembinaan lebuh raya ini (Dewan Negeri Selangor, 2022).


Kesan lain yang terjadi akibat pembinaan lebuh raya adalah ia boleh mengganggu ketenteraman awam yang berada sekitar kawasan pembinaan lebuh raya SUKE. Perkara ini dipetik merujuk kepada Malaysiakini Online yang menyatakan bahawa kebanyakan penduduk yang merupakan Kumpulan Bertindak Tak Nak SUKE membantah pembinaan lebuh raya bertingkat ini kerana ia membawa kepada pelbagai masalah kepada penduduk setempat. Wakil bagi kumpulan tersebut menyatakan kerisauan oleh kerana kawasan di Cheras mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta ia mengganggu penduduk untuk menjalankan aktiviti harian mereka serta laluan keluar masuk. Pelbagai pencemaran juga berlaku seperti pencemaran bunyi, pencemaran udara dan sebagainya telah menjadi salah satu perkara yang mengganggu penduduk di kawasan tersebut (Boey, 2013).


  Sumber: Freemalaysiatoday Website

                                     

Sumber: Malaysia Now Website


CADANGAN

Antara cadangan yang boleh dilakukan adalah mengurangkan pembinaan lebuh raya di kawasan Ampang yang sudah tersedia padat kepadatan penduduknya. Pihak berwajib perlu mempercepatkan pembinaan lebuh raya ini supaya kawasan disekitarnya tidak mempunyai masalah lagi seperti bencana tanah runtuh. Selepas siap sepenuhnya pembinaan lebuh raya ini, pihak berwajib perlu mengambil kira tentang kerosakan jalan yang berlaku seperti jalan berlubang, jalan tidak rata dan sebagainya. Mereka perlu memperbaiki semula jalan tersebut supaya penduduk dapat menikmati keselesaan yang baik dan tidak memandang negatif lagi terhadap projek yang dijalankan.

Seterusnya adalah pihak berwajib juga perlu meningkatkan tahap keselamatan kawasan tersebut seperti membina konkrit sebagai penahan daripada terjadinya tanah runtuh. Mereka juga juga perlu memantau setiap perjalanan projek tersebut dengan lebih teliti dan memastikan bahawa projek yang dijalankan adalah selamat dan tidak akan mendatangkan sebarang masalah yang akan datang. 

Cadangan lain yang boleh dilakukan adalah pihak berwajib membuka peti aduan secara online atau mengambil aduan daripada penduduk yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya SUKE ini untuk menyatakan kerisauan mereka serta perkara-perkara yang mengganggu penduduk. Pihak berwajib juga boleh mengambil tindakan yang pantas terhadap aduan yang diadukan kepada mereka dan mengambil berat terhadap emosi penduduk setempat.


PENUTUP

Konklusinya, setiap pembangunan yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau pihak berwajib dilihat dapat memberikan kebaikan kepada penduduk di sesuatu kawasan tetapi pembangunan tersebut perlulah mengambil kira setiap aspek seperti penduduk, ciri kawasan tersebut dan juga risiko yang perlu dihadapi oleh pihak berwajib sebelum membuat sesuatu. Di Ampang sendiri dilihat mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi dan pembangunan yang lestari perlu difikirkan oleh pihak berwajib dalam menjaga kelestarian alam sekitar disamping memberi kebaikan kepada penduduk. 



RUJUKAN

SUKE: Sungai Besi - Ulu Kelang Elevated Expressway. SUKE: Sungai Besi - Ulu Kelang Elevated Expressway. (2020). From https://www.mysuke.com.my/project-overview/.

Nasir, S. (2018). Henti Projek SUKE. Harian Metro Online. From https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/307598/henti-projek-suke.

Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi ke Ulu Kelang (SUKE) Oleh Prolintas. (2018). Dewan Negeri Selangor. http://dewan.selangor.gov.my/question/pembinaan-lebuhraya-bertingkat-sungai-besi-ke-ulu-kelang-suke-oleh-prolintas/

Boey, B. (2013, October 17). Penduduk mahu penjajaran semula laluan SUKE. Malaysiakini. https://m.malaysiakini.com/news/244123

Isu Tanah Runtuh Di Sempadan SUKE Dan Hutan Simpan Di Bukit Sg. Putih | Dewan Negeri Selangor. (2022). Dewan Negeri Selangor. http://dewan.selangor.gov.my/question/isu-tanah-runtuh-di-sempadan-suke-dan-hutan-simpan-di-bkt-sg-putih/




No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...