Sunday, June 19, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU PENDIDIKAN MASYARAKAT BUMIPUTERA ORANG ASLI RENGIT, BATU PAHAT, JOHOR

Pengenalan

Pelaksanaan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang komited dengan bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara kita termasuk Orang Asli terutamanya di kawasan Batu Pahat ini iaitu Kampung Bumiputera Rengit dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21 (Kementerian Pendidikan Malaysia,  2018). Sistem pendidikan kita perlu berupaya membentuk generasi pendidik yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, setiap murid di negara kita perlu diterapkan dengan nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara, agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga dan negara, serta berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran. Oleh itu, golongan ini harus merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan menjadikan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang dan masyarakat Orang Asli berupaya keluar dari kepompong kemiskinan dengan menyertai pelbagai sektor pekerjaan seandainya mereka berusaha memperoleh kelulusan pendidikan yang tinggi. Isu berkaitan masyarakat Orang Asli dengan kepentingan pendidikan ini satu fokus utama dalam kajian ini. 


Latar belakang kajian 

Pengkaji telah menyertai satu program Jelajah Inspirasi Mahasiswa bersama Masyarakat Orang Asli Bumiputera Rengit sekaligus membuat kajian lapangan di bawah kursus HGM3033 Geografi Penduduk di Perkampungan Bumiputera Rengit, Batu Pahat, Johor untuk mengkaji isu pendidikan masyarakat di kawasan setempat ini. Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temubual bersama penduduk setempat dan tinjauan mengenai persekitaran di kawasan tersebut. 


Rajah 1: Bersama salah seorang kanak-kanak semasa temubual dijalankan 



Isu Kajian

  1. Isu keciciran murid orang Asli dalam pelajaran

Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti menjadi punca kepada keciciran pelajar Orang Asli dalam pelajaran antaranya, masalah aksesibiliti kepada kemudahan seperti tahap aksesibiliti seseorang untuk bergerak, iaitu pengaruh pengangkutan, pengaruh ruangan serta elemen masa dan jarak yang diambil untuk sampai ke sesuatu tempat yang dituju. Hasil temubual antara saya dan penduduk Orang Asli di kawasan itu, mereka mengatakan bahawa kawasan pedalaman dan jarak yang jauh untuk ke sekolah adalah faktor utama anak mereka tidak hadir ke sekolah akibat kekangan pengangkutan kerana penduduk di sana kebanyakan menggunakan motosikal sahaja dan  ketiadaan operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang melalui kawasan pedalaman turut menyukarkan perjalanan pelajar Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan. Tambahan itu, jarak perjalanan juga menentukan tahap aksesibiliti pelajar untuk ke sekolah berdasarkan mod pengangkutan, lokasi dan masa yang digunakan untuk memulakan pergerakan. Pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman berhadapan dengan masalah aksesibiliti ke sekolah kerana jarak sekolah yang jauh dari kawasan kediaman. Tambahan pula dengan kualiti jalan raya rendah akibat tidak sempurna diturap, berselut, separuh berturap dan di setengah tempat masih menggunakan jalan batu menyebabkan pelajar ke sekolah dalam keadaan yang tidak selesa.  Masalah  yang  sering  dihadapi oleh pelajar sekolah Orang Asli adalah masalah pengangkutan untuk ke  sekolah  (Kamarudin  et  al.,  2019). Kawasan pedalaman yang jauh menyebabkan aksesabiliti kepada capaian internet agak lemah sehingga mereka tidak dapat untuk menyelesaikan tugasan tepat pada waktunya. Ketiadaan  infrastruktur  asas seperti jalan raya dan jambatan serta isu dokumen yang tidak lengkap menyukarkan perhubungan Orang Asli dengan dunia luar (Howard et al., 2020). Melalui temubual antara kami, mereka menghadapi kesulitan semasa pandemik berlaku kerana pembelajaran di atas talian menyukarkan anak-anak mereka untuk hadir ke kelas. 


Rajah 2: Sewaktu temu bual dijalankan


  1. Isu Tahap Literasi Murid Orang Asli

Segelintir masyarakat di kawasan Orang Asli mengalami masalah buta huruf disebabkan oleh mereka tidak didedahkan dengan ilmu membaca dan menulis sehingga menyebabkan amalan literasi kanak-kanak di rumah mereka adalah berbeza daripada apa yang diharapkan melalui pembelajaran di sekolah. Hal ini dapat dibuktikan semasa saya berada di sana bagi program pendidikan bersama masyarakat di sana, segelintir kanak-kanak berumur 8 sehingga 10 tahun tidak pandai membaca dan menulis sewaktu aktiviti pendidikan pada waktu itu. Hasil temubual bersama ibubapa mereka, kanak-kanak tersebut tidak dihantar ke sekolah disebabkan oleh persepsi mereka yang ingin anak-anak menolong mereka bekerja untuk penjanaan pendapatan. Masalah buta huruf ini menjadi satu isu yang perlu difokuskan kerana pendidikan awal seperti ini sangat penting dalam membentuk masyarakat yang celik. Persekitaran mempengaruhi tingkah laku murid apabila rangsangan yang baik kepada kognitif tidak dapat dipraktikkan jika persekitaran kurang selasa.Gangguan dalam persekitaran murid-murid Orang Asli yang menghalang mereka untuk menguasai literasi antaranya kekurangan kemudahan pengangkutan dan ketidak selesaan ruang untuk belajar yang mana kajian ini mengenal pasti satu ruang di rumah murid-murid Orang Asli dipelbagaikan sebagai tempat tidur, makan dan belajar sekaligus. Keadaan persekitaran ini akan menyebabkan kognitif murid-murid Orang Asli tidak dapat diransang malahan menyukarkan sesuatu pembelajaran. Ini kerana secara amnya, perkembangan literasi bagi kanak-kanak yang membesar dan mempunyai lingkungan persekitaran yang sihat serta akses mudah kepada prasarana yang terdapat di sekelilingnya akan menyebabkan murid-murid terbiasa dengan percakapan orang-orang disekelilingnya malahan berupaya menggunakan perbendaharaan kata yang lebih tepat dan luas.


Rajah 3: Pengkaji bersama kanak-kanak semasa tinjauan dijalankan


Langkah mengatasi 

Terdapat beberapa langkah untuk meningkatkan tahap pendidikan orang Asli di kawasan ini, antaranya ialah kerajaan telah mewujudkan Program LINUS yang mempunyai definisi Saringan Literasi dan Numerasi untuk mengatasi kelemahan murid dalam kemahiran literasi. Program ini bermula pada murid tahun 1 di mana ianya bermatlamat untuk memastikan menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Oleh itu, guru yang diberi tanggungjawab untuk memperoleh pengalaman dan strategi yang baharu bagi menangani murid-murid yang ada masalah pembelajaran menerusi murid-murid yang ada masalah pembelajaran menerusi kursus dan modul khas (Nazariyah, 2014). Selain itu, pendekatan belajar melalui aktiviti bermain dilihat satu alternatif bagi para pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid Orang Asli. Hal ini kerana bermain adalah sifat semula jadi kanak-kanak yang boleh dijadikan perantara dan membantu meningkatkan pembelajaran kanak-kanak ke tahap yang optimum. Kaedah permainan dianggap sebagai salah satu strategi instruksional yang efektif dalam pembelajaran terutamanya bagi kanak-kanak. Permainan boleh diintegrasikan dalam aktiviti pengajaran untuk meningkatkan minat dan motivasi kanak-kanak terutama untuk menyelesaikan sesuatu tugasan pembelajaran. lni kerina pengajaran yang menggunakan kaedah permainan sebagai medium pengajaran akan menjadikan kanak-kanak belajar dengan cepat dan mereka akan lebih seronok, Di samping itu, bermain juga dapat mengelakkan rasa bosan dan menghilangkan rasa takut kanak-kanak terhadap mata pelajaran yang diajar (Haslinda, et.al., 2015). 


Kesimpulannya, pendidikan Orang Asli ini haruslah menjadi tangGungjawab semua pihak bagi mengelakkan keciciran dalam masyarakat di sini. Oleh itu, sikap dan persepsi negatif Orang Asli terhadap pendidikan perlu diubah dalam diri mereka oleh semua pihak lebih-lebih lagi pihak Jabatan Kemajuan orang Asli (JAKOA). Sifat peka pihak JAKOA terhadap masalah Orang Asli mampu membantu murid orang Asli lebih berjaya pada masa akan datang. 



Rujukan:

Haslinda Tahir Shah, Lilia Halim, Zanaton lksan .2015. Kaedah Bermain Dalam Meningkatkan Minat Murid Orang Asli Terhadap Sains. Prosiding The International Conference On Langguage, Education and Innovation (ICLEI 2015-62). 16 – 17.


Howard,  J.,  Jeffery,  J.,  Walters,  L.,  &  Barton,  E.  (2020).  Rural Aboriginal high school students' views of their future tertiary education. The  Australian  Journal of  Indigenous  Education, 1-10.


Kamarudin  Abu  Hassan,  Abdul  Salam  Mohamed  Ibrahim,  Senin Khamis,   Azizah   Maamor,   Rusitah   Mohamed,   Norlaila  Mohammad, Jailani Haji Hashim & Noor Aishah Aziz. (2019). Kajian pendidikan anak-anak   Orang   Asli  di  Sekolah  Kebangsaan  Cherana  Puteh,  Melaka. Journal of Educational Research and Indigenous    Studies,  2   (Special  Issues),  1-17


Kementerian  Pendidikan  Malaysia.  (2018). Info  media  menjana maklumat pendidikan. Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Edisi Mac-April


Nazariyah  Sani.  (2014).  Merapatkan  jurang  literasi  pelajar-pelajar  Orang  Asli:  Apa  cabarannya? Jurnal  Personalia Pelajar,17, 19-30


Nama: NURUL ATHIRAH BINTI ABDUL AZIZ

No. matrik : D20191088293

Kumpulan : A


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...