Sunday, June 19, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU TARAF HIDUP RENDAH DI KALANGAN PENDUDUK ORANG KUALA DI BATU PAHAT, JOHOR

PENGENALAN (Ringkasan Kes)


Petempatan Orang Kuala di kawasan Rengit, Batu Pahat, Johor merupakan bukan perkara yang baru dan sudah diketahui umum. Malahan terdapat pelbagai kajian yang dilakukan oleh pengkaji setempat mengenai kaum ini. Orang Kuala merupakan sebahagian Orang Laut dari kelompok suku-masyarakat Orang Duano. Namun begitu, bagi di Malaysia, Orang Duano ini dikenali sebagai Orang Kuala disebabkan oleh lokasi penempatan mereka di kuala sungai dan persisiran pantai berhampiran sungai. Disebabkan oleh faktor isolasi dari aspek geografi yang didapati penempatan mereka jauh di kawasan terpencil dan pedalaman menyebabkan pembangunan kemajuan di kawasan mereka perlahan. Perkara ini sedikit sebanyak mendorong kepada taraf hidup yang rendah di kalangan penduduk Orang Kuala di kawasan Batu Pahat, Johor.


          Perkampungan Orang Kuala yang terletak di Rengit, Batu Pahat, Johor adalah tidak asing lagi dengan penduduk setempat di mana mereka sangat terkenal dengan kegiatan ekonomi dalam sektor perikanan dan perniagaan. Disebabkan oleh lokasi kawasan mereka yang berada berdekatan dengan sungai dan laut, maka dengan itu antara kegiatan ekonomi utama mereka adalah sektor perikanan. Bukan itu sahaja, penduduk di perkampungan Orang Kuala ini juga menjalankan kegiatan ekonomi perniagaan barangan terpakai. Perkampungan ini terkenal dengan penjualan secara borong barangan terpakai yang dibawa masuk dari Singapura untuk dijual di kawasan mereka yang dikenali sebagai Pasar Karat Rengit (Berita Harian, 2022). Namun begitu, kebanyakan penduduk di kawasan ini merupakan golongan B40 dan ke bawah disebabkan beberapa faktor yang menyebabkan taraf hidup Orang Kuala di Batu Pahat, Johor rendah.


Rajah 1: Pasar Karat Rengit, Batu Pahat, Johor

Rajah 2: Kawasan Perniagaan Hasil Tangkapan di Laut


FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TARAF HIDUP RENDAH ORANG KUALA


Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Azlina Mohd Khir (2018), faktor yang mempengaruhi isu taraf hidup rendah di kalangan masyarakat Orang Kuala adalah berpunca daripada pemikiran yang tidak ingin berjaya dalam diri. Faktor individu ini penyebab masyarakat ini mengamalkan gaya hidup yang mundur di mana kurang keinginan untuk berjaya, kurang berusaha dalam memperbaiki diri dan hidup, malas, suka membuang masa, kurang motivasi serta pengetahuan dalam mengurus kewangan yang cetek. Disebabkan oleh kurangnya motivasi dalam diri untuk berjaya, masyarakat ini hanya mewarisi apa yang mereka sedia ada tanpa menambah baik kehidupan mereka. Perkara ini merupakan faktor dalaman yang perlu dipupuk dan dibentuk oleh diri sendiri dalam menetapkan serta membuka mata untuk berusaha dalam mencapai kejayaan di samping mengeluarkan diri dari kepompong kemiskinan atau meningkatkan taraf hidup diri, keluarga dan masyarakat.


          Selain itu, faktor yang menyumbang kepada isu taraf hidup yang rendah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Kuala adalah kenaikan kos sara hidup yang semakin membimbang. Tidak dapat dinafikan bahawa kos sara hidup akan meningkat saban tahun walaupun pelbagai rungutan dan rintihan daripada rakyat kerana perkara ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna. Berdasarkan kajian Mohd Aqmin Abdul (2018), peningkatan kos sara hidup akan meningkat setiap tahun bagi mencapai tingkat taraf hidup tertentu. Berfokuskan semula kepada masyarakat Orang Kuala yang kebanyakan daripada mereka menjalankan kegiatan ekonomi melalui bidang perniagaan yang sederhana dan tidak selari dengan jumlah pendapatan mereka sudah semestinya memberi kesan dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.  


          Seterusnya, faktor yang mempengaruhi isu taraf hidup rendah bagi masyarakat Orang Kuala di Batu Pahat, Johor ialah peluang pekerjaan yang terhad. Disebabkan oleh lokasi kawasan Orang Kuala ini yang terletak di kawasan luar bandar, peluang pekerjaan yang terhad dan pembangunan yang kurang berkembang menyebabkan kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja sendiri. Perkampungan Orang Kuala ini berfokuskan kepada kegiatan perniagaan dan perikanan, jumlah pendapatan yang diperolehi juga kurang lumayan dan mereka perlu melakukan kerja keras atau lebih dari satu pekerjaan dalam menyara kehidupan sehari-hari.


KESAN ISU TARAF HIDUP RENDAH YANG DIHADAPI OLEH ORANG KUALA


Isu taraf hidup rendah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Kuala di Batu Pahat, Johor ini memberi kesan kepada aspek sosial. Hal ini berlaku apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, mereka perlu mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan harian keluarga. Disebabkan oleh kesibukan masa bekerja yang melebihi waktu yang sepatutnya, perkara ini sedikit sebanyak akan menganggu masa berkualiti bersama anak-anak dan ahli keluarga mereka. Kesannya akan timbul masalah sosial seperti perceraian, pergaduhan, penderaan serta gejala-gejala sosial di kalangan masyarakat Orang Kuala ini.


        Seterusnya, kesan yang dipengaruhi oleh taraf hidup yang rendah di kalangan masyarakat Orang Kuala di Batu Pahat, Johor adalah dari aspek keselamatan. Aspek keselamatan di kawasan sekeliling akan terjejas disebabkan tekanan hidup yang dilalui akibat daripada taraf hidup yang rendah ini. Kes-kes jenayah yang membimbangkan seperti kecurian, penculikan atau rompakan meningkat kerana bebanan hidup dan desakan kekurangan pendapatan bagi menyara hidup mereka. Berdasarkan laporan yang telah dibuat di balai polis berdekatan, didapati bahawa peningkatan gejala jenayah dan berpunca daripada kawasan perkampungan Orang Kuala tersebut. Perkara ini bukan sahaja membimbangkan penghuni di perkampungan Orang Kuala itu sahaja, tetapi juga menimbulkan keresahan di masyarakat sekeliling.


          Kesan yang didapati daripada isu taraf hidup yang rendah di kalangan masyarakat Orang Kuala ini adalah dari aspek pengangguran. Disebabkan oleh kurangnya peluang pekerjaan bagi masyarakat Orang Kuala ini, kadar pengangguran meningkat. Meskipun kegiatan ekonomi utama mereka iaitu perniagaan dan perikanan berjalan seperti biasa, namun disebabkan oleh kawasan yang kurang strategik dan kurang kondusif ini menyebabkan pelanggan kurang berminat dan perniagaan mereka kurang mendapat sambutan. Oleh itu, perniagaan yang mereka perolehi akan terjejas dan menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Didapati juga bahawa tahap pendidikan masyarakat Orang Kuala ini kurang memberangsangkan sehingga menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan di luar kawasan mereka.


Rajah 3: Kawasan Perniagaan Barang Terpakai Yang Kurang Kondusif


LANGKAH MENINGKATKAN TARAF HIDUP ORANG KUALA


Langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan taraf hidup Orang Kuala khususnya di kawasan Rengit, Batu Pahat, Johor ini adalah pengurusan aktiviti keusahawanan yang lebih sistematik dan efisyen. Sebagaimana yang diketahui umum, penduduk Orang Kuala di Batu Pahat ini menjalani aktiviti perniagaan barangan terpakai secara borong sebagai salah satu kegiatan ekonomi utama mereka. Pengurusan perniagaan yang baik sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pengembangan sektor perniagaan mereka. Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh Rohayu Roddin, Yusmarwati, Marina Ibrahim, Halizah Awang, Siti Afiat dan Tunn Ili Ayuni (2020), pembangunan keupayaan dalam sektor keusahawanan merupakan salah satu peringkat yang penting bagi setiap individu bagi tujuan memelihara dan memulihara suatu perniagaan supaya sentiasa mempunyai nafas baru selari dengan permintaan pembeli. Maka dengan itu, penjual hendaklah bijak mengatur strategi dalam menguruskan suatu perniagaan supaya dapat berkembang dengan jayanya dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Perkara ini dapat dicapai melalui penyertaan kursus-kursus perniagaan yang dianjurkan bagi menimba lebih banyak ilmu perniagaan yang berguna. 


         Seterusnya adalah pihak kerajaan menyediakan pendidikan yang sama rata dan berkualiti bagi masyarakat Orang Kuala. Walaupun kawasan Orang Kuala agak pedalaman dan jauh dari kemajuan moden, pendidikan yang berkualiti bagi kanak-kanak perlu dititikberatkan dalam mengubah persepsi dan taraf hidup keluarga mereka. Pendidikan yang berkualiti menyediakan individu yang lebih berjaya dalam kehidupan kepada komuniti persekitaran (Dr. Affizal Ahmad, 2018). Kebanyakan masyarakat Orang Asli tidak mementingkan pendidikan anak-anak mereka kerana kurangnya infrastruktur dan galakan dalam pendidikan. Perkara ini adalah berada di bawah tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan setiap kanak-kanak dari keluarga Orang Kuala ini mendapat kemudahan yang sepatutnya dalam memastikan mereka dapat ke sekolah seperti kanak-kanak yang lain. Sebagai contoh, penyediaan kemudahan dari segi pakaian, peralatan sekolah dan kelengkapan yang lain. 


          Langkah yang berikutnya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Kuala adalah penyediaan peluang pekerjaan yang lebih meluas. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelbagai inisiatif dan dasar yang dilakukan dalam menjamin taraf hidup yang baik bagi rakyat Malaysia iaitu salah satunya program JaminKerja Keluarga Malaysia yang sedang dijalankan di mana berfokuskan kepada semua rakyat Malaysia tanpa sebarang halangan dalam memastikan taraf hidup mereka dapat ditingkatkan. Melalui peluang pekerjaan yang lebih meluas ini disediakan, perkara ini dapat memastikan semua masyarakat terutamanya masyarakat Orang Kuala mendapat hak yang sama rata dalam memastikan taraf hidup mereka meningkat bukan sahaja tertumpu di kawasan perkampungan mereka semata-mata. 


KESIMPULAN


Perkara ini dapat disimpulkan bahawa semua pihak memainkan peranan yang amat penting dalam menangani masalah taraf hidup rendah di kalangan masyarakat Orang Kuala Khususnya di kawasan Rengit, Batu Pahat, Johor ini. Perkara ini juga memerlukan kesedaran yang mendalam oleh semua pihak bahawa kesamarataan hak perlu diambil kira tanpa mengira sebarang kaum mahupun bangsa. Taraf hidup yang rendah akan memberikan kesan dalam jangka masa yang lama jika tidak dibendung dan diatasi dengan baik. Dalam mencapai Transformasi Nasional 2050, isu taraf hidup rendah perlu diselesaikan supaya Malaysia lebih berdaya saing selari dengan negara-negara maju yang lain.


RUJUKAN


Azlina, M. K. (2018).  Kemiskinan Dari Perspektif Orang Asli. Pembangunan Kontemporari Asli. Universiti Putra Malaysia.


Julizah, S. (2014). Kenaikan Kos Sara Hidup, Kesan Kepada Rakyat. Maktab Koperasi Malaysia Cawangan Selatan.


Junaidi Awang, B., Vivien, W., & Novel, L. (2020). Pengaruh Taraf Hidup Dan Penglibatan Politik Pilihan Raya Dalam Membentuk Kesejahteraan Hidup Komuniti Orang Asli. Journal of Social Sciences and Humanities. 17(6), 49-67.


Mohd Aqmin Abdul Wahab et al. (2018). Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan     Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat?. Jurnal Ekonomi Malaysia. 52(1), 117 - 133.


Paiz, H., & Mohd Anuar, R. (2020). Isolasi Sosio-Budaya Masyarakat Orang Asli Di Malaysia Dan Kesannya Terhadap Pentafsiran Hukum Islam. Journal of Fatwa Management and Research. 21(1), 1-20.


Rohayu, R., Yusmarwati, Y., Marina, I., Halizah, A., Afiat, J., & Ayuni, H. (2020). Proses Pembangunan Keupayaan Keusahawanan Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita Orang Asli. International Journal of Business and Economy, 2(4), 131-145.



NOR HAIFAA BINTI NOR'AIN

D20191088365

KUMPULAN A



No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...