Sunday, June 19, 2022

Isu Penerobosan Air Masin di Kota Bharu

Pengenalan

Walaupun Malaysia kaya dengan sumber air permukaan, namun saban tahun kes pencemaran melibatkan sumber air permukaan semakin meningkat menyebabkan masyarakat mula mencari sumber air altenatif. Berdasarkan akhbar Berita Harian (2020), Malaysia dikatakan mempunyai sumber air tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun. Kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.

            Di kawasan kampung di Kawasan Kota Bharu yang mempunyai akses air bawah tanah yang baik, kebanyakan penduduk yang tinggal di Kawasan kampung menggali sendiri telaga untuk kegunaan seharian di rumah dan juga untuk aktiviti-aktiviti seperti berkebun dan juga pertanian. Namun begitu, ada juga telaga yang dibina oleh pihak pemerintah sebagai satu inisiatif kepada masyarakat tatkala menghadapi kemarau di masa masalah kekurangan air akan berbangkit. Contoh telaga yang diusahakan oleh pihak perintah kepada penduduk ialah telaga tiub.

Rajah 1 menunjukkan seorang penduduk menggunakan bekalan air daripada telaga tiub.

Sumber: Sinar Harian (2020).

 Selain itu, penerobosan air laut turut berlaku di dalam aliran sungai. Di Kota Bharu, berlaku isu air yang disalurkan kepada penduduk menjadi masin atau payau yang disebabkan oleh penerobosan air masin daripada Sungai Pengkalan Datu. Menurut Sinar Harian bertarikh 7 Februari 2022, penerobosan air masin yang berlaku di Sungai Pengkalan Datu menyebabkan bekalan air bersih di sekitar Kota Bharu Timur dan sebahagian Bachok menjadi payau atau masin daripada kebiasaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), penerobosan air masin itu menyebabkan kualiti air di kawasan agihan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha terganggu. AKSB menyatakan lagi bahawa air daripada Sungai Pengkalan Datu telah disalurkan ke Telaga Jejari Pasir Tumboh (TJ) bagi meningkatkan sumber air mentah di LRA Chicha sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Berikutan dengan itu, masyarakat yang tinggal di sekitar situ mengalami gangguan air bersih dan mengganggu aktiviti kehidupan seharian selama lebih kurang 5 hari.

 

Punca Menyebabkan Berlakunya Penerobosan Air Masin.

Penggunaan air bawah tanah secara berlebihan sama ada dengan pembinaan telaga biasa atau telaga pam akan mengakibatkan berlakunya penerobosan air laut kedalam sumber air tanah. Perkara ini berlaku di kawasan yang berdekatan dengan pantai. Penerobosan air laut sebenarnya berlaku secara semula jadi, ia berlaku kerana perbezaan tekanan hidrolik antara air tanah dengan air laut disebabkan oleh kandungan mineral air laut lebih tinggi berbanding air tanah. Menurut Faiz dan Noorazuan (2018), Penerobohan  air  laut  adalah  merupakan  pergerakan  air  masin  ke  dalam  akuifer  air tawar,  yang  boleh menyebabkan  pencemaran  sumber  air  minum  dan  akibat-akibat  lain. Kandungan mineral yang tinggi menyebabkan air laut lebih tumpat berbanding air tanah lalu menghasilkan tekanan yang tinggi. Oleh hal yang demikian, air laut yang masin tersebut akan diserap masuk ke dalam ruangan air bawah tanah. Disebabkan inilah jika kita perhatikan, air yang digunakan di kawasan tepian pantai atau laut kebiasaannya berasa payau jika mereka menggunakan sumber air bawah tanah. Proses pengepaman air bawah tanah yang dilakukan berhampiran kawasan pantai telah meningkatkan kadar penerobosan air laut ke dalam sumber air bawah tanah. Pengekstrakan air bawah tanah ini akan menurunkan aras air bawah tanah dan merendahkan lagi tekanan air bawah tanah. Ini mengakibatkan penerobosan air masin ke dalam ruangan akuifer lebih banyak dan lebih luas. Ini mengakibatkan air bawah tanah lebih masin dan payau.


Rajah 2 menunjukkan penerobosan air masin ke dalam sumber air bawah tanah.


Kesan Penerobosan Air Masin Terhadap Penduduk Kota Bharu.

Penerobosan air masin di dalam sumber air penduduk mengganggu ekonomi dan kehidupun seharian masyarakat. Air yang payau atau masin menyebabkannya tidak sesuai digunakan untuk masakan dan minuman. Pengusaha-pengusaha gerai dan restoran ada menyatakan rasa kesal terhadap isu ini kerana mereka menerima rungutan daripada pelanggan. Menurut Sinar Harian bertarikh 8 Februari 2022, peniaga meluahkan rasa kesal disebabkan oleh perniagaannya selaku pengusaha kedai makan terganggu kerana air yang dibekalkan pihak AKSB berasa masin. Peniaga tersebut menerima rungutan daripada pelanggan bahawasanya air teh, air kopi dan semua jenis minuman berasa masin dan payau. Kejadian sebegini sememangnya mendatangkan kerugian kepada peniaga di sini.

            Selain itu, kejadian penerobosan air masin ini memaksa para penduduk mencari inisiatif lain demi mendapatkan sumber air yang bersih dan tidak payau atau masin. Contohnya ialah peniaga perlu mengangkut air daripada telaga yang jauh daripada lokasi perniagaannya, perkara ini akan memakan kos pengangkutan, masa dan tenaga, Menurut Sinar Harian bertarikh 8 Februari 2022 lagi, penduduk juga berkongsikan pengalaman bahawa dia berasa loya ketika menggunakan air yang masin dan payau ketika berkumur dan menggosok gigi. Menurutnya lagi, menggunakan air yang payau dan masin untuk mandi akan menyebabkan badan rasa melekit dan tidak selesa. Hal ini memaksa penduduk untuk membeli air mineral dalam jumlah yang banyak untuk tujuan mandi dan keperluan seharian yang lain seperti untuk minuman dan masakan. Oleh itu, penerobosan air masin ini menyebabkan keresahan kepada penduduk setempat.


Cadangan Pengurusan Masalah Penerobosan Air Masin

Antara langkah yang boleh diambil untuk menjaga kelestarian sumber air bawah tanah ialah pengawalan gunatanah oleh penguasa tempatan. Pihak penguasa hendaklah mengeluarkan pelan struktur dan pelan tempatan agar pembangunan lebih tersusun. Pelan-pelan ini adalah bertujuan untuk memastikan penggunaan air bawah tanah tidak mengalami kemorosotan dari segi kuantiti dan kualiti. Selain itu, ia juga bertujuan bagi mengelakkan penerobosan air laut ke dalam sistem air bawah tanah menular lebih teruk bagi yang berada di kawasan berdekatan laut.

 

Kesimpulan

Secara keseluruhan, air bersih dan berkualiti merupakan satu keperluan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, kita haruslah menjaga sumber air kita sebaiknya dengan tidak melakukan pencemaran terhadap sumber-sumber air yang ada. Penerobosan air masin ini dapat dikawal sekiranya penggunaan air bawah tanah dapat dipantau dan tidak digunakan secara berlebihan. Ini kerana penggunaan air bawah tanah terlalu banyak akan mengakibatkan sumber air bawah tanah dimasuki oleh air masin daripada laut ataupun sungai yang payau. Kesan penerobosan ini dilihat sangat ketara di Kawasan yang berhampiran laut dan sungai air payau atau masin.

Rujukan:

Faiz Roslan & Noorazuan Hashim, (2018). Perubahan Kualiti Air Bawah Tanah di Negeri Kelantan Pada Tahun 2010 Hingga 2012. Jurnal Wacana Sarjana Vol.2(2) Jun 2018: 1-10. Diperoleh daripada http://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/view/132/86

Sinar Harian, 2022. Penduduk Dakwa Air Kopi, Teh Jadi Rasa Masin Payau. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penduduk-dakwa-air-kopi-teh-jadi-rasa-masin-payau-345631

Sinar Harian, 2022. Bekalan Air Bertukar Payau Akibat Penerobosan Air Masin:AKSB. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/186702/EDISI/Bekalan-air-bertukar-payau-akibat-penerobosan-air-masin

 

Ditulis oleh: Ahmad Amirul Bin Yusoh

No. Matrik: D20191088329

Kumpulan Kuliah: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...