Thursday, June 16, 2022

ISU PENCEMARAN AIR DI KAWASAN BANDAR LAHAD DATU, SABAH.

1.0 PENGENALAN

Daerah Lahad Datu merupakan daerah keempat terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Keluasan daerah ini ialah 6501 kilometer persegi dan didiami oleh kira-kira 190 000 orang penduduk. Pembangunan yang pesat terutamanya di kawasan bandar menyebabkan pelbagai isu sosial yang timbul. Tambahan pula, bilangan penduduk yang semakin bertambah turut merumitkan lagi perkara tersebut. Antara isu yang timbul dan semakin meruncing ialah masalah pencemaran air yang berlaku di kawasan bandar Lahad Datu. Bentuk muka bumi Lahad Datu yang terletak di Teluk Darvel menyebabkan bandar tersebut terletak di pinggir pantai. Oleh sebab itu, terdapat banyak badan air seperti sungai kecil yang mengalir ke laut. Maka, perkara ini menyebabkan  masalah pencemaran air semakin meruncing di kawasan bandar tersebut. Masalah ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti sikap penduduk yang membuang sampah sarap, kelemahan kerajaan tempatan dan sistem pengairan dan saliran yang teruk. Masalah ini sudah semestinya mendatangkan pelbagai kesan kepada alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Maka, langkah penyelesaian hendaklah diambil bagi mengatasi masalah ini bagi menjamin kesejahteraan dan kualiti kehidupan penduduk tempatan khususnya masyarakat Lahad Datu.

                           

                                            

                                                                                        Picture3.png
                                                                

                                                                     Foto 1 : Pencemaran air di bandar Lahad Datu


2.0 Punca Pencemaran Air di bandar Lahad Datu

 

Pencemaran air di bandar Lahad Datu berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktor utama yang menyebabkan pencemaran air ini ialah sikap penduduk yang suka membuang sampah sarap merata-rata. Kawasan bandar akan menjadi sangat kotor terutamanya pada waktu tengahari dan petang. Hal ini demikian kerana, penduduk yang datang ke kawasan bandar akan membuang sampah sarap sesuka hati sama ada di kaki lima kedai, kawasan pejalan kaki dan pasar raya. Sampah sarap ini terdiri daripada sisi makanan, polisterin, beg plastik, sisa minuman dan sebagainya. Sampah sarap ini akan terbiar berhari-hari di kawasan tersebut dan akan dihanyutkan oleh air apabila hujan. Sampah sarap yang banyak akan dihanyutkan oleh air ke dalam longkang, parit ataupun sungai berdekatan. Oleh itu, sampah-sampah tersebut akan berkumpul di longkang ataupun kawasan sungai. Contohnya, Sungai Pancuran merupakan antara sungai yang terdapat di bandar Lahad Datu. Sampah-sampah yang dibuang akan dihanyutkan ke sungai ini sebelum menuju ke lautan.

 

                                                          

                                                                                             Picture1.png   
                                                                      Foto 2 : Sampah sarap yang dibuang merata oleh penduduk

 Selain itu ialah kelemahan kerajaan tempatan dalam menangani masalah ini. Kerajaan tempatan daerah Lahad Datu yang dikenali sebagai Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD). MDLD bertanggungjawab dalam mentadbir dan mengurus pembangunan dan sosial penduduk daerah ini. Oleh itu, isu ini sepatutnya diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan tempatan. Pembuangan sampah sarap merata-rata juga disebabkan ketiadaan tong sampah awam yang disediakan di sekitar kawasan bandar bagi memudahkan penduduk membuang sampah. Tambahan pula, kawasan pembuangan sampah terletak agak jauh dan kawasan tersebut sering penuh sehinggakan sampah berselerakan di jalan raya. Sampah-sampah ini kemudiannya akan hanyut ke badan air seperti sungai apabila hujan sekiranya tidak dibersihkan. Di samping itu, kontraktor pembersihan yang diupah oleh MDLD hanya membersihkan kawasan-kawasan tertentu sahaja dan bukannya kawasan yang menjadi tumpuan  orang ramai seperti di pasar ikan dan pasar rakyat.

 

Akhir sekali ialah sistem pengairan dan saliran yang tidak diselenggara. Longkang dan parit yang sudah lama tidak dibersihkan menyebabkan keledak dan lumut menjadi tebal. Fungsi parit iaitu mengalirkan air limpahan ke sungai dan longkang terganggu dan menyebabkan banyak sampah sarap memenuhi kawasan tersebut. Sampah sarap yang terapung seperti bekas air, plastik dan polisterin merupakan antara agen yang menyumbang kepada pencemaran air di bandar Lahad Datu. Contohnya, kita dapat lihat sungai dan longkang yang terdapat di bandar Lahad Datu, di mana terdapat banyak kelodak dan sampah sarap yang bertimbun sehinggakan air menjadi warna hitam kehijauan disebabkan pencemaran ini.

     

                                                                                             

                                                                                       Picture4.png
                                                                       Foto 3 : Timbunan sampah sarap di longkang

3.0 Kesan  Pencemaran Air

 

Isu pencemaran ini sudah semestinya memberi kesan kepada penduduk dan alam sekitar. Antara kesan pencemaran air ialah menjejaskan kesihatan penduduk. Air yang tercemar dapat menyebarkan pelbagai jenis penyakit seperti taun,  leptospirosis dan penyakit kulit. Sumber air yang kotor ini mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berbahaya yang akan menjejaskan kesihatan kepada manusia. Contohnya, individu yang menggunakan air daripada sungai yang tercemar berpotensi besar mendapat penyakit-penyakit tersebut.


Selain itu, pencemaran air juga memberi kesan kepada sektor ekonomi. Bentuk muka bumi sesuatu kawasan yang unik seperti terletak di pinggir pantai ataupun mempunyai sungai yang cantik sudah semestinya menarik kedatangan pelancong asing. Kedatangan pelancong memainkan peranan dalam menjana sektor ekonomi khususnya sektor pelancongan. Sekiranya sungai ataupun pantai tercemar, sudah tentu perkara ini akan menjadi penghalang kepada kedatangan pelancong sekaligus menjejaskan sektor pelancongan.


Akhir sekali, kesan kepada alam sekitar iaitu menjejaskan hidupan flora dan fauna. Sungai ataupun pantai yang tercemar menyebabkan hidupan marin seperti terumbu karang, ikan dan hidupan laut lain mati. Hal ini demikian kerana, nilai pH air yang tercemar adalah terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk hidupan akuatik. Bukan itu sahaja hidupan fauna yang bergantung kepada sumber air seperti sungai turut mendapat impak akibat isu ini.

 

4.0 CADANGAN PENYELESAIAN

Terdapat  beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengatasi isu pencemaran air di bandar Lahad Datu ini. Antara langkah yang boleh diambil ialah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat lagi. Contohnya mengenakan kompaun kepada individu yang membuang sampah merata seperti denda sehingga rm500 tertakluk di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan. Oleh itu, orang awam akan berasa takut untuk membuang sampah merata-rata yang menjadi salah satu punca utama kepada pencemaran air di daerah ini.


Selain itu ialah dengan melakukan projek membaikpulih dan membersihkan kawasan longkang, parit dan sungai yang kotor oleh sampah sarap dan kelodak. Projek ini sudah semestinya memakan kos yang banyak namun demikian ini adalah demi kebaikan dan kepentingan penduduk tempatan. Kawasan sungai juga boleh dibersihkan dan didalamkan bagi membolehkan sungai menampung air yang banyak sewaktu hujan agar tidak melimpah. Kawasan tebing juga boleh disimen atau diletakkan batu konkrit bagi mengelakkan hakisan di tebing sungai.


Akhir sekali ialah mengadakan kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga sungai dan sumber air. Program ini boleh dilakukan di dewan masyarakat dan sekolah agar dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewajiban menjaga sungai dalam masyarakat. Tambahan pula, aktiviti gotong-royong juga boleh diadakan di sekitar kawasan sungai dan longkang agar semangat cinta akan alam sekitar dapat diterapkan di dalam diri masyarakat daerah Lahad Datu

 

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, isu pencemaran air ini hendaklah diberi perhatian kerana isu ini merupakan masalah utama yang dilanda oleh Malaysia. Menurut Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan yang merupakan pakar hidrologi dan pensyarah di UKM, berkata bahawa 80% sungai di bandar-bandar utama negara ini berada dalam tahap tercemar. Tambahan pula kadar pencemaran sungai semakin meningkat pada setiap tahun. Oleh yang demikian, semua pihak hendaklah berganding bahu dalam menangani isu ini agar kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk dapat dikekalkan.





RUJUKAN

 

HARIAN, S. (2020). 80 peratus sungai di bandar "mati" akibat pencemaran. Retrieved June 10, 2022, from Astroawani.com website: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/80-peratus-sungai-di-bandar- mati-akibat-pencemaran-218233


Norazli Othman. (2016). Pencemaran air. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Sakawi, Z. (2018). Pencemaran bau di Malaysia: Keperluan bagi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Peraturan-peraturan Pencemaran Kualiti Udara). Malaysian Journal of Society and Space14(4). https://doi.org/10.17576/geo- 2018-1404-13


NAMA : MUHD SYAFIQ BIN JUMA

NO MATRIKS : D20201094288

KUMPULAN : B


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...