Sunday, June 19, 2022

MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH DI TANAH MERAH, KELANTAN

MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH DI TANAH MERAH, KELANTAN

PENGENALAN

Sejak kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan isu yang banyak mendapat perhatian media massa ialah masalah penyalahgunaan dadah. Isu ini bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Lebih membimbangkan apabila terdapat ramai golongan muda dalam kalangan masyarakat di dalam negara kita turut terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah ini.

Dadah ialah sejenis bahan kimia yang boleh didapati dalam bentuk semula jadi atau buatan manusia. Sumber asasnya ialah tumbuhan yang diperolehi dengan memproses daun, getah atau pokok. Kesan sampingan dadah termasuklah boleh mengubah cara badan dan saraf berfungsi, dan biasanya diambil dengan meminum, menelan, menghisap, atau suntikan. Manakala penyalahgunaan dadah dapat ditakrifkan sebagai penggunaan dadah yang kerap dan berlebihan tanpa arahan atau nasihat daripada pakar perubatan, di mana ia telah menjadi ketagihan yang boleh mendatangkan risiko berbahaya kepada badan. Aktiviti lain yang termasuk dalam kategori penyalahgunaan dadah termasuk penjualan, pengedaran, pemilikan dan penyimpanan dadah tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan atau melanggar Akta Dadah Berbahaya 1952.

 


Rajah 1: Peta Tanah Merah, Kelantan

 

Tanah Merah merupakan satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang juga dikenali sebagai bandar kedua di negeri Kelantan selepas Kota Bharu. Jajahan Tanah Merah merangkumi tiga Daerah Penggawa, iaitu Daerah Bukit Panau, Daerah Ulu Kusial dan Daerah Jedok. Jumlah penduduk yang tinggal di Tanah Merah dianggarkan lebih daripada 100 ribu orang penduduk. Penempatan kebanyakan penduduk disini kebanyakannya tertumpu di kawasan yang berdekatan dengan bandar Tanah Merah iaitu di Daerah Bukit Panau dan selebihnya menetap di kawasan kampung di sekitar Tanah Merah.

Masalah penyalahgunaan dadah di jajahan ini banyak dilaporkan berlaku tangkapan di kawasan yang terpencil seperti kawasan kampung yang melibatkan pelbagai lapisan umur sama ada golongan dewasa mahupun golongan remaja. Menurut laporan akhbar yang dikeluarkan pada tarikh 28 Januari 2020 lalu, sebanyak 4,000 pil kuda bernilai RM40,000 dirampas daripada dua lelaki di tepi jalan Kampung Bukit Gading, Tanah Merah. Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md Yusuf berkata 80 peratus kes jenayah yang berlaku di jajahan Tanah Merah berpunca daripada aktiviti penyalahgunaan dadah. Katanya, pihaknya menganggarkan kes tangkapan dadah sehari antara tujuh hingga lapan orang, dan jumlah itu agak besar dan membimbangkan. Beliau turut mengatakan bahawa kebanyakan mereka yang ditahan adalah penduduk daerah ini yang mengaku mendapat bekalan daripada pengedar juga orang tempatan.


Rajah 2: Ketua Polis Daerah Tanah Merah menunjukkan pil kuda yang dirampas

(Sumber: Harian Metro)

 

PUNCA

Sempadan Malaysia-Thailand menjadi laluan masuk bekalan dadah dari luar negara.

Antara punca masalah penyalahgunaan dadah di kawasan ini bagai tiada penghujungnya adalah kerana lokasi jajahan Tanah merah ini terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand. Jajahan yang berhampiran seperti Jeli dan Pasir Mas sering dijadikan laluan masuk bekalan dadah dari negara jiran sama ada jalan darat ataupun lorong tikus. Menurut laporan berita yang disediakan oleh Bernama pada 26 Disember 2021, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hampir 50 peratus rampasan dadah di Kelantan dalam tahun 2021, berlaku di empat jajahan yang bersempadan dengan negara jiran. Beliau berkata daripada 9,678 kes yang direkodkan sebanyak 4,719 kes dilakukan di Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli. Antara jenis dadah yang paling banyak dirampas adalah syabu, pil kuda, heroin dan 'heroin base' (yang akan diproses semula).

Selain daripada dadah, bahan terlarang lain seperti ketum turut di seludup dari negera jiran. Dipetik daripada laporan berita Utusan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram bernilai RM15,300 yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok dekat Kampung Nibong pada 26 April 2022. Longgokan bungkusan daun ketum itu ditemukan anggota Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) yang melakukan rondaan rutin di sepanjang tebing itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi. Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis berkata, sembilan kes rampasan ketum direkodkan sejak Januari oleh ATM menerusi Op Merpati di kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand. Rampasan ini memberi petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand semakin aktif.


Rajah 3: Bungkusan daun ketum yang dirampas di tebing Sungai Golok di Kampung Nibong, Tanah Merah, Kelantan

 

MASALAH

Jenayah Berkaitan dengan Dadah

Persoalan pokok yang berkaitan dengan permasalahan dadah adalah jenayah yang timbul hasil daripada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya. Secara amnya, jenayah dadah boleh dipecahkan kepada dua bahagian iaitu jenayah yang berkaitan dengan aktiviti penagihan dan jenayah yang melibatkan aktiviti pengedaran dadah. Kegiatan jenayah ini begitu berleluasa dan amat merbahaya kepada masyarakat serta boleh menggugat keamanan negara. Ini boleh dilihat daripada pernyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Dada Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri, yang menegaskan bahawa hampir 60 % banduan yang terdapat dalam penjara di negara ini adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dengan aktiviti dadah.

Memandangkan dadah mempunyai kesan ketagihan yang tinggi, maka untuk memenuhi kehendak berkenaan, para penagih akan melakukan berbagai cara bagi mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi untuk membeli dadah.  Bentuk-bentuk jenayah yang biasa dilakukan adalah seperti aktiviti yang berkaitan dengan penjualan dadah iaitu dengan bertindak sebagai juru jual, pemegang dadah, penyebar maklumat atau mengiklankan dadah kepada sesiapa yang berhajat, pembeli dadah untuk pihak ketiga dan penyedia peralatan untuk menggunakan dadah serta tempat untuk penagih. Selain daripada terlibat dengan aktiviti dadah, penagih juga menjadi orang tengah untuk kegiatan haram yang lain seperti mencari pembeli untuk barang-barang curi.

Setiap jenis dadah mempunyai kesan yang berbeza ke atas penagih di mana ada sesetengah dadah membolehkan penagih bertahan beberapa lama untuk tidak mendapatkannya, sementara jenis yang lain pula akan memaksa penagih untuk terus menggunakannya. Sekiranya dadah berkenaan lambat diambil, penagih akan mengalami berbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti simtom 'pengunduran'. Dadah yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah heroin, morfin dan candu. Memandangkan kesan dadah tersebut begitu serius, para penagih akan melakukan berbagai bentuk jenayah demi mendapatkan wang. Kadar jenayah yang dilakukan oleh penagih lebih tinggi berbanding dengan kadar jenayah yang dilakukan oleh golongan bukan penagih, terutamanya jenayah seperti mencuri, mengambil barang curi, pecah rumah, rompakan bersenjata serta mencuri peralatan kereta.

Selain itu, kegiatan pengedaran dadah juga mempunyai kesan buruk dalam permasalahan ini kerana pasaran dadah yang luas akan menimbulkan lebih ramai penagih dadah. Pada 3 Februari 2021 lalu, polis Kelantan menahan lima individu termasuk seorang bapa dan anaknya dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar, berkata dalam serbuan di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh itu pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu. Menurut beliau, hasil siasatan mendapati, lima suspek berkenaan mempunyai satu hingga lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing mereka juga menunjukkan suspek positif methamphetamine. Kelima-lima suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Tanah Merah sejak awal tahun 2020 lagi.


Rajah 4: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan menunjukkan dadah yang telah dirampas dalam serbuan tersebut.

(Sumber: MalaysiaKini)

 

CADANGAN PENYELESAIAN

Mendidik tentang pencegahan penyalahgunaan dadah di sekolah merupakan langkah pertama dalam membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda. Pendidikan pencegahan harus mendidik dan memaklumkan, supaya anak muda sedar tentang bahaya penyalahgunaan dadah sebelum  terlambat. Sudah tentu kita tidak mahu remaja terjerumus ke dalam jurang kehinaan ini. Peranan pihak sekolah dalam menangani masalah ini amat penting. Antara program yang boleh  dilaksanakan ialah Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR).Program ini dirangka untuk menyedarkan pelajar tentang risiko penyalahgunaan dadah dan secara tidak langsung mendidik mereka  menjauhi najis dadah. Oleh itu, peranan  sekolah amat penting dalam menyemai budaya remaja yang membenci dadah dan seterusnya membantu golongan ini menjauhi dadah sebelum  menjadi serius. 

Kerajaan dan  badan bukan kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam  mengurangkan penyalahgunaan dadah. Ini termasuk program Rakan Muda, kem motivasi dan  program lain yang merangkumi pelbagai aktiviti. Kerana kem ini membolehkan remaja mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih bermakna. Kerajaan juga boleh menjalankan kempen antidadah dan menyebarkannya melalui media. Undang-undang dan hukuman  penyalahgunaan dan pengedaran dadah perlu diperketatkan bagi mengelakkan masalah ini merebak. Agensi-agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan mekanisme mereka untuk memantau bekas penagih bagi mengelak mereka daripada kembali ke penagihan dadah. 

Selain itu, harga diri belia adalah penting untuk menjauhi sisa dadah. Pengetahuan diri ini penting untuk membentuk minda yang positif supaya sentiasa boleh melakukan sesuatu dengan pemikiran yang rasional.Mereka harus sentiasa diingatkan tentang kepentingan kehidupan pada masa hadapan. Remaja hari ini terdedah kepada interaksi sosial yang sangat berbahaya, seterusnya menjerumuskan mereka ke  kancah penyalahgunaan bahan. Jadi keyakinan diri sangat penting. Mereka perlu tahu bagaimana membezakan yang baik daripada yang buruk. Tidak perlu mencontohi kawan, kerana "ikut hati orang mati, ikut rasa azab". Kawan yang baik juga merupakan tonggak untuk membantu remaja menjadi orang yang baik.

 

KESIMPULAN

Dadah merupakan penyakit  yang semakin menular pada masa kini terutamanya dalam kalangan generasi muda. Generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara semakin tidak sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan hanya kerana penyalahgunaan dadah. Kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk menangani isu ini tetapi masih tidak membuahkan hasil. Oleh itu, kerajaan harus menggembleng tenaga dan mengambil langkah drastik bagi mengelak masalah ini daripada membelenggu masyarakat lagi. Semua masyarakat perlu memainkan peranan untuk menghapuskan gejala dadah, bukan hanya menunggu pihak berkuasa. Golongan muda diharap berfikir sebelum bertindak dan sentiasa berfikir secara rasional bagi mengelak daripada terjebak dengan dadah. Penyalahgunaan bahan adalah masalah global dan mesti dihentikan segera, terutamanya dalam kalangan anak muda. Mereka yang menganggap diri mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan lebih terdedah kepada gejala ini. Masalah ini jika dibiarkan akan meruntuhkan kepimpinan negara.

 

RUJUKAN

Hampir 50 peratus rampasan dadah di Kelantan babitkan empat jajahan - Polis. (2021, December 26). Bernamahttps://www.astroawani.com/berita-malaysia/hampir-50-peratus-rampasan-dadah-di-kelantan-babitkan-empat-jajahan-polis-338373

Jajahan Tanah Merah. (2021, February 23). Pejabat Tanah Dan Jajahan Tanah Merah. https://ptjtm.kelantan.gov.my/index.php/ms/profail/latar-belakang/latar-belakang-jajahan

N Faizal Ghazali. (2021, February 4). 5 termasuk bapa dan anak ditahan kes dadah. Malaysia Kinihttps://www.malaysiakini.com/news/561712

Syaherah Mustafa. (2020, January 28). Kes dadah di Tanah Merah membimbangkan. Harian Metrohttps://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/539097/kes-dadah-di-tanah-merah-membimbangkan-metrotv

Yatimin Abdullah. (2022, April 26). ATM rampas 510 kilogram daun ketum. Utusan Malaysiahttps://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/atm-rampas-510-kilogram-daun-ketum/

 

Nama: Muhammad Arief Fadhilah Bin Abd Aziz

No. Matrik: D20191088431

Kumpulan Kuliah: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...