Monday, June 20, 2022

ISU LAMBAKAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) DI KOTA KINABALU, SABAH.

TAJUK: ISU LAMBAKAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) DI KOTA KINABALU, SABAH. 


1.0 PENGENALAN/RUMUSAN ISU

Migrasi merupakan suatu proses dinamik yang berkaitan dengan liberalisasi ekonomi pasaran, penawaran buruh asing, migrasi yang tidak konsisten dan sebagainya terutama oleh negara penerima. Keadaan ini mengakibatkan situasi migrasi yang tidak terkawal dan hal ini menjadi lebih teruk lagi dengan kedatangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke sesebuah negara. PATI merupakan seseorang yang berhijrah atau berpindah ke negara lain secara sukarela disebabkan oleh pelbagai faktor dari aspek sosial, ekonomi dan politik. Penghijrahan ini dilakukan tanpa pengetahuan oleh pemerintah negara penerima kerana migrasi tersebut dilakukan tanpa dokumen yang mengikut lunas undang-undang negara (Azizah Adib Rahim & Novel Lyndon, 2021). PATI juga boleh didefinisikan sebagai mereka yang masuk ke sesebuah negara melalui pintu masuk yang sah tetapi tinggal di negara tersebut melebihi tempoh yang dibenarkan oleh pemerintah. Kedatangan PATI yang tidak terkawal ini boleh mendatangkan pelbagai masalah di sesebuah kawasan terutamanya dari aspek kualiti kehidupan, sosial, budaya, kesedaran kesihatan, ekonomi dan sebagainya. Kebanyakan pendatang asing yang datang ke Malaysia terdiri daripada negara Indonesia, Filipina, Bangladesh, Vietnam dan Kemboja dan sebagainya. 

 Secara umumnya, Kota Kinabalu merupakan ibu negeri Sabah yang terletak di dataran yang sempit di antara Banjaran Crocker di sebelah timur dan Laut China Selatan di sebelah barat. Daerah ini mencatatkan bilangan penduduk paling ramai 527 600 orang iaitu 13.5 % daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri Sabah (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020). Penduduk di bandar ini terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik iaitu Brunei Melayu, Kadazan-Dusun, Rungus, Murut, Cina, Bajau, Hindu, Sikh, Animis dan sebagainya. Terdapat juga penduduk Filipina dan Indonesia yang datang dari Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda tinggal di sekitar bandar (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, 2017). Lambakan pendatang asing terutamanya yang berasal daripada negara Filipina dan Indonesia di pusat bandar Kota Kinabalu ini juga dikaitkan mempunyai hubungan dengan sempadan negara kerana jaraknya yang begitu hampir. Ia juga dikaitkan dengan sejarah dan perkembangan pembangunan ekonomi Negeri Sabah dahulu yang mempunyai hubungkait dengan migrasi ketika menggunakan buruh asing Dengan ini, Gambar 1 di bawah menunjukkan bandar kota Kinabalu, Sabah.

Gambar 1: Lokasi bandar Kota Kinabalu, Sabah

Sumber: Google Maps

Masalah lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bandar Kota Kinabalu disebabkan wujudnya peluang pekerjaan di bandar ini. Kota Kinabalu merupakan pintu masuk utama bagi pelancong yang berkunjung ke Sabah. Keadaan ini membolehkan bandar ini bertambah maju dengan adanya pelbagai sektor iaitu pelancongan, perindustrian, perkhidmatan, pengangkutan, pembinaan dan sebagainya. Kesukaran untuk mendapat pekerjaan dan gaji yang tidak mencukupi di negara asal menyebabkan PATI berhijrah ke Kota Kinabalu untuk meneruskan kelansungan hidup. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh pendatang asing di bandar ini ialah pekerja di kawasan tapak pembinaan, kilang dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pendatang asing yang menetap secara tidak sah juga disebabkan adanya hubungan persaudaraan dengan penduduk tempatan di bandar Kota Kinabalu ini. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang masuk ke bandar ini disebabkan ingin menjalani kehidupan lebih tenang dan aman kerana berlakunya pergolakan di negara asal mereka.

Masalah lambakan PATI di kota kinabalu telah memberi kesan negatif terutamanya berkaitan dengan kewujudan kawasan setinggan. Keadaan ini telah menjejaskan imej dan keindahan bandar Kota Kinabalu. Hal ini demikian kerana, PATI yang tinggal di kawasan setinggan kebanyakkannya tidak mempunyai sistem kumbahan dan pembuangan sampah yang sistematik. Mereka juga dikatakan kurang mementingkan penjagaan kebersihan. Misalnya, kewujudan kawasan setinggan di Kota Kinabalu menyebabkan berlakunya peningkatan sampah sarap seperti botol mineral, plastik, bekas makanan dan sebagainya di kawasan tersebut. Keadaan ini menyebabkan kemerosotan terhadap kualiti air sungai dan seterusnya telah menjejaskan bekalan air penduduk tempatan yang tinggal berdekatan di kawasan tersebut. Kewujudan kawasan setinggan dan masalah pembuangan sampah di Kota Kinabalu boleh dilihat dalam Gambar 2 dan Gambar 3 di bawah. Selain itu, masalah lambakan PATI di Kota Kinabalu telah menyebabkan berlakunya peningkatan kadar jenayah seperti gangterisme, penyalahgunaan dadah, rompakan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ia juga telah meningkatkan penularan penyakit berjangkit seperti HIV. 

Gambar 2: Situasi tempat tinggal PATI di Kota Kinabalu

Sumber: Mohd Izham Unnip Abdullah (2015)


Gambar 3: Longgokan sampah di sekitar kawasan setinggan, Kota Kinabalu

Sumber: Suziana Jiffar (2016)


2.0 PUNCA MASALAH LAMBAKAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI)

Salah satu punca yang menyebabkan berlakunya masalah lambakan PATI di sesebuah kawasan adalah disebabkan oleh penawaran peluang pekerjaan yang lebih tinggi. Pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih stabil dan maju telah membuka ruang bukan sahaja kepada masyarakat tempatan malah juga kepada tenaga kerja daripada luar negara. Keterbukaan ini akan mendorong kemasukan PATI ke nagara ini untuk bekerja dalam pelbagai sektor terutamanya sektor pembinaan, pertanian dan perkhidmatan. Misalnya, kebanyakkan pekerja yang bekerja di kilang, pembinaan bangunan, ladang kepala sawit dan sebagainya adalah terdiri daripada pekerja asing seperti Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Kemasukan PATI ini didorong lagi dengan nilai mata  wang Malaysia lebih tinggi berbanding nilai mata wang negara asal mereka. Misalnya, pendapatan  yang   diperoleh mereka  dalam   Ringgit Malaysia lebih menguntungkan sekiranya ditukar dalam peso Filipina, rupiah Indonesia dan bath Thailand (Sharenna Hanis Suhaimi, 2017). Hal ini membolehkan mereka memperoleh keuntungan yang lebih tinggi iaitu dua kali ganda daripada hasil pertukaran mata wang berkenaan. Secara tidak langsung ia juga menghasilkan pendapatan lumayan kepada mereka. Keadaan ini menyebabkan berlakunya peningkatan kemasukan PATI ke nagara ini untuk memperoleh keuntungan yang lebih tinggi.

Selain itu, lebihan penduduk di negara asal juga merupakan faktor berlakunya masalah lambakan kemasukan PATI ke Malaysia. Perkhawinan di usia muda merupakan salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya lebihan penduduk di sesebuah negara. Perkahwinan di usia muda ini mendorong kepada peningkatan jumlah kelahiran kerana mereka mempunyai tahap kesuburan yang lebih tinggi. Keadaan ini secara tidak lansung membawa kepada peningkatan jumlah penduduk dan seterusnya berlakunya masalah lebihan penduduk di negara tersebut. Hal ini dapat dilihat di negara Indonesia di mana negara ini mempunyai penduduk yang sangat ramai. Penduduk yang ramai ini akan menyebabkan berlakunya kekurangan dalam peluang pekerjaan kerana wujudnya persaingan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan. Kurangnya peluang pekerjaan di negara berkenaan menyebabkan mereka terpaksa menganggur dan berlakunya kemiskinan hidup. Bagi meneruskan kelansungan hidup, mereka akan berhijrah ke negara lain dengan cara yang sah dan tidak sah. Penghijrahan warga asing dari negara luar secara individu atau bersama-sama keluarga ini akan meningkatkan lagi masalah lambakan PATI di negara ini.

Bukan itu sahaja, ketidakstabilan politik juga merupakan faktor berlakunya masalah lambakan PATI di Malaysia. Hal ini demikian kerana, ketidakstabilan politik di sesebuah negara boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah yang boleh menggugat keamanan negara seperti tunjuk perasaan, rusuhan dan sebagainya. Misalnya, konflik yang berlaku di wilayah Rakhine, Myanmar telah menyebabkan berlakunya penghijrahan beramai-ramai pelarian Rohingya ke negara ini. Berdasarkan statistik United Nation High Commissioner for Refugess (UNHCH) pada tahun 2019, kira-kira 153 209 pelarian dan pemohon suaka daripada negara Mynmar telah masuk ke Malaysia (Kementerian Luar Negeri, 2020). Keadaan ini mendorong penduduk di negara tersebut untuk berhijrah ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan dan keselesaan hidup. Hal ini demikian kerana, sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia menjadikan kestabilan politik di negara ini lebih baik jika dibandingkan dengan negara asal mereka. Hal  ini  dapat  dilihat  melalui  semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh  masyarakat yang berbilang   kaum di   Malaysia. Keadaan ini sudah tentu berlakunya penghijrahan beramai-ramai ke Malaysia dan seterusnya berlaku peningkatan lambakan PATI.

 3.0 KESAN MASALAH LAMBAKAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI)

Antara kesan berlakunya masalah lambakan PATI di sesebuah kawasan ialah meningkatkan kewujudan kawasan setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana, PATI biasanya akan mendirikan kawasan petempatan secara haram sebagai tempat tinggal mereka yang hidup secara berpindah rendah atau menetap mengikut pekerjaan yang diperolehi. Kawasan setinggan kekurangan kemudahan asas seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan dan keadaan ini menyebabkan komuniti setinggan membuang sampah ke dalam sungai seperti plastik, perabot, dan sisa pepejal lain. Misalnya, Suzianah Jiffar (2019) mengatakan bahawa sebanyak 216 tan atau 216,000 kilogram timbunan sampah telah dikutip oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kampung Sembulan dan kawasan pantai Tanjung Lipat dalam masa sebulan. Keadaan ini membuktikan bahawa persekitaran kawasan komuniti setinggan adalah kurang bersih kerana tidak diurus dengan sempurna sama ada dari segi pembuangan sampah sarap atau kumbahan. Sehubungan dengan itu, Keadaan ini bukan sahaja akan menjejaskan pandang darat di sesebuah kawasan tersebut malah ia turut mengundang pembiakan nyamuk, tikus dan lipas disebabkan oleh persekitaran yang kotor. Kewujudan kawasan setinggan ini turut menjejaskan kualiti air sungai dan sekaligus menjejaskan bekalan air bersih penduduk.

Selain itu, lambakan PATI juga menyebabkan berlakunya peningkatan kadar jenayah. Hal ini demikian kerana, ketiadaan dokumen yang sah menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik sebagaimana pekerjaan yang dilakukan oleh orang tempatan. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa  menganggur atau mengambil inisiatif lain untuk bekerja sendiri. Mereka biasanya bekerja sebagai pekerja tapak binaan, pekerja kilang, pengutip besi buruk, pembantu restoran dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga PATI yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara hidup keluarga. Keadaan ini menyebabkan mereka terdesak untuk melakukan jenayah supaya dapat menerus kelansungan hidup. Menurut Rohani Abdul Karim et al. (2019), terdapat pelbagai jenayah yang telah dilakukan oleh warga asing di Malaysia seperti penipuan iaitu Black Money, menjual jam tiruan, menawarkan skim cepat kaya di internet dan sebagainya. Mereka juga terlibat dengan kumpulan ala kongsi gelap atau gangterisme dengan menyimpan senjata-senjata merbahaya untuk kepentingan sendiri. Keadaan ini boleh bukan sahaja menganggu keselesaan dan keselematan penduduk di sesuatu kawasan malah akan mengancam keselematan negara. 

Seterusnya, kemasukan PATI juga menyebabkan berlakunya masalah penularan penyakit berjangkit. Semua Warga asing yang datang secara sah untuk bekerja di Malaysia akan dikenakan pemeriksaan kesihatan sebelum bekerja. Namun begitu, kebanyakkan warga asing yang masuk secara haram pula dikatakan tidak melakukan pemeriksaan kesihatan tersebut. Dalam hal ini, majoriti PATI berasal daripada kawasan yang mundur di negara asal, tercemar dan mempunyai tahap kesihatan yang rendah kerana mereka kurang menitikberatkan berkaitan dengan kebersihan. Keadaan ini disebabkan oleh kurangnya pengetahuan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan. Rohani Abdul Karim et al. (2019) mengatakan bahawa pada tahun 2017, seramai 10 618 orang pekerja asing daripada 407 890 orang pekerja asing didapati menghidap penyakit berbahaya seperti tibi, hepatitis B dan STD iaitu penyakit jangkitan seksual. Jabatan Keselematan dan Kesihatan Pekerjaan juga telah mendedahkan bahawa 80 % pekerja migran di sektor perladangan dikesan sebagai pembawa virus HIV yang disebabkan oleh penyalahgunaan dadah. Keadaan ini akan meningkatkan lagi penularan penyakit berjangkit di Malaysia. 

4.0 LANGKAH PENYELESAIAN TERHADAP MASALAH LAMBAKAN PATI

Salah satu langkah untuk menangani masalah lambakan lambakan PATI ialah meningkatkan lagi pemantauan di kawasan tumpuan PATI. Pemantauan ini perlu dilaksanakan untuk memerhati gerak-geri mereka sebelum operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran dilakukan. Misalnya, pihak berkuasa digerakkan menerusi naziran ke premis-premis majikan untuk memberi nasihat dan menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan program 6P. Dengan adanya pemantauan ini, majikan dan PATI yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau dipenjara. Hukuman yang diberikan ini sudah tentu dapat menakutkan majikan dan PATI untuk tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang Malaysia. Keadaan ini secara tidak lansung dapat mengelakkan berlakunya kemasukan PATI di Malaysia.

Bukan itu sahaja, lambakan PATI juga boleh ditangani dengan memantapkan lagi kawalan atau pengawasan di kawasan sempadan dan pintu masuk negara supaya mereka tidak menyeludup masuk ke negara ini. Mohd Na'eim Ajis (2017) mengatakan bahawa kawalan sempadan merupakan salah satu aspek penting untuk menjaga kedaulatan dan keselematan sesebuah negara. Kelemahan kawalan sempadan akan menyebabkan berlakunya pelbagai jenayah rentas sempadan iaitu aktiviti penyeludupan migran, dadah dan keganasan dan sebagainya. Bagi mengatasi masalah ini, pihak berkuasa perlu mengawal sempadan negara dengan mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang tanpa izin ini. Para pendatang asing yang ditahan haruslah dikenakan tindakan undang-undang yang tegas. Dalam hal ini, mereka perlulah dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Hukuman yang berat ini ini dapat memberi kesedaran kepada mereka agar tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan. Dengan adanya hukuman ini, masalah lambakan PATI di negara ini dapat dikurangkan.

            Selain itu, lambakan PATI di Malaysia juga boleh ditangani dengan meningkatkan pengambilan penduduk tempatan sebagai pekerja di pelbagai sektor. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengutamakan penduduk tempatan untuk bekerja berbanding dengan warga asing. Misalnya, rakyat   tempatan   perlu diutamakan untuk   bekerja   dalam perkhidmatan iaitu sebagai pembantu  rumah. Mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah ini perlulah diberi latihan asas supaya  mereka   boleh  menjadi  pembantu  rumah   yang  mahir  dan profesional. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu menaikkan gaji penduduk tempatan yang bekerja dalam sektor yang kritikal terutamanya sektor pembinaan, perladangan dan sebagainya. Hal ini dapat menarik lebih banyak penduduk tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut. Sekiranya bilangan mereka tidak mencukupi barulah ditambah dengan pekerja dari negara asing. Keadaan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia malah dapat mengurangkan kadar kemasukan PATI di negara ini.

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kota Kinabalu, Sabah sememangnya sesuatu perkara yang sukar ditangani dalam jangka masa yang singkat. Ia memberi kesan yang amat besar terhadap pertumbuhan negara mahupun kepada masyarakat di bandar Kota Kinabalu itu sendiri. Tidak dinafikan bahawa kemasukan buruh asing memberi impak yang positif dari segi keperluan buruh terutamanya sektor-sektor berat yang memerlukan tenaga buruh yang ramai. Namun begitu, kemasukan buruh asing yang ramai akan menyebabkan berlakunya lambakan PATI yang akan memberi kesan jangka masa panjang. Antara kesan yang ketara berlaku di Kota Kinabalu ialah berkenaan dengan peningkatan jenayah seperti rompakan, gengterisme dan sebagainya. Bukan itu sahaja, peningkatan petempatan kawasan setinggan sehingga menjejaskan imej bandar tersebut juga merupakan kesan negatif yang berlaku di Kota Kinabalu. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah menangani masalah ini sebelum menjadi parah. Masyakatan tempatan itu sendiri mestilah lebih bertanggungjawab menjaga tanah air sendiri daripada dikuasai oleh orang luar yang boleh mengancam keselematan negara. 

RUJUKAN

Kementerian Luar Negeri. (2020, ogos 22). Data jumlah pelarian asing di Malaysia berdasarkan statistik UNHCR. https://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/data-jumlah-pelarian-asing-di-malaysia-berdasarkan-statistik-unhcr/resource/3650547e-57ac-4b98-9d64-fc971e3336ff

Suzianah Jiffar. (2016, Disember 26). Kampung Kesuapan, Pulau Gaya antara diiktiraf paling bersih oleh DBKK. Berita Harianhttps://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/12/227194/ kampung-kesuapan-pulau-gaya-antara-diiktiraf-paling-bersih-oleh-dbkk

Mohd Izham Unnip Abdullah. (2015, Julai 6I. Penempatan haram PATI di hutan bakau. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/07/66002/penempatan-haram-pati-di-hutan-bakau

Suzianah Jiffar. (2016, Disember 28). 36 penempatan setinggan punca masalah kepada Kota Kinabalu. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/12/227719/36-penempatan-setinggan-punca-masalah-kepada-kota-kinabalu

Mohd Na'eim Ajis, Zawiyah Mohd Zain, Mohamad Faisol Keling, & Ummu Atiyah Ahmad Zakuan. (2017). Aktiviti penyeludupan migran dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Malaysia. Malaysian Journal of Society and Space. 13(2). 13-25. http://journalarticle.ukm.my/11892/1/17854-51614-2-PB.pdf

Sharenna Hanis Suhaimi. (2017). Kedatangan buruh asing ke Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/ 315457616 _KEDATANGAN _BURUH_ASING_KE_MALAYSIA

Azizah Adib Rahim, & Novel Lyndon. (2021). Naratif sosiologi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia: Satu kajian fenomenologi. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. 6(9), 84-95. https://msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/view/1052/712

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. (2017, Oktober 26). Sejarah awal Kota Kinabalu. https://dbkk.sabah.gov.my/index.php/en/info-dbkk/latar-belakang-dbkk/profil-dbkk

Rohani Abdul Rahim, Muhammad Amin Nasrin Mohd Zuki, Mohamad Roashaaree Ab Rahim,  Aiman Aizuddin Junaidi,  & Mohd Shukor Abdul Mumin. (2019). 81-97. http://journalarticle.ukm.my/14864/1/36985-116656-2-PB.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Kependudukan Negeri Sabah. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/ Newsletter%202020/ DOSM_DOSM_SABAH_1_2020_Siri-86.pdf


NAMA: NURUL SAFIKA BINTI ASLAN

NO.MATRIK: D20201094287

KUMPULAN B












Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...