Sunday, June 19, 2022

ISU BANJIR DI KUALA KRAI, KELANTAN

1.0 PENDAHULUAN

Banjir atau bah merupakan satu bencana alam yang tidak asing lagi bagi masyarakat dunia amnya. Menurut Tuan Pah Rokiah, Baharum dan Hamidi (2014) kejadian banjir ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah ia juga berlaku di seluruh dunia. Tambahan pula menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), fenomena banjir ini merupakan suatu bencana alam yang bukan sahaja membawa kepada kemusnahan harta benda malah juga meragut ribuan nyawa. Oleh kerana itu, WMO menyifatkan kejadian banjir ini merupakan bencana alam ketiga terdahsyat di dunia. Antara kejadian banjir besar yang meragut ratusan nyawa atau hilang dan memaksa pemindahan penduduk dalam jumlah besar ialah banjir besar pada tahun 2011 di Thailand dan di Beijing, China pada 17 Julai 2011 (Foon, 2013).

Negeri di Pantai Timur terutamanya Kelantan sudah terbiasa dengan kejadian banjir malah kanak-kanak dan remaja terutamanya menjadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air. Berdasarkan kepada laporan berita bertajuk "Penduduk jadikan banjir sebagai pesta air" bertarikh 21 November 2014 yang tersiar dalam web astroawani menyatakan bahawa berdasarkan tinjauan Bernama di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh terdapat kanak-kanak dan remaja bermain dan mandi di kawasan yang dinaiki air tanpa pengetahuan ibubapa mereka. Manakala orang dewasa pula mengambil peluang menambah pendapatan dengan menangkap ikan dan menjualnya. Namun menurut Tuan Pah Rokiah, Hamidi dan Raman (2011) sekiranya banjir besar melanda ia boleh bertukar menjadi satu bencana kepada penduduk di Kelantan.

Banjir besar yang melanda keseluruhan daerah di Kelantan pada penghujung tahun 2014 disifatkan oleh Perdana Menteri Dato‟ Seri Najib Razak sebagai satu malapetaka besar (Borneo Post Online, 31 Disember 2014). Kejadian banjir besar ini disifatkan sebagai tsunami kecil berdasarkan kemusnahan yang dialami oleh penduduk di Kuala Krai dan Gua Musang (Azran Fitri, 2014). Kejadian banjir besar ini dikatakan tsunami kecil kerana hampir keseluruhan rumah dan kawasan kediamanpenduduk di Kuala Krai dan Gua Musang dibawa arus deras. Selepas air surut penduduk mendapati rumah kediaman mereka tiada dan hanya tinggal tapak sahaja. Malah ada rumah hanyut dan tersangkut di atas rumah lain. Berdasarkan kesan, penduduk di kawasan Guchil menyatakan bahawa air naik sekurang-kurangnya melebihi 10 meter dengan arus deras.

 

 

 

Menurut Wardah (2015) peristiwa banjir besar penghujung tahun 2014 antara banjir terburuk dalam sejarah Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa banjir besar pada kali ini memberi kesan kemusnahan luar biasa. Tidak tergambar dengan kejadian banjir pada tahun-tahun sebelum ini. Mohd Hisham Mohd Anip, Pengawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan bahawa banjir teruk yang tidak dijangka ini adalah disebabkan oleh fenomena ''New Moon‟ yang mana bulan berada dekat dengan bumi sehingga menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa. Tambah beliau lagi, kejadian banjir besar ini adalah berpunca daripada hujan lebat yang tidak henti sehingga menyebabkan air sungai limpah keluar melepasi tebing dengan arus yang deras (Utusan Online, 23 Disember 2014).

 

2.0 FAKTOR BERLAKUNYA BANJIR DI KUALA KRAI, KELANTAN


Gambar 1 : Banjir Besar di Kuala Krai pada tahun 2014


Berdasarkan situasi kejadian Banjir Besar 2014 di Kuala Krai didapati berlaku dua permasalahan utama iaitu di fasa semasa dan fasa selepas pengurusan bencana banjir besar 2014. Menurut Tuan Pah Rokiah, Abdul Rahim dan Hamidi (2014) masyarakat di Lembangan Sungai Kelantan masih berhadapan dengan masalah ketidakberkesanan sistem pengurusan banjir sebelum, semasa dan selepas kejadian walaupun kerajaan telah berusaha dengan pelbagai cara bagi melancarkan sistem pengurusan banjir. Mereka juga mendapati kebanyakan penduduk kurang berpuas hati dengan pengurusan banjir. Hal ini menunjukkan bahawa MKN selaku badan kerajaan yang ditubuhkan untuk menguruskan bencana di Malaysia gagal mengurus bencana banjir dengan cekap.

Ini dibuktikan dengan masalah kelewatan menyelamat mangsa banjir dari kawasan yang ditenggelami air untuk dipindahkan ke pusat pemindahan yang lebih selamat. Selain itu masalah kelewatan penyampaian bekalan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Krai (Astro Awani, 26 Disember 2014) pada fasa pengurusan semasa juga berlaku. Situasi semasa pengurusan Banjir Besar 2014 ini dilihat serius, sehinggakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapat surat terbuka di dalam laman web The Malaysia Insider daripada seorang mahasiswa dari Universiti of Washington, Nur Adilla Abd Rahim mengkritik pengurusan bencana banjir yang dikendalikan oleh MKN. Beliau mendakwa dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan badan kerajaan tertentu kerana lambat menyalurkan bantuan. Beliau juga mempersoal berkaitan dengan kesiapsiagaan badan kerajaan tertentu dalam pengurusan bencana sebelum, semasa dan selepas. Sedangkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa pengurusan banjir di negara ini merupakan yang terbaik dan setaraf antarabangsa (Utusan Malaysia, 25 November 2013).

Ini menunjukkan seolah-olah, Prosedur Operasi Standard (SOP) bencana sedia ada seperti tidak dapat menguruskan masalah dengan lancar. Hal ini dibuktikan dengan hasrat Kerajaan Pusat ingin memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) bencana dengan memberi fokus kepada aspek sistem, kaedah dan masyarakat (Sinar Online, 24 Mac 2015). Ketidakcekapan pengurusan juga dapat dilihat dalam fasa pengurusan selepas Bencana Banjir Besar 2014 di Kuala Krai. Antara isu yang berkaitan fasa pengurusan selepas banjir adalah masalah kelewatan pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah (Sinar Online, 13 Julai 2015). Punca kepada kelewatan pembinaan ini tidak dapat dipastikan sama ada berpunca daripada masalah tanah atau kontraktor kerana pihak yang terlibat saling menunding jari menyalahkan antara satu sama lain. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana menurut Warner (2008) sistem pengurusan banjir yang cekap memerlukan kerjasama yang erat antara setiap lapisan pemimpin tempatan, sektor swasta dan rakyat. Semua pihak terlibat harus bertindak sebagai "tentera" untuk membantu mangsa-mangsa banjir bukan bekerja secara berkelompok. Banjir besar 2014 ini telah mengakibatkan kemusnahan yang teruk di beberapa daerah dan daerah Kuala Krai merupakan daerah yang paling teruk mengalami kemusnahan.

Namun banjir besar 2014 bukan sahaja menenggelamkan beberapa kawasan malah ia juga membawa arus deras bersama lumpur hingga mengakibatkan hampir kesemua rumah penduduk terutamanya di Kuala Krai hancur musnah. Berdasarkan kepada stastik rumah rosak 100 peratus yang telah disiasat dan disahkan oleh setiap Ketua Jajahan seperti Jadual 1.2 Kuala Krai mencatat angka yang paling tinggi berbanding jajahan Gua Musang iaitu sebanyak 1257 buah rumah pada kejadian banjir fasa I dan 732 buah rumah pada fasa II.

Banjir luar biasa yang berlaku pada penghujung tahun 2014 di Kelantan bukan sahaja memusnahkan rumah kediaman penduduk malah telah meninggalkan impak yang cukup besar kepada jalan dan infrastruktur. Hal ini mendorong kepada penutupan jalan dan jambatan. Penutupan jalan adalah sebanyak 26 JalanPersekutuan dan 35 Jalan Negeri (Portal Rasmi eBanjir Negeri Kelantan, 2014). Selain itu juga, perkhidmatan Keretapi di Laluan Pantai Timur dibatalkan. Penutupan dan pembatalan ini adalah atas faktor keselamatan dan bagi mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku. Merujuk kepada Jadual 1.3, walaupun kejadian banjir berlaku pada Disember 2014 namun masih terdapat jalan yang ditutup sehingga 12.2.2015. Hal ini menunjukkan pihak yang terlibat dalam membaik pulih kemudahan awam ini mengambil masa yang lama. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Tuan Pah Rokiah, et al. (2014) penduduk kurang berpuas hati dengan tempoh masa pembaikan kemudahan awam yang diambil oleh pihak kerajaan. Oleh itu, masalah kelewatan membaikpulih insfrastruktur awam ini merupakan masalah yang timbul dalam fasa pengurusan selepas bencana banjir.

Sehubungan dengan itu pengurusan bencana banjir besar di Kelantan dilihat kurang efisyen sedangkan Majlis Keselamatan Negara Arahan No. 20 (Semakan Semula) Dasar dan Mekanisme Pengurusan telah ada sebagai panduan bagi mengurus bencana sebelum, semasa dan selepas kejadian. Kekurangan dan ketidakcekapan pengurusan bencana banjir besar di fasa semasa dan selepas ini tidak boleh dipandang enteng kerana menurut Omar (2015) kejadian banjir besar ini meninggalkan kesan yang besar kepada penduduk kerana menyebabkan kemusnahan harta benda bukan sahaja rumah malah pertanian, penternakan, kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, jalan keretapi, bekalan elektrik dan telefon turut terjejas. Bekalan air bersih juga mengalami kekurangan. Tambah beliau lagi, kejadian ini turut memberi kesan kepada mental dan fizikal penduduk yang terlibat dengan banjir.

Pengurusan bencana banjir besar pada tahun 2014 yang lalu bukan sahaja mendapat liputan meluas daripada akhbar-akhbar tempatan malah ia juga menjadi tajuk perbincangan di stesen-stesen televisyen melalui rancangan yang berbentuk dialog dan forum. Antaranya seperti rancangan Dialog Pemikir Negara di Astro Awani berdurasi 52:17 minit yang bertajuk "Cabaran Pengurusan Banjir". Ini menunjukkan bahawa, beberapa langkah perlu diambil bagi mengatasi masalah seterusnya mewujudkan strategi penambahbaikan untuk fasa semasa dan selepas dalam pengurusan bencana banjir besar pada masa akan datang. Disebabkan itu, kajian ini dijalankan untuk meningkatkan prestasi dan kecekapan mengurus jawatankuasa pengurusan bencana banjir di tiga peringkat sama ada peringkat pusat, negeri dan daerah.

 

3.0 LANGKAH MENGATASI BANJIR DI KUALA KRAI, KELANTAN

Banjir berlaku disebabkan peningkatan berterusan frekuensi air di beberapa tempat di Malaysia sejak kebelakangan ini dan menyebabkan kerugian berjuta–juta ringgit. Banjir pada musim tengkujuh biasanya kerap berlakunya di Pantai Timur yang melumpuhkan ekonomi di sesebuah tempat di sebabkan gelombang banjir yang terlalu kuat. Banjir juga berlaku disebabkan sama ada oleh hujan yang berterusan mengakibatkan kuantiti yang lebih besar daripada biasa atau air sungai yang melimpah ke tebing sungai ataupun kedua-duanya sekali (Schulz et al. 1972). Oleh itu, pendedahan awal kepada masyarakat setempat berkenaan dengan jenis-jenis banjir, situasi banjir, manfaat yang boleh diperolehi dan cara pencgahan amat penting supaya mereka dapat bersedia menghadapi banjir (Grelot & Guillaume, 2003). Tambahan, menurut Organisasi Meteorologi Dunia (WMO), dari penelitian yang dijalankan di beberapa buah negara menunjukan bahawa peramalan dan peringatan tentang bahaya banjir boleh menurunkan potensi kerugian antara 6% hingga 40%.

Permasalahan banjir memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, tiada penyelesaian yang begitu khusus untuk mengatasi banjir yang berlaku sehingga kini. Oleh itu, mengatasi segala bentuk banjir adalah mustahil, tetapi bekerjasama dalam mengatasi banjir adalah tidak mustahil (Williams, 1994). Bagaimanapun, masalah yang disebabkan banjir boleh dikawal dan dapat dikurangkan tahap kerugiannya hasil daripada kerjasama pihak kerajaan dalam pengurusan banjir yang lebih sistametik dan efektif, seperti mana di negara China, satu sistem pengurusan kawalan banjir telah direkabentuk hasil kepakaran kejuruteraan. Peringkat permulaan program ini menumpukan kepada sungai-sungai atau satu lembangan sungai sahaja (Cheng & Chau, 2004). Hal ini bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan contohnya Sihu Decision Support System (SDSS) yang telah digunakan sebagai sistem sokongan dalam membantu meramalkan kawasan banjir secara 'real time' untuk operasi kawalan banjir yang berasaskan sistem saliran.

Justeru, kebanyakan pengurusan banjir sebelum ini hanya menumpukan satu perspektif yang terhad, iaitu langkah-langkah untuk mengawal banjir (Winterscheid, 2007), sedangkan banjir adalah lebih dari itu. Menurut Qing dan Qiang (2007), pengurusan bencana banjir melibatkan tiga fasa iaitu sebelum bencana, semasa bencana dan selepas bencana. Strategi yang perlu diambilkira adalah amaran banjir, komunikasi yang efisien, risiko yang ditanggung, rutin persediaan perlindungan, corak gunatanah, pemetaan risiko banjir serta langkah-langkah struktur lain. Terdapat pelbagai model yang digunakan dalam pengurusan banjir tetapi bukan semua model boleh digunakan dalam setiap masa untuk semua masyarakat dan semua konteks, bagaimana mangsa banjir menghadapi dan bertindakbalas dengan bahaya banjir sama ada berdikari sendiri, bergantung pada rangkaian peranan kapita sosial dan sebahagian besarnya bergantung kepada kerajaan sepenuhnya. Hal ini akan menentukan kejayaan dalam sesuatu pengurusan banjir.

Negara membangun contohnya Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Top-Down Government-Centric Model dalam menguruskan dan bencana. Walaubagaimana pun, model ini bergantung sepenuhnya kepada inisiatif kerajaan dalam pengurusan dan kurang melibatkan penyertaan daripada orang ramai. Oleh itu respon daripada orang awam berkurang dari segi persediaan mereka dalam menghadapi banjir kerana mereka bergantung harap kepada kerajaan untuk membantu. Oleh itu, model-model yang telah diketengahkan dalam pengurusan bencana sangat penting bagi kejayaan pengurusannya. Model yang terbaru diketengahkan adalah menekankan peranan modal sosial sebagai agen yang penting di dalam pengurusan banjir dan kerugian akibat bencana yang diketengahkan oleh beberapa penyelidik di Amerika Syarikat (Aldrich, 2012), tetapi di Malaysia apa yang dapat diperhatikan adalah peranan modal sosial di dalam pengurusan banjir yang terlalu banyak menyebabkan masyarakat leka dan tidak berdaya tahan dalam menghadapi banjir kerana mereka leka dengan bantuan yang telah diberi oleh pihak kerajaan dan tidak mempunyai respon bagi bahaya banjir.

 

KESIMPULAN

Banjir yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini, mungkin sebelum ini masyarakat di Kelantan sudah terbiasa dengan musim tengkujuh dan banjir di negeri mereka. Tetapi banjir pada kali ini adalah banjir yang terburuk yang pernah melanda negeri Kelantan, oleh itu, adakah mereka dapat menerima musibah bencana banjir ini dengan baik atau sebaliknya. Oleh itu, pihak-pihak yang tertentu samaada kerajaan atau bukan kerajaan dan lain-lain mestilah bekerjasama dalam memulihkan semula keadaan infrastruktur yang telah musnah akibat banjir yang lalu.

 

RUJUKAN

Aldrich, D.P. (2012) Building Resilience: Social Capital in Post-Disaster Recovery. Chicago: The  University of Chicago Press.

Astro Awani. (2014, 26 Disember). Terdapat Kelemahan dalam Pengurusan Bantuan-Mustafa           Mohamed. Diakses pada 15 Jun 2016 daripada http://www. astroawani.com/berita malaysia/terdapat-kelemahan-dalam-pengurusan-bantuanmustapa-mohamed-50935

Azran Fitri Rahim. (2014, 30 Disember). Kuala Krai Bagaikan Dilanda Tsunami Kecil. Utusan Online. Diakses pada 23 Mac 2016 daripada http://www.utusan.com.my/berita/ nahas  bencana/kuala-krai-bagaikan-dilandatsunami-kecil-1.42550

Borneo Post Online. (31 Disember 2014). Banjir di Kelantan Malapetaka Besar : Najib. Diakses           pada 23 Mac 2016 daripada http://www.theborneopost.com/2014/12/31/banjir-di  kelantan-malapetakabesar-najib/

Cheng, Chun-Tian & Chau, K.W. (2004). Flood Control Management System For Reservoirs.      Source: Environmental Modelling and Software, v 19, n 12, December, 2004, p 1141   1150. Publisher: Elsevier Ltd.

Grelot, F. & Guillaume, B. (2003). Flood-Scale: A Procedure To Elicit Public Values In Flood Risk       Management. Source: Progress in Water Resources, v 8, Water Resources Management        III, 2003, p 389-399. Conference: Second International Conference on Water Resources       Management, Water Resources Management II, Apr 30-May 2 2003, Las Palmas, Spain        Sponsor: Wessex Institute of Technology;American Society of Civil Engineering (ASCE). Publisher: WITPress.

Omar Osman. (2015). Resolusi Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015.   Diakses daripada https://cgss.usm.my/images/Resolusi_BM_PDF.pdf

Portal Rasmi eBanjir Negeri Kelantan. (2014). Laporan Lalu Lintas Yang Ditutup. Diakses pada  27 Mac 2016 daripada http://ebanjir.kelantan.gov.my/

Qing, Y. & Qiang, Z. (2007). Study On Decision Support System Of Flood Disaster Based On The            Overall Process Emergency Management. Source: 2007 International Conference on            Wireless Communications, Networking and Mobile Computing, WiCOM 2007, 2007    International Conference on Wireless Communications, Networking and Mobile           Computing, WiCOM 2007, 2007, p 6120-6123

Schulz, E.F., Koelzer, V.A. & Mahmood, K. (1972). Floods and Droughts. United States: Water  Resources Publications.

Sinar Online. (2005, 24 Mac). SOP Pengurusan Bencana Negara Diperkemas. Sinar Online. Diakses pada 23 Mac 2016 daripada http://www.sinarharian.com. my/nasional/sop          pengurusan-bencana-negara-diperkemas-1.372465

Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, Baharum Mohamed dan Hamidi Ismail. (2014). Kesediaan       Kognitif Menghadapi Banjir Bagi Meminimumkan Kemusnahan dan Kehilangan Nyawa.     Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-9 (PERKUM ke-9)

Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, Hamidi Ismail dan Raman Mariyapan. (2011). Implikasi Bencana          Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan. Persidangan    Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI), Ekonomi Berpendapatan Tinggi            Transformasi ke Arah Peningkatan Inovasi, Produktiviti dan Kualiti Hidup, Melaka       Bandaraya Bersejarah, 5 – 7 Jun 2011.

Utusan Online. (2014, 23 Disember). Fenomena "New Moon" Burukkan Keadaan Banjir. Utusan Online. Diakses pada 23 Mac 2016 daripada http://www.utusan.com.my/berita/            nasional/fenomena-8216-new-moon-8217- burukkan-keadaan-banjir-1.40028

Wardah Tahir. (2015, 17 Januari). Banjir Kuning Bagai Tsunami Ancam Kelantan. Berita Harian Online. Diakses pada 23 Mac 2016 daripada http://www.bharian.com.my/node /29743

Warner, J. (2008). Emergency river storage in the ooij polder-a bridge too far? Forms of            participation in flood preparedness policy. International Journal of Water Resources       Development, 24(4), 567- 582. DOI: 10.1080/07900620801923153

Williams, P. B. (1994). Flood Control Vs. Flood Management. Source: Civil Engineering (New    York), v 64, n 5, May, 1994, p 51-54. Publisher: Publ by ASCE.

Winterscheid, A. (2007). Application Of Scenario Technique In Flood Risk Management. Source:            Water Science and Technology, v 56, n 4, Innovations in Coping with Water and Climate      Related Risks, 2007, p 87-95. Publisher: IWA Publishing.

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...