Sunday, June 19, 2022

KONFLIK KOMPETENSI PENGURUSAN PEMBANGUNAN PEMBANDARAN DAN PENDUDUK DI BANDAR SAUJANA PUTRA, SELANGOR

PENGENALAN

Hasrat negara dalam mencapai kemakmuran di samping mengetengahkan aspek pemodenan merupakan aspirasi terhadap unjuran yang dibawa di dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50), di mana ianya merangkumi domain ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, alam sekitar dan pelbagai lagi. Negeri Selangor yang terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dilihat strategik dalam usaha menerajui pembangunan dan urbanisasi ke arah mewujudkan penempatan yang mampu menarik nilai pelaburan dan hubungan perdagangan dengan dunia luar dengan lebih efektif. Bandar Saujana Putra (BSP) yang terletak di daerah Kuala Langat, Selangor, kini dilihat sedang ke arah  urbanisasi yang lebih pesat dan membangun (BSP, t.d.).

            10 tahun yang terdahulu, BSP merupakan penempatan kecil yang kekurangan fasiliti dan akses terhadap tawaran-tawaran dalam khidmat perkhidmatan dan jual beli. Kebanyakan kawasan BSP dipenuhi dengan pasir-pasir, batuan, lombong kuari, rumah dan tanah kosong serta tumbuhan lalang yang tidak diurus. Kini, BSP telah membangun dengan perubahan landskap perbandaran yang lebih matang dan serba lengkap dengan fasiliti serta francais yang berfungsi menawarkan perkhidmatan dan urusan jual beli dengan lebih mudah. Kendatipun begitu, urbanisasi ini dilihat tidak kompeten dengan mengambil kira pelbagai konflik yang berlaku saban hari.


Gambar 1: Pelan susun atur induk Bandar Saujana Putra.
(Sumber: BSP)

RINGKASAN KES

Laporan keratan akhbar Harian Metro pada 15 April 2017, menunjukkan projek-projek binaan baharu yang dilancarkan. Antaranya, projek BSP 21 dan BSP Village, yang mana memperuntukkan lebih daripada RM2.2 bilion. Pembandaran yang dipacu oleh LBS Bina Group Bhd. (LBS) ini tampaknya menawarkan lebih daripada 70 kemudahan kepda penduduk, termasuklah dengan kemudahan daripada segi hab komersial, hospital, pusat beli-belah, pasar raya besar serta hab pendidikan. Usaha sama LBS bersama bersama dengan kerajaan negeri Selangor ini turut mengetengahkan ciri konsep kawasan perbandaran bersepadu dan serba lengkap melalui capaian mudahnya kepada lebuhraya ELITE, SKVE, MEX, KESAS serta LDP yang menghubungkan BSP dengan kawasan-kawasan tumpuan lain (Harian Metro, 2017). Namun, perangkaan urbanisasi ini menimbulkan beberapa konflik terutamanya kepada penduduk tempatan, komponen fizikal serta organisasi biosis dan abiosis pada kawasan ini.


Gambar 2: BSP21 yang menawarkan lebih daripada 70 fasiliti dan kemudahan
(Sumber: Harian Metro, 2017)

            Pembandaran pembangunan dan penduduk di BSP berada pada kadar yang terlampau laju dan pesat jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu keadaannya. Terdahulu, kebanyakan isunya berada pada ruang lingkup mendapatkan akses dan kegiatan jenayah yang kerap dilaporkan seperti kecurian, samseng, penggunaan dadah dan seks bebas (Noor & Mansor, 2017). Meski sedekad telah berlalu, isu ini masih lagi wujud serta ditambah dengan rungutan-rungutan baharu daripada penduduk asal disebabkan berlakunya pertambahan jumlah penduduk asing dan pembangunan francais baharu yang menyebabkan gangguan kejiranan. Dimensi permasalahan ini adalah daripada segi kecekapan pengurusan pihak pemaju, di mana ia hanya mengambil kira faktor dan ciri urbanisasi moden dengan hasrat meningkatkan jumlah harga tanah dan menarik pelabur tanpa mengambil kira aset-aset fasiliti sedia ada yang belum diselia dengan sempurna.

MASALAH

Konflik pertama adalah daripada segi ketidakseragaman urbanisasi dengan penduduk. Lantaran kemajuan pesat, kawasan BSP kini telah menerima jumlah kemasukan pendudk baharu yang tinggi, terdiri daripada warga tempatan dan asing. Ahli masyarakat yang terdiri daripada lapisan peringkat umur, etnik, dan kerjaya, mewujudkan kepelbagaian pada kawasan (Jabatan Perangkaan, 2020). Oleh hal yang demikian, lambakan kemasukan penduduk tanpa pantauan menyebabkan wujudnya beberapa isu pada penempatan. Pertama sekali, masalah kesesakan kritikal yang dihadapi penduduk. Laluan keluar dan masuk BSP hanya dihubungkan oleh satu laluan kecil sebelum disambungkan kepada laluan bulatan lebuhraya lain. Semua penduduk dan pengunjung perlu berkongsi ruang laluan yang sama, dengan kepadatan kereta bermotor yang tinggi. Hal ini sekaligus menjejaskan efikasi bekerja penduduk, terdedah kepada tekanan disebabkan kesesakan harian, dan peningkatan risiko kerosakan laluan jalan disebabkan ianya turut dikongsi oleh kenderaan muatan berat. Kedua, ianya meningkatkan isu moral disebabkan kehadiran warga asing yang tidak didaftar, atau modus pembekalan dadah dan ganja. Warga tempatan bukan asal yang menetap turut terlibat dengan aktiviti seks rambang, pecah masuk rumah dan cabul. Ketiga, peningkatan risiko penutupan dan penggantian francais lama dengan baharu disebabkan penawaran yang melebihi permintaan.


Gambar 3: Keadaan kesesakan di jalan raya laluan keluar masuk BSP.
(Sumber: Persatuan Penduduk Bandar Saujana Putra)

            Konflik seterusnya, gangguan kerosakan terhadap komponen fizikal di kawasan BSP. Kepadatan penduduk yang ramai menyebabkan isu pembuangan sampah berleluasa. Ini turut meliputi kawasan perumahan, tasik-tasik, taman permainan, laluan pejalan kaki dan fasiliti. Hal ini membawa kepada peningkatan kos penyelenggaraan, kawalan keselamatan, serta yuran-yuran tambahan seperti yuran kediaman, aktiviti dan sosial. Kerosakan ini turut hadir dengan sikap pengguna yang merosakkan harta benda awam, seperti taman permainan, kediaman teres, rumah-rumah yang belum dijual atau disewa, serta mesin-mesin khas (Kanyo et al., 2015).

            Bukan itu sahaja, organisasi biosis dan abiosis di kawasan ini turut memberikan impak yang signifikan. Serangga-serangga perosak lebih kerap muncul seperti anai-anai, lipas, lalat dan nyamuk. Anjing dan kucing terbiar juga kerap berkeliaran terutamanya di premis makan, kawasan terbuka, laluan kejiranan dan rumah sampah. Ini mendedahkan penduduk kepada risiko jangkitan kuman dan penyakit zoonotik serta membawa kepada isu keselamatan dan kebersihan makanan, tempat tinggal, kediaman, serta premis seperti kedai runcit, dobi dan pusat mencuci kenderaan (Cupertino et al., 2020).

PUNCA

Permasalahan ini berpunca daripada sikap pemaju yang tidak menitikberatkan akan perubahan demografi dan transformasi sosial yang mendasari urbanisasi suatu kawasan. Perbandaran suatu kawasan perlu mengambil kira elemen yang menyumbang kepada perkembangan pembangunan yang sihat melalui pengurusan dan pentadbiran yang cekap di samping keupayaan pemasaran berlandaskan input-input yang diterima bagi merangka kaedah urbanisasi yang sistematik dan kondusif (Gu, 2019). Perbandaran pesat tanpa ekosistem yang utuh menyumbang kepada transformasi yang tidak efisien, iaitu kegagalan mengekalkan kedudukan dan kuasa pengguna dalam mengutilisasikan infrastruktur yang tersedia. Ini turut mencakupi hal-hal individu atau kumpulan yang licik mengeksploitasi keadaan yang terumbang-ambing dan tidak stabil, sekaligus memberikan peluang kepada kegiatan modus yang salah dari sisi undang-undang. Ketamakan pemaju sekaligus menyebabkan ketidakseragaman pembangunan, pertambahan masalah dan rungutan, serta persekitaran yang mencabar bagi penghuni.

            Bukan itu sahaja, penguatkuasaan peraturan yang lemah dan akses terhadap salah laku turut menyumbang kepada permasalahan ini. Kawasan yang hanya sekadar mempunyai penggubalan peraturan khusus tanpa penguatkuasaan merupakan perkara yang sia-sia. Lambakan hab yang memberikan akses kepada aktiviti parti liar dan seks rambang turut mendorong kepada perkara ini (Holland, 2015). BSP yang penuh dengan hotel bajet, rumah kosong dan terbiar, kawasan gelap tanpa pengcahayaan, termasuklah kelemahan daripada segi rondaan dan keselematan memberikan impak yang signifikan kepada permasalahan ini. Intihannya, ia mendorong kepada konflik-konflik yang berbangkit mengenai pembangunan perbandaran dan penduduk di kawasan BSP.

            Disebabkan lambakan penduduk, penggunaan kenderaan bermotor dan aktiviti rumah hijau yang banyak memberikan implikasi kepada tahap atmosfera di BSP. Suhu bandar yang tinggi dengan haba yang membahang menjadi punca haiwan-haiwan liar berkeliaran di kawasan kejiranan dan premis untuk teduhan. Fenomena pulau haba bandar di kawasan ini sekaligus meningkatkan ketidakselesaan terma kepada penghuni, termasuklah manusia dan haiwan. Sikap integriti manusia yang sengaja mengotorkan alam sekitar dan tidak menguruskan kawasan dengan baik turut menjadi punca serangga perosak membiak dengan lebih banyak. Perkara ini menjurus kepada keperluan pengurusan dan penyeliaan kebersihan dengan lebih baik.

CADANGAN PENYELESAIAN                       

Mekanisme yang komprehensif dan efektif perlu dipertimbangkan dalam memastikan isu ini dapat diatasi dengan lebih berkesan. Antara perkara yang boleh diimplementasikan adalah dengan menguatkuasakan peraturan dengan lebih tegas. Melalui kolaborasi sektor keselamatan berhampiran, seperti balai polis, pihak peronda, pengawal keselamatan, serta jabatan masyarakat dan kejiranan, isu-isu berkaitan dengan salah laku dan kegiatan jenayah dapat dibanteras dengan lebih strategis. Hal ini berikutan kerana, kerjasama semua amat diperlukan bagi membolehkan kawalan dapat dijalankan dengan lebih luas, sistematik dan proaktif. Utilisasi perkhidmatan pihak ini membentuk imej kepantasan dan kesediaan pihak berkuasa dalam menguasakan undang-undang bagi menjamin keselamatan dan hak penduduk, di samping membentuk jenama BSP yang lebih bersih dan bebas daripada liputan isu kotor.

            Selain itu, wujudkan mekanisme yang praktikal dalam menangani isu kesesakan dan lambakan penduduk dengan mempertimbangkan pembukaan jalan dan laluan baharu untuk keluar dan masuk. Gunakan tanah lapang yang terbiar dengan mendapatkan kebenaran daripada pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan permit mengusahakan tanah itu sebagai laluan kedua untuk para pengguna jalan raya. Hal ini sedikit sebanyak membantu daripada segi penjimatan masa dan kawalan kesesakan, di samping mengurangkan masalah kerosakan jalan dengan mengkhususkan laluan tersebut untuk kenderaan muatan berat. Pengimplementasian perkhidmatan pengangkutan awam turut membantu dalam hal ini. Penyediaan bas dengan jadual frekuensi yang bersesuaian membolehkan pekerja-pekerja berangkat ke tempat kerja dengan lebih efisien serta mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya. Pekerja-pekerja kilang yang terdiri daripada penduduk tempatan boleh memilih untuk menaiki bas yang disediakan di stesen-stesen tertentu, lantas meningkatkan tahap kemampuan BSP sebagai bandar serba lengkap dengan kualiti pengangkutan awam yang cemerlang.

            Juga, perkhidmatan kawalan haiwan dan serangga perosak turut membantu dalam membendung masalah haiwan-haiwan terbiar ini. Perkara ini akan membantu mengurangkan risiko penyakit bawaan haiwan dan meningkatkan tahap keselamatan dan kawalan penyakit. Usaha ini turut dilihat sebagai suatu usaha yang baik dalam menyantuni haiwan-haiwan ini berbanding membiarkan mereka terbiar berkeliaran dan terdedah dengan serangan parasit, kemalangan dan penindasan. Perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan kawasan lalang dan pokok besar yang tumbuh sehingga menganggu kawasan kediaman kondo juga membantu dalam hal ini. Ia sekaligus mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih, terurus dan kondusif. Hal ini memberikan imej yang terpuji lantas memberikan cerminan kepada pihak pengurusan yang mentadbir kawasan ini.

RUMUSAN

Maka, aspek pembangunan perlulah mengambil kira pelbagai aspek dalam suatu kawasan sewaktu perangkaan dilaksanakan bagi membolehkan urbanisasi kawasan yang lebih efektif dan optimum dapat dijalankan. Integrasi daripada pelbagai pihak membolehkan penyelesaian dapat dirangka secara lebih komprehensif dan kompeten dengan mengambil kira rintihan dan suara pengguna secara amnya. Justeru itu, kompetensi dalam pengurusan konflik perlu diberikan perhatian bagi memastikan segalanya berada dalam keadaan yang terkawal sekaligus mengurangkan liabiliti yang membawa kepada kerugian sepanjang usaha perbandaran dilakukan.

RUJUKAN

BSP. (t.d.). Bandar Saujana Putra: A Township Brand For Families. Diperoleh daripada https://bsptownship.com.my/.

Cupertino, M. C., Resende, M. B., Mayer, N. A., Carvalho, L. M. & Siqueira-Batista, R. (2020). Emerging and re-emerging human infectious diseases: A systematic review of the role of wild animals with a focus on public health impact. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine, 13(3), 99.

Gu, C. (2019). Urbanization: Processes and driving forces. Science China Earth Sciences, 62(9). 1351-1360.

Harian Metro. (2017). BSP ubah landskap perbandaran matang. Diperoleh daripada https://bsptownship.com.my/images/news_docs/2017.04.15_Harian_Metro_-_BSP_ubah_landskap_perbandaran_matang.jpg.

Harian Metro. (2017). BSP21 Serba Lengkap: Tawar lebih 70 fasiliti dan kemudahan. Diperoleh daripada https://bsptownship.com.my/images/news_docs/2017.05.19_Harian_Metro_-_BSP21_Serba_Lengkap.jpg.

Holland, A. C. (2015). The distributive politics of enforcement. American Journal of Political Science, 59(2), 357-371.

Jabatan Perangkaan. (2020). Portal Rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia. Diperoleh daripada https://www.mycensus.gov.my/index.php/ms/component/osmap/?view=html&id=2.

Kanyo, N. I., Nor, N. H. M., Rainis, R., Rahman, A. T. A. & Jubit, N. (2015). Mengurus ruang jenayah: Suatu tinjaun dasar pengurangan jenayah di Malaysia. GEOGRAFIA-Malaysian Journal of Society and Space, 11(2), 107-117.

Noor, M. M. & Mansor, N. S. (2017). Ethnicity, development, crimes and conflict in a multi-ethnic urban setting in Malaysia: Trans-border sociological and GIS analyses of an urban society. WIT Transcations on Ecology and the Environment, 226, 359-367.

 

NAMA: MUHAMMAD AIMAN AKMAL BIN PARDAN
NO. MATRIK: D20191088312
KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...