Friday, June 17, 2022

ISU KEMEROSOTAN KUALITI AIR DI LADANG DARA LAM SOON, MUADZAM SHAH, PAHANG MENGGANGGU KESEJAHTERAAN PENDUDUK.

PENGENALAN

Prasarana dapat didefinisikan sebagai satu bentuk dan keseluruhan kemudahan berkaitan perkhidmatan asas kepada manusia dalam setiap komuniti di setiap kawasan. Dalam kehidupan manusia prasarana merupakan satu keperluan asas dan penting supaya setiap aktiviti harian dapat berjalan dengan lancar. Kemudahan prasarana perlu disediakan, dipenuhi dan dilengkapkan tidak kira sama ada untuk orang awam, kawasan tempat tinggal mahupun dimana sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana kemudahan prasarana menjadi satu keutamaan untuk memberikan keselesaan dan kesenangan kepada setiap orang. Pendidikan, pengangkutan, kesihatan, jalan raya dan seumpama dengannya merupakan bentuk prasarana yang wajib disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, salah satu prasarana yang sangat penting dan sememangnya keseluruhan masyarakat mahupun hidupan memerlukannya iaitu prasarana air.

            Air merupakan salah satu elemen atau komponen bumi yang dikenali juga sebagai hidrosfera dan hampir 70 peratus kawasan bumi merupakan sumber air. Menurut Mohmadisa Hashim et al., (2018), daripada jumlah tersebut 97.2 peratus merupakan air masin dan 2.8 peratus sahaja terdiri daripada air tawar. Air juga merupakan satu komponen keperluan asas kepada alam sekitar yang menyeluruhi hidupan dan tumbuh-tumbuhan serta menjadi satu kepentingan kepada pembangunan. Peningkatan dan keperluan pembangunan telah menjadi semakin penting seiring dengan pertumbuhan pesat penduduk pada masa kini. Petempatan, perindustrian, pelancongan dan perniagaan merupakan satu bentuk perkembangan pembangunan yang memerlukan keperluan air yang secukupnya begitu juga di kawasan perladangan. Tanpa keperluan air segala aktiviti kehidupan tidak akan dapat berjalan dengan baik sebagai contoh keperluan makanan dan minuman, memasak, membasuh, mencuci aktiviti yang melibatkan pemprosesan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, keperluan air yang semakin merosot kualitinya akan menjejaskan kehidupan dan kegunaan harian.

            Secara umumnya kemerosotan kualiti air akan disamakan dengan pencemaran air dan juga dikaitkan dengan kawasan tadahan air di persekitarannya. Kemerosotan kualiti air boleh dilihat perubahannya melalui pandangan mata kasar. Menurut Mohd. Ikhwan Toriman et al., (2012), perubahan kualiti air dapat dilihat pada perubahan warna air yang menjadi keruh dan berbau daripada keadaan asal yang dahulunya jernih dan selamat untuk kegunaan domestik. Dalam konteks pencemaran air, sesebuah kawasan air tercemar apabila berlaku perubahan terhadap kualiti air yang disebabkan oleh sebarang bentuk pencemaran fizikal, kimia dan biologi (Anne Sakina Iman Syaiffuidin & Mohd Ekhwan Toriman, 2020). Secara tidak langsung, kualiti air merupakan perkara yang perlu diutamakan dalam penyediaan prasarana air. Oleh itu, kualiti air memberi maksud yang besar iaitu standard yang digunakan untuk mengukur kebersihan air supaya dapat digunakan untuk kegunaan domestik dan pengairan.

RINGKASAN KES

Di Rompin Pahang terdapat beberapa kawasan perladangan sawit seperti Ladang Dara Lam Soon, Syarikat Perladangan Sawit IOI, Boustead Plantations dan Tabung Haji Plantation. Kawasan kajian yang dilaksanakan berkaitan isu kemerosotan kualiti air ini ialah di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Rompin, Pahang. Kawasan Ladang Dara Lam Soon ini mencapai keluasan yang sangat besar dan terdapat kawasan kediaman untuk pekerja-pekerja, staf-staf, para pegawai dan pengurus. Ladang Dara Lam Soon terletak kira-kira 27km daripada Bandar Muadzam Shah dan ladang ini menghala ke Chini dan Kuantan. Ladang Dara Lam Soon menjalankan kerja pemprosesan dan pembuatan minyak kelapa sawit dan sudah semestinya akan memerlukan penggunaan air yang bersih untuk kerja pemprosesan tersebut.

Gambar 1: Peta Kawasan Perladangan Sawit di Sekitar Muadzam Shah, Rompin, Pahang

Gambar 2: Ladang Dara Lam Soon Sdn Bhd, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

            Sumber utama prasarana air di ladang tersebut berasal daripada beberapa kolam yang digali. Kemudian, air daripada kolam tersebut akan diproses, dibersihkan dan dirawat sebelum digunakan disalurkan untuk kerja-kerja kilang dan ladang serta disalurkan ke kawasan kediaman untuk kegunaan harian. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini kualiti air di Ladang Dara Lam Soon semakin merosot dari hari ke hari. Kualiti air di ladang tidak mencapai standard yang ditetapkan dan kian merosot apabila air yang disalurkan daripada kolam setelah diproses menjadi keruh, berbau dan air tersebut melekit. Jadi ini membuktikan bahawa kualiti air di Ladang Dara Lam Soon mengalami masalah dan perlu diselesaikan dengan kadar segera. Kualiti air yang merosot akan memberikan impak yang negatif kepada penduduk di kawasan tersebut dan mengganggu pelbagai kerja pemprosesan di ladang tersebut. Pihak pengurusan dan yang bertanggungjawab perlu mengesan punca berlakunya kemerosotan kualiti air dan menangani krisis kemerosotan kualiti air agar penduduk berasa selamat untuk menggunakan air di ladang.

Gambar 3: Kolam Air iaitu Sumber Utama Prasarana Air di Ladang Dara Lam Soon

Gambar 4: Kawasan Penapisan, Memproses, Membersihkan dan Merawat Air

PUNCA KEMEROSOTAN KUALITI AIR DI LADANG DARA LAM SOON, MUADZAM SHAH, PAHANG.

Kemerosotan kualiti air di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang berpunca daripada faktor fizikal dan juga manusia. Antara punca tersebut adalah seperti berikut:

Iklim

Punca atau faktor iklim ini memfokuskan kepada kekerapan atau jumlah hujan di kawasan tersebut. Menurut Anne Sakina Iman Syaiffuidin & Mohd Ekhwan Toriman, (2020), tahap kualiti air sememangnya mempunyai hubungan secara langsung dan intensiti hujan dalam satu-satu masa. Hal ini dikatakan demikian kerana, hujan yang berterusan dan kadar hujan yang tinggi akan meningkatkan proses berlakunya hakisan dan pemendapan di kawasan badan air atau kolam tersebut. Bukan itu sahaja, jumlah hujan yang tinggi juga akan meningkatkan kadar luahan sesebuah sistem saliran dan memberi kesan kepada kualiti air seperti air menjadi keruh, terdapat bahan terampai yang kasar di dalam air dan keadaan fizikal air yang melekit.

Kesilapan Semasa Memproses dan Merawat Air daripada Kolam

Terdapat dua buah kolam yang digali dan menjadi sumber utama prasarana air di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang. Jadi, keadaan ini akan mendorong kepada pemprosesan sisa rawatan air mentah kemudian dibersihkan serta dirawat sebelum disalurkan ke kediaman dan perumahan yang terdapat di dalam ladang tersebut. Pemprosesan dan rawatan air tersebut akan menggunakan bahan-bahan tertentu untuk menjamin kebersihan air tersebut. Menurut Zulfahmi Ali Rahman et al., (2021), sisa rawatan air mentah merupakan hasil daripada proses pengumpulan dalam perawatan air mentah menggunakan agen pengumpul yang terdiri daripada aluminium silikat (alum) dan poli-aluminium klorida (PAC) yang bertindak balas dengan air untuk menghasilkan hidroksida dalam bentuk terampai dan koloid. Kemudian akan melibatkan beberapa proses sebelum air tersebut dijamin untuk kegunaan harian. Akan tetapi sekiranya terdapat kesilapan semasa memproses dan merawat air akan menjejaskan kualiti air tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila bahan atau agen pengumpul tersebut tidak mencapai atau terlebih sukatan yang ditetapkan terutamanya bahan alum akan memberikan kesan kepada kualiti air seperti air akan melekit atau dalam keadaan yang berminyak serta berbau.

Aktiviti Pembajaan di Kawasan Parit atau Sumber Air

Ladang Dara Lam Soon menjalankan perladangan sawit dan sudah semestinya akan melibatkan penggunaan racun dan baja untuk tanaman tersebut. Sudah semestinya, kemerosotan kualiti sumber air juga terjejas akibat daripada penggunaan baja kimia dan racun di sekitar kawasan ladang berhampiran kawasan parit atau sumber air. Keadaan ini berlaku apabila musim hujan berlaku maka air hujan membawa sisa baja dan racun tanaman yang telah meresap ke tanah melalui larian air permukaan terus ke sumber air. Bukan itu sahaja, menurut Jabatan Pertanian (2020), sisa baki atau residu baja, racun rumpai dan racun serangga daripada tanah perladangan dan kawasan perumahan menjadi punca tidak tetap kepada kemerosotan kualiti air di kawasan tersebut. Terdapat juga punca daripada tumpahan minyak kilang sawit seperti yang berlaku di kawasan ladang sawit Pukin, Keratong Muadzam Shah, Pahang. Secara tidak langsung, keadaan ini akan mendorong kepada lapisan permukaan air kelihatan seperti lapisan minyak, air bertukar warna dan kandungan air akan berubah akibat daripada percampuran baja dan racun yang digunakan.

Gambar 5: Tumpahan Minyak Sawit daripada Kilang Perladangan Sawit di Pukin, Keratong Muadzam Shah, Pahang

 

KESAN KEMEROSOTAN KUALITI AIR KEPADA PENDUDUK DI LADANG DARA LAM SOON, MUADZAM SHAH, PAHANG.

Menjejaskan Kesihatan dan Kebersihan Diri Terjejas

Impak kemerosotan kualiti air mampu menjejaskan kesihatan penduduk di Ladang Dara Lam Soon Muadzam Shah, Pahang tidak kira peringkat umur sama ada kanak-kanak, golongan dewasa mahupun warga tua. Penduduk di ladang juga berasa bimbang sekiranya kualiti air di ladang merosot penduduk tidak dapat membersihkan diri dengan sempurna. Apabila kualiti air dalam keadaan berbau dan melekit sudah semestinya kan mendatangkan pelbagai kesan dan penyakit. Kebiasaannya penyakit yang berpunca daripada kemerosotan kualiti air tercemar ini adalah seperti penyakit kulit, taun, muntah-muntah dan sebagainya. Menurut Ang, K. H., (2015), pencemaran air boleh menyebabkan kualiti sumber air berkurangan dan menyebabkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan bukan itu sahaja, pencemaran air juga boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan keracunan makanan akibat daripada menggunakan air dan minum air daripada sumber air yang kurang bersih.

Bekalan Air Bersih Semakin Berkurangan

Kemerosotan kualiti air juga boleh disamakan dengan pencemaran air dan keadaan ini akan memberikan impak terhadap bekalan air bersih penduduk. Setiap perumahan di Ladang Dara Lam Soon akan dibekalkan dengan sebuah tangki air simpanan di belakang rumah. Sekiranya masalah kualiti air ini mengambil masa yang lama untuk dibersihkan atau dirawat maka penduduk di ladang terpaksa menggunakan air simpanan untuk kegunaan domestik seperti membasuh, memasak dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat beberapa orang penduduk di sekitar ladang ini beranggapan bahawa air simpanan ini seharusnya digunakan apabila ketiadaan air ataupun hal-hal kecemasan seperti kematian. Kesannya apabila air simpanan digunakan untuk kegunaan lain maka air tersebut akan diganti semula dengan air yang tercemar dan penduduk juga akan rugi.

Perbelanjaan Penduduk Meningkat

Rentetan daripada bekalan air bersih berkurangan, penduduk ladang juga akan menanggung perbelanjaan yang tinggi akibat impak daripada kemerosotan kualiti air tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk akan terpaksa berbelanja banyak untuk membeli air bersih dan berkualiti tinggi untuk kegunaan seisi dan kegunaan harian seperti memasak dan minuman. Bukan itu sahaja, sesetengah penduduk juga terpaksa membeli penapis air yang lebih berkualiti dan mahal dan terpaksa menanggung kos servis penapis air untuk setiap bulan serta terpaksa menambah tangki simpanan air yang besar untuk penyimpanan air yang bersih dan mencukupi.

CADANGAN LANGKAH-LANGKAH MENGAWAL DAN MENANGANI KEMEROSOTAN KUALITI AIR.

Isu kemerosotan kualiti air di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang perlu dikawal dang ditangani dengan segera supaya penduduk di kawasan ladang dapat menjalani kehidupan atau rutin harian dengan mudah dan sejahtera. Antara cadangan langkah-langkah untuk mengawal dan menangani kemerosotan kualiti air adalah seperti berikut:

Menyediakan Kawasan Penyimpanan Air Bersih

Salah satu cadangan tersebut ialah pihak pengurusan ladang boleh menyediakan kawasan penyimpanan air bersih untuk kegunaan domestik sekiranya terdapat masalah terhadap kualiti air di ladang tersebut. Kawasan penyimpanan air bersih ini melibatkan kawasan yang menyediakan beberapa tong tangki air simpanan untuk kegunaan penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah kemerosotan kualiti air ini sering terjadi dan ramai penduduk di ladang ini telah merungut dan mengalami masalah untuk meneruskan rutin harian mereka. Cadangan langkah penyediaan kawasan penyimpanan air bersih sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi keadaan air yang kurang bersih dan meneruskan kerja harian mereka.

Langkah Penjimatan

Langkah penjimatan daripada penduduk setempat di ladang juga merupakan cadangan langkah untuk menangani keadaan kualiti air yang kurang bersih. Hal ini dikatakan demikian kerana langkah tersebut merupakan satu inisiatif awal sebelum penduduk mengalami kemerosotan kualiti air di ladang. Secara tidak langsung penduduk boleh menjimatkan air bersih dan menyimpan air bersih untuk kegunaan yang lebih penting seperti membersihkan diri, memasak dan minuman. Bukan itu sahaja, antara langkah penjimatan yang boleh dilakukan oleh penduduk di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang adalah seperti membasuh pakaian dalam muatan penuh untuk satu-satu cucian, hadkan penggunaan air paip semasa melakukan aktiviti lapang seperti menyiram tanaman, pengurusan diri dalam masa yang singkat dan sikap penduduk yang seharusnya menerapkan amalan berjimat cermat dalam penggunaan air.

Penguatkuasaan Pemantauan dan Pengawasan yang Teliti semasa Proses Rawatan dan Operasi Perkilangan

Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang merupakan sebuah syarikat perladangan sawit persendirian. Jadi segala proses rawatan air akan dikendalikan oleh pump attendants dan diselia oleh penyelia yang bertanggungjawab. Langkah pemantauan dan pengawasan yang teliti semasa proses rawatan dan operasi perkilangan perlu dipertingkatkan supaya kualiti air mencapai standard yang ditetapkan. Pemantauan semasa proses rawatan air juga perlu dilaksanakan supaya tidak terdapat sebarang gangguan yang memberi kesan kepada kualiti air. Sekiranya, masalah kualiti air ini tidak diselesaikan dengan segera, para pekerja boleh membuat aduan dan laporan berkaitan kemerosotan kualiti air akibat kecuaian pump attendants kepada Roundtable On Sustainable Palm Oil (RSPO) untuk tindakan selanjutnya. Bukan itu sahaja, sekiranya terdapat masalah tumpahan minyak di kawasan sumber air maka Jabatan Parit dan Saliran akan mengambil tindakan undang-undang untuk menggantung lesen kilang dan memberhentikan keseluruhan operasi perkilangan. Jadi, langkah penguatkuasaan pemantauan dan pengawasan yang teliti semasa proses rawatan dan operasi perkilangan perlu diperketat supaya kualiti air terjamin untuk kegunaan domestik dan pemprosesan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, prasarana air seharusnya dijaga dan dirawat dengan baik kerana sumber air ini menjadi satu keperluan dan keutamaan kepada penduduk tidak kira di mana sahaja untuk memudahkan pelbagai kegunaan domestik mahupun kegunaan kepada kilang tersebut. Kemerosotan kualiti air yang berlaku di Ladang Dara Lam Soon merupakan satu isu yang perlu diberikan perhatian kerana kualiti air ini akan menjamin kesejahteraan penduduk di ladang tersebut. Kualiti air yang tidak bersih akan mampu mendatangkan impak atau kesan yang buruk kepada penduduk seperti masalah kesihatan, mengganggu kegiatan harian penduduk, meningkatkan perbelanjaan penduduk dan sebagainya. Pengurusan dan pengawalan rawatan air juga perlu diberikan perhatian supaya kualiti air mencapai standard yang ditetapkan. Pihak pengurusan ladang perlu berusaha mencari jalan penyelesaian dan penambahbaikan terhadap prasarana air di samping menangani krisis kemerosotan kualiti air agar penduduk berasa selamat menggunakan prasarana air yang disediakan. Pada masa yang sama penduduk di ladang juga perlu mencari alternatif terbaik iaitu dengan melaksanakan langkah penjimatan untuk menghadapi kemerosotan kualiti air supaya penduduk mempunyai langkah berjaga-jaga agar tidak terbeban menghadapi keadaan ini. Harapan pengkaji agar kualiti air di Ladang Dara Lam Soon, Muadzam Shah, Pahang dapat dikawal dengan baik supaya kualiti air bersih dapat digunakan untuk kepentingan dan kesejahteraan penduduk.

RUJUKAN

Ang, K. H. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia: Satu analisis. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space, 11(6), 98 – 108. http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf

Anne Sakina Iman Syaiffuidin & Mohd Ekhwan Toriman. (2020). Penilaian indeks kualiti air Alur Ilmu UKM, sub-lembangan Sungai Langat. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space, 16(1), 112 – 125. https://doi.org/10.17576/geo-2020-1601-09

Mohd. Ikhwan Toriman, Mohd Khairul Amri Kamarudin, Nor Azlina Abd Aziz, Haslinur Md Din Frankie Marcus Ata, Nur Munirah Abdullah, Mushrifah Idris, Nor Rohaizah Jamil, Nurul Syazwani Abdul Rani, Mohd Hafiz Saad, Noraini Wahida Abdullah, Muhammad Barzani Gasim, & Mazlin Mokhtar. (2012). Pengurusan Sedimen Terhadap Sumber Air Bersepadu: Satu Kajian Kes Di Sungai Chini, Pekan, Pahang. Journal of Social Sciences and Humanities, 7, 267-283. https://www.researchgate.net/publication/264162761_Pengurusan_Sedimen_Terhadap_Sumber_Air_Bersepadu_Satu_Kajian_Kes_Di_Sungai_Chini_Pekan_Pahang

Mohmadisa Hashim, Nasir Nayan, Yazid Saleh, & Hanifah Mahat. (2018). Penilaian Kualiti Air Di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zulfahmi Ali Rahman, Akrimi Maswa Othman, Wan Mohd. Razi Idris, & Tukimat Lihan. (2021). Kesan Suhu dan Bahan Tambah Abu Terbang terhadap Pencirian Mekanik Bata daripada Sisa Rawatan Air Mentah. Sains Malaysiana. 50(6), 1563-1575. http://doi.org/10.17576/jsm-2021-5006-05

 

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA: NUR ADIBA BINTI ABDUL HALIM

NOMBOR MATRIK: D20201094285

HGM3033 – KUMPULAN B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...