Sunday, June 19, 2022

ANCAMAN HAKISAN PANTAI DAN ADAPTASI PENDUDUK PESISIR PANTAI DI KAMPUNG KEMERUK, KOTA BHARU, KELANTAN.

ANCAMAN HAKISAN PANTAI DAN ADAPTASI PENDUDUK PESISIR PANTAI DI KAMPUNG KEMERUK, KOTA BHARU, KELANTAN.

1.0 PENGENALAN

Fenomena hakisan pantai merupakan bencana alam yang berlaku hampir setiap tahun di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Kampung Kemeruk, Kota Bharu Kelantan. Hakisan pesisir pantai boleh dikenalpasti melalui perubahan pada garisan pesisir pantai dan perubahan yang terdapat di zon sistem pesisir pantai. Perubahan pesisir pantai terjadi akibat daripada perubahan yang berlaku pada rejim turun-naik aras laut dan rejim pembekalan enapan kepada sistem pesisir pantai sekaligus meninggalkan kesan buruk kepada penghuni tetap di kawasan pesisir pantai. Sistem pesisir pantai merupakan sebuah sistem geomorfologi yang dinamik.

Kawasan pesisir pantai merupakan kawasan yang sensitif dan cenderung terdedah kepada pelbagai ancaman seperti hakisan. Keadaan persekitaran yang sedemikian secara tidak langsung akan mendatangkan kesan kepada kesejahteraan hidup manusia, persekitaran dan ekosistem. Kekerapan berlakunya hakisan di pesisir pantai adalah disebabkan oleh kombinasi faktor alam semulajadi dan tindakan manusia. Masalah hakisan menjadi semakin sukar ditangani sekiranya kawasan tersebut sentiasa terdedah kepada tiupan angin kencang dan damparan ombak yang semakin besar. Keadaan ini akan menyebabkan kelompok komuniti yang mendiami kawasan pesisir pantai tersebut terus berada di dalam keadaan terancam. Sekiranya situasi ini dibiarkan berlarutan tanpa tindakan sewajarnya untuk mengekang masalah hakisan yang kian teruk, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi kualiti hidup komuniti setempat.

A screenshot of a computer    Description automatically generated with medium confidence

Rajah 1: Lokasi Kampung Kemeruk di Kota Bharu, Kelantan

2.0 FAKTOR BERLAKUNYAA HAKISAN

Hakisan adalah proses atau pengukiran bentuk fizikal muka bumi yang melibatkan penanggalan sesuatu bahan dari tempat asal diikuti dengan proses pengangkutan bahan tersebut ke tempat lain. Fenomena ini berlaku akibat proses semulajadi yang tidak dapat dielakkan di antara daya semulajadi yang saling bertindak di kawasan persisiran pantai seperti ombak, bahan mendak, angin, arus dan pasang surut

Selain itu, sesetengah kejadian ini berlaku akibat daripada aktiviti pembangunan di sepanjang pesisir pantai misalnya tebusguna laut, kerja pengorekan, perlombongan pasir laut, penebangan hutan paya bakau dan pembinaan struktur-struktur yang mengganggu gugat keseimbangan dinamik pantai. Namun demikian, hakisan pantai berlaku akibat tindakan hidraul, geselan, lagaan dan larutan. Ianya juga dipengaruhi oleh halaju angin, orientasi pantai, kedalaman air, faktor geologi, kuantiti dan kualiti bahan muatan, perubahan arus laut dan tenaga ombak

3.0 KESAN DARIPADA HAKISAN PANTAI

Kesan negatif bencana ini kepada manusia bukan sahaja memusnahkan harta benda dan kawasan kediaman, malahan turut mengancam nyawa penduduk yang mendiami kawasan pesisir pantai tersebut berikutan hakisan yang berlaku telah menyebabkan sebahagian kawasan petempatan Kampung Kemeruk kini berada di dalam laut.

Semenjak hampir dua dekad yang lalu, persekitaran semulajadi yang cantik dan mendamaikan di pantai ini sudah tidak ada lagi kesan daripada hakisan pantai yang teruk. Sehubungan dengan itu pantai Kampung Kemeruk turut mengalami kehilangan kunjungan pelancong dan mereka yang ingin beristirehat di sana. Kunjungan masyarakat luar ke pantai ini satu waktu dahulu sedikit sebanyak membantu ekonomi masyarakat setempat terutamanya suri rumah dengan melakukan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan seperti membuka gerai makan, menjual makanan ringan dan juga menjual produk-produk penghasilan kampung tersebut yang bersumberkan dari hasil tangkapan laut seperti keropok, ikan masin dan udang kering.

Kesan hakisan pantai yang dialami oleh komuniti pesisir pantai dapat dibahagikan kepada kesan yang boleh dilihat dan kesan yang tidak boleh dilihat. Kesan yang tidak dapat dilihat mata kasar adalah melibatkan gangguan emosi dan sentiasa berasa risau terhadap ancaman hakisan pantai yang seringkali dihadapi. Kesan ini dapat dirasai ketika sebelum kejadian hakisan pantai melanda, semasa dan selepas kejadian hakisan pantai berlaku. Kebimbangan dan kerisauan mengenai ancaman hakisan pantai iaitu dari segi menyelamatkan harta benda dan keselamatan nyawa. Situasi ini akan dirasai apabila setiap kali tiba Musim Tengkujuh bermula bulan November hingga bulan Mac dikenali Monsun Timur. Biasanya, sekiranya berlaku hujan lebat disertai tiupan angin kencang komuniti akan bersiap sedia mengemaskan barang-barang dan harta benda serta mengawasi keselamatan keluarga. Pada masa ini, keadaan laut akan bergelora mengakibatkan hakisan pantai lebih giat berlaku. Sewaktu kejadian hakisan pantai berlaku, 98% menyatakan bahawa keselamatan keluarga dan harta benda mereka sebagai agenda utama yang perlu dijaga. Komuniti terpaksa memikul tugas berat bagi memastikan semuanya selamat dan sekiranya berlaku air laut pasang pada waktu malam kebanyakkan komuniti akan berjaga pada waktu malam kerana hakisan yang berlaku pada waktu malam adalah lebih merbahaya disebabkan suasana yang gelap menyukarkan komuniti untuk melihat suasana hakisan pantai yang melanda. Sebaliknya kesan yang boleh dilihat iaitu kesan secara langsung dan kesan secara tidak langsung. Kesan secara langsung merupakan kesan yang berlaku di kawasan yang berlaku hakisan pantai itu sendiri misalnya kerosakan harta benda manakala kesan secara tidak langsung ke atas sistem perhubungan jalanraya dan sistem bekalan elektrik yang terputus serta pencemaran alam sekitar.

 Berdasarkan kepada kesan langsung kerosakan harta benda yang berlaku bukan sahaja dinilai daripada wang ringgit, sebaliknya kerosakan yang berlaku sebagai contoh pintu dan dinding rumah yang pecah akibat tolakan air yang kuat amat membahayakan keselamatan komuniti pesisir pantai. Keadaan sedemikian akan menyebabkan ada di antara mereka yang kehilangan tempat tinggal. Ini berikutan bahan binaan rumah yang agak murah dan tidak dibina dengan kukuh

4.0 LANGKAH MENGATASI

Adaptasi yang telah dilaksanakan oleh komuniti Kampung Kemeruk terbahagi kepada langkah jangka masa pendek, langkah jangkamasa sederhana dan langkah jangkamasa panjang. Langkah jangka masa pendek merupakan langkah yang merangkumi tindakan segera yang diambil secara langsung berdasarkan fenomena yang sedang melanda dan juga usaha yang memberi impak positif untuk jangkamasa kurang daripada setahun seperti perpindahan sementara, membuat benteng guni pasir, meletakkan tayar terpakai sebagai benteng adalah di antara usaha yang telah dilakukan oleh komuniti di Kampung Kemeruk. Di Kampung Kemeruk masyarakat telah membina benteng guni berisi pasir di sepanjang tebing Sungai Raja Gali.

A picture containing text    Description automatically generated

 

 

 

 

 

Rajah 2:  Benteng guni pasir dipasang sebagai benteng penahan ombak

Tujuan membina benteng guni pasir adalah untuk mengukuhkan tebing sungai daripada impak deras dentuman ombak dan sekaligus dapat mengurangkan hakisan tebing terjadi. Keadaan ini juga dapat mengurangkan keterjejasan keselamatan dan menyelamatkan harta benda komuniti di pesisir pantai di Kampung Kemeruk. Selain daripada itu pembinaan benteng pasir boleh menghalang kemasukan jumlah air yang banyak ke halaman rumah.

Ekoran daripada itu juga ia turut dapat mengelakkan ancaman banjir kilat yang mana air tidak akan bertakung di kawasan halaman rumah penduduk. Namun kaedah menggunakan guni pasir ini bersifat sementara kerana guni pasir yang digunakan tidak mempunyai daya tahan yang tinggi untuk bertahan lama kerana guni-guni tersebut diperbuat daripada plastik yang boleh pecah apabila sentiasa terdedah kepada panas matahari. Selain daripada itu, adaptasi jangkamasa sederhana yang dilakukan oleh penduduk setempat ialah seperti menanam pokok-pokok di persekitaran kediaman seperti menanam pokok kelapa dan juga membuat ubah suai terhadap rumah yang mereka diami.

Langkah ini merupakan langkah adaptasi yang dirasakan mampu untuk masyarakat menanganinya dalam tempoh setahun ke lima tahun. Bagi tindakan penanaman pokok kelapa ia adalah sangat penting bagi menambah kadar penyerapan dan penyimpanan air di dalam tanah. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan satu sistem semulajadi yang seimbang dan efisien di ruang alam sekitar kampung tersebut. Hasil kajian lapangan yang dijalankan komuniti pesisir pantai di Kampung Kemeruk, masyarakat menanam sendiri pokok kelapa berdekatan kawasan yang dihuni.

5.0 KESIMPULAN

Hakisan yang berlaku di Kampung Kemeruk merupakan antara kawasan diancam bencana hakisan di Kelantan. Walaupun secara semulajadi, hakisan pantai merupakan fenomena biasa yang terjadi di persekitaran fizikal, namun cepat ataupun lambatnya kejadian itu berlaku turut sama dipengaruhi oleh tindakan manusia. Fenomena ini merupakan sebahagian daripada isu yang ditimbulkan khasnya berkaitan dengan soal kebajikan, keselamatan dan hak komuniti pesisir pantai di Kampung Kemeruk. Selain adaptasi yang dibuat oleh komuniti pesisir pantai, pihak kerajaan khususnya yang terlibat dengan usaha pembangunan perairan perlulah mengambil inisiatif yang tinggi untuk sama memelihara kestabilan muara dan pesisir pantai agar tidak diancam oleh hakisan secara berterusan

RUJUKAN

1.      Ahmad Albab. (2017). RM17 Juta Tangani Hakisan Pantai di Kelantan. Diperoleh daripada https://www.mynewshub.tv/terkini/rm17-juta-tangani-hakisan-pantai-di-kelantan/

2.      Hanneeyzah Bariaah Bahrin. (2019).  Hakisan Pantai Semakin Meruncing di Semenanjung. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/617591/hakisan-pantai-makin-meruncing-di-semenanjung

3.      Hazira Ahmad Zaidi. (2016). Risau rumah ditelan laut. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/01/104492/risau-rumah-ditelan-laut

4.      Koshy KC (2011) Vulnerability and adaptation and coping strategy. Risalah banjir Pusat KajianKelestarian Global, Universiti Sains Malaysia.

5.      Mohd Fikri Awang Lah & Rohaiza Abd Rahman. (2018). Hakisan pantai Mek Mas igauan ngeri penduduk Diperoleh daripada  https://www.malaysiakini.com/news/454751

 

NAMA            : NOR ATIRAH BT MAT HUSSIN

NO MATRIK :D20191088464

KUMPULAN : A

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...