Wednesday, June 22, 2022

MASALAH PENCEMARAN SAMPAH SARAP DI KAMPUNG GAJAH, PERAK.

1.0  PENGENALAN

 

Kebelakangan ini terdapat isu-isu alam sekitar yang semakin serius wujud terutamanya masalah pencemaran sampah di kawasan tempat tinggal. Pencemaran dapat didefinisikan sebagai suatu perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap bahan pencemar seperti bahan kimia, haba, cahaya dan tenaga ke dalam alam sekitar yang mengakibatkan kesan yang memusnahkan sehingga membahayakan kesihatan manusia, mengancam sumber alam dan ekosistem serta mengganggu alam sekitar (Abdul Rahman A Samad, 2019). Masalah pencemaran sampah sudah lama wujud di negara ini. Pencemaran sampah akan menjejaskan keadaan kesihatan, persekitaran dan sebagainya dalam kehidupan manusia. Semua permasalahan ini membuktikan bahawa pembangunan dan kemajuan yang telah dirancang di Malaysia masih belum berada di tahap pembangunan mapan kerana masih berlaku pencemaran yang boleh membawa kesan negatif.

 

      Pencemaran sampah dapat ditakrifkan sebagai pembuangan bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan kehidupan sekeliling (Fiqrurazi Shamsuri, 2015). Sisa pepejal merupakan hasil buangan daripada aktiviti sosio-ekonomi manusia yang mempunyai sifat kotor dan dianggap tidak berguna (Hasnah Ali, 2012). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya seperti botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Sampah sarap dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah dan boleh mendatangkan mudarat jika disimpan.

 

      Pada masa kini di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang lebih banyak iaitu 1.5kilogram pembuangan sampah dan sisa pepejal setiap hari berbanding 0.8kilogram oleh penduduk luar bandar (Hairul Anuar, 2017). Bilangan tersebut dipengaruhi oleh jumlah penduduk di kawasan tersebut. Angka ini akan semakin meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia malah turut mengancam hidupan haiwan. Sampah sarap ini perlu diuruskan dengan baik bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Pengurusan sampah boleh didefinisikan sebagai suatu disiplin ilmu berkaitan kawalan penyimpanan, pengumpulan dan pelupusan mengikut kaedah yang sesuai (Nur Ain Abdul, 2018). Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya dengan secepat mungkin sebelum masalah ini menjadi semakin serius.

 

2.0 RINGKASAN KES

 

Kampung Gajah terletak di tepi tebing kanan Sungai Perak. Kampung Gajah juga merupakan kawasan yang berada dalam kategori luar bandar dan mempunyai anggaran penduduk kurang daripada 10 ribu orang. Kampung Gajah mempunyai kawasan bersejarah iaitu Pasir Salak. Pelancong sering mengunjungi kawasan ini untuk mengetahui sejarah berkaitan penjajahan JWW Birch di kawasan ini. Masalah pencemaran sampah di kawasan Kampung Gajah akan mengakibatkan pelancong beranggapan bahawa kawasan ini tidak mempunyai sistem pengurusan sampah yang betul dan penduduknya tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Hal demikian akan mempengaruhi kedatangan pelancong di kawasan Kampung Gajah kerana mereka tidak berpuas hati dengan persekitaran yang kotor dan dipenuhi dengan sampah yang tidak terurus.

 

Penduduk di Kampung Gajah ini tidak mendapat pendedahan berkaitan cara pengurusan sampah sarap dengan betul. Perkara ini menggalakkan mereka untuk membuang sampah di merata-rata tempat dan mengabaikan kebersihan di kawasan persekitaran. Penduduk di luar bandar turut cenderung membuang sampah ke dalam sungai kerana beranggapan itu lebih memudahkan mereka. Pihak berkuasa tetap menjalankan tugas meletakkan papan tanda di kawasan longgokan sampah supaya penduduk dapat mematuhi arahan tersebut dan tidak membuang sampah di merata tempat. Namun demikian, sikap penduduk yang tidak mengambil berat berkaitan kebersihan persekitaran menyebabkan mereka tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

                                                                                                       

                                                                                                        

 


   Rajah 1: Kampung Gajah, Perak

    Sumber: Kajian Lapangan 2022

 

3.0 PUNCA BERLAKUNYA PEMBUANGAN SAMPAH SARAP DI KAMPUNG GAJAH, PERAK


Punca berlakunya pembuangan sampah sarap di Kampung Gajah, Perak ialah kekurangan penyediaan tong sampah dan tempat pembuangan sampah yang jauh di kawasan luar bandar. Pihak berkuasa beranggapan bahawa tong sampah mencukupi jika diletakkan di satu tempat sahaja walhal penduduk memerlukan lebih banyak tong sampah supaya mereka tidak perlu bergerak jauh untuk membuang sampah. Keadaan ini dilihat apabila sampah yang berlonggok di kawasan itu ibarat kawasan pembuangan sampah rasmi. Longgokan sampah sarap kebiasaannya dapat dilihat di kawasan tepi jalan dan di dalam parit yang terbiar. Kesan yang berlaku longgokan sampah ini telah menyebabkan bau busuk yang timbul serta mencemarkan kawasan tepi jalan. Bau busuk turut menarik perhatian haiwan liar dan berbahaya seperti anjing, ular dan tikus. Terdapat juga penduduk yang membuang sampah di kawasan persekitaran rumah mereka dan membakar sampah itu. Aktiviti pembakaran sampah turut memberikan pencemaran kepada alam sekitar. Sampah tidak sepatutnya dibakar dan perlu dilupuskan dengan kaedah yang betul.

            Punca yang seterusnya ialah sikap penduduk yang tidak mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar. Pembuangan sampah merata-rata disebabkan sikap kurang prihatin terhadap kesan yang bakal timbul akibat pembuangan sampah terhadap ekosistem yang akan tercemar dan mengakibatkan kawasan persekitaran menjadi kotor. Kesedaran penduduk dilihat berada di tahap yang rendah apabila mereka tiada rasa bersalah membuang sampah di tepi jalan dan di kawasan persekitaran. Terdapat juga penduduk yang telah dinasihati oleh pihak berkuasa supaya membuang sampah di kawasan yang disediakan tetapi penduduk itu tidak mengendahkan nasihat tersebut dan terus mencemarkan alam sekitar dengan aktiviti membuang sampah di merata-rata tempat sehingga menjadi tabiat dalam kehidupan seharian. Penduduk juga tidak mengambil peduli sekiranya kawasan longgokan sampah dipenuhi lalat atau haiwan yang liar kerana menganggap keselamatan mereka terjamin.

  


                                                                                                  
      

 

Rajah 2: Sampah sarap di kawasan tempat tinggal penduduk

Sumber: Kajian Lapangan 2022

 

            Tambahan pula, punca berlakunya pembuangan sampah sarap di Kampung Gajah, Perak ialah penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berkuasa. Pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas penduduk yang membuang sampah merata-rata. Hal demikian menyebabkan penduduk merasakan perkara yang dilakukan itu betul. Walaupun masalah ini berlaku di kawasan luar bandar, pihak berkuasa tetap perlu menjalankan tugas untuk mengambil tindakan undang-undang seperti denda dan penjara supaya penduduk mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak membuang sampah di merata tempat. Terdapat juga penduduk yang tidak mahu membayar yuran tapak pelupusan sampah dan yuran kutipan sampah kerana mereka menganggap bayaran itu hanyalah bebanan bagi penduduk yang kurang berkemampuan. Oleh tu, mereka mengambil langkah mudah dengan membuang sendiri sampah di kawasan larangan.

 

                                                                                              


Rajah 3: Longgokan sampah di tepi jalan

Sumber: Kajian Lapangan 2022

 

4.0 KESAN AKTIVITI PEMBUANGAN SAMPAH SARAP TERHADAP ALAM SEKITAR


Kesan aktiviti sampah sarap terhadap alam sekitar ialah menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk. Pembuangan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik ini akan memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk di kawasan perkampungan ini. Bau busuk yang datang dari sampah turut menarik perhatian haiwan berbisa seperti ular. Selain itu, sisa-sisa pembuangan sampah juga boleh membawa pelbagai wabak penyakit yang disebarkan oleh haiwan-haiwan perosak seperti tikus, lipas, burung gagak, lalat dan lain-lain sehingga menyebabkan penularan pelbagai wabak penyakit kesan daripada pembuangan sampah sarap yang tidak teratur ini seperti demam denggi, taun, malaria, keracunan makanan dan sebagainya. Wabak penyakit ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan dengan kadar segera.

            Tambahan pula, kesan aktiviti pembuangan sampah sarap terhadap alam sekitar ialah mencemarkan persekitaran dan imej penduduk Kampung Gajah, Perak akibat daripada sistem pengurusan sampah yang tidak sistematik dan tidak teratur menyebabkan kawasan perkampungan tersebut kelihatan kotor. Keadaan kawasan kampung ini yang terjejas kebersihannya akan menyebabkan keindahan alam sekitar di sekeliling kampung tersebut akan terjejas dan juga mengundang persepsi negatif ke atas penduduk di kawasan perkampungan tersebut. Pihak luar dan pelancong akan menganggap masyarakat Kampung Gajah ini sebagai masyarakat yang kurang tahap kesedaran mengenai penjagaan kebersihan. Di samping itu, pembuangan sampah sarap merata-rata tempat juga akan menjejaskan keindahan alam sekitar yang dimiliki oleh kampung tersebut. Pencemaran Sungai Perak juga akan berlaku apabila penduduk membuang sampah ke dalam sungai.

            Di samping itu, aktiviti pembuangan sampah sarap akan mengakibatkan bencana alam yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar serta hidupan yang lain. Kampung Gajah pernah mengalami banjir yang teruk pada tahun 2014. Ketika air banjir surut, terdapat banyak sampah sarap bertaburan di kawasan itu. Perbuatan membuang sampah-sarap ke dalam longkang akan menyebabkan longkang tersumbat dan menghalang pengaliran air ketika hujan. Manakala, pembuangan sampah ke dalam sungai pula menyebabkan sungai menjadi cetek sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat akibat daripada limpahan air yang berlebihan dari sungai yang cetek dan longkang yang tersumbat. Perkara ini berlaku disebabkan pembuangan sampah yang tidak diselia dengan baik menyebabkan berlaku masalah longkang tersumbat akibat dipenuhi dengan sampah sarap.

 

                                                                                          

 

Rajah 4: Pembuangan sampah ke dalam sungai

Sumber: Berita Harian

 

5.0 CADANGAN MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH SARAP


Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya menjadi penghubung di antara penduduk dan agensi pengurusan sampah di kawasan masing-masing. PBT perlu melaksanakan pemantauan secara berkala pada setiap bulan untuk mengambil berat berkaitan keperluan penduduk dalam menguruskan pembuangan sisa sampah di kawasan Kampung Gajah. Dengan kerjasama yang baik dengan agensi pengurusan sampah, sudah pasti tong-tong sampah dan jadual pengurusan dapat diselaraskan dengan keperluan penduduk sekitar. Antara langkah yang telah dilakukan dan bernas untuk dikekalkan adalah penyediaan tong sampah besar pada hari perayaan di mana selalunya banyak pembersihan dan sisa terhasil pada waktu tersebut. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu bertanggungjawab memastikan sisa sampah yang dihasilkan dibuang secara betul.

            Selain itu, cadangan untuk mengatasi masalah pembuangan sampah sarap ialah mengamalkan kitar semula sisa pepejal. Kitar semula ialah satu proses untuk menghasilkan barangan baharu daripada bahan buangan supaya boleh digunakan lagi tanpa berlaku pembaziran. Kitar semula dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan pencemaran udara dan pencemaran air serta mengurangkan pengeluaran gas rumah. Antara bahan yang boleh di kitar semula adalah kertas, kaca, plastik, tekstil, dan logam. Sumber bahan mentah sudah pasti semakin berkurangan dengan peningkatan kuantiti penduduk dunia secara amnya. Maka penduduk mestilah mempunyai kesedaran dan mula bersikap berjimat cermat atau hanya sederhana dalam kehidupan dan berbelanja secara berhemat bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

            Tambahan pula, langkah menguatkuasakan undang-undang larangan penggunaan plastik dapat mengatasi masalah pembuangan sampah sarap. Plastik ialah sisa pepejal yang menjadi penyumbang utama jumlah sisa-sisa sampah di dunia kerana plastik memerlukan berpuluh tahun untuk dilupuskan atau mereput. Tambahan pula, plastik hanya digunakan sekali sahaja dan tidak mempunyai fungsi untuk digunakan berulang kali. Plastik yang digunakan kebiasaannya akan dibuang di merata-rata tempat. Oleh itu, sisa plastik turut memberi ancaman kepada hidupan laut kerana menyebabkan haiwan yang termakan atau lemas. Haiwan akan kekurangan oksigen hasil daripada pengumpulan sampah di permukaan laut. Justeru, undang-undang untuk mengharamkan penggunaan plastik bakal memberi kebaikan bukan sahaja kepada penduduk tetapi kepada hidupan lain seperti haiwan.

            Seterusnya ialah penggunaan teknologi terkini bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap. Penggunaan Loji Waste to Energy merupakan teknologi terkini yang boleh mengurangkan sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sehingga 85%. Teknologi ini turut mengurangkan pencemaran bau daripada sampah sarap berbanding dengan tapak pelupusan sampah sedia ada. Teknologi yang sesuai juga perlu digunakan untuk melupuskan sampah dengan cara yang betul supaya tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Penciptaan pinggan daripada bahan semula jadi seperti ubi kayu juga dapat menggantikan pinggan polistirena dan plastik. Hal demikian dapat mengurangkan pembuangan sisa domestik dan mengelakkan pembaziran.

            Akhir sekali, cadangan untuk mengatasi masalah pembuangan sampah sarap di Kampung Gajah ialah mengadakan program pendidikan berkaitan penjagaan alam sekitar kepada generasi muda di peringkat awal. Program pendidikan ini dijalankan di sekolah supaya murid dapat mengetahui ilmu tentang alam sekitar melalui mata pelajaran geografi dan sains yang dapat memupuk kesedaran dalam diri. Pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan sepanjang program dijalankan iaitu kitar semula sisa pepejal dan bergotong royong mengutip sampah di kawasan sekolah. Kempen juga boleh dilaksanakan untuk memupuk kesedaran tentang penjagaan alam sekitar.

 

6.0 KESIMPULAN


Pengurusan sampah sarap bersepadu sangat penting dan perlu dilaksanakan segera. Pengurusan ini telah mengalami satu perubahan yang sangat serius memandangkan sisa pepejal yang dihasilkan oleh manusia semakin bertambah dan memerlukan perhatian yang sewajarnya. Pengurusan sampah sarap bersepadu bukan setakat untuk mengawal sisa pepejal yang dihasilkan tetapi yang lebih penting bagaimana sistem ini mampu untuk memberi satu tahap persekitaran yang bersih dan kesihatan yang baik kepada penduduk setempat di Kampung Gajah. Semua pihak hendaklah berganding bahu dan bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah pencemaran sampah sarap ini.

 

RUJUKAN

 

Abdul Rahman A Samad. (2019, Mei 9). Retrieved from Maksud pencemaran: https://makna.online/pencemaran/

Ain Abdul. (2018). Retrieved from SEJARAH PENGURUSAN SAMPAH DI KUALA LUMPUR: http://studentsrepo.um.edu.my/12615/1/Nur_Ain.pdf

Farid Noh. (2021, Oktober 5). Retrieved from Sungai dicemari sampah sarap, plastik punca banjir kilat: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/10/872712/sungai-dicemari-sampah-sarap-plastik-punca-banjir-kilat

Fiqrurazi Shamsuri. (2015, Ogos). Retrieved from MASALAH LONGGOKAN SAMPAH KAWASAN PERUMAHAN BERTERES: http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

Hairul Anuar. (2017). Retrieved from KAJIAN ISU: https://zdocs.tips/doc/kajian-isu-o1n5jyrq571l

Hasnah Ali. (2012). Retrieved from Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti:Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia: http://journalarticle.ukm.my/5515/1/artikel6.pdf

 

NAMA : NURUL AINA NAJWA BINTI MOHAMAD RAZIB

NO MATRIK: D20201094304

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...