Friday, June 17, 2022

Isu Gangguan Bekalan Air yang Dihadapi Oleh Penduduk Kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.

PENGENALAN

Selain daripada sumber makanan, tidak dapat dinafikan bahawa air merupakan sumber paling penting. Hal ini kerana, sumber air penting dapat mengekalkan bekalan makanan yang mencukupi kepada persekitaran dan hidupan (Kilic, Z., 2020).  Badan manusia tidak akan bertahan dan hidup 3 hari tanpa air, hal ini kerana badan manusia akan mengalami kekeringan air atau dehidrasi. Sungai, tasik dan bawah tanah merupakan kawasan yang terdapat sumber air. Sehingga kini, air merupakan sumber terpenting dalam aktiviti manusia terutamanya aktiviti domestik (Noorazuan Md Hashim & Shamsuddin Man, 2018). Peningkatan penduduk dan aktiviti manusia yang bergantung terhadap sumber air ini menyebabkan timbulnya beberapa masalah seperti mengancam bekalan makanan manusia. Hal ini kerana, permintaan terhadap air semakin meningkat. Permintaan air yang meningkatkan menyebabkan berlakunya kekurangan air yang seterusnya mengganggu kepelbagai biologi dalam ekosistem daratan dan akuatik. Pencemaran air juga menyebabkan manusia menghadapi masalah kekurangan bekalan air. Pencemaran air yang boleh ditakrifkan sebagai bahan bercampur dengan air, mengubah sifat fizikal, kimia dan biologi air serta memusnahkan struktur semula jadinya dan membahayakan kesihatan manusia dan hidupan lain. Pencemaran air menyebabkan ikan dan organisma marin yang lain tidak dapat oksigen dan memberi kesan buruk terhadap ekosistem (Kilic, Z., 2021).

            Namun, isu gangguan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk kampung di Wilayah Persekutuan Labuan adalah tidak melibatkan peningkatan penduduk mahupun pencemaran air. W.P Labuan merupakan pulau bebas cukai yang diisytiharkan sebagai salah satu negeri Wilayah Persekutuan di Malaysia pada 16 April 1984. Sebuah negeri pulau yang terletak 8 km dari persisir pantai pulau Borneo sebelah pantai barat. Di W.P Labuan terdapat 29 buah kampung (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020). W.P Labuan bebas daripada mana-mana jenis pencemaran terutamanya pencemaran air. Hal ini kerana, W.P Labuan merupakan sebuah pulau menyebabkan penjagaan sumber air sangat penting terutamanya di kawasan pantai. Untuk mengekalkan keunikan di W.P Labuan, kesedaran terhadap sumber air sangat diutamakan. Rajah 1 merupakan peta Wilayah Persekutuan Labuan.


Rajah 1 : Peta Labuan

RINGKASAN KES

Bagi penduduk kampung Wilayah Persekutuan Labuan, isu gangguan bekalan air dianggap sebagai acara tahunan yang wajib dilaksanakan setiap tahun. Jabatan Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan (JBA) sehingga kini masih belum menjumpai jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah bekalan air terputus ini. W.P Labuan sebuah pulau yang beruntung kerana mempunyai penduduk yang sedar akan pencemaran alam sekitar seperti pencemaran udara, air, bau dan bunyi. Namun, masalah lain yang muncul iaitu terputusnya bekalan air. Setiap tahun isu ini akan muncul di kawasan yang sama. Hampir 90% kawasan di W.P Labuan bergantung terhadap bekalan air dari saluran paip dasar laut sepanjang 25.7 kilometer. Hanya kawasan bandar dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) serta kawasan berdekatan seperti Kampung Sungai Miri dan Sungai Lada sahaja yang tidak akan mengalami gangguan bekalan air ini. Hal ini kerana, kawasan tersebut menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Sungai Pagar (Majlis Keselamatan Negara, 2022). Manakala, kawasan lain menerima bekalan air di Beaufort. Saluran paip ini bermula daripada Sungai Padas iaitu di Beaufort negeri Sabah ke empangan Pulau Enoe W.P Labuan. Dari bulan Januari 2022, sebanyak 35 notis berkaitan gangguan bekalan air telah dikeluarkan oleh pihak JBA (Bernama, 2022). Meskipun JBA W.P Labuan sering menerima rungutan dan cadangan daripada penduduk kampung, isu paip bocor ini masih belum mencapai jalan penyelesaian. Rajah 2 sehingga Rajah 4 ini merupakan bukti gambar-gambar yang telah dimuatnaik dalam Facebook Jabatan Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan.


    Rajah 2 :Kebocoran tangki tekanan di Pulau Enoe


Rajah 3 : Kebocoran paip sambungan di kampung Rancha-Rancha


Rajah 4 : Keretakan paip di kampung Rancha-Rancha

PUNCA BERLAKUNYA ISU GANGGUAN BEKALAN AIR

Peliknya isu gangguan bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan ini bukanlah disebabkan oleh kurangnya kesedaran penduduk kampung di W.P Labuan mahupun peningkatan permintaan air akibat pertumbuhan penduduk yang pesat, namun isu ini wujud disebabkan oleh beberapa perkara. Punca yang pertama adalah pengurusan yang tidak sistematik. Tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa berusaha untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air ini. Namun, usaha yang dilakukan bukanlah selari dengan kemahuan dan keperluan penduduk kampung kerana usaha tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah dan beban yang dihadapi oleh penduduk kampung. Penduduk kampung sentiasa mengadu dan membuat laporan akibat pengurusan pihak berkuasa yang lambat mengeluarkan notis memberhentikan bekalan air buat sementara waktu. Notis dikeluarkan selepas beberapa jam paip ditutup. Ini menyebabkan penduduk kampung tidak mempunyai persediaan untuk menyediakan dan memenuhi tangki simpanan. Tambahan pula, isu gangguan bekalan air ini bukanlah perkara yang baru bagi penduduk di W.P Labuan, namun pihak berkuasa masih belum peka terhadap aduan penduduk kampung.

            Selain itu, punca kedua adalah masalah kewangan. Datuk Rozman Isli wakil ahli Parlimen Labuan mengatakan dalam akhbar Borneo Today bahawa peruntukan kewangan sebanyak RM100 juta yang diperlukan untuk mengganti keseluruhan paip yang lama di pulau Labuan. Namun, kekurangan kewangan masih lagi menjadi halangan utama untuk menggantikan paip yang lama dan rosak. Sehingga kini masih menggunakan paip yang sama dan keadaan ini menyebabkan paip yang dibaiki itu hanya berfungsi dalam jangka waktu yang pendek. Tambahan pula, kekurangan kewangan ini menyebabkan penyedian Tangki Statik tidak mampu menampung jumlah penduduk kampung terutamanya di kawasan perumahan. Bekalan air yang terputus menyebabkan permintaan air tawar meningkat untuk melakukan aktiviti harian. Maka dengan ini, W.P Labuan akan tetap berhadapan dengan isu bekalan air terputus dalam jangka masa yang lama.

            Punca ketiga adalah kurangnya pekerja yang berkemahiran. Pekerja yang bertugas untuk membaiki paip yang bocor adalah pekerja kurang mahir menyebabkan paip yang dibaiki hanyalah asal siap dan berfungsi dalam waktu yang singkat. Hal ini menyebabkan isu paip bocor akan kerap berterusan. Bukan itu sahaja, masalah kurang pekerja yang berkemahiran ini juga disebabkan oleh kurangnya usaha pihak berkuasa untuk menganjurkan program latihan kemahiran kepada penduduk kampung. Pulau Labuan tersebut terkenal dengan pekerjaan Oil and Gas, menyebabkan penduduk hanya fokus untuk memasuki dalam bidang tersebut. Secara langsung keadaan ini menyebabkan penawaran buruh mahir dalam bidang membaiki paip yang bocor sangatlah kurang.


MASALAH YANG TIMBUL

Sumber air sangat penting untuk manusia dan persekitaran. Aktiviti manusia sangat bergantung terhadap penggunaan air. Maka, terdapat beberapa masalah yang timbul selama penyelenggaraan paip bocor dilaksanakan. Antaranya ialah sumber pendapatan peniaga kecil-kecilan terjejas. Di bandar W.P Labuan, salah satu tumpuan utama penduduk tempatan dan pelancong luar ada bazar tempatan. Di sana pelbagai jenis jualan makanan dan minuman. Disebabkan oleh lebih daripada separuh penduduk menghadapi gangguan bekalan air, perniagaan terpaksa diberhentikan sehingga proses membaiki paip bocor selesai. Pengusaha restoran juga turut terjejas, selain daripada kawasan bandar, terdapat gerai makanan yang terkenal di luar bandar. Pengusaha kekurangan sumber air untuk mencuci pinggan, cawan dan sudu yang kotor. Maka, secara langsung keuntungan yang mereka perolehi pada waktu tersebut akan kurang berbanding hari biasa kerana pada masa yang sama harus membayar gaji pekerja.

            Masalah kedua adalah menyukarkan pengurusan jenazah. Datuk Rozman Isli sekali lagi menyatakan bahawa beliau menerima banyak aduan mengenai kesulitan yang dihadapi oleh penduduk kampung akibat ketiadaan bekalan air. Terdapat banyak surau dan masjid di setiap kampung yang juga turut terjejas ketiadaan bekalan air. Masalah ini menyukarkan proses untuk memandikan jenazah. Bukan itu sahaja, mereka yang ingin solat di masjid dan surau juga turut berdepan dengan kesusahan kerana sukar untuk mengambil wudhu. Maka dengan ini, penyediaan lori penghantaran bekalan air di kawasan penting seperti surau dan masjib harus diberi keutamaan.

            Masalah ketiga iaitu masalah yang sememangnya akan muncul adalah menganggu aktiviti harian. Ketiadaan bekalan air menyebabkan penduduk sukar untuk mandi. Mereka perlu mandi agar mendapat keselesaan untuk pergi ke sekolah, tempat kerja dan melakukan aktiviti lain. Tambahan pula, mereka yang mempunyai ramai anak kecil di rumah juga menghadapi kesukaran. Bekalan air terputus menyekat keperluan anak-anak untuk mandi, menyediakan susu formula dan membersihkan diri. Di W.P Labuan, tempoh terputusnya bekalan air paling minimum adalah 72 jam iaitu bersamaan dengan 3 hari. Selama tempoh tersebut, keselesaan penduduk terganggu.


CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Disebabkan oleh isu gangguan bekalan air di W.P Labuan telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu, maka cadangan penambahbaikan adalah sangat penting. Menggesa Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan peruntukan kewangan. Pentingnya mempunyai kewangan yang cukup bagi menggantikan paip-paip yang sudah rosak. Menerima bantuan daripada penduduk tempatan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Selain daripada menggunakan peruntukan untuk mengganti paip-paip yang lama, peruntukan kewangan juga diperlukan untuk membayar pekerja-pekerja mahir agar memudahkan dan mempercepatkan perlaksanaan penggantian paip lama. Maka dengan ini, isu bekalan air terputus dapat diselesaikan dan paip dapat digunakan dapat jangka waktu yang lama.

            Kedua, mengadakan program latihan kemahiran. Di W.P Labuan, selain daripada bergantung terhadap lepasan pelajar Institut Latihan Perindustrian, GIATMARA dan Kolej Vokasional, pihak berkuasa harus menganjurkan program latihan kemahiran agar dapat meningkatkan penawaran buruh yang mahir dalam bidang yang berkenan. Punca isu ini berterusan adalah pihak berkuasa hanya mempunyai pekerja yang tidak mahir. Hal ini kerana, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh pekerja mahir dan pekerja tidak mahir adalah berbeza. Mengupah pekerja mahir dan melahirkan pekerja mahir sedikit sebanyak membantu proses penyelenggaraan paip bocor.

            Meningkatkan jumlah Tangki Statik juga akan mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi oleh penduduk terjejas terutamanya di kawasan perumahan kerana mereka tidak mempunyai tangki simpanan peribadi. Namun, bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan, penyediaan Tangki Statik tidak akan memudahkan kerja mereka kerana mereka harus mengangkat baldi yang berisi air dan menaiki tangga. Tambahan pula, mereka yang mempunyai ramai anak atau tinggal di tingkat yang tinggi lebih rela menunggu saluran air paip dibuka semula berbanding mengangkat baldi berisi air yang berat. Maka, cadangan untuk mengurangkan beban masyarakat di perumahan adalah dengan membuka paip secara berkala. Sebagai contoh, memberi waktu selama 2 jam bagi penduduk perumahan untuk mengisi semula tangki mereka dan selepas itu menutup semula paip tersebut. Cadangan kedua untuk meringankan beban penduduk di perumahan adalah mewujudkan kelab kemasyarakatan. Mereka dengan sukarela membantu mengangkat air untuk penduduk di perumahan. Dengan melakukan hal sebegini, kebajikan rakyat dapat dijaga.


KESIMPULAN

Keseluruhannya, isu gangguan bekalan air ini bukanlah perkara baru bagi penduduk W.P Labuan. Selain membaiki paip yang rosak, alangkah baiknya sekiranya paip tersebut terus diganti dengan paip yang lebih baik. Meskipun isu ini kerap berterusan, namun jalan penyelesaian masih belum mencapai kata noktah. Kebajikan rakyat akan sentiasa terjejas sekiranya isu ini tidak diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat. Perbezaan isu gangguan bekalan air di W.P Labuan dengan kawasan lain adalah, isu ini timbul bukan disebabkan oleh kurangnya kesedaran masyarakat mengenai pencemaran air.


NAMA : NURUL IZZAH BINTI ZAINUDDIN

NO MATRIK : D20201094330

KUMPULAN KULIAH : B

RUJUKAN

Bernama. (2022). Paip pam utama bocor punca utama masalah air di Labuan. Dicapai pada 15 Jun 2022. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/817043/paip-pam-utama-bocor-punca-masalah-air-di-labuan.


Borneo Today. (10 Julai 2020). Masalah Bekalan Air di Labuan Perlu Ditangani Segera. Dicapai pada 15 Jun 2022. Diperoleh daripada https://www.borneotoday.net/masalah-bekalan-air-di-labuan-perlu-ditangani-segera/


Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Dicapai pada 15 Jun 2021. Diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_DOSM.WILAYAH_1.2020_Siri-91.pdf


Kilic, Z. (2020). The importance of water and conscious use of water. International Journal of Hydrology. 4. 239-241. 10.15406/ijh.2020.04.00250.

Kilic, Z. (2021). Water Pollution: Causes, Negative Effects, and Prevention Methods. Journal of the Institute of Science and Technology. Vol. 3 (1): 129-132 https://doi.org/10.47769/izufbed.862679.


Majlis Keselamatan Negara. (11 Mac 2022). Krisis Bekalan Air di W.P Labuan. Dicapai pada 15 Jun 2022. Diperoleh daripada https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/11/krisis-bekalan-air-di-wp-labuan/


Noorazuan Md Hashim & Shamsuddin Man. (2018). Tanggapan, kesedaran dan motivasi masyarakat terhadap penggunaan hujan sebagai bekalan alternatif bandar. Malaysian Journal of Society and Space, 14 issue 3 (37 - 52).

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...