JENIS PEKERJAAN SEHARIAN YANG DILAKSANAKAN DAN ISU PENGANGGURAN BELIA DI DAERAH BAGAN DATUK, PERAK
1.0 PENGENALAN
Pekerjaan merupakan salah satu medium bagi semua individu yang mampu dari segi fizikal dan mental untuk mendapatkan pendapatan bulanan bagi memenuhi keperluan setiap hari sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga supaya dapat meningkatkan taraf hidup. Pekerjaan boleh dibahagikan ke beberapa sektor iaitu antaranya ialah dalam sektor pembuatan, perindustrian, perkhidmatan, pendidikan dan juga pertanian di mana ia juga turut dipengaruhi oleh geografi kawasan tersebut di mana geografi kawasan yang berdekatan dengan bandar yang mengalami pembangunan yang pesat, kebanyakannnya akan menjalankan sektor pembuatan dan perindustrian. Bagi kawasan yang memiliki geografi yang kurang membangun seperti di kampung-kampung ataupun di pedalaman pula, kebanyakan jenis pekerjaan adalah daripada sektor pertanian, perlombongan dan perikanan di mana sumber-sumber yang berkaitan seperti tanih, ikan dan bahan galian masih boleh didapati dalam kuantiti yang banyak.
Berdasarkan ini juga, dapat dilihat taraf kehidupan adalah berbeza antara masyarakat yang hidup di bandar dan juga masyarakat yang hidup di kawasan luar bandar. Menurut laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) berkenaan gaji dan upah rakyat malaysia, purata gaji penduduk bandar bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM 3, 405 manakala purata gaji bagi penduduk luar bandar adalah sebanyak RM 2, 208. Hal ini juga boleh mempengaruhi kadar penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar. Walau bagaimanapun, terdapat juga penduduk yang masih mahu tinggal di kawasan luar bandar untuk bekerja terutamanya dalam sektor pertanian, penternakan serta perikanan. Namun, terdapat juga isu pengangguran yang berlaku terutamanya di daerah Bagan Datuk terutamanya dalam kalangan belia yang berumur antara 20-31 tahun. Hal ini juga sedikit sebanyak telah mempengaruhi gaya kehidupan seharian mereka iaitu dari segi aktiviti harian serta sosial
2.0 RINGKASAN KES
Kebanyakan penduduk di daerah Bagan Datuk bekerja di sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebagai aktiviti ekonomi utama memandangkan Bagan Datuk merupakan sebuah daerah yang kurang membangun, serta berkedudukan bersebelahan dengan Selat Melaka. Aktiviti-aktiviti ekonomi ini diakui kurang mendapat perhatian ramai kerana memerlukan sejumlah tenaga yang banyak untuk kerja-kerja yang berkaitan dan hasil pulangan bagi pekerjaan ini juga tidaklah begitu tinggi namun cukup untuk menampung kehidupan di luar bandar yang memiliki kos sara hidup yang rendah berbanding di bandar. Berikutan itu, terdapat segelintir belia di Bagan Datuk yang bersikap memilih pekerjaan kerana hal ini dapat dilihat daripada pemerhatian yang dapat dilakukan seharian di mana pekerjaan-pekerjaan kampung ini banyak dilakukan oleh golongan-golongan berumur 50 an tahun ke atas serta golongan warga asing yang tinggal di daerah yang sama yang datang dari pelbagai negara. Golongan belia dilihat kurang melibatkan diri dalam pekerjaan sebegini kerana beranggapan pekerjaan sebegini terlalu sukar bagi mereka dan gaji pula tidak setanding dengan tenaga yang dikeluarkan. Golongan belia yang disebutkan kebiasaannya terdiri daripada golongan lepasan universiti yang menunggu panggilan untuk bekerja dalam sektor yang mereka pelajari dan ada juga belia yang enggan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, isu pengangguran dalam kalangan belia ini juga memberi impak kepada gaya hidup seharian mereka yang dilihat terlalu bebas keluar rumah dan bersosial tanpa melakukan perkara yang berfaedah kepada komuniti. Isu pengangguran belia ini juga sedikit sebanyak telah menjadi satu hal yang perlu dipertimbangkan supaya bilangan belia yang menganggur terutamanya bagi Gerakan Persatuan Mahasiswa Negeri Perak dan PASAK Perak berperanan penting dalam membantu para belia untuk mendapatkan pekerjaan.
3.0 PUNCA
Jenis pekerjaan di Bagan Datuk antara yang menjadi salah satu perkara yang diambil berat oleh para belia dalam memilih pekerjaan sehingga menimbulkan isu terhadap pengangguran belia setempat.
3.1 SIKAP MEMILIH PEKERJAAN
Manusia sememangnya diberi pilihan untuk membuat keputusan untuk diri sendiri terutamanya yang berkaitan dengan masa depan individu. Pengaruh persekitaran belia sememangnya memberikan impak dalam keputusan pekerjaan yang dilakukan namun, pemikiran seseorang individu itu sendiri memberikan impak yang besar terhadap keputusan yang dilakukan di amna dalam konteks ini adalah berkenaan dengan isu pekerjaan. Menurut Sofea Azahar (2021), secara keseluruhannya, para belia di malaysia lebih memilih untuk melakukan kerja dalam bidang kolar biru dan kolar putih. Begitu juga dengan kalangan belia di Bagan Datuk, sikap memilih pekerjaan yang ada dalam diri segelintir belia yang menganggur berpunca daripada stigma yang ditanam dalam diri sendiri yang mana pekerjaan kampung tidak membawa pulangan yang banyak seperti mana pekerjaan di pejabat yang kebanyakannya dapat menjamin masa hadapan dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, golongan belia ini juga tersekat dengan stigma yang menyatakan bahawa sektor pekerjaan ini tidak dipandang tinggi oleh masyarakat di mana ia hanyalah pekerjaan untuk golongan-golongan yang tua dan memerlukan tenaga yang banyak terutamanya apabila berlakunya musim panas yang melampau serta musim peralihan monsun di mana ia akan banyak memberikan kesan terhadap masa bekerja dan pulangan harian yang terhad.
3.2 GRADUAN YANG SEDANG MENUNGGU TAWARAN PEKERJAAN
Sebahagian belia yang menganggur di daerah Bagan Datuk juga terdiri daripada para graduan yang sedang menunggu panggilan bekerja dalam sektor yang mereka minati. Namun, berikutan dengan bilangan kerja kosong yang semakin berkurangan di Malaysia, para graduan menghadapi cabaran yang besar untuk diserap ke dalam sektor pekerjaan yang mereka pelajari sewaktu di universiti hingga pada satu tahap, mereka perlu menunggu sehingga bertahun-tahun untuk menunggu masa diambil bekerja. Dalam jangka masa yang panjang tersebut, ada dalam kalangan graduan tersebut tidak mengambil sebarang pekerjaan separuh masa yang boleh mereka lakukan untuk mengisi masa lapang di rumah. Walau bagaimanapun, bagi belia-belia yang berfikiran jauh, mereka akan mengambil sebarang pekerjaan secara sepenuh atau separuh masa bagi membuat persiapan untuk membayar balik pinjaman pendidikan yang mereka. Namun, sebahagian besar daripada mereka masih tidak berminat untuk memilih pekerjaan dari sektor sama ada pertanian, perikanan mahupun penternakan kerana salah satu sebabnya adalah kurang kemahiran dalam ketiga-tiga sektor tersebut walaupun daerah Bagan Datuk merupakan kampung halaman dan tempat tinggal mereka sendiri. Bagi mereka yang memilih untuk bekerja pula, sebahagian besar daripada belia ini memilih untuk bekerja di sektor makanan dan minuman (F&B), dan peruncitan di mana skop kerja adalah lebih mudah dan selesa berbanding kerja-kerja kampung.
4.0 KESAN
Kesan dapat dihuraikan dari segi sosial serta keperluan tenaga buruh dalam sektor pertanian di daerah Bagan Datuk.
4.1 SOSIAL BELIA
Melalui pemerhatian yang dijalankan, belia-belia yang masih menganggur dilihat banyak meluangkan masa di luar rumah tanpa melakukan perkara yang berfaedah. Aktiviti sebegini menjadikan ramai masyarakat kurang senang dengan kawasan tempat tinggal sekeliling kerana timbul beberapa isu negatif berikutan dengan isu tersebut. Aktviti yang sering dilakukan oleh golongan ini ialah seperti melepak dan berlumba haram di jalan-jalan raya serta kampung. Masalah ini memberi kesan kepada penduduk sekeliling di mana ia mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising motor yang semakin berleluasa dari hari ke hari hal ini juga secara langsung menyebabkan pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi ialah pendedahan secara berterusan kepada peningkatan kelantangan bunyi yang akan memberikan kesan terhadap manusia serta hidupan yang lain (National Geographic Society, 2022) dan hal ini berupaya untuk menjejaskan kesihatan pendengaran dalam jangka masa yang lama.
Selain itu, kesan juga timbul dari sudut kekurangan pekerja dalam sektor pertanian. Kebanyakan pekerja yang terlibat dalam sektor ini adalah terdiri daripada golongan tua iaitu antara umur 50an tahun ke atas serta warga-warga asing. Hal ini kerana, warga-warga asing bersedia dan kebanyakannya adalah mahir untuk melakukan kerja-kerja dalam sektor ini bagi mendapatkan gaji untuk menyara kehidupan keluarga di negara sendiri memandangkan nilai mata wang di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara mereka sendiri. Tambahan pula, kadar gaji yang selalunya diberikan oleh majikan adalah rendah dan ini secara tidak langsung dapat memberi keuntungan kepada majikan kerana pengeluaran kos pekerja yang rendah. Disebabkan oleh peningkatan pengangguran belia di daerah Bagan Datuk ini, ia menimbulkan isu lambakan pekerja asing di mana banyak petempatan-petempatan warga asing di bina dan ada juga segelintir penduduk yang menyewakan rumah mereka kepada warga asing.
5.0 CADANGAN PENYELESAIAN
5.1 MENGGALAKKAN PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN
Salah satu langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu pengangguran belia ialah dengan menggalakkan program-program latihan kemahiran dalam sektor pertanian bagi membantu membuka peluang kepada belia-belia yang terlibat dengan isu pengangguran untuk mengasah kemahiran dalam menguruskan serta melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengan sektor ini. Penyediaan insentif berbentuk elaun setiap bulan dapat menarik perhatian belia untuk turut serta dalam program yang diadakan kerana sebahagian besar daripada belia yang menganggur juga memiliki kekurangan wang dalam simpanan mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka hendak merancang untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian ini selepas selesai menjalani latihan. Sekiranya usaha perlaksanaan program latihan ini dikembangkan, ia pasti membuka banyak peluang kepada belia yang menganggur untuk mempelajari kemahiran dalam bidang pertanian meskipun bukan dalam bidang yang mereka pelajari juga sementara dalam proses menunggu panggilan kerja. Majikan-majikan juga dapat menambah bilangan pekerja yang berkemahiran untuk menguruskan kerja-kerja yang melibatkan sektor pertanian.
Sebagai contoh, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan MAFI, (2022), satu program telah dilaksanakan pada peringkat kebangsaan iaitu program latihan kemahiran pertanian kebangsaan (PLKPK) yang disasarkan untuk golongan-golongan belia lepasan universiti yang menunggu untuk diserap kerja ke sektor masing-masing serta bagi belia yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk mengasah kemahiran dalam sektor pertanian.
5.2 PENERAPAN KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN DALAM PENDIDIKAN
Menurut Sofea Azahar (2021), pendidikan berperanan untuk menyampaikan maklumat yang benar dan tepat kepada semua belia supaya dapat menanam ilmu serta pemikiran yang optimis terhadap sektor pertanian dan usaha ini harus dimulai sejak zaman sekolah di mana pendidikan merupakan asas utama dalam menyampaikan maklumat. Guru terutamanya dalam bidang teknik dan vokasional harus memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat-maklumat mengenai kepentingan sektor pertanian dalam kehidupan manusia serta peluang-peluang yang boleh diguankan oleh pelajar untuk menceburi bidang pertanian selepas habis belajar kelak. Pengetahuan mengenai perniagaan pertanian harus diterapkan dalam diri pelajar supaya mereka mengetahui bahawa sektor pertanian turut memberi peluang yang cerah untuk meningkatkan taraf hidup kendiri. Selain itu, guru juga perlu menyediakan kemudahan yang bersesuaian dengan aktiviti pembelajaran sains pertanian supaya dapat menggalakkan murid untuk membuka mata berkenaan dengan keseronokan dalam menceburi bidang pertanian secara praktikal serta dapat mempelajarinya dengan lebh efektif. Pengimplementasian pembelajaran yang praktikal akan lebih mendedahlan pelajar kepada pengaplikasian teori dan konsep dalam kehidupan sebenar sekaligus dapat mendorong semangat dan minat murid untuk belajar berkenaan dengan pertanian.
6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya, jenis pekerjaan dan isu pengangguran dalam kalangan belia memiliki perkaitan yang ketara di mana ia harus ditangani dengan sebaik mungkin agar golongan belia ini dapat membentuk satu kehidupan yang baik pada masa hadapan. Hal ini kerana, ia juga mempengaruhi ekonomi negara dari segi keperluan tenaga buruh dalam pelbagai sektor terutamanya bagi sektor pertanian. Golongan belia haruslah membuka mata untuk melihat peluang pekerjaan yang tersedia untuk meningkatkan taraf hidup meskipun mengambil masa yang lama untuk melihat kesannya. Isu pengangguran yang tinggi akan memberikan kesan yang buruk kepada prestasi kitaran ekonomi negeri serta daerah Bagan Datuk sendiri di mana berlakunya pembaziran tenaga manusia yang boleh digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan tahap pengeluaran sektor. Diharapkan agar golongan belia mampu untuk memajukan diri dalam kerja yang dilaksanakan serta mampu untuk melihat peluang yang tersedia dalam sektor pertanian untuk menambahkan produktiviti sektor ini.
RUJUKAN
Berita Nasional Malaysia. 2021. Pertanian Moden Tarik Minat Generasi Muda. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/11/887233/pertanian-mo den-tarik-minat-generasi-muda
Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2019. Diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Putrajaya
Jabatan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. 2022. Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK). Diperoleh daripada https://www.mafi.gov.my/blkp
National Geographic Society. 2022. Noise Pollution. Diperoleh daripada https://education.nati onalgeographic.org/resource/noise-pollution
Sofea Azahar. 2021. Jadikan Sektor Pertanian Lebih Menarik Untuk Belia. Diperoleh daripada https://www.malaysianow.com/wacana/2021/04/19/jadikan-sektor-pertanian-lebih-menarik-untuk-belia/
No comments:
Post a Comment