Sunday, June 19, 2022

ISU PEMBUANGAN SAMPAH SARAP YANG TELAH MENCEMARKAN PERSEKITARAN DI PEKAN, KUNAK

ISU PEMBUANGAN SAMPAH SARAP YANG TELAH MENCEMARKAN PERSEKITARAN DI PEKAN, KUNAK

 

 

1.0 PENGENALAN

Isu alam sekitar bukanlah suatu perkara yang asing lagi di negara ini. Lebih-lebih lagi isu pembuangan sampah, di mana ia telah mencemarkan imej di kawasan tersebut. Kawasan yang dipenuhi dengan sampah sarap ini sememangnya akan memberi banyak impak.  Sampah sarap yang di hasilkan dari rumah, kawasan perumahan serta restoran merupakan antara pengeluaran sampah terbanyak dilakukan. Isu pembuangan sampah-sarap ini semakin hari, semakin hangat diperkatakan dan memerlukan satu pengurusan yang lebih efektif dalam memastikan pengurusan sampah sarap ini dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Sememangnya peningkatan pembuangan sampah sarap ini akan menyebabkan timbulnya pencemaran. Pencemaran merupakan suatu  perbuatan mencemarkan (mengotorkan) alam sekeliling dengan sampah sarap dan bahan pencemar seperti bahan kimia, haba dan cahaya yang mengakibatkan pelbagai kesan negatif.

            Pencemaran sampah boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan  dalam kehidupan (Fiqrurazi, 2015). Sampah sarap turut ditakrifkan sebagai sisa atau bahan buangan yang tidak lagi dikehendaki dan merupakan bahan buangan yang lain daripada sisa air atau sisa yang dilepaskan ke udara. Semua bahan ini adalah terhasil daripada kegiatan manusia mahupun haiwan (Ain, 2018). Pengurusan sampah sarap dapat didefinisikan sebagai satu disiplin ilmu yang mana ia berkaitan dengan penyimpanan, pengumpulan, penjanaan , pemprosesan dan pelupusan sampah di tapak pelupusan sampah dengan menggunakan kaedah yang sesuai dengan pemuliharaan dan pertimbangan kepada alam sekitar. Pengurusan sampah yang kurang baik akan menimbulkan kesan yang kronik

            Dalam hal ini, pembuangan sampah sarap masih lagi menjadi isu di  negara ini. Isu ini telah mengundang kepada pelbagai masalah yang timbul bukan sahaja kepada sektor pelancongan akan tetapi ia telah menjejaskan kualiti alam sekitar. Pada masa kini, negara Malaysia mempunyai 289 tapak pelupusan sampah dan setiap satunya merangkumi keluasan antara 20-150 hektar ekar. Keadaan ini pastinya tidak dapat menampung jumlah sampah yang dihasilkan kerana tapak pelupusan sampah yang sedia ada ini mempunyai kadar kitaran tarikh luput untuk digunakan. Berikutan dengan jumlah sampah dalam sehari yang digunakan tidak menentu, maka kita sukar untuk menjangkakan sejauh manakah keberkesanan tapak pelupusan ini digunakan dengan jumlah sampah yang dihasilkan kian bertambah dari hari ke hari.

 

2.0 RINGKASAN KES

Kunak merupakan sebuah daerah yang terletak di antara Tawau, Semporna dan Lahad Datu. Walaupun Pekan Kunak hanyalah sebuah daerah yang kecil, namun pada hari ini isu pembuangan sampah sangat membimbangkan. Hal ini demikian kerana, isu ini telah mencemarkan imej Kunak. Sekiranya pelancong datang ke Kunak, pastinya mereka akan memandang rendah akan daerah ini kerana mempunyai pengurusan sampah sarap yang tidak cekap. Bukan sahaja di Kunak, tetapi di bandar-bandar utama juga mengalami isu yang sama. Pada masa kini di Malaysia, terutamanya di kawasan bandar telah menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik.

Di Sabah  masih  tidak  mempunyai  satu  peraturan  khusus  mengenai pengasingan sisa pembuangan sampah  dan ini menyebabkan negeri ini berdepan dengan longgokan sisa kitar semula. Selain itu situasi ini juga menjadi masalah dalam pengurusan sampah dan sisa pepejal  ditambah lagi dengan  sikap  masyarakat (Tahir, et al, 2019). Jika sikap sebegini hadir dalam setiap masyarakat, pastinya untuk memiliki alam persekitaran yang menarik dan bersih menjadi satu angan-angan. Semua perkara bermula dari diri kita, apabila kita sayang akan alam sekitar, mengetahui kesannya dalam jangka masa panjang, pastinya akan berasa berat hati untuk membuang sampah di merata tempat.

Rajah 1 : Rumah sampah Pekan, Kunak

Sumber : Kajian Lapangan 2022

 

3.0 PUNCA BERLAKUNYA PEMBUANGAN SAMPAH SARAP DI PEKAN, KUNAK

Isu ini semakin menjadi-jadi apabila wujud sikap sesetengah masyarakat yang pentingkan diri sendiri. Mereka tidak cakna dengan persekitaran yang kotor dan bersepah dengan sampah, asalkan dalam rumah bersih dan terjaga sudah cukup bagi mereka. Sikap bertanggungjawab ini tidak hadir dalam diri mereka di mana mereka hanya membuang sampah sesuka hati seperti di tepi jalan dan di sungai. Keadaan ini menyebabkan longgokan sampah itu telah menjadi tempat pembuangan yang secara rasmi. Lebih membimbangkan apabila berlaku di kawasan perumahan, di kampung-kampung di sekitar Kunak. Isu pembuangan sampah ini boleh mencetuskan pergaduhan sesama jiran tetangga apabila sampah itu bertaburan di sekitar rumah mereka. Walhal sampah yang bertaburan itu disebabkan oleh haiwan seperti anjing-anjing berkeliaran. Sebenarnya perbuatan membuang sampah yang dilakukan oleh mereka akan berbalik kepada mereka juga, di mana segala kesan yang berlaku akan di rasai oleh mereka.

Selain itu, isu ini semakin menjadi kritikal apabila wujud pertambahan penduduk di Pekan, Kunak. Pertambahan  jumlah penduduk  secara tidak langsung menyebabkan  sisa pepejal yang akan dilupuskan juga meningkat di mana ia menjadi satu cabaran masa ini. Ini bermakna satu rumah dapat menghasilkan jumlah sampah kira-kira 37,890 tan setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu (Yusri, 2020). Situasi ini akan menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara. Maka tidak hairanlah jika berlaku longgokan sampah di kawasan pelupusan sampah dan perbuatan membuang sampah sarap berlaku di merata tempat. Perbuatan ini sudah menjadi satu tabiat dalam kalangan penduduk. Mereka beranggapan bahawa terdapat pekerja pembersihan yang mengurus akan sampah-sarap ini jadi mereka sesuka hati untuk membuang sampah. Walaupun pertambahan jumlah penduduk meningkat, tetapi jika mereka mengubah gaya hidup mereka yakni sanggup mengubah sikap kebiasaan yang mereka lakukan kepada yang lebih peka terhadap alam sekitar, maka isu ini tidak akan berleluasa.     (Hanah et, al, 2012) . Namun, sebaliknya pula berlaku di Pekan Kunak.

Rajah 2 : Tempat pembuangan sampah

Sumber : Kajian Lapangan 2022

 

Akhir sekali, punca yang menyebabkan pembuangan sampah sarap itu semakin menjadi perhatian disebabkan kurangnya kesedaran sivik. Walaupun mereka tahu akan kesan pembuangan sampah ke merata tempat namun disebabkan sikap mereka yang tidak mengambil peduli akan isu ini, mereka hanya membiarkan sehinggakan sampah itu berselerak dan berbau di sesetengah kawasan Pekan Kunak. Situasi yang menyedihkan lagi apabila tiada sedikit pun timbul rasa bersalah dalam diri mereka di mana mereka sesuka hati membuang sampah  walaupun terdapat tong sampah disediakan. Mereka sudah tahu bahawa tempat pelupusan itu sudah penuh, tetapi masih lagi membuang sampah di kawasan tersebut. Hal ini disebabkan sikap malas untuk mencari tempat pelupusan sampah yang lain. Jadi mereka mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sesuka hati. Keadaan ini sering kali berlaku di kawasan bandar khususnya di mana sampah-sampah seperti plastik bungkusan, bekas makanan dan minuman kertas,  malah lampin pakai buang ditinggalkan bersepah di kawasan tersebut. Oleh sebab itulah kesedaran sivik ini sangat penting dalam semua aspek, bukan sahaja dalam isu ini.

 

 

        Rajah 3 : Sampah sarap bertaburan sekitar Pekan, Kunak

Sumber : Kajian Lapangan 2022

 

4.0 KESAN AKTIVITI PEMBUANGAN SAMPAH SARAP TERHADAP ALAM SEKITAR

Pembuangan sampah sarap ini telah menjejaskan masalah kesihatan penduduk setempat. Sampah sarap yang di buang merata-rata  tempat seperti di sungai, di longkang dan di tepi jalan ini adalah tidak sepatutnya . Sisa pembuangan sampah-sarap ini telah membawa kepada pelbagai jenis penyakit seperti demam denggi. Contohnya, demam denggi berlaku apabila takungan air yang terdapat di sampah itu telah menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk Aedes. Apabila nyamuk Aedes sudah mula membiak, maka ia akan menyerang manusia seperti penyakit demam denggi yang boleh menyebabkan kematian. Bukan itu sahaja, pembuangan sampah di sungai dan laut akan menimbulkan masalah keracunan makanan. Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan dan minuman yang tercemar. Contohnya, penduduk tidak mengetahui bahawa mereka telah mendapat bekalan yang kotor di mana air itu telah tercemar disebabkan oleh pembuangan sampah sarap, pembuangan bahan kimia dari kilang.

Selain itu kesan pembuangan sampah sarap ialah telah menyebabkan berlakunya pencemaran bau. Apabila longgokan sampah sudah terkumpul di tempat pelupusan sampah itu maka akan wujud satu keadaan kacau-ganggu yang menyebabkan penduduk setempat  berasa tidak selesa akan bau yang tidak menyenangkan itu. Bau busuk itu menyebabkan gangguan serius ke atas penerima sensitif di kawasan itu . Situasi ini juga akan menyebabkan aktiviti harian terganggu bahkan ia juga memberi kesan kepada persekitaran fizikal. Contohnya, apabila bau busuk itu berhampiran dengan restoran mahupun kedai runcit ia menyebabkan orang ramai tidak berminat untuk datang kerana berasa tidak selera ketika menikmati hidangan makanan itu. Bau yang busuk itu pastinya akan hadir haiwan seperti lalat di mana ia akan merosakkan persekitaran. Kawasan yang bau busuk dan mempunyai longgokan sampah yang banyak ia akan mencemarkan persekitaran kawasan itu dan pelancong yang datang akan memandang rendah pada penduduk setempat.

Pembuangan sampah ini bukan sahaja berlaku di darat namun begitu, terdapat juga segelintir penduduk membuang sampah ke laut dan sungai. Keadaaan ini akan mengganggu keseimbangan ekosistem. Sampah yang mengandungi bahan kimia atau bahan organik seperti sisa makanan dan najis jika ia dibuang ke dalam air maka air tersebut akan mendapat jumlah nutrien yang berlebihan. Situasi ini menyebabkan berlakunya  proses " eutrophication" nutrien-nutrien menyebabkan alga tumbuh secara berlebihan. Apabila alga itu mati, ia menyebabkan bakteria itu mereput dan sangat memerlukan banyak oksigen sehinggakan mengganggu hidupan lain sehingga hidupan itu tidak dapat hidup kerana kekurangan oksigen. Keadaan ini akan menyebabkan hidupan akuatik di dalam air akan mati. Keadaan ini kembali kepada manusia di mana manusia tidak dapat sumber makanan yang berkhasiat. Bukan itu sahaja, isu ini tidak akan selesai jika manusia tidak mempunyai sifat kemanusiaan dalam diri di mana isu ini sebenarnya bermula daripada manusia itu sendiri.

 

 

Rajah 4 : Pembuangan sampah sarap di laut

Sumber : Harian Metro

 

5.0 CADANGAN MENGATASI ISU PEMBUANGAN SAMPAH SARAP

Setiap isu yang di hadapi, pastinya terdapat jalan penyelesaian untuk dilakukan. Dalam isu ini, antara cadangan untuk mengatasi  pembuangan sampah sarap ialah melakukan amalan kitar semula. Kitar semula sangat efektif untuk dilaksanakan dengan kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai. Kitar semula merupakan suatu proses di mana kita menghasilkan barang baru yang boleh digunakan daripada barang terpakai. Kitar semula ini banyak manfaatnya di mana kita mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan barang mentah serta mengurangkan berlakunya pencemaran. Antara barang yang boleh di kitar semula seperti kaca, logam, plastik, tekstil. Kita mengetahui bahawa plastik ini antara bahan yang sukar untuk dilupuskan dan mengambil masa yang lama untuk menjadi reput di mana ia bergantung pada bahan yang digunakan. Namun apabila dibakar, ia membebaskan gas beracun yang boleh mencemarkan alam. Oleh itu, amalan kitar semula ini perlu dipupuk dalam diri sejak kecil lagi.

 

Rajah 5 : Bahan kitar semula

Sumber : E-Idaman Sdn Bhd

 

Selain itu, pertambahan jumlah penduduk juga turut menyebabkan pertambahan penghasilan sampah setiap isi rumah. Oleh itu, setiap isi rumah perlu bijak dalam melakukan perbelanjaan barang keperluan. Masyarakat perlu elakkan membeli barangan yang di pakai buang kerana barang inilah yang menimbulkan longgokan sampah sarap. Sememangnya barangan mesra alam ini mempunyai kos yang agak tinggi, namun ia memberi kebaikan dalam jangka masa yang lama. Kita perlu berfikiran secara kritis dan menilai di antara keperluan dan kehendak. Perkara ini dapat membentuk gaya kebolehan individu dalam merancang kehidupan masing-masing. Secara tidak langsung ia akan mengurangkan pembuangan sampah dan mengelakkan pembaziran terus berlaku dalam diri setiap individu.

Tambahan pula, mempergiatkan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat termasuk di peringkat akar umbi bermula daripada pelajar sekolah hingga peringkat belia mengenai kepentingan menjaga alam persekitaran. Mereka sebenarnya ini faham akan penjagaan alam sekitar ini, namun disebabkan sifat mereka yang endah tak endah, pentingkan diri maka terjadilah isu ini. Kempen-kempen ini boleh dijalankan di kawasan kampung, taman perumahan dan sekolah. Pihak yang bertanggungjawab seperti badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa perlulah peka dalam mengendalikan kempen ini agar penduduk sedar akan kesilapan yang mereka lakukan. Kempen ini boleh la dijalankan secara atas talian seperti mengedarkan poster hebahan, video-video berkaitan alam sekitar di media sosial termasuklah Facebook, Instagram dan Whatsapp. Apabila penduduk melihat post-post tersebut secara tidak langsung ia akan memberi sedikit kesedaran dalam diri mereka.

Akhir sekali, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlulah menguatkuasakan undang-undang kepada penduduk yang melakukan yang suka membuang sampah ke merata-rata tempat. Apabila didapati terdapat penduduk yang melanggar undang-undang tersebut, maka mereka akan dikenakan denda atau hukuman yang lebih berat untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat. Situasi ini akan menyebabkan penduduk akan berasa takut untuk melakukan kesalahan. Bukan itu sahaja, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini wajarlah menjalankan pemantauan berkala pada setiap bulan untuk melihat keperluan penduduk dalam menguruskan pembuangan sisa sampah. Antara langkah yang bernas boleh dilakukan adalah menyediakan tong sampah yang besar pada kawasan tumpuan orang ramai seperti kawasan perumahan di mana pada kawasan itu jumlah sampah sarap sangat banyak. Oleh itu, setiap masyarakat perlu bertanggungjawab dan faham akan tugas mereka supaya sampah-sarap ini dibuang pada tempat yang betul.

 

6.0 KESIMPULAN

Sistem pengurusan sampah sarap di Malaysia dari pengumpulan sehinggalah kepada tempat pelupusan dan proses pelupusan menelan belanja yang cukup besar. Jumlah pembuangan sampah sarap yang kian meningkat dari semasa ke semasa dan memerlukan suatu pendekatan baru sama ada dari segi teknologi ataupun sistem pengurusannya. Penduduk perlulah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjaga alam sekitar kerana persekitaran yang bersih akan mencerminkan sikap yang ada pada diri kita. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada satu pihak tetapi kepada semua masyarakat setempat. Pendekatan dasar-dasar kerajaan yang memastikan alam sekitar terjamin perlu diangkat dan masyarakat menjadi pelaksana dalam menangani isu pembuangan sampah ini. Semoga minda masyarakat kita sejajar dengan kecekapan pengurusan infrastuktur negara yang diiktiraf sebagai infrastruktur kelas pertama suatu hari nanti. Usaha yang dilakukan oleh negara sungguh besar apabila terpaksa berbelanja jutaan ringgit hanya untuk melayan sikap buruk masyarakat yang tidak kisah membuang sampah tanpa peduli akan kesannya kepada kualiti kehidupan.

 

 

RUJUKAN

Hasnah Ali , Dody Dermawan , Noraziah Ali , Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob (2012) Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia. Malaysia Journal of Society and Space 8(5) (64 - 75) http://journalarticle.ukm.my/5515/

Mohammad Tahir Mapa, Lokman Mohd Haris, Fionna Geogre, Molia Sebi Dinggai, Adi Japar, Aliakbar Gulasan.(2019). Kajian komposisi dan pengasingan sisa pepejal di kawasan perumahan. Malaysian Journal of Society and Space 15( 2 )(117-128) . https://www.researchgate.net/publication/333090807_Kajian_komposisi_dan_pengasingan_sisa_pepejal_di_kawasan_perumahan

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

Muhammad Yusri Muzamir  (2020). Pembuangan sampah negara meningkat 100.75 peratus. Berita Harian Online. https://www. bharian.com.my /berita/nasional/ 2020/01/643354/ pembuangan-sampah-negara-meningkat-10075-peratus

Nur Ain Abd Muin (2018). Pengurusan Sampah Di Kuala Lumpur, 1974-2004: Peranan Pihak Kerajaan Dan Pihak Awam. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 2(1).123-140. https://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/54/80

 

NAMA : NURUL MAZLIYANA BINTI MARJUN@MASJUR

NO MATRIK :D20201094277

KUMPULAN : B

 

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...