Wednesday, June 15, 2022

KRISIS BEKALAN AIR BERSIH TERHADAP PENDUDUK DI KELANTAN

PENGENALAN

Air merupakan elemen penting kepada semua hidupan. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu menjaga kualiti air agar sentiasa bersih dan selamat digunakan dalam kehidupan seharian kita. Kualiti air merujuk kepada bahan kimia, fizikal, biologi, dan ciri-ciri air berdasarkan standard penggunaannya. Piawaian yang paling biasa digunakan untuk memantau dan menilai kualiti air menunjukkan kesihatan ekosistem, keselamatan hubungan manusia, dan keadaan air minuman. Kualiti air memberi kesan yang besar terhadap bekalan air. Pencemaran air ialah perubahan yang berlaku kepada air dari segi kandungan atau warna serta sifat-sifat kimia yang disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dalam pelbagai bentuk seperti pepejal, cecair dan gas. Ia merujuk kepada pencemaran jasad air (tasik, sungai, lautan, akuifer dan air bawah tanah), biasanya akibat kegiatan manusia. Pencemaran air boleh menyebabkan kemusnahan ekosistem akuatik. Malahan, ia akan membawa kepada masalah kesihatan awam. Pencemaran air juga akan mempengaruhi seluruh biosfera tumbuhan dan organisma yang hidup di dalam jasad air tersebut, serta organisma dan tumbuhan yang mungkin terdedah kepada airnya. Kesannya boleh merosakkan bukan sahaja kepada spesies individu, tetapi juga kepada komuniti biologi semula jadi.

Isu masalah air bersih telah menjadi 'duri dalam daging' bagi rakyat di Kelantan. Menurut Wan Suwaibah dalam kajian Mohd Faiz Faridzuan Bin Roslan (2018) mengatakan bahawa krisis  air  yang  berpunca daripada   pelbagai   aspek   menyebabkan   masyarakat   di   Kelantan   lebih   memilih   untuk menggunakan  alternatif  bekalan  air  bawah  tanah  berbanding  bekalan  air  yang  disalurkan oleh Perkhidmatan Pengurusan Bekalan Air Kelantan  (Mohd Faiz Faridzuan Bin Roslan, 2018). Pencemaran ditakrifkan  sebagai perubahan  yang  tidak diingini dalam bentuk fizikal, kimia, atau  ciri-ciri  biologi  udara,  tanah  dan  air  yang  mungkin  atau  akan  merosakkan  kehidupan manusia  atau  spesies  yang  lain,  keadaan  industri  pemprosesan,  dan  aset  budaya  yang  tidak boleh dibazirkan atau mungkin akan merosakkan sumber bahan mentah. Pencemaran  berlaku  apabila  terjadinya  sebarang  bentuk  perubahan   yang  tidak diingini  sama ada  dalam  bentuk  fizikal,  kimia  atau  biologi  bagi  udara,  air,  tanah  atau makanan  yang  akan  memberi  kesan  kepada  kesihatan  atau  segala  aktiviti  manusia  dan organisma hidup yang lain. Kualiti  air  ialah  hasil daripada  satu  jalinan  tindak  balas  yang  majmuk  antara  elemen  kimia dan bukan kimia di dalam penukaran biogeokimia di zon penemuan litosfera dan atmosfera. Penukaran  ini  melibatkan  tindak balas  elemen  di  dalam  sistem  biologi,  geokimia  dan hidrologi melalui kitaran biogeokimia, geokimia, hidrologi dan nutrien.

 

RINGKASAN KRISIS BEKALAN AIR BERSIH

Kelantan merupakan salah satu negeri yang sering mengalami masalah bekalan air bersih. Menurut Wahid (2022) dalam berita Sinar Harian mengatakan bahawa masalah air di Kelantan yang berlarutan sejak puluhan tahun kembali hangat apabila kualiti air di negeri ini berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Bekalan air bertukar masin dan payau, tekanan air perlahan malah kerap bekalan air terputus hingga menjejaskan kehidupan rakyat. Oleh demikian, ramai rakyat merungut dan menyuarakan pandangan berkaitan permasalahan air tersebut dan mahu ia diselesaikan. Hal ini erana rakyat inginkan bekalan air yang bersih untuk melakukan aktiviti harian mereka (Wahid, 2022). Masalah bekalan air yang berlaku tidak hanya menjejaskan kehidupan rakyat seharian, bahkan mungkin turut menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada pihak kerabat Di Raja Istana Negeri Kelantan.

Selain itu, masalah bekalan air juga turut menjejaskan pengurusan salah sebuah hospital yang ada di Kelantan iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Hal ini menyebabkan segala aktiviti yang menggunakan air bersih tergendala kerana bekalan air bersih tidak mencukupi. Menurut Basharudin (2021) mengatakan bahawa krisis bekalan air yang semakin teruk di Kelantan menyebabkan pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa digunakan untuk membawa bekalan ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu bagi membantu krisis itu (Basharudin, 2021). Krisis bekalan air di Kelantan kini sudah mencapai tahap kritikal, apabila bukan hanya rakyat biasa sahaja yang terjejas, bahkan melibatkan semua pihak yang bergantung kepada bekalan air bersih Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

                                                                                                       

  

Sumber: Berita Sinar Harian (2022)

Berdasarkan gambar di atas adalah berkaitan dengan penduduk di Kuala Krai yang menunjukkan air yang digunakan oleh mereka setiap hari kerana tiada bekalan air bersih yang mencukupi. 

                                   

   

Sumber: Malaysia Dateline (2021)

Berdasarkan gambar di atas adalah merupakan pihak bomba sedang mengisi bekalan air ke dalam tangki milik Hospital Kota Bharu kerana bekalan air bersih di hospital itu tidak cukup untuk melakukan aktiviti atau operasi hospital berkenaan.

PUNCA KRISIS AIR BERSIH

Terdapat beberapa punca berlakunya krisis bekalan air yang bersih di Kelantan. Antaranya ialah berpunca daripada pencemaran logam berat dalam air bawah tanah. Logam berat   umumnya mempunyai toksik dan sangat berbahaya kepada semua organisma hidup, walaupun sebahagian daripadanya diperlukan dalam kuantiti yang kecil.  Beberapa logam berat digunakan secara meluas dalam kepelbagaian kehidupan seharian. Toksik secara langsung serta tidak langsung dari bahan pencemar itu yang menjadi pencetus kepada pencemaran alam sekitar sekitar.  Sekiranya kandungan logam berat sudah melebihi tahap yang ditentukan akan membahaya kehidupan. Menurut  Alaerts  (1984) dalam kajian (Mohd Faiz Faridzuan Bin Roslan, 2018) menyatakan bahawa air  tawar  mengandungi  logam  yang berasal  dari  pelepasan air  sisa,  hakisan,  dan  udara  secara  langsung.  Air  tawar  mengandungi  bahan  bukan  organik dan  organik  lebih  banyak  daripada  air  laut.  Bahan  ini  mempunyai  keupayaan  untuk menyerap  logam,  supaya  pencemaran  logam  di  dalam  air  tawar  adalah  lebih  mudah  untuk berlaku. Selain itu, pembuangan sampah sarap dengan kuantiti yang banyak. Sebagai contoh, masyarakat yang tidak prihatin terhadap kebersihan air akan membuang sampah sarap ke dalam sungai. Oleh itu, air sungai akan menjadi kotor dan tidak selamat digunakan oleh semua hidupan. Malahan, ia juga akan mudah mendapat penyakit jika menggunakan air yang tercemar.

Seterusnya, pembuangan sisa toksik dari kilang ke dalam sungai. Hal ini akan mengancam nyawa manusia dan juga hidupan-hidupan lain. Sebagai contoh, Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, tindakan menanam sisa toksik di dalam tanah juga boleh mengakibatkan pencemaran. Ini kerana saliran air bawah tanah di daerah itu berkemungkinan sudah tepu dengan sisa toksik yang meruap sebelum meresap melalui tanah naik ke permukaan sehingga membentuk gas toksik. Pelupusan bahan kimia di Sungai Kim Kim juga merupakan sumber gas beracun. Bahan pencemar yang membawa kepada pencemaran air termasuk spektrum bahan kimia, patogen, dan perubahan fizikal yang meluas seperti suhu tinggi.

Di samping itu, pertambahan bilangan penduduk juga menyebabkan berlakunya pencemaran air. Sebagai contoh, jika berlakunya pertambahan penduduk maka bertambah sisa pembuangan serta bahan kimia daripada sumber-sumber tertentu. Hal ini juga telah menyebabkan kemerosotan kualiti air dan memberi ancaman kepada kesihatan manusia dan persekitaran khususnya hidupan akuatik. Malahan, apabila pertambahan penduduk berlaku bekalan air bersih tidak akan mencukupi untuk rakyat di Kelantan melakukan aktiviti seharian mereka.

LANGKAH UNTUK MENYELESAIKAN KRISIS AIR BERSIH

Di  negeri  Kelantan,  hampir  keseluruhan  penggunaan  air  adalah  menggunakan  air dari sumber air bawah tanah. Air telaga tiub merupakan salah satu air alternatif yang banyak digunakan bagi mendapatkan sumber air bersih. Air ini diperoleh adalah dengan dipadamkan melalui  proses  penggerudian  dari  air  bawah  tanah  ke  permukaan  melalui  laluan  paip  atau dikenali  sebagai  kaedah  'boring'. Sumber  air  bawah  tanah  di  sesuatu  kawasan  itu  akan diambil  dari lapisan  batuan  keras  granit  atau  batuan  keras  lain  dan  air  disedut  dari  dalam tanah lebih 20 meter atau beratus meter dari permukaan bumi. Air yang diekstrak dipercayai lebih berkualiti kalau dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam.

Selain itu, mengadakan kempen pemuliharaan dan penjagaan kebersihan sungai. Hal ini demikian, dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya dalam menjaga kebersihan dan kualiti air. Sebagai contoh, memberi teguran dan peringatan kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai, tasik dan sumber air semulajadi yang lain. Hal ini kerana jika berlakunya pembuangan sampah ke dalam parit dan longkang ia akan sampai ke sungai atau tasik maka kualiti air akan terjejas. Selain itu, elakkan penggunaan baja kimia dan racun perosak kerana bahan-bahan ini akan menyebabkan pencemaran serta boleh menyebabkan keracunan. Manakala, pembuangan bahan yang berminyak ke dalam longkang juga patut dielakkan kerana minyak tidak terbiodegradasi dengan mudah.

Malahan, takungan air berkapasiti besar akan dibina di Kelantan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di seluruh negeri ini. Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, takungan berkenaan akan dibina di satu lokasi yang sudah dikenal pasti di Machang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sudah dipersetujui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Hal ini demikian merupakan cara untuk mengurangkan masalah bekalan air bersih kepada semua penduduk di Kelantan. Seterusnya, kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang supaya semua air kumbahan dirawat dan bahan kimia ditapis sebelum disalurkan ke sungai. Ini penting supaya hidupan akuatik tidak terancam. Seterusnya kerajaan hendaklah tegas dengan mengenakan hukuman berat terhadap individu yang mencemarkan sungai. Pembuangan sisa toksik ke dalam sungai hendaklah dihentikan segera.

KESIMPULAN

Sumber  air  adalah  punca  air  yang  boleh  digunakan  oleh  hidupan  terutamanya  manusia. Bekalan   sumber   air   juga   merupakan   satu   khazanah   alam   yang   tidak   ternilai dan memerlukan  kepada  penjagaan  yang  teliti  bagi  menjamin  kelestariannya. Kira-kira 97% sumber air  di  bumi  ini  adalah  terdiri  daripada  air  laut  dan  tidak  boleh  digunakan  untuk  tujuan domestik  dan  hanya  3%  sahaja  sumber  air  yang  boleh  digunakan  untuk  tujuan  domestik yang  terdiri  daripada  ais,  air  bawah  tanah,  air  sungai  dan  air  telaga.  Sumber  air  ini digunakan  untuk  tujuan  bidang  pertanian,  bidang  perindustrian,  komersial,  dan  kegunaan awam (Muhammad Syukri Bin Yosfadri, 2019). Oleh demikian, kita perlulah memupuk kesedaran  tentang  langkah  penjimatan  air  bagi  semua  lapisan  masyarakat. Seterusnya, pengendalian sumber yang sistematik serta sistem  pengurusan  yang efisien perlulah diimplementasikan bagi memastikan bekalan sumber air di Kelantan dapat dipelihara sentiasa. Langkah penjimatan air ini bukanlah satu langkah mudah kerana hasilnya ia boleh  mengelakkan  krisis  air  yang  mungkin  boleh  berlaku  pada  masa  akan datang. Jelaslah bahawa tingkah laku perlu dipupuk secara berterusan memandangkan tingkah laku manusia merupakan kunci kepada kesan masyarakat ke atas persekitaran dan kesedaran yang lebih baik akan membawa kepada perubahan tingkah laku. Manusia mesti bijak dalam merancang penggunaan alam sekitar agar dapat mengurangkan kerosakan alam kepada tahap yang paling minimum.

RUJUKAN

Basharudin, A. (8 April, 2021). Krisis air semakin teruk, bomba hantar bekalan air ke hospital di Kelantan. Malaysia Dateline, pp. Dicapai daipada https://malaysiadateline.com/krisis-air-semakin-teruk-bomba-hantar-bekalan-air-ke-hospital-di-kelantan/.

Mohd Faiz Faridzuan Bin Roslan, N. M. (2018). Perubahan Kualiti Air Bawah Tanah di Negeri Kelantan Pada Tahun 2010 Hingga 2012. Jurnal Wacana Sarjana.

Muhammad Syukri Bin Yosfadri, N. M. (2019). Perbandingan Penggunaan Air Antara Bandar dan Luar Bandar. Jurnal Wacana Sarjana.

Wahid, A. S. (24 Mei, 2022). Skala masalah air di Kelantan 90 per 100. Sinar Harian, pp. Dicapai daripada https://premium.sinarharian.com.my/article/190846/wawancara/wawancara-eksklusif/skala-masalah-air-di-kelantan-90-per-100.

Zawawi, M. H. (2020). Kajian Retrospektif Kualiti Air Bumi Di Jajahan Kota Bharu, Kelantan.

 

SITI NURHIDAYAH BINTI AB RAZAK

D20191088442

GROUP A

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...