Wednesday, June 15, 2022

TAJUK: ISU KESESAKAN LALU LINTAS DI KOTA SAMARAHAN, JALAN KUCHING – SAMARAHAN, SARAWAK.

TAJUK: ISU KESESAKAN LALU LINTAS DI KOTA SAMARAHAN, JALAN KUCHING – SAMARAHAN, SARAWAK. 

1.0  PENGENALAN

Perubahan zaman yang seiring dengan arus pemodenan yang berlaku dengan pesat pada masa kini membolehkan proses urbanisasi dilaksanakan untuk meningkatkan mobiliti penduduk. Pembangunan yang dijalankan ini membolehkan masyarakat hidup dengan lebih selesa dalam mendapatkan taraf kehidupan serta pendidikan yang lebih baik. Oleh yang demikian, kemajuan dalam sesuatu sektor di sesebuah negara amatlah penting bagi membolehkan negara tersebut mampu bersaing dengan negara maju (Haliza Abdul Rahman, 2016). Namun begitu, dalam menelusuri arus kemodenan ini, pelbagai isu yang timbul disebabkan oleh tindakan manusia itu sendiri. Ruang lingkup pembangunan pada era moden ini telah menjadikan manusia semakin mengejar kebendaan dan mewujudkan isu ketidaksamaan dalam pembangunan dan persekitaran fizikal. Pembangunan yang pesat bukan sahaja mendatangkan pelbagai masalah kepada alam sekitar fizikal namun turut memberikan kesan kepada alam sekitar manusia.

      Isu kesesakan lalu lintas sering kali menjadi isu utama yang berlaku di bandar-bandar utama yang akhirnya mendatangkan pelbagai masalah yang lainnya. Kesesakan lalulintas didefinisikan sebagai peningkatan isipadu lalu lintas pada masa puncak di atas jalan raya yang mempunyai kapasiti yang agak terhad lalu menjadikan barisan kenderaan tidak mampu bergerak dengan lancar. Antara faktor yang sering kali dikaitkan dengan isu kesesakan lalu lintas adalah pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya disebabkan proses urbanisasi yang pesat di sesebuah bandar tersebut. Oleh yang demikian, sistem pengangkutan yang sistematik amatlah memainkan peranan yang penting dalam sosioekonomi negara agar membolehkan penduduk menikmati keselesaan pada tahap yang maksimum. Sistem pengangkutan yang gagal berfungsi dengan baik sudah tentu bakal mendorong kepada isu kesesakan lalulintas yang sangat teruk sehingga membebankan masyarakat (Lim Soon Hock, 2006).

 

2.0 KAWASAN KAJIAN

Kawasan kajian bagi menjalankan kajian ini adalah Kota Samarahan. Bahagian Samarahan merupakan satu daripada 12 buah bahagian yang terdapat di negeri Sarawak. Menurut Pentadbiran Bahagian Samarahan (2022), bahagian Samarahan telah diwujudkan pada 24 Julai 1986 dengan menggabungkan tiga buah daerah yang dikenali sebagai Simunjan, Serian dan Samarahan yang sebelum ini di bawah Bahagian Kuching. Pada masa kini Bahagian Samarahan mempunyai empat daerah iaitu Simunjan, Serian, Samarahan dan Asajaya dan memiliki dua daerah kecil iaitu Sebuyau dan Tebedu. Daerah Samarahan pada asalnya adalah sebuah daerah kecil yang dikenali sebagai Muara Tuang dan akhirnya telah dinaik taraf kepada daerah penuh pada 19 Ogos 1983 dan dinamakan sebagai Daerah Samarahan yang terletak di Kota Samarahan.

Keluasan Bahagian Samarahan adalah seluas 4967.45 kilometer persegi dengan penduduk berbilang kaum seramai 219 300 orang pada tahun 2006 dan kini adalah sekitar 1.2 juta orang. Daerah Samarahan mempunyai keluasan 407.08 kilometer persegi dengan penduduk seramai 48 00 orang manakala daerah Serian pula berkeluasan 2039.89 kilometer persegi dengan penduduk seramai 82 000 orang. Daerah Simunjan mempunyai keluasan seluas 2217.67 kilometer persegi dengan penduduk seramai 38 000 dan Daerah Asajaya mempunyai keluasan 302.81 kilometer persegi dengan penduduk seramai 29 000 orang. Pada masa kini, Bahagian Samarahan telah membangun dengan pesat dan dikenali sebagai Bandar Ilmu kerana terdapat pusat pendidikan di kawasan tersebut yang dikenali sebagai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UITM) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan dan Institusi Perindustrian yang lainnya (Pentadbiran Bahagian Samarahan, 2022). 

Peta 1 menunjukkan Bahagian Samarahan

Sumber: https://m.facebook.com/pg/Kota-Samarahan-Update-283597648721537/photos/

3.0 RINGKASAN KES

Secara dasarnya, kita mengetahui bahawa pembangunan yang berlaku dengan pesat di sesebuah bandar sudah pasti bakal menarik ramai masyarakat untuk bermigrasi di sesebuah bandar tersebut. Keadaan ini sudah tentu bakal menyebabkan berlakunya isu pertambahan penduduk dan isu kesesakan lalu lintas kerana penduduk lebih tertumpu di sesebuah bandar tersebut dengan tujuan untuk mengubah taraf hidup mereka. Situasi ini dapat disaksikan khususnya yang berlaku di Kota Samarahan Jalan Kuching - Samarahan. Pertambahan populasi penduduk yang semakin meningkat di Bahagian Samarahan menjadikan isu tersebut semakin memburuk. Kesesakan lalu lintas yang berlaku secara kritikal tersebut telah mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kesesakan lalu lintas tersebut bukan sahaja melambatkan tempoh perjalanan mereka namun masyarakat lebih banyak menghabiskan masa mereka di jalan berbanding destinasi masing-masing (Patricia Gari, 2022).

Rajah 2 menunjukkan kesesakan lalu lintas di Jalan Kuching-Samarahan

Sumber: Sarawak Voice (2022)


4.0 PUNCA-PUNCA KESESAKAN LALU LINTAS DI KOTA SAMARAHAN, JALAN KUCHING-SAMARAHAN

Berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan, antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching - Samarahan adalah pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya. Pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya ini adalah disebabkan taraf hidup penduduk yang semakin meningkat di bandar tersebut. Menurut Mersita (2022), melalui laporan TVS, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin telah menyatakan bahawa pertambahan lebih 600 000 kenderaan di Bahagian Samarahan telah dicatatkan dalam tempoh 2010 sehingga 2020. Hal ini dikatakan demikian kerana peluang pekerjaan yang luas di kawasan tersebut telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi penduduk dengan lebih baik. Keadaan tersebut membolehkan mereka membeli aset mereka sendiri seperti rumah dan kereta. Di samping itu, Kota Samarahan yang merupakan sebuah bandar yang membangun dengan pesat telah menjadikan ramai penduduk tertarik untuk membeli hartanah serta bangunan komersil di kawasan tersebut bagi mendapatkan keuntungan yang lebih lumayan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa kawasan bandar tersebut menjadi sesak di atas jalan raya serta mempunyai penduduk yang sesak (Borneo Post Online, 2016).

       Punca kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching – Samarahan yang kedua adalah dikenali sebagai pusat pendidikan. Kota Samarahan lebih dikenali sebagai Bandar Ilmu kerana terdapatnya pusat pendidikan di kawasan tersebut yang digelar sebagai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UITM) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan dan Institusi Perindustrian (Malinda Mardzuki, 2018). Oleh yang demikian, migrasi penduduk berlaku dengan pesat khususnya dalam kalangan pelajar bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tersebut. Kedudukan pusat pendidikan di tengah pusat bandar Kota Samarahan ini bukan sahaja amat strategik malahan amat memudahkan pergerakan pelajar untuk ke pusat bandar. Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberikan tekanan terhadap lalulintas tersebut untuk bertambah sesak di kawasan tersebut kerana para pelajar lebih selesa untuk membawa kenderaan mereka sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam ataupun GrabCar dan Maxim.

 Rajah 3 menunjukkan institusi pengajian tinggi Universiti Malaysia Sarawak

Sumber: studymalaysiainfo (2017)

       Punca kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching – Samarahan yang terakhir adalah peluang pekerjaan yang banyak. Pembangunan dalam sektor perkilangan khususnya di sesebuah bandar adalah menjadi satu langkah untuk membangunkan ekonomi negara. Oleh itu, banyak kilang telah dibangunkan di kawasan Kota Samarahan bagi membolehkan ekonomi penduduk setempat di kawasan tersebut terus meningkat agar dapat mengelakkan mereka hidup dalam kemiskinan. Pembinaan kilang di bandar Kota Samarahan telah menjadikan ramai penduduk luar tertarik untuk bekerja di kilang tersebut yang akhirnya menjadikan bandar tersebut terus sesak dengan kenderaan. Antara kilang-kilang yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan luar di Kota Samarahan adalah Hai Ming Paper Mills Sdn. Bhd serta Felcra Samarahan Jaya Palm Oil Mill. Menurut Marlinda Mardzuki (2018), kewujudan dua kem tentera darat serta tentera udara, pejabat-pejabat kerajaan serta sebuah Institut Jantung Negara (IJN), Kota Samarahan telah menjadikan ramai penjawat awam turut berhijrah ke kawasan tersebut atas dasar tuntutan pekerjaan sebagai punca untuk bermigrasi ke Kota Samarahan.  


5.0 KESAN-KESAN KESESAKAN LALU LINTAS DI KOTA SAMARAHAN, JALAN KUCHING – SAMARAHAN

Kesan-kesan kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching – Samarahan adalah membebankan penduduk. Kesesakan lalu lintas yang berlaku saban hari bakal membebankan penduduk apabila mereka terpaksa mengharungi kesesakkan setiap hari dan banyak membazirkan masa diatas jalan raya berbanding di tempat kerja atau rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai penduduk terpaksa keluar awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas supaya tidak sampai lewat di tempat kerja dan pada sebelah petangnya pula bakal pulang lewat ke rumah kerana menghadapi kesesakan lalu lintas. Oleh yang demikian, banyak masa yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga dirumah terbuang begitu sahaja kerana kepulangan ke rumah yang tergendala akibat kesesakan jalan raya. Selain itu, penghantaran barang menggunakan khidmat pos juga mengambil masa yang amat lama untuk sampai ke rumah disebabkan tersekat dalam kesesakan lalulintas lalu membebankan penduduk dan penghantar barang tersebut.

      Kesan-kesan kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching – Samarahan yang kedua adalah pencemaran udara. Menurut Larry West (t.t) pencemaran udara bermaksud kewujudan bahan- bahan berbahaya di ruang udara sama ada molekul partikel mikroskopik yang boleh menjejaskan organisma hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Pelepasan asap daripada kenderaan di sepanjang Jalan Kuching – Samarahan telah meningkatkan pencemaran udara di kawasan tersebut. Keadaan tersebut telah menyebabkan wujudnya pelbagai masalah kesihatan yang berpunca pelepasan asap kenderaan seperti asma, masalah paru-paru serta migrain. Kesannya, peningkatan terhadap masalah kesihatan yang berpunca daripada pelepasan asap ini telah mengganggu aktiviti harian penduduk kerana terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Penduduk juga tidak dapat menghirup udara segar apabila ruang udara telah dicemari dengan partikel-partikel halus yang terampai yang membahayakan kesihatan.

      Kesan kesesakan lalu lintas yang terakhir adalah meningkatkan masalah psikologi. Pemandu yang terpaksa tersekat di dalam kesesakan lalulintas dalam tempoh yang sangat lama sudah tentu akan meningkatkan perasaan marah dan menyebabkan mereka menjadi stress. Hal ini dikatakan demikian kerana sebuah kajian telah mendedahkan bahawa kebanyakan masyarakat di Malaysia terpaksa menghabiskan masa selama dua jam sehari untuk mengharungi kesesakan lalu lintas dan mengakibatkan kerugian produktiviti yang berjumlah RM5.51 bilion dalam tempoh setahun (mStar, 2015). Tahap kesabaran yang semakin menipis dan tekanan yang dialami di tempat kerja atau di rumah turut menyebabkan pemandu yang tersekat dalam kesesakan lalulintas tersebut berani untuk bersikap biadap terhadap pemandu lain dengan memaki hamun mereka dengan tujuan melepaskan tekanan yang dialami.

 

6.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU KESESAKAN LALU LINTAS DI KOTA SAMARAHAN, JALAN KUCHING – SAMARAHAN

Langkah bagi mengatasi isu kesesakan lalulintas di Kota Samarahan, Jalan Kuching – Samarahan ini adalah dengan menaiktaraf jalan raya. Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah menyatakan bahawa Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak akan melakukan kerja menaiktaraf jalan raya di kawasan Samarahan yang merangkumi lima buah bulatan di sepanjang jalan Expressway Samarahan yang dijangkakan bakal siap dalam tempoh 15 bulan (Patricia Gari, 2022). Dengan adanya langkah menaik taraf jalan raya di sekitar bulatan tadi, kesesakan lalu lintas di bandar tersebut bakal dapat dikurangkan kerana membolehkan penduduk terlepas dari kesesakan lalu lintas. Di samping itu, dengan memperluaskan jalan raya juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas apabila berlakunya pertambahan lorong laluan bagi pengguna kereta. Maka dengan itu, jalan raya tersebut bakal dapat menampung lebih banyak bilangan kenderaan dalam satu masa dan menjadikan pergerakan lalu lintas lebih lancar.

      Langkah yang seterusnya bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas ini adalah dengan pemasangan lampu isyarat pintar. Pemasangan lampu isyarat pintar yang berteknologi tinggi di beberapa kawasan tumpuan yang sering berlaku kesesakan lalulintas yang teruk ini banyak membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Hal ini dikatakan demikian kerana lampu isyarat pinta bakal berfungsi mengikut jumlah kenderaan di atas jalan. Sebagai contoh, apabila berlakunya pertambahan bilangan kenderaan di sebelah laluan yang bertentangan dengan laluan yang kosong maka lampu isyarat pintar tersebut bakal mengesan dan memberi tempoh masa yang lebih panjang untuk menyuraikan trafik. Pada Mac 2021, 55 daripada 146 buah lampu isyarat di bandar Kuching telah dinaik taraf kepada lampu isyarat pintar bagi membolehkan perjalanan menuju ke kawasan Samarahan lebih lancar tidak berlaku kesesakan lalu lintas yang sangat teruk (Mersita, 2022). 

Rajah 4 menunjukkan lampu isyarat pintar

Sumber: Mersita (2022)

       Langkah yang terakhir dalam mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Samarahan adalah melalui penggunaan pengangkutan awam. Penggunaan pengangkutan awam membolehkan berlakunya pengurangan bilangan kenderaan di atas jalan raya. Maka dengan itu, kesesakan lalulintas turut berkurangan dan mobiliti penduduk akan menjadi lebih cepat. Penggunaan pengangkutan awam seperti bas bukan sahaja lebih menjimatkan masa malahan turut dapat menjimatkan kos. Oleh itu, penyediaan pengangkutan awam yang kondusif dan harga tambang yang berpatutan haruslah diterapkan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu kesesakan lalulintas ini khususnya di kawasan Samarahan. Melalui dengan cara ini, ramai penduduk akan tertarik untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding menggunakan kenderaan persendirian. Berhubungan dengan penggunaan pengangkutan awam dengan lebih kerap bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalulintas malahan boleh mengurangkan pencemaran udara apabila kurangnya pelepasan asap kenderaan ke ruang udara.


7.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, isu kesesakan lalulintas ini telah memberikan pelbagai kesan yang negatif kepada kehidupan penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana isu kesesakan lalulintas ini juga merupakan sebuah isu universal yang berlaku di mana-mana bandar yang sedang pesat membangun dan maju. Oleh yang demikian, setiap langkah yang telah dinyatakan untuk menangani isu ini haruslah dipandang dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib agar isu ini boleh dirungkaikan. Dalam konteks isu kesesakan lalu lintas yang dialami pada masa kini, sokongan dan dorongan daripada setiap pihak adalah amat diperlukan bagi mewujudkan sebuah bandar yang mesra dan bebas dari pencemaran alam. Maka, sistem jaringan pengangkutan dan pembangunan dalam sesebuah bandar mahupun negara dapat dilaksanakan secara seiring dalam meningkatkan lagi taraf hidup penduduk. Oleh itu, isu kesesakan lalulintas ini dapat diatasi dengan kadar segera apabila masyarakat turut berganding bahu dalam membantu usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu ini demi kebaikan bersama.

 

8.0 RUJUKAN

Borneo Post Online. (2016, Julai 4). Masalah kesesakan di Kota Samarahan perlu diatasihttps://www.theborneopost.com/2016/07/04/masalah-kesesakan-di-kota-samarahan-perlu-diatasi/


Haliza Abdul Rahman. (2016). ResearchGate. Mendefinisikan semula pembangunan di Malaysia (Redefinition of development in Malaysia)3https://www.researchgate.net/publication/309571071_Mendefinisikan_Semula_Pembangunan_di_Malaysia_Redefinition_of_development_in_Malaysia


Kota Samarahan Update. (t.t.). Facebook. Facebook. https://m.facebook.com/pg/Kota-Samarahan-Update-283597648721537/photos/


Larry West. (n.d.). Apakah pencemaran udara? Definisi dan fakta. MS.EFERRIT.COMhttps://ms.eferrit.com/definisi-pencemaran-udara/

Lim, S. H. (2006). Kajian kesesakan lalulintas di Bandaraya Kuching [Disertasi kedoktoran]. http://eprints.usm.my/29791/1/KAJIAN_KESESAKAN_LALU_LINTAS_DI_BANDARAYA_KUCHING.pdf


Marlinda Mardzuki. (2018, September 3). Kota Samarahan hadapi kesesakan lalu lintas teruk. Utusan Borneo Online | Citra Generasi Prihatin. https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/03/kota-samarahan-hadapi-kesesakan-lalu-lintas-teruk


Mersita. (2022, Jun 13). Pertambahan 600,000 kenderaan dalam 10 tahun, Sarawak perlu sistem jalan raya lebih bagus. WapCar News. https://www.wapcar.my/bm/pertambahan-600000-kenderaan-dalam-10-tahun-sarawak-perlu-sistem-jalan-raya-lebih-bagus-39860


Mstar. (2015, Julai 6). Kesesakan lalu lintas di bandar ibarat bom jangka. mStar | Portal hiburan dan gaya hidup paling berpengaruh dengan lebih 20 juta pageviews. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/07/06/kesesakan-ibarat-bom-jangka


Patricia Gari. (2022, Januari 19). Jalan sesak: Polis trafik kawal lalu lintas di Kota Samarahan. Utusan Borneo Online | Citra Generasi Prihatin. https://www.utusanborneo.com.my/2022/01/19/jalan-sesak-polis-trafik-kawal-lalu-lintas-di-kota-samarahan


Pentadbiran Bahagian Samarahan. (2022). Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Samarahan. Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Samarahan. https://samarahan.sarawak.gov.my/page-0-33-310-Sejarah-Bahagian-Samarahan.html


Studymalaysiainfo. (2017, Januari 6). UNIMAS University Malaysia fees | University Malaysia Sarawak. Study In Malaysia. https://studymalaysiainfo.com/unimas-university-malaysia/


Suara Sarawak. (2019, November 16). Kesesakan lalu lintas di Kuching-samarahan bakal dileraikanhttps://suarasarawak.my/2019/11/kesesakan-lalu-lintas-di-kuching-samarahan-bakal-dileraikan/

 

 

NAMA: MIKA ANAK RIKIM

NO MATRIKS: D20201094319

KUMPULAN B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...