1.0 PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050. Pertumbuhan ekonomi didorong oleh faktor perkembangan ekonomi negara yang merupakan hasil daripada dasar politik, ekonomi dan sosial yang baik. Hal ini didorong oleh penjanaan ekonomi dalam negara khususnya dalam sektor perindustrian. Kemasukkan buruh asing ke dalam negara turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi dalam bidang perindustrian. Secara umum buruh asing penting dalam membangun ekonomi dan mempercepat pertumbuhan negara terutama sumbangan daripada buruh mahir dan separuh mahir. Dari satu sudut juga, majikan dapat menjimatkan kos dan masa mencari pekerja terutama bidang pekerjaan berstatus kolar biru. Malaysia menjadi negara limpahan buruh dan pendatang asing dari negara jiran iaitu Indonesia, Thailand, dan Filipina, serta negara lain sejauh Nepal, Bangladesh, Myanmar, India, dan Pakistan. Namun hak rakyat tempatan terjejas kerana pihak majikan lebih gemar mengupah pendatang asing yang jauh lebih murah.
2.0 ISU DAN MASALAH KEDATANGAN BURUH ASING
Kemasukan buruh asing ke dalam negara turut mengundang implikasi yang negatif seperti berlakunya masalah jenayah. Mereka terlibat dalam aktiviti jenayah seperti merompak, membunuh, meragut, pecah rumah, penyeludupan, dan pengedaran dadah. Laporan menunjukkan terdapat sebanyak 9,496 atau 11.2 peratus kes jenayah melibatkan warga asing dicatatkan antara Januari hingga Ogos 2014 (Sofian, 2014). Pendatang asing akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Kementerian Dalam Negeri pernah mengumumkan bahawa seramai 14 809 daripada 37 446 banduan di Malaysia merupakan pendatang asing yang kebanyakannya terdiri daripada PATI. Jumlah ini dikatakan telah melebihi 28 peratus daripada kapasiti yang dapat ditanggung oleh penjara di Malaysia (Wan Marzuki, 2008). Selain itu, terdapat juga pendatang asing yang tidak mendapat kerja apabila datang ke sini. Apabila mereka menganggur, mereka tidak akan dapat memenuhi tuntutan dan kehendak diri seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan kenderaan. Maka, mereka mula berjinak-jinak dengan jenayah seperti merompak, membunuh, memeras ugut, menyeludup dan lain - lain lagi.
Selain itu, kemasukan buruh asing juga mengancam negara dari aspek sosial negara terutamanya aspek kesihatan. Terdapat dalam kalangan buruh asing yang bekerja di Malaysia yang tidak melalui pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan. Hal ini telah menyebabkan penularan penyakit berjangkit. Kebanyakan buruh asing yang datang bekerja di Malaysia adalah berasal daripada negara mundur yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah. Kerajaan telah mengeluarkan peraturan supaya setiap pekerja asing yang ingin bekerja perlu melalui dua proses pemeriksaan kesihatan, iaitu yang dilaksanakan di negara asal dan juga di Malaysia (New Straits Times, 30 Julai 1992). Berdasarkan analisis dan pemerhatian Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), kebanyakan kes HIV dalam kalangan pekerja asing di sektor perladangan disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dan bukannya aktiviti seksual (Utusan Malaysia, 2 Mei 2008). Sebahagian buruh asing yang ditahan mempunyai permit kerja yang sah tetapi akhirnya terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Oleh itu, kerajaan telah memberikan amaran bahawa pelibatan buruh asing dalam aktiviti pelacuran akan meningkatkan kadar penghidap HIV di Malaysia (Utusan Malaysia, 2 Februari 2002).
Kemasukan buruh asing juga telah menyebabkan masalah kewarganegaraan berlaku. Hal ini disebabkan oleh terdapat segelintir buruh asing yang berjaya memperoleh dokumen pengenalan diri daripada sindiket haram. Mereka hanya perlu membuat pembayaran kepada individu – individu sindiket haram bagi membolehkan mereka mendapatkan pengenalan diri palsu. Apa yang lebih membimbangkan, ada juga dalam kalangan buruh asing ini yang berjaya memperolehi kad pengenalan biru yang dikhaskan kepada warganegara Malaysia sahaja (AHM Zehadul et al., 1999:77). Pada tahun 2008, kerajaan telah berjaya menumpaskan cubaan seorang buruh asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara (Berita Harian, 14 Mei 2008).
Akhir sekali, kedatangan buruh asing meningkat setiap hari dalam memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia menyebabkan wujudnya kebimbangan dalam kalangan rakyat dalam negara Malaysia. Terdapat banyak kesan serta implikasi kedatangan mereka ke dalam negara sehinggakan memaksa semua pihak bersama – sama berganding bahu dalam mengurangkan dan mengatasi masalah ini.
3.0 FAKTOR-FAKTOR LAMBAKAN BURUH ASING
Salah satu faktor-faktor kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia ialah permintaan buruh tidak mahir yang tinggi merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Permintaan tinggi datangnya dari sektor perladangan dan pembinaan. Menurut kajian Persatuan Bersatu Malaysia (UPAM), sektor perladangan kelapa sawit dan getah mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM370juta antara tahun 1980 hingga 1985 disebabkan kekurangan pekerja. Sektor pembinaan juga menawarkan peluang pekerjaan yang banyak rentetan daripada pembangunan pesat Negara. Rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja di dalam sektor pertanian dan pembinaan menyebabkan kerajaan terpaksa membuka peluang kemasukan buruh asing ke Malaysia.
Selain itu, pendatang asing ini datang ke Malaysia adalah disebabkan kedudukan Johor adalah sangat sistematik di mana dekat dengan negara jiran di Indonesia. Johor menjadi 'gerbang utama' pendatang tanpa izin terutama dari Sumatera Indonesia yang dipisahkan dengan Selat Melaka hanya sejauh 25 hingga 30 kilometer dari Pulau Karimunbesar (Sumatera, Indonesia) ke Pulau Kukup (Johor) di bahagian barat. Selain itu jarak antara Pulau Bintan (Indonesia) ke Pengerang (Johor) pula sekitar 30 hingga 35 kilometer di bahagian tenggara Johor. Perjalanan menggunakan feri atau bot adalah sesingkat satu hingga dua jam menjadikan peluang rakyat Indonesia memasuki negara ini lebih mudah. Laporan menunjukkan sejumlah 70 peratus rakyat Indonesia yang memasuki Malaysia secara haram menggunakan laluan di sepanjang pantai Johor terutama di Sungai Rengit di Pengerang dan Sedili, daerah Kota Tinggi. Laluan ini digemari oleh sindiket penyeludupan manusia kerana jarak yang hanya 30 minit dari Pulau Batam dan Tanjung Pinang di Indonesia yang menjadi transit utama pendatang tanpa izin dari Indonesia, sebelum menyeberangi Selat Melaka ke Johor kemudiannya berpecah untuk bekerja di pelbagai daerah termasuklah daerah Muar.
Gambar merujuk kepada daerah Muar 1
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI LAMBAKAN BURUH ASING
Pihak kerajaan berperanan kuat dalam membendung kemasukan secara haram buruh asing ke dalam negara. Kemasukan pekerja secara haram sepatutnya dihapuskan atau dikawal ketat oleh pihak kerajaan. Kemasukkan buruh asing telah banyak menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah, akan tetapi akan menyulitkan pihak kerajaan untuk merancang keperluan tenaga buruh bagi setiap sektor dalam ekonomi negara kita. Hal ini akan timbul kerana bilangan mereka agak sukar untuk kita anggarkan. Selain itu, pihak kerajaan harus menggunakan keseluruhan akta yang telah diwujudkan secara optimum bagi membendung kemasukan buruh asing dalam negara. Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Emigresen 1959 harus dikuatkankan dengan menyeluruh. Hal ini bagi mengawal keta kemasukan buruh asing ke dalam negara. Pihak majikan yang kebanyakannya mengambil buruh asing harus diikat dengan peraturan dalam akta ini bagi membolehkan tapisan dalam kemasukan buruh asing ke dalam negara dapat dilaksanakan.
Langkah utama yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing adalah dengan melahirkan modal insan kelas pertama. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tumpuan yang lebih besar diberi kepada usaha membangunkan modal insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai yang utuh. Modal insan adalah aset penting dan penentu bagi "survival" sebuah negara. Pembangunan modal insan adalah perkara penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti. Pembangunan modal insan melalui kewujudan Institusi Pengajian seperti Kolej Teknik, Politeknik dan ADTEC dapat menyediakan kerajaan kepada tenaga buruh tempatan bagi menggantikan kebergantungan buruh asing dalam sektor di negara kita. Penyedian warga tempatan menerusi lepasan Institusi Pengajian ini akan membolehkan sektor pekerjaan dalam negara di penuhi oleh warga tempatan sekaligus menjamin persekitaran industri yang harmoni dalam negara tanpa melibatkan masalah berkaitan keselamatan dan konflik dalam sektor pekerjaan di Malaysia. Seterusnya, negara Malaysia mampu berdiri sendiri dalam mencapai matlamat negara iaitu Wawasan 2020 tanpa bergantung tenaga buruh pendatang asing (Soijah bt Likin, Pusat Pengajian Jarak Jauh).
Kerajaan haruslah mewujudkan jabatan khas bagi menangani isu buruh asing termasuk memantau kedudukan mereka semasa bekerja di negara ini selepas tamat tempoh visa. (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, 2011) telah berkata, jabatan berkenaan juga berfungsi untuk mengatasi lambakan buruh asing di negara ini yang didapati menimbulkan banyak masalah sosioekonomi kepada negara. Tan Sri Muhyidin juga berkata, pada masa ini tiada jabatan khusus yang dapat membantu kedudukan dan pergerakan buruh asing terbabit apabilatempohvisamereka tamat. Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan terhadap buruh asing diperketatkan kerana jika tiada sistem pemantauan yang rapi dan cukup ia akan membawa kesan yang tidak baik kepada rakyat dan negara. Beliau juga mengatakan bahawa buruh asing yang ingin datang ke Malaysia perlu menjalani proses saringan di negara asal masing - masing supaya tidak timbul masalah selepas berada di negara ini.
KESIMPULAN
Kemasukan buruh asing bagi menangani kekurangan tenaga buruh adalah wajar dalam jangka pendek namun implikasi jangka panjang dikhuatiri memudaratkan pasaran buruh dan pembangunan usahawan tempatan. Pergantungan terhadap pekerja asing yang sah membuka ruang kepada pendatang asing tanpa izin yang mengancam sistem ekonomi, sosial, dan politik tanah air. Ekonomi yang berdaya saing memerlukan pasaran buruh yang cekap dan mahir bagi menjamin peningkatan keluaran, pertumbuhan yang mapan, dan persekitaran ekonomi yang menjamin peningkatan tenaga kerja tempatan. Justeru kerajaan perlu memperkemas pengambilan pekerja asing dengan menentukan keperluan sebenar bagi mengelak lambakan yang akhirnya merugikan negara dalam jangka panjang.
RUJUKAN
Rusniah Ahmad, Mohamad Naiem Ajis, Saadon Awang (2014). Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Iizn Di Malaysia Dari Aspek Sosial dan Perundangan. Universiti Utara Malaysia. Diambil dari https://www.academia.edu/32019551/PERMASALAHAN_PENDATANG_ASING_TANPA_IZIN_DI_MALAYSIA_DARI_ASPEK_SOSIAL_DAN_PERUNDANGAN_Problems_Pertaining_to_the_Social_and_Legal_Aspects_of_Illegal_Immigrants_in_Malaysia
Ahmad Nazmi Bin Nordin (2017). Isu Kemasukan Buruh Asing di Malaysia. Universiti Malaysia Sabah. Diambil dari https://www.researchgate.net/publication/315456881_ISU_KEMASUKAN_BURUH_ASING_DI_MALAYSIA
Essa Abu Yamin (2021). Semua Pekerja Asing di Muar, Dilarang Keluar Dari Asrama, Kilang. Berita Harian. Diambil dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/780843/semua-pekerja-asing-di-muar-dilarang-keluar-dari-asrama-kilang
Intan Surai Hamzah, Sity Daud (2016). Impilakasi Kemasukan Pekerja Asing Di Malaysia: Suatu Tinjauan Awal. Jurnal Sains Insani e-ISSN: [0127-7871].
Fuad Mohamed Berawi (2019). Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johor: Profil Demografi dan Dokumen Kemasukan. Jurnal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences.
NATASHA AMANI BINTI MOHAMAD
D20191088434
KUMPULAN A
No comments:
Post a Comment