Wednesday, June 8, 2022

PENCEMARAN UDARA JEJASKAN KESELESAAN DAN KESIHATAN PENDUDUK DI BANDAR LIMBANG, SARAWAK


1.0  PENGENALAN

Pencemaran udara merupakan salah satu pencemaran yang sering dipaparkan di dalam surat khabar dan kaca televisyen dalam negara kita. Pencemaran udara boleh dikatakan antara pencemaran yang memberi impak yang paling besar kepada alam sekitar. Disebabkan oleh pencemaran udara terjadinya fenomena pemanasan global yang mengakibatkan berlakunya bencana alam yang mengancam bumi kita. Pencemaran udara ini menjadi tumpuan sedunia untuk ditangani dan diambil langkah pengawalan supaya tahap pencemaran dapat dikawal.

     Pencemaran udara boleh dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder. Menurut Haliza Abd Rahman dan Rapeah Suppian (2013), pencemaran primer merujuk kepada pencemaran yang dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida hasil dari pembakaran tidak lengkap yang menyebabkan zarah-zarah halus terampai di udara. Kebanyakan pencemaran ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar dan pembakaran arang batu yang tidak terkawal, manakala pencemaran sekunder pula adalah tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk dengan gas–gas yang tidak diperlukan oleh benda hidup seperti gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid sulfurik.

      Pencemaran udara telah menjadi masalah yang berterusan di banyak negara seperti di negara-negara Barat dan di rantau Asia Tenggara, dan Malaysia ialah salah satu negara yang terjejas.  Dalam meniti arus permodenan ini telah menderaskan lagi pembangunan negara kita. Pelbagai projek sosio ekonomi telah dijalankan dengan begitu pesat sekali untuk meningkatkan taraf pembangunan negara agar seiring dengan negara-negara maju yang lain, namun kita lupa tentang kesannya terhadap alam sekitar yang boleh membahayakan masyarakat. Menurut Huda (2019), pencemaran alam sekitar telah menjadi satu permasalahan yang tidak dapat dielakkan oleh negara kita sehingga mencalarkan nama negara. Negara kita sebenarnya telah terhimpit antara meningkatkan pembangunan negara setaraf negara maju dengan kebajikan terhadap alam sekitar yang perlu dipelihara untuk masyarakat. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan keadaan alam sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap kepentingan alam sekitar. Bandar Limbang merupakan sebuah bandar yang sedang membangun, pelbagai projek-projek sosioekonomi telah dirancang dan dalam fasa pembinaan dalam mengejar kemajuan agar setaraf dengan bandar-bandar maju yang lain.


2.0  KAWASAN KAJIAN

Bahagian Limbang terletak di Timur Laut di negeri Sarawak bersempadan dengan negara Brunei Darussalam di barat, teluk Brunei di utara , Sabah / Kalimantan di timur dan daerah Baram iaitu bahagian Miri di Selatan, di tengah-tengahnya daerah Temburong iaitu negara Brunei yang membuatkan bahagian Limbang berada di tengah-tengah. Limbang adalah bahagian yang kelima daripada 12 bahagian di negeri Sarawak. Bahagian Limbang merangkumi dua buah daerah iaitu daerah Limbang dan daerah Lawas serta tiga buah daerah kecil iaitu daerah Medamit, Sundar, dan Trusan dengan keluasan 7,790 km per segi. Limbang mempunyai bentuk muka bumi yang dikelilingi oleh tanah pamah, bukit bukau dan sungai serta tasik yang menarik.

Rajah 1: Peta Bahagian Bandar Limbang

     Bandar Limbang merupakan bandar yang sedang membangun. Oleh itu, berlakunya peningkatan populasi penduduk di bandar Limbang saban tahun. Peningkatan populasi penduduk ini telah menyumbang peningkatan pencemaran udara di sekitar bandar Limbang sehingga menjejaskan kesihatan penduduk di sekitarnya.

 

3.0  PENCEMARAN UDARA DI BANDAR LIMBANG SEHINGGA MENJEJASKAN KESIHATAN PENDUDUK

 

 Antara isu pencemaran udara tersebut adalah pembebasan asap dari ekzos kenderaan bermotor telah memberi kesan atas atmosfera dan kesihatan penduduk setempat. Perkembangan pesat industri automotif dari tahun ke tahun sejajar dengan arus permodenan masa kini telah menyumbang kepada peningkatan kenderaan bermotor. Sebagai contohnya, peningkatan bilangan kereta, van, bas, lori dan kenderaan-kenderaan yang lain. Peningkatan bilangan penggunaan kenderaan bermotor ini memberi kesan sampingan terhadap hidupan seperti menjejaskan kesihatan dan merosakkan kualiti alam sekitar.


Rajah 2: Kesesakan lalu lintas merupakan bukti peningkatan kenderaan bermotor di sesebuah kawasan.

         Selain itu, pembuangan kontaminan-kontaminan hasil daripada aktiviti perindustrian telah mengeruhkan lagi keadaan kerana telah mendatangkan penyakit-penyakit baru, penurunan hasil pertanian dan kerosakkan harta benda. Pencemaran udara ini juga telah menyebabkan masalah pencemaran alam seperti jerebu. Perkara ini perlu dipandang serius dan ditangani dengan segera kerana ianya merupakan permasalahan yang boleh mengancam keselesaan penduduk setempat malahan ianya juga memberi kesan terhadap hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.


Rajah 3: Pelepasan asap yang tidak ditapis oleh pengusaha kilang yang ada di bandar Limbang.

4.0  PUNCA-PUNCA PENCEMARAN UDARA DI BANDAR LIMBANG

Antara punca pencemaran udara di bandar Limbang adalah pelepasan asap kenderaan juga banyak menyumbang kepada pencemaran udara ini.  Pertambahan kenderaan yang bergerak di jalan raya telah menyebabkan asap yang dilepaskan ke udara melalui ekzos kereta juga turut bertambah.  Sekiranya kenderaan yang digunakan tidak diselenggara dengan baik, kenderaan tersebut akan mengeluarkan asap yang berlebihan.  Justeru, asap yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon monoksida telah mencemarkan kebersihan udara keseluruhannya.

     Seterusnya, pembakaran terbuka turut mengakibatkan pencemaran udara. Pembakaran terbuka yang melibatkan pembakaran sekam padi di bendang oleh petani yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penanaman semula telah menyebabkan banyak partikel jelaga yang diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin sehingga menyebabkan jerebu. Keadaan jerebu menyebabkan penduduk setempat menghidap pelbagai penyakit seperti sesak nafas, selesema, batuk, dan pedih mata.


Rajah 3: Pembakaran terbuka oleh petani yang tidak bertanggungjawab.

      Selain itu, aktiviti perindustrian dan pembangunan yang semakin deras di sekitar bandar Limbang turut menjadi punca kepada pencemaran udara yang berlaku. Bandar Limbang yang merupakan bandar yang sedang membangun menyebabkan pelbagai projek sosio ekonomi telah dilaksanakan dalam mengejar kemajuan bandar setaraf bandar-bandar besar yang lain. Menurut Hashim, M. & Che Ngah, M.S. (2005), pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya, industri kimia melepaskan pencemar yang berasaskan nitrogen dan sulfur manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon.

     Akhir sekali, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya pendedahan ataupun ilmu berkaitan dengan penjagaan alam sekitar menyebabkan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini bertindak sesuka hati tanpa menghiraukan kesan yang akan berlaku pada masa depan. Sebagai contoh, sikap sesetengah penduduk di sekitar bandar Limbang yang membakar sampah sarap tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari.

 

5.0  KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA TERHADAP PENDUDUK DI BANDAR LIMBANG

Antara kesan pencemaran udara terhadap penduduk setempat adalah kesihatan terjejas. Hal ini dikatakan demikiran kerana bahan cemar yang terperangkap di udara akan memasuki hidung atau mulut manusia dan seterusnya paru-paru melalui trakea. Menurut Wilson, R. & Spengler, J. (1996), gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dan akan melambatkan tindak balas manusia sehingga menyebabkan mengantuk,penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru. Bahan tercemar seperti nitrogen oksida akan menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Contoh bahan tersebut ialah gas ozon, ia boleh menimbulkan inflamasi pada paru-paru.

     Seterusnya, pencemaran udara menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat setempat. Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat boleh terganggu apabila alam sekitar mengalami kemerosotan, terutamanya akibat aktiviti pembangunan yang dilaksanakan oleh manusia. Sebahagian besar daripada gangguan keselamatan dan kesejahteraan tersebut berpunca daripada keadaan alam sekitar yang mengalami perubahan, misalnya udara yang tercemar, sampah sarap, bahan buangan toksik dan berbahaya, racun makhluk perosak, penggunaan baja sintetik, hingar dan sebagainya. Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat adalah berkaitan dengan kualiti alam sekitar.

     Selain itu, pencemaran udara yang berlaku menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas. Hal ini dikatakan demikian kerana fenomena jerebu yang berlaku melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi di sekitar bandar Limbang. Antara sektor ekonomi yang terjejas adalah seperti sektor pertanian, perikanan dan sebagainya.

      Akhir sekali, penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada tindakan yang berat dikenakan terhadap pelaku yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara di sekitar bandar Limbang menyebabkan segelintir pihak bertindak sesuka hati. Perkara ini telah menyebabkan kualiti udara di sekitar bandar Limbang telah terjejas kerana tiadanya tindakan dikenakan terhadap pelaku.

 

6.0  CADANGAN BAGI MENGATASI MASALAH PENCEMARAN UDARA DI BANDAR LIMBANG

Antara cadangan bagi mengatasi masalah pencemaran udara di bandar Limbang ini adalah melalui menghijaukan kawasan bandar Limbang iaitu dengan menanam lebih banyak pokok di sekitar bandar Limbang. Penanaman pokok seperti buah-buahan di sekitar taman perumahan atau sekitar bandar Limbang dapat mengurangkan masalah peningkatan suhu. Selain itu, kandungan karbon dioksida dalam udara dapat dikurangkan dan meningkatkan kandungan gas oksigen melalui proses fotosintesis.

     Seterusnya, perlaksanaan kempen bertemakan cintai alam sekitar. Melalui perlaksanaan kempen bertemakan cintai alam sekitar ini penduduk di sekitar bandar Limbang pastinya akan didedahkan dengan ilmu baharu berkaitan dengan penjagaan alam sekitar yang lebih baik dan mengetahui akan kesan sekiranya alam sekitar tidak dijaga dengan baik. Rasa tanggungjawab dalam diri mereka pastinya akan dapat disemai.

     Selain itu, tindakan undang-undang dikenakan kepada individu-individu yang menyebabkan pencemaran udara berlaku. Pihak berwajib seperti Majlis Pembandaran Bandar Limbang boleh menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah membuat pencemaran udara di sekitar bandar Limbang. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan. Hal ini supaya isu pencemaran udara ini tidak dianggap remeh dan mereka tidak akan mengulanginya lagi.

     Akhir sekali, perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik. Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik perlu dilaksanakan oleh Majlis Pembandaran Bandar Limbang. Hal ini dikatakan demikian kerana perancangan yang strategik dalam pembangunan bandar Limbang perlulah dirancang dengan baik dan pengurusan sisanya perlulah sistemaik untuk mengelakkan timbulnya permasalahan di kemudian hari.

 

7.0  KESIMPULAN

Kesimpulannya, pencemaran udara yang berterusan mampu menjejaskan kesihatan dan keselesaan penduduk setempat. Majlis Pembandaran Bandar Limbang haruslah mengambil pelbagai langkah pengurusan untuk mengatasi masalah ini daripada berterusan berlaku. Sebagai contoh, Majlis Pembandaran Bandar Limbang boleh menguatkuasakan undang-undang berkaitan alam sekitar dengan tujuan mengawal kualiti alam sekitar supaya memastikan setiap hidupan dan alam dapat bernafas dengan sihat dan terjamin. Majlis Pembandaran Bandar Limbang juga boleh mengadakan kempen amalan berkongsi kenderaan untuk turun ke tempat kerja agar dapat mengurangkan pelepasan asap dari kenderaan. Oleh itu, haruslah Majlis Pembandaran Bandar Limbang dan masyarakat berganding bahu dalam mengatasi masalah pencemaran udara yang berlaku ini supaya masalah pencemaran udara ini dapat diatasi kerana jika satu pihak sahaja yang berusaha menangani masalah ini pastinya usaha yang dijalankan pasti menjadi sia-sia.

 

8.0  RUJUKAN

Haliza Abd Rahman & Rapeah Suppian. (2013). Pencemaran Alam Sekitar dan Kesihatan Awam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Hashim, M. & Che Ngah, M.S. (2005). Pembangunan dan Alam Sekitar di Malaysia. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Perguruan Sultan Idris.

 

Huda, N., (2019). Malaysia di tempat pertama pencemaran udara tertinggi dunia Astro Awani.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-di-tempat-pertamapencemaranudara-tertinggi-dunia-217879

 

Rapeah Suppian. (2011). Pencemaran dalam rumah dan kesannya terhadap kesihatan.Dlm. Dlm. Haliza Abd Rahman & Rapeah Suppian. Persekitaran dan Kesihatan Manusia. Sintok. Universiti Utara Malaysia

 

Wilson, R. & Spengler, J. (1996). Particles in Our Air: Concentrations and Health Effects. USA: Harvard University Press.

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...