Tuesday, June 7, 2022

ISU KEMALANGAN DI JALAN FELDA SELANCAR 2, MUADZAM SHAH, PAHANG

Ringkasan Kes

     Kawasan yang ingin dikaji ialah di Felda Selancar iaitu sebuah kawasan Felda yang berada di tenggara Pahang. Lokasi kawasan ini berada di daerah Muadzam Shah dan berada di laluan Segamat-Kuantan. Felda Selancar merupakan kawasan tempat tinggal saya sejak kecil dan merupakan kawasan yang menjalankan ekonomi pertanian kelapa sawit. Felda Selancar meliputi beberapa bahagian iaitu Felda Selancar 1 - Felda Selancar 9. Isu yang ingin saya tumpukan di kawasan ini ialah kes kemalangan yang kerap berlaku sehingga mengakibatkan korban nyawa penduduk di Felda Selancar mahupun pihak luar yang melalui jalan ini. Walaupun puluhan tahun isu ini diperkatakan, namun tiada kajian atau jalan penyelesaian yang boleh dilakukan sehingga ke hari ini.

     Kemalangan jalan raya merupakan perkara yang akan berlaku secara tiba-tiba dan boleh meninggalkan kesan yang serius kepada mangsanya. Di Malaysia, kemalangan jalan raya meningkat dari tahun ketahun dalam urutan 10 tahun sejak 2010-2019. Jika dilihat pada statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia pada tahun 2010 kes kemalangan sekitar 414 ribu dan meningkat kepada 567 ribu pada 2019. Menurut Zuraidah Ibrahim, Zuhairi Abdul Majid & Jasni Dolah (2016) Kemalangan jalan raya dan kecederaan adalah masalah utama di negara-negara membangun seperti Malaysia. Kemalangan semakin bertambah semasa musim perayaan dan menyebabkan bilangan korban kemalangan bertambah.

Kemalangan Jalan Raya di Malaysia

Sumber : Kementerian Pengangkutan Malaysia

    

     Jika diteliti dengan baik, kawasan Felda Selancar merupakan kawasan yang popular dengan kemalangan akibat banyak faktor seperti jalan raya, haiwan berkeliaran di jalan raya, tunggangan secara berbahaya dan bermacam lagi. Jalan yang dilalui oleh masyarakat setiap hari ini juga kini menjadi jalan pintas bagi pemandu yang ingin ke Johor Bahru dengan melalui jalan Felda Selancar dan kemudian ke Jalan Redong, Segamat, Johor. Seringkali kemalangan yang berlaku dimasukkan ke dalam akhbar-akhbar ternama seperti Sinar Harian, Metro dan lain-lain. Sehingga ke hari ini, isu kemalangan tidak pernah pudar di jalan Felda Selancar walaupun sudah berpuluh tahun isu ini membelenggu penduduk sekitar.

Kemalangan melibatkan korban jururawat tempatan

Sumber : Akhbar Mero (2018) Arwah ringan tulang, suka jamu rakan...

Kemalangan motorsikal membabitkan penduduk

Sumber : Metro (2019) 'Patutlah beritahu tak balik beraya'

Punca Isu Kemalangan di Felda Selancar

     Kadar kemalangan yang kerap berlaku di Felda Selancar adalah kerana pelbagai sebab dan geografi di kawasan ini. Antara hal dan punca yang perlu diberi penekanan oleh pihak berwajib adalah punca kepada berlakunya kemalangan di kawasan ini. Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian, saya dapat mengelaskannya kepada beberapa punca iaitu :

Keadaan jalan utama dan ketiadaan lampu jalan

      Masalah yang menimpa pemandu di Jalan Felda Selancar pada waktu malam ialah keadaan jalan yang berlubang-lubang dan sangat teruk sehingga boleh merosakkan kenderaan. Menurut Ahmad Jazlan etc. (2020) kerosakan pada permukaan jalan raya merupakan salah satu faktor risiko kemalangan yang berlaku secara meluas di negara Asia  Tenggara dan negara membangun yang lain. Berdasarkan pemerhatian sepanjang jalan daripada simpang sehingga ke dalam Felda Selancar mengalami lubang-lubang besar mahupun kecil. Keadaan ini akan merosakkan kenderaan pemandu dimana rem kereta akan bengkok dan pancit manakala motorsikal akan mengalami impak yang lebih besar sehingga kemalangan akan lebih mudah berlaku. Pada waktu malam, peratusan pemandu untuk melanggar ini lebih tinggi kerana ketiadaan lampu jalan sepanjang laluan di Felda Selancar.

     Walaupun jalan sudah di tar semula tampak dalam beberapa hari jalan akan kembali untuk berlubang kerana kualiti jalan tar yang dibuat murah. Menurut Syairil Adzrin Salbi etc. (2020) terdapat beberapa faktor kemalangan jalan raya seperti faktor persekitaran, jalan raya, pengguna, kenderaan dan interaksi antara faktor tersebut.

Haiwan penternakan berkeliaran

     Seterusnya, punca kemalangan yang berlaku adalah kerana haiwan yang berkeliaran pada waktu malam. Lembu merupakan antara penternakan utama bagi penduduk di Felda Selancar. Penternak melepaskan lembu-lembu mereka di kawasan sekitar ladang mereka sehinggakan lembu tersebut berkeliaran di atas jalan raya. Bagi penduduk sekitar mereka lebih peka dengan keadaan sekeliling, namun bagi pemandu dari luar yang jarang menggunakan jalan tersebut akan lebih lalai terutamanya pada waktu malam yang gemerlapan akibat tiada lampu jalan. Selain daripada lembu, haiwan buas seperti babi hutan dan ayam juga sering berada di jalan raya di kawasan laluan tersebut sehingga meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Lori-lori memandu secara berbahaya

     Lori-lori luar yang besar juga sering melalui jalan Felda Selancar ini untuk sampai ke destinasi pada waktu yang singkat. Laluan ini merupakan jalan pintas bagi pemandu untuk mengelakkan laluan di bandar Segamat, Johor. Namun, yang menyebabkan kesan buruk kepada penduduk ialah lori-lori ini kebanyakannya memandu secara berbahaya disamping penduduk yang kurang mengamalkan keselamatan di jalan raya seperti memakai topi keledar dan lampu kenderaan tidak bernyala. Kebanyakan lampu lori penduduk yang dijadikan rutin ke ladang kelapa sawit mempunyai masalah seperti tiada lampu signal dan lampu hadapan, belakang. Kesannya, ramai penduduk yang terkorban akibat banyaknya lori yang berada di jalan raya ketika ini.

     Punca-punca ini saling berkait satu sama lin, contohnya keadaan jalan yang teruk menyebabkan pemandu mengelak lubang yang berada di jalan raya, dan mereka seterusnya bertembung dengan lori daripada arah hadapan. Lampu jalan yang tiada menyebabkan pemandu tidak dapat menyedari bahaya yang datang daripada arah hadapan berikutan jalan yang gelap dan sunyi. Jalan yang rosak juga adalah hasil daripada kenderaan berat yang sering melalui jalan tersebut setiap hari termasuk turapan yang murah dan tidak berkualiti. Menurut Haryati etc. (2021) faktor utama yang menyebabkan kerosakan jalan raya adalah lori yang membawa muatan yang berlebihan telah menyebabkan kerosakan jalan.

    


 

Masalah dan jalan penyelesaian

     Isu yang menimpa penduduk sekitar Felda Selancar 2, merupakan isu yang dibangkitkan di banyak kawasan seluruh Malaysia. Penyelesaian yang boleh dibuat oleh pihak bertanggungjawab dan penduduk sekitar adalah :

     Masalah jalan yang rosak boleh diselesaikan dengan had kenderaan yang melalui jalan ini. Punca utama kerosakan jalan yang melanda jalan Felda Selancar ialah lori-lori besar yang melebihi muatan melalui jalan ini. Maka, kesannya jalan mudah pecah, berlopak dan berlubang bila tiba musim hujan. Masalah jalan yang gelap dan tiada lampu yang menerangi haruslah diselesaikan pihak berwajib dengan menambah lampu jalan sekurang-kurangnya di jalan yang hotspot atau berbahaya kepada pengguna jalan raya.  Dengan itu, jalan yang dilalui akan lebih baik dengan kurangnya lori-lori daripada luar ini yang dianggap merosakkan jalan di Felda Selancar 2.

     Seterusnya, penduduk yang memelihara haiwan diwajibkan untuk meletakkan haiwan penternakan mereka di tempat yang betul. Masalah haiwan berada di jalan raya merupakan perkara yang mustahak dan boleh mendatangkan mudarat. Oleh itu, jika penternak tidak mengikuti arahan yang diberikan penguatkuasaan undang-undang haruslah dijalankan ke atas mereka. Kompaun yang besar diharapkan dapat memberikan pengajaran kepada mereka kerana membahayakan nyawa pemandu-pemandu di jalan raya. Had yang ditetapkan kepada penternak agar menjauhkan haiwan penternakan mereka perlulah sekurang-kurangnya 1 km daripada jalan raya. Papan tanda juga mengenai amaran haiwan berkeliaran perlu diletakkan agar pemandu berhati-hati dan mengetahui adanya bahaya di hadapan mereka.

     Akhir sekali, pihak berkuasa hendaklah sentiasa memantau lori-lori buah sawit dan juga penduduk sekitar yang menggunakan jalan raya agar mematuhi undang-undang yang digariskan. Saman secara langsung kenderaan yang tiada lampu signal dan lampu kenderaan hendaklah diberikan tanpa alasan kerana ia merupakan undang-undang yang sudah termaktub di atas jalan raya.


 

Kesimpulan

     Natijahnya, kes kemalangan yang kerap berlaku di jalan Felda Selancar ini sudah lama membelenggu pengguna jalan raya di kawasan ini. Pihak berwajib hendaklah memantau jalan ini yang dianggap hotspot kerana sudah ramai yang terkorban di jalan ini. Pihak berkuasa juga hendaklah mengawal dan membuat sekatan jalan raya, kerana banyaknya lori yang melanggar undang-undang jalan raya melalui jalan ini. Penduduk di kawasan ini juga perlulah berwaspada dan mematuhi undnag-undang agar kecelakaan tidak berlaku sehingga boleh mengorbankan nyawa mereka.

     Sebagai seorang penduduk di kawasan ini, masalah yang berlarutan puluhan tahun ini perlulah diberi perhatian pihak berwajib. Sudah banyak kes kematian yang berlaku, namun tindakan yang sewajarnya tidak diberikan. Saya harapkan, isu kemalangan ini akan diselesaikan suatu hari nanti, kerana setiap masalah ada penyelesaiannya. Kes kemalangan ini, jika tidak diselesaikan secepat mungkin akan menyebabkan angka kematian  di jalan ini bertambah dari hari ke hari. Akibat daripada kemalangan sangat besar dan menimbulkan risiko kerugian yang boleh berlaku dalam satu kes kemalangan adalah merangkumi kematian, kecedaraan dan kerosakan harta (Aishah Samudin, 2021)

Rujukan

Ibrahim, S. Z., Majid, A. Z. A., & Dolah, J. (2016). Kajian Rekabentuk Sistem Keselamatan (Tali Pinggang) Bagi Penumpang Bas Komersial di Semenanjung Malaysia. In 2nd International Conference on Creative Media, Design & Technology (REKA2016).

Mohideen, A. J. H., Rosli, M. F., Hanif, N. H. H. M., Zaki, H. F. M., Husman, M. A., Muthalif, A. G. A., & Kumar, D. (2020). Pavement condition analysis via vehicle mounted accelerometer data. IIUM Engineering Journal21(1), 73-84.

Salbi, S. A., Abdullah, M. A. R., Abd Rahim, N., & Husain. (2020) S. WACANA TEKSTUAL LAPORAN POLIS KES KEMALANGAN JALAN RAYA.

Samudin, S. A. (2020). Pampasan ganti rugi ke atas mangsa kemalangan jalan raya: titik integrasi antara diyat dan insurans di Malaysia. e-Journal of Islamic Thought and Understanding (e-JITU)2, 15-37.

Shafii, H., Abd Halid, M. A. H., Halid, M., Yassin, A. M., Masram, H., & Sarpin, N. (2021). Kajian Terhadap Kualiti Penyelenggaran Jalan Persekutuan di Johor Bahru: Dari Perspektif Pengguna. Research in Management of Technology and Business2(1), 678-689.


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...