Wednesday, June 8, 2022

MASALAH SETINGGAN DI KAMPUNG PUJUT 7 MIRI, SARAWAK.

1.0 Pengenalan

Secara umumnya, setinggan merupakan rumah bagi orang yang mendirikan rumah di tanah milik kerajaan tanpa kebenaran pemilik asal tanah tersebut. Isu ini bukanlah sesuatu yang asing lagi kerana hampir kesemua bandar di seluruh dunia memiliki masalah setinggan. Kenyataan ini disokong oleh Aguilera dan Smart (2019) yang menyatakan bahawa masalah setinggan mungkin sudah mula wujud sejak sesebuah bandar tersebut dikawal oleh undang-undang. Semakin maju sesebuah bandar tersebut maka semakin bertambah masalah setinggan kerana berlakunya ketidakseimbangan ekonomi dan juga pendapatan penduduk yang tinggal di bandar tersebut.

Penduduk yang mempunyai pendapatan tinggi semestinya mampu untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti makanan dan minuman yang sihat dan bersih, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan juga pendidikan. Namun sebaliknya bagi golongan yang berpendapatan rendah ini kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar, nelayan bahkan pendatang asing yang datang tanpa dokumen sah. Mereka mungkin boleh mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan minuman serta pakaian tetapi semestinya bukan perumahan yang selesa dan murah. Oleh hal yang demikian, penduduk yang berpendapatan rendah memilih setinggan sebagai pilihan terakhir bagi mereka untuk mengelakkan daripada terpaksa mengemis.

Menurut UN-Habitat (2003), terdapat dua jenis kawasan setinggan iaitu setinggan yang dibina di atas tanah yang diceroboh secara haram dan setinggan tidak formal yang mana penduduknya telah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah tetapi tidak layak memiliki tanah tersebut atas faktor-faktor tertentu. Kepada sesetengah orang terutamanya golongan yang berpendapatan rendah, setinggan merupakan jalan keluar untuk mereka mengelakkan daripada mengemis dan merempat di kaki lima. Namun begitu kepada sesetengah orang, kewujudan kawasan setinggan di bandar menimbulkan beberapa kesan negatif. 

2.0 Ringkasan Kes di Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak

Di Miri, kebanyakan setinggan didirikan di sekitar kawasan tebing sungai Miri. Menurut Siew Sang dalam akhbar Suara Sarawak (2022) mengatakan bahawa disebabkan oleh beberapa faktor lain, termasuklah peranan Miri sebagai hab minyak dan gas yang telah menyediakan pelbagai peluang Peterman, Miri telah menjadi lokasi tumpuan utama untuk mendirikan setinggan. Tambah beliau lagi, migrasi dari luar bandar ke bandar Miri menyumbang peningkatan setinggan yang tinggi di bandar tersebut. Kampung Pujut 7 telah menjadi pilihan penduduk setinggan untuk membina perumahan kerana lokasinya yang strategik berdekatan dengan tebing sungai.


                                                                                             Rajah 1: Lokasi Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak

Kampung Pujut 7 terletak di bawah jambatan Pujut 7 dan tidak kelihatan sekiranya tidak masuk ke dalam lagi. Mereka menggunakan jambatan tersebut sebagai tembok untuk mereka bersembunyi daripada diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Bukan itu sahaja, Kampung Pujut 7 juga terletak berhampiran dengan tebing sungai Baong. Penduduk setinggan Kampung Pujut 7 kebanyakannya menjalankan aktiviti perikanan sebagai mata pencarian utama mereka dan selebihnya bekerja sebagai buruh kasar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Lokasi yang berdekatan di tebing sungai juga memudahkan mereka untuk mendapatkan keperluan asas seperti air untuk kegunaan domestik dan juga sumber protein seperti ikan. Namun begitu masalah mula timbul apabila sungai Baong kian tercemar oleh kerana sering digunakan sebagai tempat pembuangan sisa kumbahan dari petempatan ini seperti yang terdapat dalam rajah 2 berikut. Corak petempatan yang tidak sistematik dan berselerak pula telah mewujudkan pemandangan yang jelek kerana petempatan ini berada berdekatan dengan pusat bandar. 

 

                                                                               Rajah 2: Rumah-rumah setinggan di sekitar tebing sungai Baong

Menurut Ding Lah yang merupakan setiausaha bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut, kebanyakan penduduk yang mendirikan rumah setinggan di kampung itu terdiri daripada kaum Kayan dan Kenyah manakala penduduk lain pula terdiri daripada kaum Melanau, Bidayuh, Cina serta Iban (Sarawak Update, 2011). Walaupun kampung tersebut merupakan lokasi kebanyakan perumahan setinggan tetapi kawasan tersebut lengkap dengan fasiliti seperti tadika perpaduan dan jalan raya serta utiliti contohnya bekalan air bahkan terdapat juga lampu jalan disediakan di persimpangan kampung tersebut.

3.0 Punca-punca wujud petempatan setinggan di Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak

Isu setinggan bukanlah fenomena yang baru lagi terutamanya di negara yang membangun seperti Malaysia. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kewujudan setinggan terutamanya di kawasan bandar dalam konteks penulisan ini, iaitu di bandar Miri. Kawasan setinggan dicirikan oleh taraf perumahan yang serba kekurangan, kemiskinan penduduk, kekurangan perkhidmatan awam serta swasta, dan ketidakupayaan penduduk untuk berinteraksi dengan komuniti yang lain (UN-Habitat, 2003). Terdapat beberapa punca dikesan yang menyebabkan wujudnya masalah setinggan di Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak.

            Pertama sekali ialah berpunca daripada masalah kemiskinan yang membelenggu penduduk setinggan telah menyukarkan mereka untuk membeli rumah sendiri. Kemiskinan adalah suatu situasi serba kekurangan yang dihadapi oleh seseorang individu atau keluarga dalam menghadapi kelangsungan hidup seharian (Nor Azrul Mohd Zin dan Noordeyana Tambi, 2018). Sebagaimana yang kita telah tahu bahawa kebanyakan penduduk di Kampung Pujut 7 bekerja sebagai buruh kasar dan juga nelayan. Oleh hal yang demikian, upah yang sedikit dan keuntungan yang tidak menentu menyebabkan mereka sukar untuk membuat pinjaman perumahan di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, kadar upah yang rendah dan kos sara hidup tinggi di kawasan bandar menyebabkan upah tersebut hanya mencukupi untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan minuman sahaja. Oleh itu, perumahan setinggan merupakan satu-satunya alternatif untuk mereka berteduh daripada hujan dan panas. Tambahan pula, mereka tidak perlu terikat kepada komitmen untuk membayar sewa atau pinjaman perumahan pada setiap bulan.

Punca seterusnya ialah migrasi besar-besaran dari kawasan luar bandar ke bandar. Penduduk luar bandar berhijrah dari luar bandar ke bandar dengan harapan mereka boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik di bandar. Mereka juga datang ke bandar Miri kerana mereka yakin bahawa bandar ini berpotensi menyediakan mereka kemudahan yang lengkap, kadar upah yang tinggi dan peluang pekerjaan yang banyak. Bandar Miri merupakan bandar yang mempunyai sejarah sebagai tapak perlombongan minyak yang pertama di Miri dan telah mencetuskan perindustrian minyak di Sarawak. Secara langsung, wujud banyak peluang pekerjaan yang boleh didapati di bandar ini dan keadaan ini telah menarik minat penduduk luar bandar untuk datang mencari pekerjaan di situ. Perumahan setinggan juga menjadi pilihan pendatang asing yang datang bekerja di bandar Miri kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen yang sah untuk melayakkan mereka menyewa di perumahan yang lebih selesa.

Punca yang terakhir ialah kekurangan rumah kos rendah di kawasan bandar Miri. Rumah kos rendah merupakan rumah mampu milik yang dibina khas untuk golongan yang kurang berkemampuan Tujuan utama rumah mampu milik ini diwujudkan adalah supaya semua golongan masyarakat terutamanya masyarakat yang berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri sekaligus mengurangkan petempatan setinggan. Namun begitu, harga rumah yang kian melambung tinggi meningkatkan kadar petempatan setinggan di bandar ini. Tambahan pula, kadar upah yang rendah yang diperolehi sesetengah penduduk yang bekerja sebagai buruh kurang mahir seperti pekerja kilang dan buruh kasar menyukarkan mereka untuk membeli rumah di kawasan bandar. Oleh itu, mereka lebih memilih untuk membina rumah setinggan di tebing sungai ataupun bawah jambatan yang lebih murah kos pembinaannya berbanding dengan rumah-rumah di pusat bandar dimana mereka terikat dengan bayaran sewa bulanan, kos penyelenggaraan dan lain-lain lagi kos.

4.0 Masalah yang timbul disebabkan petempatan setinggan di Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak

Kesan yang paling ketara boleh dilihat yang wujud disebabkan pembinaan petempatan setinggan ialah pemandangan yang tidak indah pada pandangan mata orang ramai. Corak petempatan setinggan yang dibina secara tidak seragam dan berselerak di Kampung Pujut 7 telah menjelekkan pemandangan di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, kebanyakan struktur rumah setinggan diperbuat daripada kayu yang sudah uzur dan atap zink yang sudah berkarat. Kesannya, ramai pelancong yang datang ke bandar ini akan merasa tidak selesa dengan pemandangan tersebut sehingga boleh mempengaruhi tanggapan mereka terhadap pengurusan di bandar Miri. Jelaslah bahawa, pemandangan yang tidak indah tersebut boleh memberikan tanggapan yang negatif kepada pelancong terutamanya yang baru pertama kali datang ke bandar ini.

            Kesan yang seterusnya ialah pencemaran air di Sungai Baong. Hampir semua penduduk setinggan di Kampung Pujut 7, Miri, Sarawak mengalirkan sisa kumbahan daripada rumah mereka ke dalam sungai tersebut. Sisa kumbahan tersebut terdiri daripada air untuk kegunaan domestik seperti mencuci pakaian, kereta dan mandi. Sisa kumbahan tersebut mengandungi pelbagai jenis bahan kimia yang terdapat dalam serbuk pencuci dan juga bakteria yang boleh menjejaskan kehidupan akuatik di dalam sungai tersebut. Bukan itu sahaja, kampung ini hanya disediakan dengan satu tong sampah yang besar untuk membuang sampah dan terletak di simpang jalan sahaja. Sesetengah penduduk memilih jalan singkat dengan membuang sampah ke dalam sungai kerana mereka enggan berjalan membuang sampah. Sikap penduduk setinggan ini telah menyebabkan pencemaran air yang teruk dan lambakan sampah sarap di sekitar tebing Sungai Baong tersebut.

 Petempatan setinggan telah menimbulkan isu sosial  seperti jenayah dan pecah rumah. Isu jenayah ini sememangnya tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan keselamatan penduduk yang tinggal di sekitar kampung tersebut. Oleh kerana kesempitan kewangan, penduduk setinggan memilih alternatif lain untuk mendapatkan wang iaitu dengan melakukan pecah rumah. Jenayah seperti curi merupakan perkara yang sering berlaku di kampung ini bermula dengan barang yang kecil nilainya sehinggalah barang yang bernilai tinggi. Keadaan ini telah membimbangkan ramai penduduk termasuklah penduduk setinggan yang lain kerana nyawa mereka berada di dalam bahaya. Ketiadaan sistem keselamatan seperti loceng penggera keselamatan serta pengawal keselamatan mendedahkan mereka kepada situasi yang berbahaya kerana memudahkan penjenayah pecah masuk rumah mereka.

5.0 Cadangan Penyelesaian

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Sekiranya semua pihak bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah petempatan setinggan di Kampung Pujut 7 ini, tidak mustahil sifar petempatan setinggan di bandar ini boleh menjadi nyata. Oleh hal yang demikian terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah petempatan setinggan di kampung ini.

Cadangan yang pertama ialah memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik yang berkos rendah di bandar Miri. Hal ini supaya penduduk yang memiliki pendapatan rendah dan sederhana masih mampu untuk membeli rumah sendiri. Cadangan ini juga boleh mengelakkan daripada peningkatan lambakan projek rumah mampu milik kerana tidak dibeli oleh golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kebiasaannya lambakan rumah mampu milik ini berlaku kerana kos rumah tersebut masih diluar kemampuan golongan ini dan mereka terpaksa mementingkan kelangsungan hidup daripada memiliki rumah sendiri (Muhamaad Razis Ismail, 2022). Oleh itu, mereka lebih memilih untuk membina petempatan setinggan yang kosnya lebih rendah.

            Cadangan yang seterusnya ialah meningkatkan kerjasama di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengatasi masalah setinggan di bandar Miri. Pihak yang berkuasa ini perlu memastikan bahawa setiap penduduk di bandar ini mendapat taraf kehidupan yang lebih baik dengan membasmi kemiskinan dan memberikan petempatan yang lebih selesa kepada mereka. Mereka juga perlu mengambil maklum berkaitan status pendapatan penduduk agar tidak menetapkan kos perumahan yang terlalu tinggi sehingga golongan ini tidak mampu untuk membiayainya. Bukan itu sahaja, PBT harus meningkatkan undang-undang penggunaan tanah kosong dan terbiar. Hal ini dikatakan demikian supaya tiada penduduk yang berani untuk membina petempatan setinggan dengan sesuka hati di tanah tersebut.

           Akhir sekali, kemasukan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar ini atau migrasi antarabangsa secara haram perlu dipantau. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan yang bermigrasi ke bandar ini terutamanya dari luar bandar dan dari luar negara seperti Indonesia ini berkemungkinan besar akan mendirikan petempatan setinggan untuk mengelakkan daripada perlu membayar kos sewa dan juga bil yang tinggi di kawasan bandar. Majoriti golongan ini bekerja sebagai buruh kurang mahir dan mempunyai kadar upah yang rendah menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyewa atau memiliki rumah sendiri.

6.0 Kesimpulan

Masalah setinggan di Sarawak dikatakan  masih mencatatkan rekod yang tertinggi terutamanya di bahagian Miri (Sudan Ajang, 2019). Masalah setinggan ini boleh dikawal dan ditangani sekiranya semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing. Masalah yang timbul akibat pembinaan petempatan setinggan boleh diatasi sekiranya penduduk setinggan mengambil cakna berkaitan kesan yang boleh berlaku sekiranya mereka tidak mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut. Mereka perlu diberikan pendedahan tentang kelebihan dan kekurangan mendirikan petempatan setinggan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan bukan kerajaan harus bersama-sama untuk menyelesaikan masalah setinggan di bandar ini agar tidak berlarutan sehingga boleh meninggalkan impak negatif kepada bandar Miri. Penduduk setinggan juga turut memainkan peranan penting dalam usaha membasmi petempatan setinggan. Mereka haruslah memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri sekiranya mereka terpilih untuk penempatan semula. Hal ini bagi memudahkan proses untuk memperbaiki taraf hidup mereka menjadi lebih baik.

7.0 Rujukan

Aguilera, T. & Smart, A. (2019). The Wiley Blackwell Encyclopedia Urban & Regional Studies. John Wiley & Sons Ltd. doi: 10.1002/9781118568446.eurs0320

Muhamaad Razis Ismail. (2022, Januari 21). Lambakan rumah mampu milik. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/PnP/2022/01/802235/lambakan-rumah-mampu-milik

Nor Azrul Mohd Zin & Noordeyana Tambi. (2018). Faktor Kemiskinan Bandar terhadap Pembangunan Pendidikan Golongan Lewat Kembang. Jurnal Psikologi Malaysia 32(3), 119-130. https://www.researchgate.net/publication/331641683_Faktor_Kemiskinan_Bandar_terhadap_Pembangunan_Pendidikan_Golongan_Lewat_Kembang_Factors_of_Urban_Poverty_towards_the_Development_of_Late_Bloomer's_Education

Sarawak Update. (2011, January 9). 4 ribu setinggan di Miri perlu penempatan semula. Sarawak Update. http://pas-miri.blogspot.com/2011/01/bn-gagal-menangani-isu-setinggan-di.html

Suara Sarawak. (2022, May 23). Kaji semula strategi penyelesaian setinggan di Miri. Suara Sarawak. https://suarasarawak.my/2022/05/kaji-semula-strategi-penyelesaian-setinggan-di-miri/

Sudan Ajang. (2019, April 11). Lebih separuh setinggan diatasi. Utusan Borneo. https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sarawak/20190417/282668983748632

UNHabitat. (2003). The challenge of slums: global report on human settlements 2003. Earthscan Publications. https://www.academia.edu/32647219/The_Challenge_of_Slum_UN_Habitat_ 


NAMA: JACQUELIN NURIN ANAK JOHNNY

NO MATRIK: D20201094320

KUMPULAN: A 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...