Wednesday, June 15, 2022

ISU PENCEMARAN SUNGAI KELUANG, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG.

ISU PENCEMARAN SUNGAI KELUANG, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG.

1.0       Pendahuluan

Meniti arus globalisasi yang sarat dengan pancaroba ini, isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar sudah tidak asing lagi diperkatakan. Malahan, isu-isu alam sekitar ini sering menjadi topik hangat yang diperbincangkan oleh masyarakat madani terutamanya di dada-dada akhbar, media sosial, media elektronik dan sebagainya. Pada kali ini, penulis ingin membincangkan tentang isu alam sekitar iaitu isu pencemaran sungai. Sepertimana yang kita tahu, isu pencemaran sungai sering kali diperkatakan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai tersebut. Mereka akan menerima impak atas pencemaran yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seperti yang kita semua sedia maklum, isu pencemaran sungai yang paling popular ialah di Sungai Kim Kim di Johor. Isu pencemaran tersebut sangat serius sehinggakan mendapat liputan di dada-dada akhbar dan berita di televisyen.

            Tetapi, pada kali ini, penulis ingin membincangkan tentang isu pencemaran sungai yang berlaku di Sungai Keluang, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Isu pencemaran ini juga telah menimbulkan pelbagai impak negatif kepada alam sekitar dan juga manusia. Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan sektor perindustrian. Banyak kilang-kilang multinasional ditempatkan di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ). Kawasan tersebut sangat terkenal dengan pelbagai jenis barang yang dihasilkan dan kemudiannya diimport ke luar negara dan dapat meningkatkan pendapatan bagi negeri tersebut. Dari segi kebaikan yang boleh kita lihat, terdapat juga keburukannya kerana salah satu faktor atau punca yang menyebabkan sungai tersebut tercemar adalah disebabkan sisa daripada perindustrian kerana Sungai Keluang terletak berhampiran dengan kilang-kilang di kawasan tersebut. Oleh itu, ia telah menyebabkan sungai tersebut telah tercemar dengan sisa-sisa yang dilepaskan daripada kilang-kilang.


2.0       Kawasan Kajian

Kawasan kajian yang telah dipilih untuk melaksanakan kajian ini adalah di Sungai Keluang, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Sungai Keluang ialah sungai yang bersebelahan dengan Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ). Sungai Keluang juga berada berdekatan dengan Tokong Ular. Dahulunya, di sebuah perkampungan Cina, Sungai Keluang telah dibangunkan selama beberapa dekad, dengan rumah kampung telah dibersihkan. Nama Sungai Keluang telah muncul sebagai "Soongy Cluan" seawal tahun 1796.


  

Gambar 1: Peta Lokasi Sungai Keluang, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Sumber: Google Maps


3.0       Punca-punca pencemaran Sungai Keluang, Bayan Lepas, Pulau Pinang

3.1       Pembuangan sisa industri dari kawasan perindustrian

Gambar 2: Keadaan sungai akibat daripada pembuangan sisa industri

Sumber: Zuhainy Zulkiffli (2019)

Menurut Anita Abu Hasan et. al (2019), menyatakan bahawa Sungai Keluang yang berada berdekatan dengan kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) merupakan antara sungai di bandar yang 'mati' atau tercemar akibat daripada pencemaran sisa industri dari kawasan kilang dan air kumbahan sejak berbelas tahun yang lalu. Menurut Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) iaitu Mohideen Abdul Kader menyatakan bahawa sungai itu telah tercemar sejak 13 tahun yang lalu. Oleh itu, ia telah menyebabkan sungai tersebut menjadi hitam, berlumpur, kotor dan jijik apabila melihatnya. Menurut beliau lagi, pembuangan sisa industri ke dalam sungai telah menyebabkan sungai itu 'mati' di bahagian hilir kerana semua hidupan akuatik telah mati manakala di bahagian permukaannya pula dipenuhi dengan sampah sarap serta pelbagai bahan buangan yang termendap. Maka, pembuangan sisa industri dari kawasan perindustrian telah menyebabkan Sungai Keluang tercemar.

3.2       Sisa kumbahan berbuih putih

Gambar 3: Cecair buih putih yang mengalir di sepanjang Sungai Keluang
Sumber: Consumers' Association of Penang (2019)

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandar raya Pulau Pinang (MBPP) untuk segera menyiasat punca pelepasan bahan berbuih puti yang telah mencemarkan Sungai Keluang yang berada berhampiran dengan Zon Perindustrian Bebas, Pulau Pinang. Berdasarkan perkara tersebut, ia merupakan tindakan yang sewajarnya dilakukan kerana jika perkara tersebut tidak diendahkan atau dipedulikan, maka ia akan memberi impak negatif kepada alam sekitar dan juga manusia. Perkara ini amat membimbangkan pihak CAP kerana risau tentang kandungan buih putih tersebut jika mempunyai kandungan bahan kimia yang berbahaya. Hal ini demikian kerana, ia bukan sahaja boleh mengancam alam sekitar malahan juga kepada manusia seperti menjejaskan sumber pendapatan nelayan dan juga menjejaskan tahap kesihatan awam (Consumers' Association of Penang, 2019).

            Selain itu, menurut Anita Abu Hasan et. al (2019), menyatakan bahawa Ketua Cawangan JAS Bayan Lepas iaitu Ramli Manap berkata, sisa kumbahan berbuih putih yang mengalir ke sungai tersebut adalah dari loji kumbahan. Dalam pada itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh berkata, punca buih putih tersebut adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah sludge bulking yang tidak termendap ke dasar loji setelah dimaklumkan oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK). Keadaan itu telah menyebabkan filamen bakteria terbentuk dan menghasilkan buih.

3.3       Sikap penduduk yang tidak mengambil peduli tentang kebersihan sungai

   

Gambar 4: Keadaan sungai akibat sikap penduduk yang tidak menjaga kebersihan

Sumber: Syalmizi Hamid (2017)

Sebagai seorang manusia yang mendiami bumi ini, kita seharusnya menjaga dan memelihara alam sekitar daripada terus tercemar. Hal ini demikian kerana, jika kita terus menjaga dan memelihara alam sekitar, maka generasi akan datang akan dapat menikmati keindahan alam sekitar bersama-sama manakala jika kita terus mencemarkan alam sekitar dengan melakukan aktiviti yang menjurus kepada pencemaran, maka alam sekitar kita tidak dapat dikekalkan dengan baik. Menurut Syalmizi Hamid (2017), menyatakan bahawa salah satu punca yang menyebabkan Sungai Keluang tercemar adalah sikap penduduknya yang tidak mengendahkan soal kebersihan sungai. Isu pencemaran sungai ini akan terus berlaku jika pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil peduli tentang isu ini dan terus 'menunding jari' antara satu sama lain jika isu ini menjadi lebih serius. Menurut beliau, isu pencemaran ini telah berlaku sejak lebih 10 tahun lamanya, tetapi penduduk dan pihak berkuasa tempatan seolah-olah tidak mempedulikan tentang masalah tersebut. Lebih memeranjatkan lagi apabila, terdapat segelintir penduduk yang membina tandas lalu membuang sisa najis tersebut ke dalam sungai. Selain itu, air sungai tersebut keliatan berwarna hitam dan berbau busuk disebabkan oleh sikap penduduk yang sesuka hati membuang sampah ke dalam sungai. Selain sampah, limpahan najis manusia dan haiwan juga dikesan di kawasan sungai tersebut yang menyebabkan sungai itu kelihatan kotor dan berbau busuk. Oleh itu, sikap penduduk yang tidak mengambil peduli menjadi punca yang menyebabkan berlaku pencemaran Sungai Keluang. 


4.0       Masalah yang akan dihadapi

4.1       Menjejaskan pendapatan nelayan

Menurut Anita Abu Hasan et. al (2019), menyatakan bahawa Sungai Keluang di Bayan Lepas merupakan salah satu sungai bandar yang sangat tercemar atau 'mati' disebabkan beberapa aktiviti manusia yang gemar membuang sisa ke dalam sungai tersebut. Tindakan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sungai tersebut dipenuhi dengan sampah sarap, sisa industri, sisa haiwan, najis manusia dan sebagainya yang menyebabkan sungai tersebut berbau busuk dan meloyakan. Menurut Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) iaitu Mohideen Abdul Kader menyatakan bahawa sungai tersebut sudah tercemar sejak 13 tahun lalu yang bukan sahaja menyebabkan air sungai berkenaan menjadi hitam dan berlumpur malah kelihatan sangat jijik apabila melihatnya. Oleh itu, ia telah menimbulkan masalah atau kesan kepada alam sekitar fizikal dan manusia. Salah satunya adalah menjejaskan pendapatan nelayan.

            Menurut hasil tinjauan yang dilakukan CAP, sisa-sisa daripada kawasan perindustrian telah disalurkan melalui saluran yang terdapat di kawasan sungai tersebut. Lebih membimbangkan ialah apabila sisa-sisa industri tersebut mengalir ke kawasan jeti nelayan dan laut yang berdekatan. Tindakan itu telah menyebabkan semua hidupan laut akan mati disebabkan sisa-sisa toksik yang datang daripada kilang. Maka, hidupan laut yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan akan semakin berkurangan dan akan menjejaskan pendapatan nelayan.

4.2       Mengganggu keselesaan penduduk sekitar

Salah satu masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar ialah pencemaran sungai akan mengganggu keselesaan penduduk sekitar. Menurut Anita Abu Hasan et. al (2019), menyatakan bahawa Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) iaitu Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran sisa industri dan air kumbahan menyebabkan sungai tersebut 'mati' di bahagian hilir kerana tiada hidupan manakala di permukaan airnya dipenuhi sampah sarap serta pelbagai bahan buangan yang lain yang telah termendap. Oleh itu, ia telah menyebabkan kawasan sungai berkenaan berbau busuk dan sangat meloyakan kerana didapati punca pencemaran daripada sungai tersebut adalah datang daripada pembuangan sisa kilang, kediaman penduduk, premis perniagaan dan bengkel, najis binatang dan manusia. Maka, masalah pencemaran sungai telah mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

            Selain itu, menurut Bernama (2019), menyatakan bahawa Mohideen Abdul Kader berkata perbuatan pihak yang suka mencemarkan alam sekitar dan bekalan air adalah sama seperti melakukan jenayah meracuni penduduk dan menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang terjejas. Tambah beliau lagi, perbuatan yang tidak bermoral tersebut telah menyebabkan ramai penduduk yang terjejas sehingga mereka terpaksa mengangkut air untuk penggunaan harian. Jadi, CAP mencadangkan bahawa tindakan tegas perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar dan bekalan air supaya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan hukuman yang setimpalnya. Oleh itu, masalah pencemaran sungai telah mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

4.3       Menjejaskan kesihatan penduduk                               

Sememangnya tahap kesihatan sangat diutamakan dalam diri setiap individu. Penjagaan kesihatan amat dititikberatkan dalam kehidupan kerana jika kita tidak sihat, maka segala aktiviti tidak dapat dijalankan dengan baik. Faktor-faktor seperti persekitaran dan bekalan air yang bersih juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan tahap kesihatan kita berada pada tahap yang baik. Tetapi, lain hal pula berlaku pada penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Keluang Bayan Lepas. Hal ini demikian kerana, pencemaran telah berlaku di Sungai Keluang sejak 10 tahun yang lalu dan bukan sahaja menyebabkan air sungai berkenaan menjadi hitam malahan ia juga kelihatan sangat jijik dan kotor di samping dapat menimbulkan bau yang sangat busuk.

            Menurut Mohamed Idris (2017), menyatakan bahawa pencemaran sungai tersebut berlaku berpunca daripada pembuangan sisa dari kilang industri, kediaman penduduk, premis perniagaan dan bengkel, najis binatang dan manusia. Maka, ia telah menyebabkan banyak hidupan marin yang diancam kepupusan. Hasil daripada tinjauan CAP, air sungai berkenaan sangat berminyak serta berlumpur dan lebih parah lagi di permukaannya airnya dipenuhi dengan sampah sarap serta berbagai-bagai-bagai bahan buangan yang termendap di dalamnya. CAP juga sangat terperanjat kerana mendapati bahawa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan jeti nelayan Sungai Keluang membina tandas dan membuang sisa najis mereka ke dalam sungai tersebut. Maka, apabila penduduk menggunakan air sungai tersebut, mereka akan dijangkiti dengan pelbagai penyakit berbahaya disebabkan air sungai tersebut telah tercemar. Oleh itu, CAP berasa sangat bimbang jika masalah pencemaran sungai ini dibiarkan secara berlarutan kerana jika tidak dibendung dengan segera, maka boleh berlaku sesuatu yang lebih buruk lagi pada masa hadapan dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan mengancam hidupan marin di laut yang berhampiran.


5.0       Langkah-langkah Penyelesaian terhadap Masalah Pencemaran

5.1       Pihak IWK Sdn. Bhd. memasang peralatan anti buih

Menurut Anita Abu Hasan et. al (2019), menyatakan bahawa Indah Water Konsortium (IWK) mengesahkan punca cecair buih tersebut disebabkan oleh sludge bulking yang tidak termendap ke dasar loji. Maka, masalah tersebut telah menyebabkan filamen bakteria terbentuk dan menghasilkan buih. Selain itu, kerosakan peralatan pada Pam Return Activated Sludge (RAS) telah menimbulkan masalah ini serta lebihan kapasiti menyebabkan kandungan bahan pencuci tidak terurai dalam efluen. Oleh itu, untuk mengatasi masalah cecair buih ini, pihak IWK telah mendapat satu cara iaitu dengan memasang peralatan anti buih di kawasan sungai tersebut. Kerja pemasangan peralatan anti buih itu telah selesai dan mereka juga telah mengganti peralatan lain yang telah rosak. Dalam pada itu, pihak JAS juga akan memantau tindakan IWK Sdn. Bhd. bagi memastikan pemasangan peralatan anti buih itu membuahkan hasil. Oleh itu, ini merupakan salah satu langkah penyelesaian untuk menangani isu pencemaran Sungai Keluang di Bayan Lepas.

5.2       Mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah

Pencemaran Sungai Keluang Bayan Lepas berlaku disebabkan oleh perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang sesuka hati membuang sisa-sisa pencemar ke dalam sungai. Perkara ini berlaku disebabkan oleh mereka tidak dikenakan sebarang denda atau tindakan tegas daripada pihak berkuasa yang menyebabkan mereka sering melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut. Menurut Bernama (2019), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), menegaskan bahawa kerajaan mestilah meminda undang-undang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar bagi mengenakan hukuman berat terhadap pesalah yang melakukan perbuatan tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan pembekalan air. Presiden persatuan ini menambahkan lagi bahawa perbuatan yang mencemarkan alam sekitar dan bekalan air adalah sama seperti individu yang melakukan kesalahan jenayah yang meracuni penduduk dan menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang terjejas. Tambah beliau lagi, disebabkan perbuatan tidak bermoral tersebut, ia telah menyebabkan ramai penduduk terjejas sehingga mereka terpaksa mengangkut air untuk kegunaan harian. Oleh itu, CAP mencadangkan bahawa pesalah mestilah diajar bahawa perbuatan tersebut merupakan suatu jenayah dan tidak akan terlepas begitu sahaja. Maka, ini merupakan salah satu langkah penyelesaian untuk menangani isu pencemaran Sungai Keluang di Bayan Lepas.

5.3       JAS dan MBPP dengan kerjasama (JPS) melakukan pemantauan dengan lebih kerap

Menurut Consumers' Association of Penang (2019), CAP menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk segera menyiasat punca keluarnya buih putih di sekitar Sungai Keluang berdekatan dengan Zon Perindustrian Bebas (FIZ). CAP bimbang tentang cecair buih putih tersebut kerana ia boleh mengakibatkan kesan kepada persekitaran, menjejaskan pendapatan nelayan berpotensi untuk mengganggu kesihatan orang ramai. CAP percaya sekiranya siasatan susulan dan tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkuasa berkaitan dengan kes pencemaran, maka ia akan menyebabkan kesan pencemaran seperti yang berlaku di Sungai Juru dan Sungai Kim Kim. Justeru, menurut Zuhainy Zulkiffli (2019), menyatakan bahawa CAP menggesa pihak JAS dan MBPP dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan pemantauan dengan lebih kerap di semua kawasan perindustrian supaya dapat memastikan bahawa kilang-kilang yang beroperasi mestilah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh itu, ini merupakan salah satu langkah penyelesaian untuk menangani isu pencemaran Sungai Keluang di Bayan Lepas.


6.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar mestilah ditangani dengan segera supaya tidak ia menjadi lebih buruk pada masa akan datang. Pencemaran Sungai Keluang berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti pembuangan sisa industri ke dalam sungai, sisa kumbahan yang berbuih putih dan sikap penduduk yang tidak mengambil berat tentang penjagaan sungai. Maka, ia telah memberikan impak atau kesan negatif kepada alam sekitar fizikal dan juga manusia. Oleh itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab mestilah berusaha untuk menangani masalah pencemaran Sungai Keluang ini daripada berleluasa. Perkara ini penting kerana, jika tidak ditangani dengan segera, maka ia akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa akan datang. 


RUJUKAN

Anita Abu Hasan, Mohd Firdaus Yon, Nor Ainna Hamzah, Ahmad Ismadi, Raziatul Hanum A Rajak, Azlina Othman, & Syajaratulhuda Mohamad Rosli. (2019, September 24). Sungai mati angkara sisa industri. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/49082

Bernama. (2019). CAP cadang hukuman lebih berat pesalah cemar alam sekitar. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cap-cadang-hukuman-lebih-berat-pesalah-cemar-alam-sekitar-226480?amp=1

Consumers' Association of Penang. (2019). Investigate pollution of Sungai Keluang in Penanghttps://consumer.org.my/investigate-pollution-of-sungai-keluang-in-penang/

Mohamed Idris. (2017). Sungai di Bayan Lepas teruk tercemar. https://harakahdaily.net/index.php/2017/03/16/sungai-di-bayan-lepas-teruk-tercemar/

Syalmizi Hamid. (2017, Mac 2). Sungai Keluang, Nipah tercemar. Kosmo. https://www.water.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/4/10628?print=1

Zuhainy Zulkiffli. (2019, June 28). Siasat cecair berbuih putih. myMetro. https://www.hmetro.com.my/amp/mutakhir/2019/06/470161/siasat-cecair-berbuih-putih-metrotv


NAMA: NUR MIELIA SHUHAIRA BINTI MASREE

NO MATRIK: D20201094312

KUMPULAN: KUMPULAN B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...