Tuesday, June 14, 2022

Penempatan secara haram di kawasan Bukit Malut, Langkawi, Kedah Darul Aman

ISU PENEMPATAN HARAM PENDUDUK DI BUKIT MALUT PULAU LANGKAWI, KEDAH DARUL AMAN


1.0  RINGKASAN KAJIAN KES TENTANG ISU PENEMPATAN PENDUDUK BUKIT MALUT PULAU LANGKAWI, KEDAH DARUL AMAN 


Kajian kes ini bertujuan untuk mengetahui keadaan penempatan secara haram di kawasan Bukit Malut, Langkawi dengan lebih terperinci. Kawasan Bukit Malut ini sudah menjadi isu hangat dalam kalangan penduduk tempatan disebabkan oleh beberapa kesan yang muncul setelah petempatan haram ini didirikan misalnya seperti penempatan yang padat, kawasan setinggan, taraf hidup yang rendah, masalah sosial, kemiskinan, pencemaran, bencana dan pelbagai lagi isu lain. Kawasan ini terlihat sangat padat sehinggakan mencapai lebih ratusan rumah dan terdapat juga penempatan atas air di kawasan ini. Ia juga dapat mengugat keindahan pulau pelancongan ini kerana kawasan tersebut sangat kotor dan tidak layak dihuni.

 

 Penduduk juga sering mempersoalkan peranan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini kerana penempatan di Bukit Malut ini sendiri di dirikan secara haram. Hal ini kerana isu yang muncul ini bukan sahaja memberikan impak kepada penduduk Bukit Malut tetapi juga penduduk tempatan yang lain. Isu penempatan ini juga sering terlihat di dada akhbar, media sosial, berita dan banyak lagi medium lain namun masih menemui jalan buntu. Bilangan penduduk yang terlalu ramai di kawasan tersebut menyukarkan untuk proses memindahkan mereka disebabkan beberapa isu termasuklah isu politik.

 

Tambahan lagi, penduduk di kawasan ini juga sering dipersoalkan kewarganegaraan meraka oleh penduduk tempatan. Menurut Utusan Malaysia (2021) Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami Bukit Malut masih berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri yang jelas mencemar imej pulau peranginan itu. Namun menurut Sinar Harian (2022) pula mengatakan bahawa Penduduk di situ adalah komuniti asal orang Melayu Kedah yang datang dari Myanmar pada tahun 1982. Suatu ketika dahulu, daerah mereka berada di bawah pemerintahan Kesultanan Kedah. Maka, ia menjadi lebih sukar kerana tidak diketahui asal usul penduduk di kawasan bukit Malut ini.

 

Petempatan haram ini sering menjadi bualan penduduk tempatan kerana dianggap telah mencabuli hak penduduk tempatan yang banyak daripadanya menjadi gelandangan tetapi penduduk Bukit Malut dibiarkan sebegitu saja bertahun-tahun lamanya.

 

2.0  PUNCA BERLAKUNYA ISU DI PETEMPATAN PENDUDUK BUKIT MALUT.

Salah satu punca yang menyebabkan berlaku permasalahan di petempatan Bukit Malut ini adalah disebabkan oleh kemunculan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). PATI ini sendiri merupakan aktiviti penyeludupan migran yang merentasi sempadan negara atas sebab-sebab tertentu. Menurut Na'eim, Zawiyah, Faisol dan Ummu (2017) Penyeludupan migran merupakan jenayah terkenal kerana ia memberi keuntungan yang besar kepada penyeludup. Hal ini kerana terdapat pihak yang bergiat aktif untuk membawa golongan PATI ini ke kawasan perairan Pulau Langkawi. Kawalan dari pihak berkuasa yang longgar menyebabkan golongan ini berjaya lolos dan untuk memasuki ke kawasan Pulau ini. Kebanyakkan golongan PATI ini datang ke kawasan ini adalah semata-mata untuk mencari peluang pekerjaan, perlarian, dan pelbagai lagi alasan. Oleh kerana itu, penempatan di Bukit Malut menjadi sasaran kerana sebahagian besar penduduk di kawasan tersebut bekerja sebagai nelayan. Hal ini disebabkan oleh kedudukan geografinya yang berdekatan dengan laut. Tambahan lagi, kawasan ini juga merupakan luar dari pekan dan memudahkan mereka untuk membina penempatan secara haram di kawasan pantai, pokok bakau, hutan, dan sebagainya.

 

Selain itu, punca yang berlakunya permasalahan di petempatan Bukit Malut ialah status kewarganegaraan yang tidak jelas penduduk di kawasan tersebut. Kewarganegaraan penduduk di petempatan secara haram di Bukit Malut ini sering  menjadi keraguan oleh pelbagai pihak. Hal ini kerana latar belakang mereka sukar untuk diketahui ekoran tiada dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran menyebabkan pihak berkuasa sukar mengetahui identiti kewarganegaraan mereka. Namun apabila diperiksa mereka hanya menggunakan alasan sijil tersebut telah musnah akibat kebakaran rumah sebelum ini. Banyak pandangan yang dilontarkan mengenai kewarganegaraan mereka. Ramai penduduk setempat mempercayai bahawa golongan yang mendirikan petempatan haram ni merupakan PATI yang kewarganegaraannya dari Myanmar atau lebih dikenali sebagai etnik "Rohingya". Etnik ini juga dipercayai mendirikan perkampungan di Bukit Malut disebabkan oleh kekerapan mereka mencerobohi sempadan perairan negara ini. Namun disebabkan oleh berlaku perkahwinan antara etnik Rohingya dan orang tempatan, maka sukar untuk mengambil tindakan atas kemasukkan mereka.

 

Disamping itu, punca yang menyumbang kepada permasalahan di petempatan haram di Bukit Malut ialah campur tangan politik. Penduduk setempat sangat menentang segala campur tangan politik dalam mengatasi masalah petempatan haram di Bukit Malut kerana menganggap ianya hanya mainan ahli politik. Menurut Berita Harian Online (2019) Hampir separuh penghuni penempatan yang mendakwa berketurunan Melayu Myanmar di situ, dikatakan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad, membolehkan mereka menjadi pengundi berdaftar. Oleh itu, penduduk setempat beranggapan bahawa ini adalah rancangan ahli politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum. Tambahan pula, ramai dalam kalangan penduduk kawasan itu memegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) (Berita Harian Online, 2019). Maka, ia dapat menimbulkan kekeliruan kepada pelbagai pihak termasuklah pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada golongan ini.


Seterusnya, punca berlaku kemunculan petempatan haram di Bukit Malut ialah berpunca dari kelemahan pihak berkuasa. Pertamanya, pihak berkuasa gagal untuk mengawasi kawasan sempadan perairan sepenuhnya. Hal ini kerana kedudukan Pulau Langkawi ini merupakan pulau yang berada di Utara Selat Melaka dan di Selatan Laut Andaman yang berhampiran sempadan diantara Negara Malaysia dan Negara Thailand. Bukan sahaja ancaman dari PATI, tetapi banyak lagi ancaman lain seperti penyeludupan dadah, penyeludupan senjata api, pemerdagangan manusia dan banyak lagi jenayah dapat dilakukan jika pihak berkuasa tidak peka. Keduanya, pihak berkuasa gagal untuk menghalang pembinaan petempatan secara haram. Hal ini kerana pembinaan rumah di kawasan Bukit Malut bukannya pondok-pondok kecil namun ia berupa rumah konkrik yang besar. Disebabkan oleh kelalaian pihak berkuasa, mereka lebih berani untuk mendirikan lebih banyak rumah secara haram hingga mencapai ratusan buah rumah di kawasan tersebut. Ketiga, pihak berkuasa juga gagal untuk mengambil tindakan setelah rumah di dirikan secara haram. Tiada tindakan yang diambil hingga kini keatas petempatan haram tersebut.

3.0  PERMASALAHAN YANG TIMBUL DI PETEMPATAN PENDUDUK BUKIT MALUT.

 

Ekoran daripada punca-punca yang menyumbang keatas isu petempatan haram di sekitar Bukit Malut, maka muncul beberapa kesan negatif yang merupakan permasalahan kepada penduduk Bukit Malut serta penduduk setempat. Isu ini menyebabkan kualiti hidup yang rendah. Kualiti hidup yang dimaksudnya bukan semata-mata ekonomi tetapi ia meliputi segala hal termasuk kebersihan, ketenteraman, sosial, politik dan sebagainya. Keadaan sekitar kawasan Bukit Malut sendiri terlihat sangat kotor dan tidak sihat untuk dihuni terutamanya untuk golongan kanak-kanak dan golongan warga emas. Hal ini kerana keadaan rumah yang terlalu rapat menyebabkan pengudaraan yang sangat tidak baik. Tambahan lagi, kawasan tersebut tidak mempunyai sistem perparitan serta kawasan pembuangan sampah yang betul menyebabkan berlakunya pencemaran bau. Menurut Astro Awani (2019) Bukit Malut yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuah, hampir 'ditenggelami' sampah, apabila sisa buangan itu langsung tidak diuruskan dengan baik. Sikap penduduk juga mempengaruhi keadaan Bukit Malut kerana mereka hanya membuang sisa buangan domestik di dalam laut tanpa menghiraukan sampah-sampah yang terampai di permukaan air. Walapun hanya berlaku aktiviti pembuangan sampah ke laut di kawasan itu, ia menyebabkan persekitaran laut terjejas kerana sampah sarap tersebut terapung di permukaan. Maka, ia dapat merosakkan keindahan pantai-pantai yang ada di seluruh Pulau Langkawi.

 

Seterusnya, isu penempatan haram ini juga menyebabkan penduduk dikawasan tersebut menyebabkan taraf Pendidikan rendah. Hal ini kerana penempatan haram ini didirikan sendiri, maka tiada institusi Pendidikan di kawasan tersebut walaupun hanya di peringkat tadika atau pra sekolah. Maka, anak-anak penghuni Bukit Malut terpaksa bersekolah di kawasan yang berdekatan sekitar 3.7 km. Namun disebabkan kemiskinan, kanak-kanak dan remaja ini memilih untuk bekerja untuk menampung kehidupan. kebanyakkan remaja yang menetap di Bukit Malut yang tidak bersekolah mudah untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak bermoral kerana mereka tidak mendapatkan pendedahan mengenai dadah, lumba haram, masalah sosial dan sebagainya.  Oleh itu, tidak ke semua penduduk di kawasan Bukit Malut mendapatkan Pendidikan sewajarnya walaupun pada peringkat yang rendah.

 

Disamping itu, permasalahan yang muncul di kawasan Bukit Malut ialah peningkatan kadar jenayah. Disebabkan penduduk di Bukit Malut terdiri daripada golongan Pendidikan rendah, maka ia menyebabkan mereka tidak didedahkan dengan Sivik dan Moral. Hal ini kerana kawasan Bukit Malut sangat terkenal dengan jenayah pengedaran dadah. Menurut Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia (2016) kawasan Bukit Malut di Langkawi terus digempur polis dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, dan dalam satu operasi terbaharunya, 95 orang pengedar dan penagih berjaya diberkas. Hal ini berbalik disebabkan oleh pembinaan perumahan-perumahan secara haram menyukarkan pihak berkuasa untuk menyerbu kawasan tersebut kerana kedudukannya yang berada berhampiran laut, pokok bakau dan sebagainya.

 

Di samping itu, kemiskinan juga berlaku di kawasan Bukit Malut ini. Kemiskinan ini berpunca daripada pendapatan yang terhad daripada pekerjaan sebagai nelayan yang kadang kalanya tidak mencukupi. Kanak-kanak juga dibiarkan begitu sahaja tanpa pemantauan oleh ibu bapa kerana sibuk mencari rezeki. Menurut Sinar Harian (2022) Dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi petang tadi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa berlaku masalah kemiskinan walaupun Pulau Langkawi sendiri sangat terkenal sebagai kawasan pelancongan.

 


Sampah sarap yang mencemari kawasan laut di Bukit Malut.

 

 


 

Ops Sarang Dadah di sekitar kawasan Bukit Malut.

 


Kawasan perumahan yang padat dibina secara haram .

 

  

4.0   LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL UNTUK MENYELESAIKAN ISU PENDUDUK BUKIT MALUT.

 

Disebabkan oleh permasalahan yang berlaku bukan sahaja kepada penduduk Bukit Malut namun kepada penduduk setempat sendiri, maka ia menyumbang kepada banyak lagi kesan-kesan negatif yang lain. Langkah penyelesaian perlulah ditelitikan agar ia tidak akan memberikan impak yang maksimum kepada warga Langkawi sendiri.

 

Salah satunya, pihak berkuasa hendaklah memainkan peranan mereka secara maksimum terutamanya terhadap tindakan jenayah. Hal ini kerana isu perumahan haram yang dibina di kawasan Bukit Malut bukanlah isu yang baru terjadi, ia sudah melebihi 20 tahun mereka membina penempatan di kawasan pesisiran pantai. Namun hingga kini, sebarang tindakan kepada pihak yang mendirikan perumahan secara haram hanya dibiarkan sebegitu sahaja. Sememangnya seperti yang telah termaktub tanah yang berada di pesisiran secara jelasnya merupakan tanah Hak Kerajaan. Maka, permasalahan ini jelas telah mencabuli perundangan di negeri kita sendiri. Tambahan lagi, pihak berkuasa juga harus meningkatkan pemantauan terutamanya di kawasan sempadan dan perairan negara agar tidak berlaku lagi kes-kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Pihak berkuasa juga perlu menggiatkan kawalan di kawasan Bukit Malut, untuk membanteras segala unsur jenayah agar ia tidak menjadi lebih parah.

 

Seterusnya, pihak kerajaan pula perlu mengkaji semula kawasan penempatan baharu. Penempatan baharu ini bertujuan untuk menempatkan semula warga penduduk Bukit Malut agar kawasan tersebut dapat dipulihkan semula terutamanya mengenai isu pencemaran alam sekitar. Petempatan baharu ini pula difokuskan kepada warganegara dahulu, kemudiannya untuk warga asing yang mempunyai kad pengenalan bagi permastautin tetap, dan seterunya. Jika tidak dilaksanakan penempatan baharu, maka kawasan Bukit Malut akan menjadi lebih sesak dan semakin tercemar. Pihak kerajaan juga boleh menyediakan perumahan yang berkos rendah agar mampu dimiliki terutamanya bagi golongan yang bekerja sebagai nelayan. Selain itu, pihak kerajaan Malaysia perlu berusaha untuk menghantar semula PATI ke negara mereka semula agar dapat mengelakkan hal yang sama berlaku pada masa akan datang.

 

Di samping itu, langkah yang boleh diambil ialah memperkasakan Undang-Undang yang sedia ada. Hal ini agar tiada sebarang individu yang berani untuk melakukan kesalahan jenayah di negara ini. Hal ini juga untuk menunjukkan bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan tiada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati mereka.

 

Kesimpulannya, isu penempatan secara haram di Bukit Malut ini menunjukkan isu yang berlaku dalam penduduk. Pelbagai permasalahan atau kesan negatif yang berlaku disebabkan oleh isu ini tidak diatasi dengan kadar yang segera. Walaupun ia merupakan sebuah kawasan persisiran pantai, namun ia perlu diutamakan agar kawasan ini tidak mendatangkan bencana alam dan impak-impak yang lain. Kesemua pihak termasuklah penduduk Bukit malut sendiri perlu memastikan isu sebegini tidak berlaku lagi.

 

 

5.0 RUJUKAN

Berita Harian Online (2019) Misteri Bukit Malut. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/577141/misteri-bukit-malut

Mohd Na'eim Ajis, Zawiyah Mohd Zain, Mohamad Faisol Keling, dan Ummu Atiyah Ahmad Zakuan (2017) Aktiviti Penyeludupan Migran dalam Kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Malaysia. Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM). http://journalarticle.ukm.my/11892/1/17854-51614-2-PB.pdf

Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia (2019) SARANG DADAH DI BUKIT MALUT DIGEMPUR POLIS, 95 ORANG DITANGKAP. Diperolehi melalui https://www.rmp.gov.my/news-detail/2016/11/03/sarang-dadah-di-bukit-malut-digempur-polis-95-orang-ditangkap

Salim Aziz (2019) Bukit Malut hampir ditenggelami lautan sampah. Diperolehi daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukit-malut-hampir-ditenggelami-lautan-sampah-200889

Sinar Harian (2022) Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah. Diperolehi melalui https://www.sinarharian.com.my/article/187693/BERITA/Semasa/Dua-kanak-kanak-maut-selepas-makan-sisa-makanan-dari-tong-sampah

Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor(2022) Sinar Harian "Jangan keliru status penduduk Bukit Malut". Diperolehi daripada https://www.sinarharian.com.my/article/143529/LAPORAN-KHAS/Jangan-keliru-status-penduduk-Bukit-Malut

Zaid Mohd Noor (2021) Utusan Malaysia "Barah Langkawi: Warga asing monopoli Bukit Malut". Diperolehi daripada https://www.utusan.com.my/nasional/2021/03/penempatan-haram-warga-myanmar-di-langkawi-semakin-membarah/


NAMA: JAYA GOWRI A/P SARVESVARAN
NO. MATRIK: D20201094342
KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...