Saturday, June 11, 2022

MASALAH SETINGGAN YANG TERDAPAT DI SEKITAR DAERAH JOHOR BAHRU, JOHOR.

PENGENALAN (Ringkasan kes)

Geografi penduduk merupakan satu cabang tentang ilmu geografi yang menjelaskan dengan lebih mendalam berkaitan kependudukan. Geografi ini dikategorikan sebagai geografi sosial atau lebih dikenali tentang kehidupan sesuatu masyarakat. Objektif geografi penduduk ini biasanya melibatkan demografi penduduk seperti perbezaan jantina, agama, jumlah penduduk dan sebagainya. Namun begitu, kajian ini akan menggambarkan tentang satu masalah atau isu dalam kalangan penduduk iaitu isu sosial berkenaan masalah setinggan. Masalah setinggan bukanlah satu masalah yang baru, tetapi merupakan isu yang terdapat sejak dahulu lagi terutama kepada negara-negara miskin. Namun, negara Malaysia juga tidak terkecuali dalam isu masalah setinggan yang berlaku. Hal ini demikian kerana, berlaku penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar dan berlaku pemusatan penduduk menyebabkan sesuatu kawasan ataupun bandar menjadi sesak kerana berlaku pertambahan bilangan masyarakat. Bukan itu sahaja, masalah setinggan berlaku mungkin disebabkan banyak kegiatan atau sektor-sektor ekonomi yang tertumpu di kawasan tersebut menyebabkan ramai yang bermigrasi ke bandar. Menurut kamus dewan, perkataan setinggan ialah sebuah masyarakat yang tinggal di tanah kerajaan tanpa kebenaran. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat sehingga sekarang telah memberi kesan yang mendalam dan memberi perubahan dalam aspek sosial masyarakat. Perkembangan kegiatan ekonomi sseperti sektor pengangkutan, perniagaan dan perindustrian telah menyebabkan ramai penduduk luar bandar bermigrasi ke bandar untuk pelbagai tujuan.

            Oleh hal yang demikian, perbincangan ini akan menjelaskan dengan lebih mendalam berkaitan masalah setinggan yang berlaku di sekitar daerah Johor Bahru, Johor. Johor Bahru merupakan ibu negeri dalam negeri Johor yang merupakan sebuah bandar yang pesat dan mempunyai penduduk yang agak padat menyebabkan banyak kawasan setinggan yang dibina di sekitar daerah ini. Terdapat beberapa buah kawasan perkampungan yang boleh dikatakan mempunyai kawasan setinggan contohnya di Kampung Bakar Batu dan Kampung Melayu Pandan. Sehubungan dengan itu, tugasan ini juga menjelaskan tentang punca-punca berlaku masalah setinggan masalah-masalah yang berlaku dan cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKU MASALAH SETINGGAN DI JOHOR BAHRU

Seperti mana yang kita ketahui secara umum, masalah setinggan ini bukanlah merupakan isu, cabaran atau masalah yang baru, namun ia telah berlaku sejak dahulu lagi. Walaupun negeri Johor boleh dikatakan sebuah negeri yang maju selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tetapi masih terdapat ramai rakyat yang miskin yang tinggal di kawasan setinggan terutamanya di bandaraya daerah Johor Bahru. Daerah Johor Bahru menjadi kawasan tumpuan kerana pembangunan ekonomi yang sedang membangun menyebabkan kawasan ini mempunyai penduduk yang padat. Menurut Hassan Abdul Karim (2022), terdapat beberapa perkampungan di sekitar daerah ini yang masih lagi dibelenggu masalah setinggan adalah Kampung Hajah Hasnah dan Kg. Desa Melayu di Parlimen Johor Bahru; Kg Bakar Batu dan Kg. Skudai Kiri di Parlimen Pulai; Kampung Saujana, Kg.Plentong Tengah, Kg. Melayu Pandan dan Kg.Belantik.

 

Gambar 1 : Kawasan perumahan setinggan di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru

Gambar 2 : Kawasan setinggan di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru

            Faktor faktor berlakunya masalah setinggan di sekitar daerah Johor Bahru adalah disebabkan kemajuan dalam sektor ekonomi. Kemajuan dalam sektor ekonomi di daerah ini terutamanya dalam sektor perindustrian, sektor perniagaan dan sektor pengangkutan menjadi salah satu punca masalah ini sukar diatasi. Hal ini demikian kerana, sektor-sektor ekonomi ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menyebabkan ramai penduduk untuk berpindah ke kawasan bandar. Selain itu, kawasan bandar telah membuka banyak kawasan baru contohnya kawasan perindustrian menyebabkan ramai penduduk merebut peluang untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan seharian mereka. Kemajuan sektor ekonomi di kawasan bandar telah menyebabkan pertambahan bilangan penduduk sehingga perumahan yang sedia  ada tidak mampu untuk menampung jumlah penduduk yang bertambah ramai. Oleh itu, mereka mengambil langkah yang mudah untuk memilih kawasan setinggan sebagai tempat tinggal mereka kerana kebanyakan penduduk yang baru berhijrah ke bandar mestilah mengukuhkan keadaan kewangan mereka terlebih dahulu. Bukan itu sahaja, perkembangan sektor pelancongan di Johor Bahru juga menarik minat penduduk luar untuk berhijrah. Kedudukan Johor Bahru yang berdekatan dengan Singapura yang hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau menjadikan sektor ini sebagai peyumbang utama kepada ekonomi Johor Bahru kerana terdapat lebih 60% warga Singapura yang melancong ke Johor Bahru bagi tujuan membeli belah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, proses pembandaran yang tertumpu kepada pembangunan industri, pelaburan dan perkhidmatan sosial menyebabkan peluang ekonomi hanya tertumpu di kawasan-kawasan bandar sahaja sekaligus mengehadkan kawasan perumahan serta berlakunya masalah setinggan.

            Seterusnya, faktor kos sara hidup yang tinggi juga memainkan peranan masyarakat untuk tetap tinggal di kawasan setinggan. Kos hidup yang tinggi pada zaman kini telah mendorong sesetengah masyarakat untuk membina kawasan perumahan secara haram untuk didiami yang berpusat di kawasan-kawasan bandar. Secara amnya, golongan ini biasanya daripada kalangan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk menyewa rumah disebabkan harga yang agak tinggi di bandar. Selain itu, proses pembandaran yang semakin pesat dan kos sara hidup yang tinggi mengakibatkan peningkatan taraf hidup masyarakat terutama di kawasan tumpuan. Mereka lebih cenderung untuk tinggal di kawasan setinggan yang berhampiran dengan tempat kerja supaya dapat memudahkan pergerakan mereka mengikut kemampuan mereka disebabkan tidak mampu untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik. Bukan itu sahaja, kewujudkan banyak kawasan perumahan setinggan di sekitar daerah Johor Bahru juga disebabkan oleh kurangnya perumahan kos rendah. Hal ini demkian kerana, bilangan penduduk semakin hari semakin meningkat terutama di kawasan bandar kerana terdapat kemudahan-kemudahan sosial yang dapat dinikmati jika dibandingkan dengan pendalaman atau kawasan luar bandar. Untuk mendapatkan rumah yang murah amat sukar untuk penduduk kerana pemaju  di bandar pada masa kini lebih cenderung untuk membina perumahan kos yang sederhana dan tinggi demi mendapatkan keuntungan mereka. Oleh itu, golongan yang berpendapatan rendah tidak mempunyai pilihan lain selain tinggal di kawasan setinggan kerana mereka berpendapat bahawa tidak perlu membayar sewa bulanan yang mereka anggap sebagai beban hidup.

            Sehubungan dengan itu, kewujudan kawasan setinggan di kawasan-kawasa bandar disebabkan masih terdapat kawasan yang terbiar. Kawasan yang terbiar biasanya kawasan yang tidak menjalankan sebarang kegiatan ekonomi seperti perumahan, pembinaan bangunan, perniagaan dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, sesetengah golongan ini dengan sesuka hati mengambil kesempatan untuk membina kawasan perumahan secara haram tanpa pengetahuan kerajaan dan tanpa berfikiran panjang apa yang akan terjadi jika pihak kerajaan mengetahuinya

MASALAH-MASALAH YANG BERLAKU DI KAWASAN SETINGGAN

Isu atau masalah setinggan juga merupakan satu cabaran yang besar dalam proses kea rah pembandaran yang lebih moden di negara kita. Kewujudan kawasan setinggan di sekitar daerah Johor Bahru dikatakan telah mencacatkan suasana bandar yang selesa. Menurut Jaya Pala (2004), penempatan setinggan di kawasan bandar telah memburukkan pemandangan terutama di bandar-bandar yang maju dan kewujudannya telah memberi tanggapan yang buruk kepada orang luar. Masalah setinggan ini mestilah dibendung dan ditangani dengan segera kerana masalah setinggan ini menyumbang pelbagai isu dan masalah contohnya seperti masalah penularan wabak penyakit, masalah kecurian, masalah pendidikan dan masalah peningkatan kes sosial di kawasan berkenaan. Kesemua masalah ini akan menjadi beban kepada masyarakat itu sendiri dan juga beban kepada kerajaan untuk menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana, kawasan yang sempit, kesesakan warga penduduk setempat, kemiskinan, kekurangan kemudahan  dan sebagainya akan menimbulkan keadaan yang sangat tidak selesa sehingga menimbulkan kepada masalah peningkatan sosial di kalangan masyarakat.

           

Rajah 3 : Kawasan setinggan di Kampung Hajah Hasnah, Johor Bahru

            Masalah utama yang timbul disebabkan kawasan setinggan ini ialah peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat setempat. Masyarakat yang menetap di kawasan tersebut biasanya daripada golongan yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap serta mempunyai taraf pendidikan yang rendah. Oleh itu, sesetengah penduduk yang berfikiran pendek telah melakukan perkara-perkara atau kes sosial seperti mencuri, merompak, meragut dan sebagainya disebabkan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Persekitaran seperti ini menyebabkan golongan masyarakat menjadi takut dan risau akan tahap keselamatan terutama kepada keluarga mereka. Selain itu, kes-kes seperti penagihan dadah, buli, dan pembunuhan juga turut meningkat di kawasan setinggan disebabkan kebanyakan golongan ini membesar dalam keadaan persekitaran yang tidak selamat dan tidak selesa sehingga menimbulkan kes-kes jenayah yang membahayakan nyawa mereka sendiri. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa kewujudan setinggan ini bukan sahaja memburukkan suasana di sekitar bandar, namun masalah sosial turut meningkat.

            Sehubungan dengan itu, masalah yang kedua akibat wujudnya kawasan setinggan ini ialah berlaku pencemaran. Menurut Mohd Fadzil Abdul Rashid (2012), kawasan setinggan dikatakan punca utama berlaku pencemaran air sungai disebabkan banyak pembuangan sampah, sisa domestik kedalam sungai tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar. Pembuangan sisa kumbahan dari rumah seperti air basuhan dan sisa makanan ke dalam sungai tanpa adanya perparitan tanpa konkrit akan menyebabkan keadaan air sungai bertambah kotor.Hal ini demikian kerana, kawasan setinggan biasanya tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap dan canggih seperti kelemahan dalam pengurusan pembuangan sampah. Bukan itu sahaja, punca pencemaran air disebabkan peningkatan penduduk di kawasan tersebut menjadikan penduduk mengalami kesukaran untuk membuang sampah dan sisa kumbahan sehingga mereka terpaksa membuang sampah ke dalam sungai. Sungai yang kotor juga turut menyumbang kepada pencemaran bau di kawasan setempat.

            Masalah terakhir yang timbul akibat daripada kewujudan kawasan setinggan ini ialah mengganggu proses pembandaran. Seperti mana yang kita ketahui umum, bandar Johor Bahru merupakan salah satu bandar yang maju selepas bandar Kuala Lumpur dari segi pembangunan ekonomi dan sosial. Namun, proses urbanisasi ini akan sedikit terganggu atau terhalang disebabkan kehadiran kawasan setinggan di sekitarnya. Pembandaran yang maju biasanya mempunyai sistem keselematan yang tinggi, tetapi kawasan setinggan biasanya menyumbang kepada peningkatan masalah sosial serta pencemaran alam sekitar. Perkara seperti ini sedikit sebanyak menjadi penghalang dalam proses pembandaran untuk pembangunan ekonomi sesebuah bandar tersebut. Oleh itu, jelaslah kawasan setinggan telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesan terhadap masyarakat mahupun terhadap alam sekitar setempat.

LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN MASALAH SETINGGAN DI JOHOR BAHRU

Masalah setinggan merupakan masalah yang perlu dibendung dan ditangani dengan segera bagi melancarkan lagi proses pembandaran terutama di kawasan-kawasan bandar. Oleh itu, pihak berkuasa atau pihak kerajaan mestilah memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai kaedah atau cara untuk menempatkan golongan yang tinggal di kawasan setinggan untuk menikmati tempat tinggal dan kawasan yang lebih baik untuk meneruskan kehidupan mereka

            Langkah pertama untuk menangani masalah setinggan ini ialah dengan membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Projek pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor ini merupakan langkah penyelesaian yang terbaik untuk menyediakan perumahan yang lebih baik dengan kos sewa rumah yang lebih rendah. Bukan itu sahaja, pihak perancang bandar juga mestilah bijak dalam menguruskan penggunaan tanah bagi membina projek perumahan ini bagi menampung jumlah penduduk yang padat terutama di bandar besar seperti bandar Johor Bahru ini. Kewujudan PPRT ini sangat membantu untuk meringankan beban golongan yang berpendapatan rendah untuk menikmati gaya dan kualiti hidup yang lebih baik berbanding sebelumnya. Hal ini demikian kerana, sewa bulanan adalah murah dan golongan berpendapatan rendah mampu untuk menampungnya. Penyediaan kawasan dan penempatan baru dilihat sebagai faktor untuk membendung masalah ini demi kesejahteraan hidup masyarakat.

            Selain itu, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Pihak berkuasa mestilah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah ini dengan segera. Pihak berkuasa juga mestilah sering memantau keadaan persekitaran di kawasan-kawasan bandar supaya tiada penduduk yang mendirikan perumahan di atas tanah milik kerajaan secara haram. Kerjasama yang dilakukan oleh kedua-dua pihak ini ataupun bantuan orang ramai akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera. Selain itu, terdapat juga warga asing tanpa izin yang menghuni kawasan setinggan di beberapa kawasan di sekitar daerah Johor Bahru. Penguatkuasaan undang-undang yang ketat perlu dilakukan oleh pihak kerajaan kepada pesalah-pesalah yang berani mendirikan rumah secara haram dan tidak sah. Rakyat tempatan atau warga asing yang kebanyakannya terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berani menceroboh tanah milik kerajaan mestilah dikenakan hukuman yang setimpal di atas perbuatan mereka. Pendatang PATI di sekitar daerah Johor Bahru biasanya berasal daripada negara Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan lain-lain. Tujuan penguatkuasaan undang-undang ini supaya pesalah-pesalah ini tidak mengulangi perbuatan mereka seterusnya isu masalah setinggan ini dapat diatasi.

            Langkah yang terakhir untuk mengatasi masalah setinggan ialah mewujudkan program dan rancangan pembasmian kawasan setinggan. Program ini mestilah diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak PBT memainkan peranan penting untuk menjayakan program ini sehingga berhasil demi kesejahteraan kehidupan rakyat. Namun begitu, program pembasmian ini sukar untuk berhasil jika tidak mendapat sokongan daripada pihak swasta, NGO dan kerjasama dengan penduduk tempatan. Kerjasama yang kuat akan mendatangkan hasil yang maksimum jika masing-masing memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh semata-mata untuk membasmi masalah setinggan di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, Pihak Berkuasa Tempatan juga dapat memastikan bahawa golongan miskin bandar dapat meningkatkan taraf hidup mereka jika disediakan kemudahan-kemudahan asas atau infrastruktur yang lebih baik.

KESIMPULAN

Sebuah bandar yang maju seperti Johor Bahru ini sangat berpotensi untuk menjadi sebuah bandar yang maju setaraf dengan bandar Kuala Lumpur. Namun begitu, kemajuan dan kegiatan sektor ekonomi bandar tidak mampu untuk menyediakan kemudahan dan peluang pekerjaan disebabkan peningkatan penduduk di bandar semakin padat. Masalah setinggan ini tidak boleh diambil ringan oleh semua pihak kerana ia mampu untuk menggagalkan proses pembandaran yang semakin pesat di bandar Johor Bahru. Hal ini demikian kerana, masalah setinggan ini akan mendatangkan kesan yang negatif dalam aspek sosial dan ekonomi setempat jika tidak ditangani dengan segera. Oleh itu, semua pihak sama ada pihak kerajaan atau penduduk tempatan mestilah bekerjasama dengan sebaik mungkin supaya isu masalah setinggan di sekitar daerah Johor Bahru ini dapat diatasi dengan segera demi pembangunan ekonomi sesebuah bandar.

SENARAI RUJUKAN

Hanis Musalman Salehan. (2007). KAJIAN TERHADAP TINDAKAN KERAJAAN NEGERI JOHOR DALAM MENANGANI PENEMPATAN SEMULA SETINGGAN DI NEGERI JOHOR KAJIAN KES : KAMPUNG SRI RAHMAT, JOHOR BAHRU. http://eprints.utm.my/id/eprint/6386/1/HanisMusalmanSalehanMFKSG2007.pdf

Jaya Pala. (2004). SETINGGAN. Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak. https://ir.unimas.my/id/eprint/20591/1/Setinggan%20(24%20pgs).pdf

Junaidi Awang Besar et al., (2018). Impak Sosioekonomi dan Politik Program Perumahan Rakyat Lembah Subang, Selangor. http://journalarticle.ukm.my/11957/1/19084-74086-1-PB.pdf

Mohamed Ismail. (2005). Setinggan Dan Permasalahannya Serta Penyelesaian Ke Arah Setinggan Sifar. Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my/id/eprint/4180/1/MohamedIsmailMFKSG2005.pdf

Mohd Fadzil Abdul Rashid. (2012). GIS-MCDA Bagi Mengukur Kadar Potensi Ciri-Ciri Sosioekonomi Dan Fizikal Setinggan Terhadap Pencemaran Sungai: Petempatan Setinggan Di Sepanjang Sungai Tebrau, Johor, Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/260555308_GIS-MCDA_Bagi_Mengukur_Kadar_Potensi_Ciri-Ciri_Sosioekonomi_Dan_Fizikal_Setinggan_Terhadap_Pencemaran_Sungai_Petempatan_Setinggan_Di_Sepanjang_Sungai_Tebrau_Johor_Malaysia

Nurul Amalina Suhaini. (2018). Johor sedia kediaman selesa untuk setinggan. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/401500/johor-sedia-kediaman-selesa-untuk-setinggan

 

NAMA: MOHAMAD FIRDAUS AIMAN BIN ISA

NO. MATRIK: D20201094275

KUMPULAN: A

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...