Saturday, June 11, 2022

MASALAH BANJIR YANG DIALAMI OLEH PENDUDUK DI BANDAR BENTONG, PAHANG.

1.0  PENGENALAN

Banjir boleh ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang mempunyai kuantiti air yang sangat banyak sehingga boleh menggelamkan sesuatu tempat, kawasan atau harta benda. Bencana banjir boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu banjir kilat, banjir pantai, banjir sungai dan banjir pembentungan. Dalam hal ini, banjir kilat merupakan banjir yang berlaku secara cepat disebabkan oleh hujan yang terlalu lebat dan berkumpul di sesuatu tempat akibat daripada sistem perparitan yang tidak terancang dan tidak mampu menampung jumlah air yang ada sehingga menyebabkan limpahan air. Banjir kilat ini kebiasaannya berlaku di bandar-bandar kerana bandar tidak mempunyai kawasan telap air di samping sistem perparitan yang tersumbat akibat sampah sarap atau bahan terasing (Ang, 2016). Bencana banjir ini juga merupakan satu bencana alam yang tidak boleh dielakkan oleh penduduk, begitu juga penduduk di bandar Bentong, Pahang.

 Rajah 1: Kedudukan Daerah Bentong dalam Negeri Pahang.
                                                                             Sumber: Draf Rancangan Tempatan Daerah Bentong (2019)

Dalam konteks ini, bandar Bentong merupakan sebuah bandar utama yang terletak di Daerah Bentong, Pahang dengan keluasan 1,831 kilometer persegi. Bandar ini bersempadanan dengan Negeri Selangor di sebelah barat dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Jumlah penduduk di bandar Bentong adalah seramai 127, 059 penduduk (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2021). Pada 18 December 2021 bandar Bentong telah dikejutkan dengan banjir lumpur yang menggelamkan beberapa tempat seperti Chegar Medang, Benus, Sg. Marong dan Kg. Baru. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Wan Mohammad Zaidi menyatakan bahawa banjir di bandar Bentong merupakan banjir yang di luar jangkaan. Banjir ini dikatakan sebagai banjir diluar jangkaan kerana air naik secara mendadak dan terdapat juga air deras yang membawa lumpur serta kayu-kayan sehingga menggelamkan rumah di kawasan tersebut. Pasukan bantuan juga agak sukar dihantar ke kawasan ini kerana laluan untuk ke bandar ini terputus akibat air yang tinggi serta tanah runtuh. Kenaikan air yang tinggi menyebabkan kebanyakan rumah ditenggelami air dan bantuan hanya boleh dihantar melalui helikopter bomba (Mohamad Shofi Mat Isa, 2021).

2.0  PUNCA BERLAKUNYA BANJIR DI BANDAR BENTONG, PAHANG

Menurut Laporan Banjir (2020), hujan yang berterusan dan berkamatan tinggi menjadi faktor utama banjir berlaku di sesuatu tempat. Negeri Pahang adalah salah satu kawasan yang menerima purata hujan harian tertinggi iaitu 108mm selepas Kelantan dan Pulau Pinang. Hujan yang lebat dalam waktu yang lama boleh menyebabkan banjir kilat berlaku di bandar kerana longkang dan sungai tidak mampu menampung jumlah air yang banyak lalu melimpah ke sekitar bandar. Pembangunan yang tidak terancang juga mengakibatkan bencana banjir melanda bandar Bentong. Dalam konteks ini, kontraktor tidak menyelidik terlebih dahulu untuk melakukan pembangunan terutamanya membangunkan kawasan perumahan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Rozlin Zainal et al. (2020), mendapati bahawa tapak perumahan yang tidak ditambak dengan betul menyebabkan keadaan tanah menjadi tidak sekata di mana jika berlakunya hujan, kawasan rendah lebih mudah dinaiki air berbanding kawasan tinggi. Misalnya, kawasan yang dilanda banjir teruk di bandar Bentong kebanyakannya berlaku di kawasan perumahan seperti di Chegar Medang dan Benus. Punca berlakunya banjir di Bentong juga turut dikaitkan dengan kegiatan penerokaan hutan untuk pembangunan akibat banyak penemuan longgokan kayu-kayan termasuklah kayu yang bersaiz balak di kawasan terjejas banjir namun siasatan masih dijalankan (Fikrah Pahang, 2021). 

Rajah 2: Lebuhraya CSR

Sumber: Kosmo (2022)

Bangunan yang tinggi serta kawasan yang bertar menyebabkan air hujan tidak boleh menyerap ke dalam tanah yang seterusnya mengakibatkan larian air permukaan lalu masuk ke sungai-sungai dan longkang. Ketidakmampuan sungai dan longkang untuk menampung kuantiti air yang banyak mengakibatkan air melimpah sekali gus menyebabkan banjir kilat melanda bandar Bentong. Projek laluan Central Spine Road atau lebih dikenali sebagai CSR yang baru dirasmikan pada 7 Oktober 2021 turut dikatakan sebagai punca utama air Sungai Benus melimpah ke kawasan perumahan Chegar Medang, Bentong apabila hujan berpanjangan sehingga menyebabkan banjir di kawasan tersebut. Dalam konteks ini. CSR hanya mempunyai benteng di tebing kiri yang menyebabkan apabila air tinggi ianya tidak akan melimpah ke sebelah kiri sebaliknya akan melimpah ke sebelah kanan yang mempunyai tebing yang rendah di mana terletaknya kawasan Benus dan Chegar Medang (Kosmo, 2022). Terdapat juga kawasan lain seperti Kampung Kemasur yang turut dinaiki air akibat limpahan air di Sungai Benus. Sementara itu, beberapa kawasan lain seperti Kampung Chamang, Repas dan Perting turut tenggelam akibat limpahan air daripada Sungai Penjuring di Bandar Bentong. Hal ini membuktikan bahawa bencana banjir yang berlaku di Bandar Bentong adalah akibat daripada sistem saliran seperti sungai-sungai utama di bandar ini yang tidak terancang serta tidak mampu menampung jumlah air yang ada seterusnya melimpah ke kawasan-kawasan yang rendah (Azee Shafy, 2022).

3.0  KESAN BANJIR KEPADA PENDUDUK DI BANDAR BENTONG, PAHANG

Rajah 3: Rumah dan surau di Benus, Bentong yang tenggelam

Sumber: Utusan Malaysia (2021)

Rajah 4: Chalet Bentong selepas dilanda banjir

Sumber: Utusan Malaysia (2021)

Banjir telah menyebabkan penduduk di Bentong mengalami kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda. Berdasarkan Rajah 2, dapat dilihat bahawa terdapat beberapa buah rumah dan sebuah surau di Benus tenggelam akibat bencana banjir yang berlaku pada bulan Disember 2021 di bandar Bentong. Menurut Laporan Khas Impak Banjir Malaysia (2021), Bentong telah menanggung kerugian dan kerosakan bagi tempat kediaman adalah sebanyak RM60 juta, kenderaan adalah sebanyak RM4.2 juta, perniagaan adalah sebanyak RM14.4 juta dan kerosakan sektor pembuatan pula adalah RM5.5 juta yang seterusnya menjadikan Bentong sebagai sebuah kawasan yang menanggung kerugian tertinggi di Negeri Pahang. Sebagai contohnya, seorang pemilik chalet di Bentong menyatakan bahawa air deras telah menggelamkan chalet dan tiga buah kolam ikan patinnya. Kerosakan menjadi lebih teruk apabila air deras turut membawa sejumlah kayu balak yang dihanyutkan bersama air deras. Tinjauan yang dilakukan mendapati chalet tersebut dipenuhi lumpur, timbunan kayu balak berserta batu-batu besar yang dipercayai bergolek dari kawasan yang tinggi (Bernama, 2021). Banjir yang diluar jangkaan ini juga telah menyebabkan penduduk Bentong terkandas dan terputus perhubungan dengan dunia luar. Banjir besar yang melanda bandar ini telah memusnahkan infrastruktur di beberapa kawasan seperti di Sungai Dua, Bentong.

Rajah 5: Jalan utama ke bandar bentong yang terputus akibat banjir.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2021)

Menurut Ng dan Phung (2021) menyatakan bahawa banjir besar telah menyebabkan penduduk di Sungai Dua terputus bekalan elektrik, air bersih serta gangguan pada telekomunikasi yang mengakibatkan mangsa sukar untuk meminta bantuan dan berhubung dengan dunia luar. Gangguan perkhidmatan komunikasi ini hanya dapat dipulihkan selepas enam hari banjir melanda bandar itu. Oleh hal yang demikian, penduduk terpaksa bergantung sesama sendiri untuk meneruskan hidup sementara menunggu bantuan sampai. Aktiviti menyelamat pada waktu pagi juga mendapati bahawa terdapat dua puluh mangsa banjir telah terkandas di atas bumbung rumah dalam keadaan lapar dan kesejukan. Di samping itu, terdapat juga kereta-kereta yang terkandas di jalan raya akibat kenaikan air sungai yang sudah melimpah serta berlakunya kejadian tanah runtuh. Pemandu terpaksa berhenti di tepi jalan dan menunggu selama berjam-jam yang seterusnya mengakibatkan beberapa buah kereta penduduk dihanyutkan banjir. Penduduk di bandar Bentong juga menghadapi masalah kehilangan nyawa yang menyayat hati apabila terdapat beberapa orang penduduk telah dihanyutkan dengan air deras.

Menurut laman web Fikrah Pahang (2021), terdapat empat mangsa telah dilaporkan meninggal dunia dan dua orang lagi hilang pada 19 December 2021. Hal ini berlaku selepas lima buah kereta terperangkap di jalan raya telah dihanyutkan arus deras di Sungai Telemong, Bentong. Terdapat juga mayat yang ditemui di celah-celah dahan pokok, timbunan kayu balak serta di bawah rumah. Di samping itu, polis juga sudah mencari 16 individu yang dihanyutkan arus deras dan salah seorang daripadanya adalah warga emas. Dalam kejadian ini, 10 orang sudah berjaya diselamatkan manakala lima lagi dilaporkan maut. Sesungguhnya, bencana banjir yang teruk di bandar Bentong ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda namun turut melibatkan kehilangan nyawa yang turut memberi kesan kepada hidup mangsa kerana sudah beberapa bulan berlalu namun penduduk masih lagi trauma dan ketakutan setiap kali hujan lebat melanda.

4.0  LANGKAH-LANGKAH DAN CADANGAN PENYELESAIAN

Bagi mengatasi masalah limpahan air sungai, usaha-usaha mendalamkan sungai-sungai utama di bandar Bentong seperti Sungai Bentong, Sungai Benus dan Sungai Perting haruslah dijalankan bagi mengelakkan masalah banjir ini berulang lagi. Kebanyakan kejadian banjir disebabkan oleh sungai yang cetek dan tidak mampu menampung kuantiti air hujan yang banyak lalu melimpah ke kawasan sekitarnya. Dalam konteks ini, kedalaman serta kelebaran sistem saliran iaitu sungai haruslah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak. Sistem saliran terutamanya di sungai-sungai utama mestilah selalu dilakukan proses penyelenggaraan dan pembersihan supaya sungai tidak tersumbat dengan sampah sarap. Dalam usaha untuk mengelakkan bencana banjir ini juga kerajaan haruslah menjalankan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sepanjang sungai-sungai yang terdapat di Bentong bagi mengelakkan air naik ke daratan. Perbincangan haruslah dijalankan bersama pihak yang terlibat seperti kerajaan negeri bagi mengemuka permohonan peruntukan bagi melaksanakan projek pembinaan benteng tebatan ini disebabkan projek ini memerlukan kos yang besar (Rozlin Zainal et al., 2020).

Di samping itu, Stesen Amaran Banjir juga patutlah dibina supaya penduduk mendapat amaran awal jika berlakunya hujan lebat dan kenaikan air yang boleh menyebabkan banjir. Dalam konteks ini, stesen yang dibina boleh bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk memantau keadaan cuaca yang seterusnya boleh mengeluarkan amaran jika hujan lebat akan melanda bandar Bentong supaya penduduk boleh melakukan persediaan awal. Stesen-stesen cerapan hujan juga perlulah ditingkatkan supaya data-data hujan yang diperolehi adalah lebih tepat yang seterusnya dapat dipantau dari semasa ke semasa. Pembinaan jalan alternatif lain atau baru juga haruslah dilakukan bagi mengelakkan masalah terkandas atau terputus perhubungan semasa banjir. Pembinaan jalan ini bertujuan bagi memudahkan proses penghantaran bantuan oleh pihak yang bertanggungjawab ketika banjir melanda di kawasan Bentong kerana mereka boleh menggunakan jalan lain yang tidak terjejas (Fikrah Pahang, 2021). Pengawalan terhadap aktiviti manusia juga haruslah dilakukan kerana berdasarkan kajian awal punca berlakunya banjir di bandar Bentong disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang dan sampah sarap yang tersumbat pada sistem saliran. Dalam menghadapi isu ini, pihak PBT haruslah melakukan pemantauan secara berkala terhadap aktiviti-aktiviti pembangunan yang dijalankan di bandar Bentong supaya dapat mengekang masalah tersebut.

 

5.0  KESIMPULAN

Alam sekitar merupakan ciptaan Allah yang tidak ternilai dan merupakan anugerah kepada semua hidupan di atas muka bumi ini. Namun, manusia telah diciptakan mempunyai akal dan fikiran sebagai khalifah untuk bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar ini. Sikap rakus dalam mengejar keuntungan dan pembangunan telah membuatkan mereka lupa akan tanggungjawab yang harus diutamakan. Bencana banjir di bandar Bentong bukan sahaja menyebabkan banyak kerosakan harta benda namun turut melibatkan kehilangan nyawa dan trauma. Dalam hal ini, nyawa penduduk adalah lebih penting dan harus diutamakan dan kita tidak mahu "pisang berbuah dua kali". Pembangunan juga penting namun keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar haruslah dititikberatkan. Oleh hal yang demikian, pihak bertanggungjawab haruslah segera mencari punca dan jalan penyelesaian bagi masalah banjir di bandar Bentong supaya masalah ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Rakyat dan kerajaan juga haruslah bergerak seiring mencari inisiatif dan strategi dalam melakukan pemuliharaan serta pemeliharaan alam sekitar. Langkah pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga penting untuk diterapkan dalam diri generasi kini kerana mereka yang akan mentadbir negara pada masa akan datang. Generasi kini harus belajar untuk menghargai alam sekitar dengan melakukan pelbagai transformasi ke arah pelestarian alam sekitar demi kesejahteraan bersama.

RUJUKAN

Ang, K. H. (2016). Persepsi masyarakat terhadap bencana banjir monsun di Malaysia: Kajian kes Kota Bharu, Kelantan. Journal of Society and Space, 12(9), 24 – 31. https://core.ac.uk/download/pdf/86409022.pdf

Azee Shafy. (Mac 18, 2022). Bandar Bentong dilanda banjir kilat. Astro Awani. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bandar-bentong-dilanda-banjir-kilat-352382

Bernama. (Disember 20, 2021). Banjir Bentong: Saksi nampak arus deras setinggi tiga tingkat. Astro Awani. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-bentong-saksi-nampak-arus-deras-setinggi-tiga-tingkat-337512

Fikrah Pahang. (2021). Kerajaan Pahang minta JPNP siasat punca banjir lumpur di Bentong. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://fikrahpahang.com.my/kerajaan-pahang-minta-jpnp-siasat-punca-banjir-lumpur-di-bentong/

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Kementerian Alam Sekitar Dan Air. (2020). Laporan Banjir Tahunan 2020. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada http://h2o.water.gov.my/man_hp1/LBT2020.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2021). Bencana banjir di bandar Bentong, fakta dan angka. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202021/Newsletter%20Bencana%20Banjir%20%5BBentong%5D_compressed.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2021). Kenyataan Media Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4Press_Statement/2022/01.%20JANUARI/LAPORAN%20KHAS%20IMPAK%20BANJIR%20MALAYSIA%202021.pdf

Kosmo. (Mac 24, 2022). CSR punca banjir di Chegar Medang. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daripada https://www.kosmo.com.my/2022/03/24/csr-punca-banjir-di-chegar-medang/

Mohamad Shofi Mat Isa. (Disember 19, 2021). Banjir di Bentong di luar jangkaan. Utusan Malaysia. Bahan diakses pada 9 Jun 2022 daipada https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/banjir-di-bentong-di-luar-jangkaan/

Ng, X. Y., & Phung, Y. W. (Desember 25, 2021). Orang kampung bergantung sesama sendiri lepas bantuan lambat sampai. Malaysia Kini. Bahan diakses pada 10 Jun 2022 daripada https://www.malaysiakini.com/news/604504

Rozlin Zainal, Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, & Narimah Kasim. (2020). Kajian permasalahan pembinaan sistem saliran yang menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan perumahan. Research in Management of Technology and Business, 1(1), 588–605. file:///C:/Users/Administrator/Downloads/penerbit,+RMTB+Vol.+No.1-588-605.pdf

NAMA : NOR AQILAH BINTI DELMI

NO MATRIK : D20201094321

KUMPULAN A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...