MASALAH PENGANGGURAN DI KAMPUNG BUKIT PAYONG, BESUT, TERENGGANU
PENGENALAN
Pengangguran merupakan isu yang tidak asing lagi di Malaysia. Pengangguran adalah masalah makroekonomi yang mempengaruhi manusia secara langsung dan merupakan isu yang hangat diperkatakan (Abd. Kadir Batong, Rostika Petrus Boroh dan Beatrice Lim, 2017). Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pengangguran merupakan satu keadaan yang dialami oleh ramai orang yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Oleh itu, pengangguran dapat didefinisikan sebagai situasi dimana melibatkan seseorang individu yang masih mengalami proses mencari pekerjaan dan belum menemui jalan penyelesaiannya. Mereka juga terpaksa merempat dan meminta belas kasihan orang ramai seperti meminta sedekah di kaki lima, pasar, pasar raya, bank dan lain-lain lagi untuk mendapatkan wang bagi menjalani kehidupan. Terdapat juga individu yang mengambil jalan singkat dalam mendapatkan wang seperti merompak, menyamun, mencuri, dan mengedar dadah. Masalah ini turut memberi kesan kepada orang ramai. Sekiranya masalah ini tidak dibendung, pasti banyak kesan negatif yang akan muncul bukan sahaja kepada individu tersebut, malah turut memberi kesan kepada orang ramai dan nama baik negara. Menurut Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Kedudukan tenaga buruh di Malaysia semakin baik pada Januari 2022 didorong oleh peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun. Bilangan penganggur terus berkurang pada Januari 2022 kepada 680.4 ribu orang, turun 1.1 peratus berbanding Disember 2021 (687.6 ribu orang).
Rajah 1: Peta Kawasan Kampung Bukit Payong
Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih kawasan Kampung Bukit Payong, Besut, Terengganu untuk membuat tinjauan mengenai faktor dan langkah yang boleh dibuat bagi mengurangkan isu pengangguran yang dialami oleh penduduk setempat di kampung tersebut. Kampung Bukit Payong merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak di kawasan Hulu Besut dalam negeri Terengganu. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan luar bandar. Bentuk muka bumi di kawasan kampung ini adalah berbukit-bukau. Oleh hal yang demikian, udara di kampung ini amat segar dan nyaman terutamanya pada waktu pagi. Keadaan udara yang berkabus juga telah menyebabkan suhu di kawasan tersebut rendah dan menghasilkan pemandangan yang indah. Sumber air di kawasan perkampungan ini juga amat sejuk dan bersih kerana memperoleh sumber mata air daripada kawasan bukit dan sungai yang berdekatan. Terdapat ramai penduduk yang mendiami perkampungan ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kebanyakan penduduk dari golongan belia di kampung ini merupakan siswazah universiti namun, masih tidak mempunyai pekerjaan. Selain itu, terdapat juga golongan remaja yang hanya ingin menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja sehingga tidak mempunyai pekerjaan ekoran keputusan SPM yang agak kurang memberangsangkan. Selain itu, terdapat juga golongan yang telah berumah tangga turut hilang pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri untuk menghentikan wabak jangkitan Covid-19.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KADAR PENGANGGURAN DI KAMPUNG BUKIT PAYONG
Faktor pertama yang membawa kepada kes pengangguran penduduk di Kampung Bukit Payong ialah peluang pekerjaan yang terhad. Hal ini kerana, kampung ini tidak mempunyai kemudahan yang memerlukan ramai tenaga buruh seperti pasar raya, pejabat, dan lain-lain lagi. Majoriti penduduk di kampung ini juga mengusahakan sendiri tanaman getah dan kelapa sawit yang mereka miliki. Namun, terdapat juga penduduk yang mengambil buruh asing untuk mengusahakan tanaman tersebut. Ini kerana bayaran upah kepada buruh asing jauh lebih murah berbanding buruh tempatan. Selain itu, terdapat juga penduduk yang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup. Perniagaan tersebut hanya diusahakan sendiri atau oleh ahli keluarga sahaja kerana untung yang diperoleh daripada jualan hanya cukup untuk membuat modal semula sahaja. Kedua-dua situasi ini jelas membuktikan bahawa peluang pekerjaan yang terhad menjadi punca utama berlakunya kes pengangguran di Kampung Bukit Payong.
Gambar 2: Ladang Kelapa Sawit yang diusahakan oleh buruh asing
Faktor kedua berlakunya kes pengangguran penduduk di Kampung Bukit Payong ialah lambakan para siswazah. Masalah ini berlaku disebabkan oleh kebanyakan golongan ini memilih jurusan yang tidak mempunyai pengiktirafan oleh pihak kerajaan dan industri. Tambahan pula, bidang yang telah mereka pilih juga tidak memenuhi keperluan sektor pekerjaan di Malaysia. Kesannya, mereka tidak dapat sebarang tawaran dari mana-mana pihak yang bersesuaian mengikut kelulusan. Selain itu, terdapat juga siswazah yang mengambil jurusan yang diiktiraf seperti bidang pendidikan tetapi belum mendapat penempatan
dalam sektor tersebut. Masalah ini berlaku disebabkan oleh terdapat tiada kekosongan dalam pendidikan ekoran kadar umur bagi pencen guru-guru telah ditetapkan kepada had umur 60 tahun. Namun, Institut Pengajian Tinggi (IPT) sentiasa membuka kuota bidang pendidikan dalam jumlah yang banyak pada setiap tahun. Kesannya, pengeluaran jumlah siswazah yang tamat dalam bidang tersebut lebih banyak berbanding kekosongan tempat bagi menggantikan guru-guru yang telah pencen.
Faktor ketiga ialah sikap belia yang terlalu memilih pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan golongan remaja dan belia di Kampung Bukit Payong tidak gemar kepada pekerjaan kampung seperti menoreh getah, menjadi buruh binaan, mekanik, dan lain-lain lagi. Mereka sering menjadikan cuaca yang panas sebagai alasan untuk tidak mengerjakan pekerjaan sebegitu. Di samping itu, mereka juga tidak mahu kulit mereka terbakar kerana bekerja di bawah sinaran matahari. Mereka hanya menginginkan pekerjaan di tempat yang nyaman atau berhawa dingin seperti di pejabat-pejabat yang terdapat di kawasan bandar. Selain itu, mereka juga sering menjadikan soal pendapatan bulanan sebagai alasan untuk tidak bekerja di kampung. Ini kerana, bayaran bagi buruh yang bekerja di kawasan perkampungan agak kecil berbanding di bandar setimpal dengan perusahaan yang dilakukan secara kecil-kecilan. Kesannya, mereka tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan kerana pekerjaan di kampung tidak menepati cita rasa mereka.
Gambar 3: Syarikat besar di Bandar
LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KES PENGANGGURAN DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KAMPUNG BUKIT PAYONG
Antara langkah yang boleh diambil oleh pikah kerajaan atau pemaju ialah menubuhkan pasar raya atau pasar segar di kawasan Kampung Bukit Payong. Ini kerana, kewujudan pasar tersebut akan membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk. Tambahan pula, pasar-pasar tersebut mempunyai kelengkapan penghawa dingin yang dapat memenuhi cita rasa remaja dan belia di Kampung Bukit Payong bagi mendapatkan pekerjaan. Selain itu, kewujudan pasaraya atau pasar segar akan memudahkan penduduk mendapatkan barangan dapur dengan lebih murah dan menjimatkan masa. Ini kerana, pasar besar sebegitu telah menyediakan kelengkapan barangan dapur yang serba lengkap dengan harga yang berpatutan dan mampu dibeli oleh penduduk tanpa mengira taraf hidup.
Gambar 4: Pusat Beli Belah di Bandar
Langkah kedua yang boleh dilakukan adalah, pihak kerajaan boleh menubuhkan pelbagai jenis program yang melibatkan golongan belia dan remaja seperti program bantuan modal kepada mereka dalam memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Dengan adanya bantuan sebegini sedikit-sebanyak telah membantu para belia dan remaja yang tidak mempunyai pekerjaan untuk memulakan perniagaan dan menampung perbelanjaan mereka. Kos bagi bantuan ini boleh dibekalkan mengikut jenis perniagaan yang ingin mereka usahakan. Sebagai contoh, bagi golongan belia yang ingin memulakan perniagaan dalam bidang pembuatan biskut atau kek, pihak kerajaan boleh menetapkan tempat yang sesuai bagi mereka memproses dan membekalkan barangan mereka seperti di sebuah dewan atau rumah murah yang dilengkapi dengan peralatan untuk membuat biskut dan kek yang lengkap. Bilangan peserta juga boleh dibuka dalam jumlah yang ramai. Bagi tenaga pengajar pula, pihak kerajaan boleh mengupah atau menggaji mana-mana guru atau pensyarah yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut bagi memberi tunjuk ajar kepada golongan belia dan remaja yang baru ingin memulakan perniagaan.
Cadangan atau langkah ketiga yang boleh dilakukan adalah, pihak kerajaan boleh membuka kuota yang lebih besar terutamanya dalam bidang kemahiran seperti pembuatan, masakan, automotif, perniagaan, dan lain-lain lagi di peringkat ijazah sarjana muda mahupun ijazah sarjana. Ini kerana, kebanyakan golongan belia dan remaja lebih berminat untuk cenderung ke arah bidang kemahiran berbanding akademik. Dengan adanya kursus industri latihan kemahiran sebegini di peringkat yang lebih tinggi, kemahiran yang sedia ada dalam diri belia dan remaja dapat dicungkil dan dapat membuahkan hasil serta membuka banyak peluang pekerjaan. Oleh itu, pihak kerajaan wajar untuk meluaskan lagi bidang kemahiran ini supaya melahirkan belia dan remaja yang mempunyai kemahiran yang tinggi sejajar dengan bidang akademik.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, jelaslah terbukti bahawa peluang pekerjaan yang terhad merupakan faktor utama yang mencetus kepada peningkatan kes pengangguran dalam kalangan belia dan remaja di Kampung Bukit Payong. Ini kerana, pengusaha yang membuka bidang pekerjaan tersebut lebih menumpukan kepada penglibatan buruh asing dalam perusahaan mereka. Selain itu, lambakan siswazah dari universiti tempatan juga menyebabkan isu pengangguran ini terjadi. Ini kerana, bidang yang dipilih semasa melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi tidak bersesuaian dengan permintaan atau kekosongan dalam sektor pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia. Tambahan pula, kuota yang dibuka bagi sektor pekerjaan mengikut bidang mereka agak sedikit berbanding jumlah siswazah yang berjaya menamatkan pembelajaran dalam bidang yang mereka ceburi. Faktor ketiga pula adalah berpunca dari sikap golongan belia dan remaja itu sendiri yang sering memilih bidang pekerjaan. Bukan itu sahaja, mereka juga sering memilih suasana pekerjaan yang selesa kerana ingin mendapatkan pekerjaan yang sewajarnya dengan tahap pencapaian mereka. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa cadangan atau langkah yang boleh dilakukan oleh semua pihak bagi mengurangkan kadar pengangguran di Kampung Bukit Payong.
RUJUKAN
Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nurhadhinah Omar Ali & Dayangku Aslinah Abd. Rahim. (2020). Punca Pengangguran dalam Kalangan Belia Luar Bandar di Sarawak. Jurnal Dunia Perniagaan, 2(4), 44-50. Dipeoleh daripada https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpn/article/view/11562/5532
Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Data Asas KPLB 2020. Diperoleh daripada https://www.rurallink.gov.my/wp-content/uploads/2021/06/Data-Asas-KPLB-2020_Final.pdf
Jabatan Perangkaan Malaysia. Kenyataan Media Statistik Tenaga Buruh Malaysia, 2020. Diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/03.%20MAC/TENAGA%20BURUH%2C%20MALAYSIA%2C%20JANUARI%202022.pdf
Abd. Kadir Bin Batong, Rostika Petrus Boroh & Beatrice Lim. (2017).Faktor Yang Mempengaruhi Belia Untuk Tidak Bekerja: Kajian Kes Di Daerah Tawau, Sabah. Proceedings of International Conference on Economics. Diperoleh daripada https://www.ums.edu.my/fpep/files/Abd.pdf
Disediakan oleh:
NURUL NAJJAH BINTI HAMZAH
D20191087882
No comments:
Post a Comment