Friday, June 3, 2022

FENOMENA BANJIR DI KAMPUNG TELUK JERING, TUMPAT.

Oleh: Rabiatul Afiqah Binti Rosdi (D20182085700)

Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

 

1.0 PENGENALAN

Kampung Teluk Jering merupakan salah satu kampung yang terletak di dalam DUN Pengkalan Kubor berlokasikan di dalam daerah Tumpat, Kelantan. Seperti yang kita sedia maklum, daerah Tumpat merupakan antara daerah yang paling terkesan apabila tibanya musim tengkujuh. Musim tengkujuh atau juga dipanggil sebagai musim Monsun Timur Laut ini kebiasaannya berlaku bermula daripada bulan November hinggalah bulan Mac. Pada musim ini, taburan hujan akan mengalami peningkatan di samping berlakunya fenomena angin kencang dan laut bergelora yang boleh menyebabkan kejadian banjir berlaku di kawasan-kawasan yang rendah. Kampung Teluk Jering merupakan kampung yang seringkali menerima impak daripada kejadian ini. Oleh itu, apabila tibanya musim tengkujuh, penduduk kampung akan gusar dan sentiasa berwaspada dengan sebarang amaran tentang bencana banjir ini. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), jika hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, ianya akan lebih berisiko dan menyebabkan kejadian banjir menjadi lebih buruk.

Rajah 1 menunjukan peta daerah Tumpat 

 

2.0 KEJADIAN BANJIR YANG LEPAS

Umum diketahui bahawa pada setiap tahun, Kelantan merupakan salah satu negeri yang sering terjejas dengan bencana banjir apabila musim tengkujuh menjelang. Tambah-tambah lagi banjir yang berlaku pada tahun 2014.  Ketika ini, seluruh negeri Kelantan boleh dikatakan lumpuh berikutan daripada bencana banjir yang dipanggil sebagai "bah kuning". Kejadian yang berlaku pada bulan Disember 2014 ini merupakan satu kejadian banjir yang terbesar dan terburuk dalam sejarah Malaysia (Zulkifli Yusop dan Abdul Hamid Mar Iman, 2020). Kampung Teluk Jering turut terkesan dengan keadaan ini malahan ketika itu, kampung ini menerima kehadiran air banjir sebanyak 2 kali sekaligus. Berpandukan kepada rajah 2, dapat dilihat bahawa kedudukan DUN Pengkalan Kubor ini terletak berhampiran dengan laut dan juga bersebelahan dengan sungai Golok yang menjadi pemisah di antara Malaysia dengan negara jiran iaitu Thailand.

Rajah 2 menunjukkan peta lokasi Dun Pengkalan Kubor di mana terletaknya kampung Teluk Jering


 

Sewaktu December 2014 sebelum Kelantan dilanda bah kuning, Kampung Teluk Jering telahpun mengalami banjir akibat daripada hujan serta limpahan sungai air Golok. Sewaktu penduduk kampung mula menarik nafas lega kerana limpahan banjir daripada sungai Golok menunjukkan aras penurunan, namun sekali lagi penduduk kampung dilanda kegusaran apabila mendengar berita mengenai bah kuning yang melumpuhkan ibu negeri iaitu Kota Bharu serta kawasan-kawasan lain yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami air. Ketinggian air yang melepasi tahap bumbung rumah dan sememangnya ianya kejadian yang tidak pernah dijangka akan berlaku. Di kampung Teluk Jering ini yang ketika itu air banjir masih tidak surut sepenuhnya kini dilanda banjir gelombang kedua akibat daripada bah kuning ini dan menjadikan keadaan menjadi bertambah buruk. Ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir ekoran daripada kejadian ini serta lebih banyak pusat-pusat pemindahan banjir dibuka untuk menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat. Selepas daripada bah kuning tersebut, kampung Teluk Jering terus dilanda banjir namun ianya tidaklah seteruk pada tahun 2014. Namun, tahap kedalaman air masih juga memerlukan penduduk untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir.

 

 

Rajah 3 menunjukkan keadaan banjir di Kampung Teluk Jering

 

3.0 FAKTOR BERLAKUNYA BANJIR 

Bencana banjir boleh berlaku di kampung Teluk Jering adalah berpuncakan oleh beberapa faktor. Secara umumnya dapat dikatakan bahawa fenomena kejadian banjir adalah terjadi disebabkan oleh faktor semula jadi dan juga faktor daripada manusia. Antara faktor semula jadi yang menyebabkan berlakunya banjir di kampung ini adalah seperti penerimaan taburan hujan yang tinggi pada musim tengkujuh. Menurut Siti Nurul Temrin dan Azahan Awang (2016), hujan merupakan faktor semulajadi yang paling dominan untuk menyebabkan berlakunya banjir. Sifat hujan yang dikenalpasti telah menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir adalah seperti kelebatan, berterusan, tempoh yang lama, berlaku secara menyeluruh, kekerapan dan jumlah hujan (Sharifah Meryam & Haryati 2012). Jika dilihat di dalam Rajah 4, dapat dikatakan bahawa Kelantan menerima jumlah hujan yang paling banyak berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa hujan menjadi faktor yang menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir di Kampung Teluk Jering ini.

 Rajah 4  menunjukkan jumlah hujan pada bulan November hingga Disember 2016

 

            Selain itu, kedudukan kampung Teluk Jering juga berhampiran dengan sungai Golok dan perkara ini telah menjawab persoalan mengapa kampung ini sering dilanda banjir. Menurut Izwan Abdul Halim (2022), Rantau Panjang merupakan kawasan utama yang akan menerima limpahan air daripada sungai Golok sebelum ianya tiba di kampung-kampung lain yang berada di dalam DUN Pengkalan Kubor. Kampung Teluk Jering serta beberapa lagi kampung yang berada di DUN Pengkalan Kubor ini merupakan kampung terakhir yang mengalami banjir sebelum air tersebut mengalir keluar dari Tai Bai terus ke Laut China Selatan.  Jadi, perkara ini juga menjadi salah satu faktor penyumbang yang menjadikan kawasan kampung sering dinaiki air apabila tibanya musim tengkujuh.

           Seterusnya, sistem perparitan dan saliran yang tidak terancang juga turut menjadi antara faktor penyumbang yang menyebabkan berlakunya banjir di kampung Teluk Jering. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih banyak sungai serta longkang-longkang yang menjadi saliran air telah ditambak untuk pembangunan perumahan. Tanah-tanah sawah yang dahulunya digunakan untuk tanaman padi turut ditambak bagi pembinaan tar untuk memudahkan perhubungan di antara penduduk kampung ini. Perkara-perkara sebegini menyebabkan banjir mudah berlaku kerana sungai yang sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung air hujan. Jadi air sungai ini akan melimpah keluar menyebabkan berlakunya banjir kilat. Di samping itu, perkara ini mendorong kepada berlakunya banjir termenung. Menurut Muhafandi Muhamad dari astroawani (2017), fenomena air termenung yang dihadapi oleh penduduk di jajahan tumpat yang melibatkan kampung bendang Pak Yong, kampung Teluk Jering, Kampung Ana dan Jelujur memerlukan masa sehingga 2 minggu untuk surut.

            Tambahan pula, pembuangan sampah sarap dan sisa domestik dari kediaman terus ke sungai memburukkan lagi keadaan. Sikap penduduk kampung yang tidak bertanggungjawab telah menjadikan sungai, parit dan dan longkang sebagai tempat untuk membuang sisa sampah. Mereka mengambil jalan mudah tanpa memikirkan akan kesan yang akan mereka perolehi akibat daripada perbuatan tersebut. Mereka beranggapan bahawa sampah tersebut akan mengalir di bawa arus tanpa berfikir bahawa perbuatan mereka ini akan menyebabkan sungai akan tersumbat dan tidak dapat berfungsi. Lama-kelamaan sampah yang menutup saliran air serta menghalang air daripada mengalir dan situasi ini akan menyebabkan air tersebut akan melimpah keluar ke tebing dan membanjiri kawasan berhampiran. Impak daripada perkara ini sebenarnya bukan hanya menyebabkan mudah berlakunya banjir malahan turut menyumbang kepada berlakunya pencemaran sungai.

Rajah 5 menunjukkan longkang yang dipenuhi sisa sampah sarap

 

 

4.0 KESAN BANJIR 

Banjir merupakan bencana alam semula jadi yang membawa kepada beberapa kesan yang buruk kepada kawasan yang terlibat. Kampung Teluk Jering merupakan kampung yang penduduknya adalah majoriti didiami oleh kaum petani yang menjalankan padi sawah. Oleh itu, tidak hairanlah jika dilihat daripada rajah 6 bahawa kampung ini adalah dikelilingi oleh bendang dan sawah yang menghijau. Apabila berlakunya banjir, banyak padi-padi yang tidak sempat dituai akan musnah dan ianya menyebabkan para petani akan kerugian serta kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Khairul Maidin, Nor Amna dan Mohd Syauqi Nazmi (2015) bersetuju bahawa bencana banjir bukan sahaja akan menyebabkan sebahagian kawasan bertanam tidak dapat dituai malahan ianya turut menyebabkan kekurangan nutrient tertentu yang diperlukan oleh pokok padi. Keadaan ini akan menyebabkan kawasan pertanian akan mengalami kekurangan ketersediaan zink dan perkara ini mengakibatkan hasil padi menurun. Situasi seumpama ini akan menyebabkan hasil beras negara menurun di samping ia akan meningkatkan kes import beras dari luar negara. Jadi ekonomi negara turut terjejas dengan bencana banjir ini.

Rajah 6 menunjukkan lokasi satelit kampung Teluk Jering

 

Selain itu, banjir yang berlaku juga menyebabkan kehilangan dan kerosakan harta benda. Apabila air banjir mencecah masuk sehingga ke dalam rumah, banyak perkakas rumah yang tidak sempat diselamatkan akan ditenggelami oleh air. Ada juga barangan akan hanyut dibawa oleh arus air dan perkara ini akan menyebabkan barangan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi. Keadaan ini akan menyebabkan penduduk kampung mengalami kerugian yang banyak. Sudahla begitu, mereka terpaksa pula mengeluarkan belanja yang banyak untuk proses baik pulih bagi mengembalikan keadaan rumah mereka seperti sediakala. Kos baik pulih ini juga diperlukan bagi mencuci kembali keadaan rumah daripada lumpur dan sampah yang dibawa oleh air.

Di samping itu, penduduk juga akan mengalami masalah kesihatan akibat daripada banjir yang berlaku. Penyakit-penyakit berjangkit bawaan banjir mudah berlaku semasa dan selepas banjir berlaku. Antaranya adalah seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Hal ini adalah disebabkan oleh banjir yang berlaku akan menyebabkan segala sampah sara dan takungan najis akan keluar bersama limpahan air. Penyakit-penyakit lain yang berpontesi untuk berlaku selepas banjir adalah penyakit leptospirosis, penyakit konjunktivitis serta demam denggi. Jadi, jelaslah di sini bahawa banjir membawa banyak kesan yang negatif yang akan dihadapi oleh penduduk kampung Teluk Jering ini ekoran daripada kejadian banjir yang berlaku ini.

 

 

5.0 LANGKAH MENGATASI 

Bencana banjir merupakan kejadian yang amat membimbangkan kerana ia akan memberikan pelbagai impak negatif terhadap manusia dan juga alam sekitar. Oleh itu, pelbagai langkah-langkah perlulah dijalankan bagi membendung kejadian banjir daripada berlaku. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan membina benteng tinggi di tebing sungai Golok. Pembinaan ini hendaklah dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kampung Teluk Jering menerima banjir besar. Menurut Syaherah Mustafa (2020), tinjauan yang dilakukan oleh pasukan Berita Harian mendapati benteng di tebing sungai Golok sebelah Thailand telah pun siap dibina. Jadi, benteng ini dapat menghalang limpahan air sungai daripada memasuki negar mereka. Limpahan air yang sepatutnya dibahagi dua yang dahulunya separuh melimpah ke Siam dan separuh lagi ke Malaysia kini semuanya sudah melimpah ke Malaysia sepenuhnya. Perkara ini akan menyebabkan kampung-kampung di sekitar sungai Golok akan senang dimasuki air serta paras air juga akan menjadi lebih tinggi daripada kebiasaan.

Seterusnya, usaha mendalamkan sungai dan parit juga boleh dilakukan bagi memastikan ianya dapat mengalirkan sejumlah air yang banyak bagi sesuatu masa. Hal ini dikatakan demikian kerana kecetekan sungai yang terhasil daripada proses pemendapan dan pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan banjir mudah untuk berlaku. Apabila hujan lebat berlaku, ianya akan menyebabkan sungai tidak mampu menampung air lalu melimpah keluar ke kawasan di sekitarnya, Perkara ini juga akan menjerumus kearah terjadinya banjir kilat dan juga banjir termenung. Lantaran itu, proses pendalaman semula sungai dan parit perlu dilakukan dengan mengorek semula lumpur serta kekotoran yang ada di dasar sungai. Dengan adanya proses sebegini, sungai bukan sahaja akan menjadi dalam, malahan ia dapat mengalirkan sejumlah air dengan banyak.

Di samping itu, pihak berwajib juga perlulah merangka sistem pembinaan sistem perparitan yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem perparitan yang sesuai dengan kapasiti air pada musim banjir, kesan banjir mungkin dapat dikurangkan (Khairul Maidin, Nor Amna & Mohd Syauqi Nazmi, 2015). Pembinaan-pembinaan bangunan yang baru perlulah seiring dengan sistem perparitan yang sempurna agar ianya dapat mengalir ke sungai dengan baik.  

 

5.0 KESIMPULAN 

Secara keseluruhnannya, kejadian banjir di kampung Teluk Jering merupakan suatu fenomena bukan bukan lagi asing di kampung kami. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, banjir yang berlaku adalah semakin memburuk daripada kebiasaanya. Apabila musim tengkujuh tiba, kebimbangan mula menjetik hati setiap penduduk kampung. Malahan, penduduk kampung ini terpaksa berdepan dengan 2 hingga 3 gelombang air banjir untuk sampai ke penghujung musim tengkujuh. Perkara ini adalah amat membimbangkan bagi kami yang mana persiapan mental dan fizikal perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Jadi, diharapkan dengan kerjasama daripada semua pihak dapat membendung dan mengurangkan kesan banjir di kampung ini.


 

RUJUKAN 


Izwan Abdul Halim. (2022, March 2). Komitmen wakil rakyat Lembangan Sungai Golok. HarakahDaily. https://harakahdaily.net/index.php/2022/03/02/komitmen-wakil-rakyat-lembangan-sungai-golok/

 

Jabatan Meteorologi Malaysia. (2022). Met.gov.my. https://www.met.gov.my/


Khairul Maidin, Nor Amna & Mohd Syauqi Nazmi. (2015). Kesan Banjir Terhadap Pengeluaran Padi dan SosiekonomiEconomic and Technology Management Review 10, 11–19


Muhafandi Muhamad. (2017, 4 Disember). Kerajaan Pusat Akan Kaji Fenomena Air Termenung di Tumpat. Astroawani Online. Bahan diakses pada 24 Mei 2022, daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-pusat-akan-kaji-fenomena-air-termenung-di-tumpat-161964


‌Mustafa, S. (2020, November 26). Penduduk bimbang banjir besar akibat benteng Sungai Golok. Berita Harian. Bahan diakses di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/758700/penduduk-bimbang-banjir-besar-akibat-benteng-sungai-golok


Sharifah Meryam & Haryati Shafii. ‌(2012). Pengurusan Sistem Saliran Dalam Menangani Masalah Banjir Di Batu Pahat, Johor. Isu-Isu Alam Sekitar Dan Kelestarian, 125-146


Siti Nurul Temrin & Azahan Awang. (2017). Bencana Banjir dan Tahap Pengetahuan Penduduk Terhadap Pengurusan Banjir di Serian, Sarawak. Geografia Malaysian Jorunal of Society and Space 13(4). 22-36


‌Zulkifli Yusop & Abdul Hamid Mar Iman Bah Kuning 2014 di Kelantan. (2020). PENERBIT UTM PRESS.

 

 

 

NAMA: RABIATUL AFIQAH BINTI ROSDI

NO MATRIK: D20182085700

KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...