1.0 PENGENALAN
Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat adalah suatu isu yang tidak asing lagi di Malaysia. Pada masa kini di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari berbanding 0.8 kilogram oleh penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Masalah pembuangan sampah di Malaysia adalah semakin serius dan boleh menjadi punca berlakunya masalah keharmonian dan keselesaan manusia jika tidak dibendung dengan kadar yang segera.
Sampah sarap dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak diurus dengan baik. "Sampah sarap boleh ditakrifkan sebagai sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan atau keharmonian kehidupan"(Muhamad Fiqrurazi, 2015). "Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik" (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik merupakan bahan buangan yang dibuang dari rumah seperti botol, kaca, kertas, beg plastik dan sisa-sisa makanan. Manakala, sampah bukan domestik pula adalah bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan dan juga di pejabat yang mana bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa-sisa daripada proses pengilangan. Kebiasaannya, sisa-sisa sampah tersebut akan dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada dengan menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya.
1.1 RINGKASAN KES
Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini masih berlaku di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak sehingga kini, (Rujuk Rajah 1). Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan, terdapat beberapa jenis-jenis longgokan sampah yang sering dibuang di merata-rata tempat di kawasan taman ini yang terdiri daripada bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman dari rumah. Longgokan sampah ini berlaku di simpang-simpang jalan melalui pemerhatian secara kasar. Timbunan longgokan sampah ini turut dibiarkan tanpa dilupuskan. Jika dilupuskan para penduduk akan menggunakan cara yang salah di sisi undang-undang seperti melupuskan dengan cara membakar.
Rajah 1 : Sampah sarap di tepi simpang jalan di Taman Azizul Rahman, 34600 Kamunting, Perak
1.1 LOKASI KAJIAN
Peta 1: Kedudukan Taman Azizul Rahman di Kamunting, 34600 Taiping Perak
2.0 PUNCA MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK.
Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat masih berlaku di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak seperti mana yang dapat dilihat dalam Rajah 1. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak. Antara faktor yang utama ialah kurangnya kesedaran sivik serta kerjasama daripada masyarakat setempat. Hal ini disebabkan oleh penduduk di Taman Azizul Rahman ini tidak peka terhadap isu yang berkaitan dengan pembuangan sampah sarap serta kurangnya ilmu pengetahuan tentang amalan pengurusan sampah sarap yang betul sehingga mendorong mereka untuk membuang sampah sarap di merata-rata tempat tanpa menghiraukan kesan terhadap kawasan persekitarannya walaupun sudah terdapat papan tanda amaran yang telah diletakkan di kawasan tersebut (Rujuk rajah 2). Hal ini membuktikan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar masih berada pada tahap yang rendah. Jika masalah ini terus berlanjutan, pastinya akan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar terutamanya akan berlaku longgokan sampah akibat daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal mereka dengan baik (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh hal yang demikian, pencemaran alam sekitar yang lebih serius akan berlaku sekiranya masyarakat setempat tidak mengambil inisiatif dalam membendung masalah pembuangan sampah ini.
Rajah 2 : Papan tanda amaran yang telah diletakkan di kawasan pembuangan sampah
Selain itu, pengutipan sampah yang tidak teratur oleh pihak PBT juga merupakan salah satu punca yang berlakunya masalah pembuangan sampah di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak. Penduduk di taman ini akan mengumpul dan meletakkan sampah yang ingin dibuang di dalam tong sampah di hadapan rumah untuk dikutip oleh pihak PBT mengikut tarikh yang telah ditetapkan iaitu pada hari Isnin, Rabu Dan Jumaat. Namun begitu, pengurusan masa yang telah ditetapkan masih tidak diuruskan dengan baik oleh pihak PBT. Hal ini akan menyebabkan penghasilan sampah akan bertambah dan akan mengundang kepada pencemaran alam sekitar di mana keadaan ini akan menyebabkan penduduk mengambil inisiatif dengan membuang sampah yang masih tidak dikutip oleh pihak PBT di kawasan pembuangan sampah haram yang mempunyai tanda amaran dan penduduk juga akan melakukan aktiviti pembakaran untuk melupuskan sampah tersebut (Rajah 3). Oleh hal yang demikian, akan berlakunya pencemaran udara berpunca daripada aktiviti-aktiviti pembakaran yang menggalakkan pembebasan bahan-bahan seperti karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain.
Rajah 3 : Pembakaran sampah secara terbuka
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menyebabkan isu pembuangan sampah ini tidak berkesudahan, malah semakin menjadi-jadi. Hal ini kerana peranan pihak berkuasa dilihat semakin merosot dan pemantauan yang tidak konsisten telah menyebabkan lahirnya penduduk yang tidak mempedulikan atau mengendahkan tentang isu ini. Walaupun kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu mengandungi peruntukan untuk mencegah, menghapus, mengawal serta memperbaiki kualiti alam sekitar, namun jika melakukan kerja secara sambil lewa akan menyebabkan masalah pembuangan sampah ini juga tidak dapat dibendung seperti terjadinya masalah pembuangan sampah di tepi jalan sekitar Taman Azizul Rahman (Rujuk Rajah 4). Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlulah dilaksanakan agar masalah pembuangan sampah ini dapat dikurangkan serta dapat membuka mata penduduk untuk menjaga alam sekitar.
Rajah 4 : Pembuangan sampah di tepi jalan sekitar Taman Azizul Rahman
Faktor yang keempat ialah PBT tidak menyediakan tong sampah dalam kawasan Taman Azizul Rahman seperti mana telah disediakan di Taman sebelah. Hal ini menyebabkan penduduk di taman ini membuang sampah di kawasan larangan jika sampah tersebut tidak dikutip oleh PBT pada hari yang telah ditetapkan. Namun begitu, sekiranya PBT menyediakan tong sampah dalam kawasan taman ini, perkara ini memudahkan penduduk setempat untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Terdapat juga penduduk Taman Azizul Rahman yang mengambil inisiatif dengan membuang sampah di tong sampah yang telah disediakan oleh PBT di Taman sebelah. Hal ini menyebabkan timbunan sampah di kawasan tersebut semakin meningkat dan akan menyebabkan kemarahan penduduk di kawasan tersebut (Rajah 5). Oleh itu, jika pihak PBT menyediakan tong sampah yang bersesuaian untuk setiap kawasan di Taman perumahan, pencemaran alam sekitar dapat diatasi.
Rajah 5: Timbunan sampah sarap di kawasan pembuangan sampah
3.0 KESAN MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK.
Masalah pembuangan sampah sarap yang tidak sistematik dan tidak diurus dengan baik akan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga manusia. Oleh itu, kesan-kesan masalah pembuangan sampah sarap di Taman Azizul Rahman ini antaranya adalah akan menjejaskan kesihatan penduduk sekeliling. Hal ini kerana pengurusan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik akan menarik perhatian vektor-vektor pembawa penyakit seperti nyamuk aedes, tikus dan lipas untuk membiak di kawasan yang tercemar tersebut. Malah haiwan-haiwan liar seperti anjing, monyet dan khinzir juga akan menjejaskan tahap kebersihan di taman ini. Tambahan pula, longgokan sampah sarap yang dibiarkan dalam tempoh yang lama juga akan mengakibatkan jumlah haiwan dan serangga meningkat. Perbuatan membuang sampah sembarangan bukan sahaja akan mencemarkan pemandangan dan menghasilkan bau busuk malah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk aedes, lalat serta tikus sekali gus membahayakan kesihatan dan nyawa penduduk setempat (Utusan Borneo, 2017). Kesannya, persekitaran fizikal akan menjadi tidak sihat bukan sahaja dari pandangan luar, malah mewujudkan kesan sampingan lain seperti mendatangkan penyakit dan juga mengganggu kesihatan manusia seperti demam denggi, kencing tikus dan keracunan makanan yang boleh membawa maut.
Rajah 6 : Sampah sarap berselerakan di sekitar tong sampah
Kesan yang kedua ialah berlakunya pencemaran bau. Pencemaran bau merupakan satu kacau-ganggu yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keadaan yang tidak selesa, memudaratkan dan kejatuhan nilai harta tanah (Zaini Sakawi, 2018). Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di Taman Azizul Rahman,, pencemaran bau ini berlaku disebabkan adanya lambakan sampah yang tidak terurus dengan baik di kawasan taman ini. Kebiasaannya, bau yang busuk ini berpunca daripada sisa-sisa makanan dan sampah sarap yang dibuang di merata tempat oleh penduduk taman ini. Sememangnya kegiatan tersebut telah menyebabkan laluan dan jalan ke kawasan kediaman ini dicemari dengan bau yang sangat busuk dan tidak menyenangkan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk sekitar. Hal ini disebabkan tapak pembuangan sampah secara haram tersebut berdekatan dengan kawasan perumahan dan perkara ini akan menimbulkan ketidakselesaan kepada penghuni rumah tersebut. Penduduk taman juga telah mengambil langkah iaitu telah meletakkan papan amaran pembuangan sampah namun penduduk sekitar taman tersebut tetap melakukan perkara dan kesalahan yang sama iaitu dengan membuang sampah sarap secara berleluasa di kawasan semak samun dan bahu jalan.
Kesan yang terakhir adalah berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku di sekitar kawasan sekitar Taman Azizul Rahman kerana penduduk taman telah mengambil inisiatif untuk melupuskan lambakan sampah sarap yang bertimbun dengan cara membakar sampah sarap secara terbuka hampir setiap hari pada waktu petang. Pembakaran sampah sarap ini sudah pasti akan menyebabkan udara tercemar dengan asap yang dibebaskan dari tempat pembakaran sampah. Bukan itu sahaja, aktiviti-aktiviti pembakaran sampah sarap secara terbuka ini menggalakkan pembebasan bahan-bahan seperti karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain. Menurut Fazrul Sulaiman (2015), pembakaran bahan api fosil telah menyebabkan masalah pencemaran ini menjadi lebih serius. Pembakaran terbuka merupakan penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi. Oleh itu, jelaslah bahawa kesan lambakan sampah sarap ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara.
4.0 CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK
Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah sarap di tempat pembuangan sampah secara haram di Taman Azizul Rahman adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menyediakan tong sampah di setiap taman di kawasan kediaman ini. Masalah penyediaan infrastruktur seperti tong sampah(RORO) dalam pengurusan sisa pepejal merupakan perkara yang amat penting untuk diberi perhatian. Hal ini demikian kerana, apabila infrastruktur tong sampah dalam pengurusan sisa pepejal dapat disediakan dengan baik oleh pihak-pihak tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan atau kontraktor pembersihan sampah yang dilantik, maka perkara ini akan menggalakkan lagi masyarakat untuk mengurus sisa pepejal yang dijana dengan lebih teratur dan sistematik (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu, apabila PBT menyediakan tong sampah di setiap kawasan kediaman di Taman Azizul Rahman, sudah pasti masalah pembuangan sampah sarap ini dapat diatasi dengan jayanya. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk Taman Azizul Rahman tidak perlu lagi bersusah payah untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah di taman sebelah kerana mereka sudah diberikan kemudahan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan taman mereka sendiri. Malah, aktiviti pembuangan sampah secara haram juga dapat diatasi dan dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan lambakan sampah di sesuatu tempat, seperti di semak samun dan juga di kawasan bahu jalan.
Langkah yang seterusnya dalam mengatasi isu ini adalah dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang ini boleh dilaksanakan melalui PBT, di mana PBT boleh mengenakan tindakan undang-undang seperti denda dan juga penjara kepada mana-mana penduduk taman yang masih lagi berdegil untuk membuang sampah sarap di merata tempat. Hukuman seperti ini sudah pasti akan memberikan pengajaran kepada semua penduduk Taman Azizul Rahman supaya tidak lagi membuang sampah sarap sewenang-wenangnya mengikut kehendak mereka. Malah, pihak PBT juga boleh melakukan pemantauan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu di kawasan Taman Azizul Rahman bagi mengawasi aktiviti-aktiviti pembuangan sampah secara haram oleh penduduk taman tersebut. Dengan penglibatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan ini, maka aspek alam sekitar di negara ini akan lebih teratur dan terjaga kerana pemantauan yang ketat dapat dilakukan oleh mereka (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu jelaslah bahawa tindakan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dilihat dapat mengatasi masalah pembuangan sampah sarap di Taman Azizul Rahman.
Akhir sekali, kempen cintai alam sekitar juga boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen cintai alam sekitar secara besar-besaran melalui media cetak, media elektronik, bengkel pemahaman dan penghayatan alam sekitar, ceramah serta seminar. Dengan adanya kempen ini, ia dapat memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada penduduk Taman Azizul Rahman tentang betapa pentingnya pengurusan sampah yang sistematik dalam kehidupan harian. Melalui kempen ini juga, mereka akan didedahkan tentang denda dan hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka apabila mereka mengamalkan sikap suka membuang sampah di merata tempat. Selain itu, menerusi kempen ini juga mereka turut didedahkan dengan kesan buruk pembuangan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram terhadap alam sekitar dan juga kesihatan manusia. Dalam usaha memulihara alam sekitar, masyarakat seharusnya bergerak bersama dan seiring dengan pihak kerajaan dengan menyertai setiap program pemuliharaan alam sekitar yang dianjurkan sama ada memberi sokongan, bantuan dan yang paling penting turut menjaga keharmonian alam sekitar dengan tidak melakukan pencemaran (Haliza Abdul Rahman, 2009).
Kesimpulannya, isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini adalah isu yang tiada pengakhiran, malah berlaku secara berterusan dalam kehidupan. Isu pembuangan sampah sarap ini boleh mengancam kehidupan manusia dan haiwan serta menjejaskan kesejahteraan alam sekitar jika dibiarkan tanpa adanya kerjasama dari semua pihak. Isu ini tidak dapat dibendung secara drastik, namun pihak yang bertanggungjawab perlulah sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah di merata-rata tempat ini. Oleh itu, penduduk di Taman Azizul Rahman ini haruslah sentiasa peka dan prihatin terhadap isu pembuangan sampah dan perlulah memberikan kerjasama antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama. Tambahan pula, penjagaan alam sekitar adalah sangat penting kerana ia merupakan aset penting kepada kesejahteraan hidup manusia di muka bumi ini.
Rujukan
Abd. Jalil, Musfirah (2017) Persepsi penduduk terhadap kutipan sisa pepejal di kawasan luar bandar. Masters thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Faculty of Geoinformation and real estate.
Sulaiman, Fazrul. (2015). Atmosfera Bumi dan Tindakbalas Kimia Pencemaran Udara. Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Pahang, 26400 Bandar Tun Abdul Razak Jengka Pahang Darul Makmur
Mamat, Mohamad & Mohd Najib, Sumayyah. (2020). Pendidikan Amalan Kitar Semula Sisa Pepejal kepada Masyarakat. Jurnal Geografi. 8. 43-69. 10.37134/Geografi.Vol8.1.3.2020.
Mohd Hariri Ariffin & Nur Shahazira Izzati Shahaziran. (2021). Kaedah terbaik lupus sampah. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/06 /715955/kaedah-terbaik-lupus sampah.
Khairunnisa Kasnoon. (2021). Tahap kesedaran rendah punca isu sampah plastik tidak terurus terus meruncing. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/ berita-malaysia/tahap-kesedaran-rendah- punca- isu-sampah-plastik-tidak-terurus-terus-meruncing-288008.
Muhamad Fiqrurazi. (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Fakulti Geo informasi Dan Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia
Ridwan Lubis (1994). Peningkatan Peranan Serta Masyarakat dalam Mensukseskan Program Medan Bestari. Ucapan Sarasehan Hari Lingkungan Hidup Sedunia, Medan. 25 Julai.
Zaini Sakawi. (2018). Pencemaran Bau di Malaysia: Keperluan bagi Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Peraturan-Peraturan Pencemaran Kualiti Udara). Malaysian Journal of Society and Space 14(4), 158-173. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/13260/1/28568-89102-1-PB.pdf
Haliza Abdul Rahman. (2009). Penglibatan Masyarakat Awam di Malaysia dalam Isu Berkaitan Persekitaran. Jurnal Sarjana, 24(2), 49-65. Diperoleh daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/SARJANA/article/view/10366/7374.
NAMA : NIK JASMIN NURINA BINTI AHMAD NORGIBUL RAHMAN
NO MATRIK : D20182085716
KUMPULAN : A
No comments:
Post a Comment