Wednesday, June 1, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU PENGEMIS JALANAN DI SEKITAR BANDAR TAWAU

1.0 PENGENALAN

Tawau merupakan nama sebuah daerah dan bandar yang terletak di Negeri Sabah.  Asal usul perkataan 'Tawau' sebenarnya diperoleh daripada beberapa bahasa kelompok etnik yang mendiami Tawau pada masa itu. Jika merujuk kepada bahasa suku kaum Suluk, perkataan Tawau diperoleh dari nama seekor burung 'Tuwau'. Sekiranya berpandukan kepada suku kaum Bugis, makna perkataan Tawau membawa maksud 'Tawa ku' iaitu bahagianku. Perkara ini adalah sesuai dengan tujuan asal kedatangan suku kaum Bugis ke Tawau iaitu ingin memiliki hak bahagian mereka. Menurut OKK Sulaiman Abdullah, beliau menjelaskan bahawa 'Tawau' atau 'menawau' merujuk kepada pancing yang digunakan dalam kegiatan menangkap ikan (Suraya Sintang, 2005).

Rajah 1 menunjukkan peta daerah Tawau yang meliputi kawasan seluas 6,125 km persegi atau 612,506 hektar. Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di selatan serta dikelilingi oleh Laut Sulu di timur, dan Laut Sulawesi di selatan. Tawau kini merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km. Tawau secara ringkas mendapat gelaran sebagai 'Bumi Peladang' kerana sebahagian besar bentuk muka buminya dikelilingi oleh kawasan perladangan seperti kelapa sawit (Bakri Amboala, 2013). Tawau pada hari ini dilihat berkembang dengan sangat pesat dan maju terutamanya di kawasan pusat Bandar Tawau. Namun demikian, masih terdapat isu-isu berkaitan penduduk yang sering kali timbul di sekitar Bandar Tawau salah satunya ialah isu pengemis jalanan. Isu berkaitan dengan pengemis jalanan di Bandar Tawau akan dibincangkan dengan lebih mendalam di bahagian yang seterusnya.

Rajah 1. Peta Daerah Tawau

 

2.0 RINGKASAN KES – ISU PENGEMIS JALANAN DI SEKITAR BANDAR TAWAU

            Isu pengemis jalanan bukan merupakan satu isu yang baharu di Tawau dan perkara ini sering kali menjadi topik bualan hangat dalam kalangan masyarakat Tawau. Rajah 2 menunjukkan kelibat pengemis jalanan yang berada di sekitar Bandar Tawau dan terdiri daripada pelbagai lapisan umur dari kanak-kanak sehingga dewasa dan warga emas. Kebanyakan dari mereka ini adalah dari keluarga yang sama lalu dipisahkan di merata tempat untuk mengemis dan mengaut pendapatan yang lebih banyak. Mereka berkeliaran di sekitar Bandar Tawau dengan berpakaian lusuh dan kotor serta membawa cawan pakai buang untuk menyimpan duit. Antara lokasi yang sering menjadi perhatian atau 'Hot Spot' bagi golongan pengemis jalanan di Tawau untuk mengemis ialah di Jalan Masjid Al-Kauthar, Taman Traulsen, dan di hadapan bank-bank. Pengemis jalanan ini lazimnya terdiri daripada kalangan gelandangan itu sendiri yang berstatus 'palauh' dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah (Laman Web Buletin Semasa Sabah, t.t) atau dikenali sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Golongan ini juga membina tempat tinggal iaitu pondok-pondok kecil sesuka hati secara haram di kawasan pinggir laut, bawah pokok atau bangunan-bangunan kosong di sekitar Bandar Tawau.

Rajah 2. Pengemis jalanan di Bandar Tawau

 

3.0 PUNCA KEWUJUDAN PENGEMIS JALANAN DI BANDAR TAWAU

3.1 Kedatangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Kebanjiran kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dilihat menjadi penyumbang terbesar terhadap punca kewujudan pengemis jalanan di Bandar Tawau. Kedudukan Tawau yang berjiran dengan negara-negara seperti Filipina memudahkan lagi kemasukan PATI dari negara tersebut ke Bandar Tawau. Tinjauan mendapati bahawa majoriti pengemis jalanan yang terdapat di Bandar Tawau adalah berasal dari negara Filipina. Buktinya, pada 18 April 2019, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cawangan Tawau menerusi Operasi Bersepadu telah berjaya menahan 45 individu disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pengemis jalanan warga Filipina di sekitar Bandar Tawau (Laman Web Sabah Post, 2019) seperti yang ditunjukkan dalam rajah 3. Kewujudan 'jalan-jalan tikus' yang banyak dihubungkan dengan Daerah Tawau memudahkan lagi kemasukan PATI ke bandar ini. Kelicikan PATI dalam menggunakan 'jalan-jalan tikus' untuk sampai ke Tawau telah menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kehadiran mereka.

Rajah 3. PATI dan pengemis jalanan yang berjaya ditahan di Bandar Tawau

 

3.2 Keinginan Mendapatkan Duit dengan Mudah

Dalam dunia pekerjaan pada hari ini, untuk mendapatkan satu pekerjaan bukanlah satu perkara yang mudah kerana persaingan yang cukup tinggi. Dengan erti kata yang lain permintaan kerja lebih banyak berbanding dengan yang ada ditawarkan terutamanya di Bandar Tawau. Kebanyakan pekerjaan pada hari ini memerlukan individu dengan pengalaman dan tahap pendidikan yang tinggi agar dapat bersaing dan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan. Ada pun pekerjaan yang ditawarkan tidak menawarkan gaji yang setimpal dengan pekerjaan yang perlu dilakukan dan masa bekerja. Oleh yang demikian, satu-satunya jalan mudah yang tinggal untuk mereka mendapatkan duit ialah dengan mengemis. Tidak dinafikan bahawa ada yang bertekad untuk menjadi pengemis jalanan tanpa menghiraukan harga diri dan perasaan malu demi mendapatkan pendapatan yang lumayan tanpa perlu melakukan kerja-kerja berat. Keadaan yang berterusan menyebabkan pengemis ini menganggap mengemis sebagai satu aktiviti pekerjaan yang menguntungkan dan lama-kelamaan mereka menjadi taasub.

3.3 Sikap Masyarakat yang Terlalu Pemurah

Masyarakat Tawau dikenali dengan sikapnya yang baik, ramah, dan pemurah hati. Keadaan ini lah yang telah membuka ruang dan peluang kepada pengemis-pengemis jalanan ini bergiat aktif di sekitar Bandar Tawau. Pengemis jalanan akan menagih simpati masyarakat di Bandar Tawau dengan menggunakan anak-anak kecil untuk mengemis atau menggunakan kekurangan diri seperti kecacatan anggota tubuh badan. Dengan ini masyarakat di sekitar Bandar Tawau akan merasa kasihan dengan pengemis-pengemis jalanan ini lalu memberikan mereka duit. Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Roslan Baba berkata, sikap masyarakat yang pemurah dan suka memberi, membuka ruang kepada pengemis menyebabkan kehadiran mereka diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan (Laman Web Malaysia Kini, 2016).

3.4 Kemiskinan

            Faktor kemiskinan dan keadaan ekonomi isi rumah yang mendesak juga mempengaruhi terjadinya perilaku seseorang yang berhujung menjadi peminta-minta atau mengemis. Kemiskinan boleh merujuk kepada kekurangan pendapatan untuk membeli keperluan asas, tingkat pendidikan yang rendah, tidak memiliki harta benda, tidak sihat tubuh badan (kurang upaya), kekurangan makanan dan pakaian, tidak mempunyai tempat tinggal, dan sebagainya yang dapat menjamin kelangsungan hidup mereka (Norzita Jamil & Siti Hadijah Che Mat, 2014). Kesukaran hidup ditambah dengan ketiadaan pekerjaan mendorong seseorang untuk menjadi pengemis jalanan dalam keadaan terpaksa kerana sudah tiada pilihan lain yang boleh dilakukan. Golongan ini mengemis bukan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih banyak tetapi sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contohnya, golongan gelandangan di sekitar Bandar Tawau yang hidup dalam kemiskinan tidak mempunyai tempat tinggal dan keperluan asas seperti makanan telah mendorong mereka menjadi pengemis jalanan.

 

4.0 MASALAH YANG TIMBUL

4.1 Mengganggu Ketenteraman Masyarakat

Kewujudan pengemis-pengemis jalanan telah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat di sekitar Bandar Tawau. Mereka sering kali datang mengganggu dengan meminta-minta ketika orang awam sedang bersantai, makan, atau melakukan aktiviti-aktiviti tertentu. Misalnya, pengemis ini akan datang menyerbu orang awam yang sedang bersantai di sekitar Taman Traulsen, Tawau atau keluar dari bank lalu meminta duit mereka. Kadang kala pengemis ini datang secara beramai-ramai terutamanya pengemis kanak-kanak dengan tingkah laku yang kurang sopan seperti memaksa dan merampas. Biasanya mereka akan kekal berdiri di samping orang awam dan menunggu sehingga mereka diberikan duit. Ada kalanya sesetengah dari pengemis jalanan ini bertindak agresif dengan menggores kereta dan meludah tangan orang awam apabila tidak diberikan duit (Laman Web Astro Awani, 2021). Keadaan ini menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan orang awam di sekitar Bandar Tawau sekali gus menggugat kesejahteraan masyarakat sekitar.

4.2 Membahayakan Pengguna Jalan Raya

Rajah 4 menunjukkan tindakan pengemis-pengemis jalanan di Bandar Tawau yang juga melakukan aktiviti mengemis di atas jalan raya. Contohnya, situasi yang berlaku di Jalan Masjid Al-kauthar, Tawau. Jalan Masjid Al-kauthar tepatnya di Dunlop Street merupakan jalan yang sibuk dengan kehadiran kenderaan terutamanya pada waktu kemuncak menyebabkan sering berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut. Situasi seperti ini menjadi peluang keemasan bagi pengemis-pengemis jalanan ini untuk meminta-minta di setiap kenderaan yang ada di situ. Tindakan mereka yang berlegar-legar di atas jalan raya, dan mengetuk tingkap kenderaan sambil mendukung anak kecil bagi meraih simpati untuk mendapatkan duit adalah sangat berbahaya. Hal ini kerana, ianya akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan yang mungkin melibatkan kenderaan-kenderaan di atas jalan raya dan pengemis jalanan itu sendiri. Masalah ini amat membimbangkan kerana melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.

Rajah 4. Pengemis jalanan berlegar di atas jalan raya

 

4.3 Mencemarkan Imej Bandar Tawau

            Kewujudan pengemis jalanan di sekitar Bandar Tawau telah mencemarkan imej bandar ini di mata orang luar. Hal ini kerana, kewujudan pengemis jalanan akan memberi satu tanggapan kepada orang luar bahawa rakyat di bandar ini terlalu miskin sehingga sanggup mengemis di tepi jalan, walaupun hakikatnya mereka bukan warga tempatan. Kehadiran pengemis-pengemis jalanan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti Taman Traulsen, Tawau menyebabkan pengunjung tidak selesa. Keadaan ini akan memberi impak buruk kepada imej negara yang akan dibawa keluar oleh pengunjung-pengunjung tersebut. Imej bandar adalah amat penting untuk memberikan satu gambaran kepada orang luar agar mereka tertarik untuk datang melawat. Oleh itu, apabila imej bandar telah tercemar dengan perkara-perkara seperti ini secara tidak langsung ianya akan menjejaskan aktiviti pelancongan di Bandar Tawau. Dalam masa yang sama, perkara ini juga akan menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) kerana akan memberikan pandangan negatif bahawa kerajaan tidak prihatin dengan masalah sosial di bandar Tawau.

 

5.0 CADANGAN PENYELESAIAN

5.1 Peranan Pihak Berkuasa

            Pihak-pihak yang berkuasa seperti Polis, Imigresen, dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras isu ini dengan sebaik mungkin. Laporan-laporan yang diterima dari orang awam rentetan daripada isu ini perlulah disusuli dengan tindakan yang pantas dan proaktif. Pihak-pihak yang berkuasa tidak seharusnya hanya membiarkan isu ini terus berlaku atau melengah-lengahkan masa seolah-olah melepas tangan dari perkara ini. Dalam pada itu, Operasi Bersepadu perlu lebih giat dijalankan dengan skala operasi yang lebih meluas. Hal ini kerana, golongan pengemis ini sangat licik dan bijak dalam bersembunyi dan melarikan diri dari pihak berkuasa. Dengan ini, kumpulan pengemis-pengemis jalanan di sekitar Bandar Tawau dapat ditahan dengan lebih cepat sekali gus mengurangkan aktiviti mengemis di bandar ini. Di samping itu, kawasan sempadan perlulah dikawal dengan ketat agar dapat mengurangkan kemasukan PATI yang berpotensi untuk menjadi pengemis jalanan di Bandar Tawau. Penguasaan undang-undang juga perlulah diperketat kan agar golongan pengemis jalanan ini mendapat hukuman yang setimpal. Pihak berkuasa juga hendaklah melakukan siasatan yang lebih teliti terhadap isu pengemis jalanan di Bandar Tawau kerana dirisaukan ada unsur sindiket di sebalik semua ini.

Rajah 5. Majlis Perbandaran Tawau (MPT)

 

5.2 Peranan Orang Awam

            Peranan orang awam juga sangat penting dalam menangani isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Antara peranan yang dapat dilakukan oleh orang awam ialah dengan melaporkan aktiviti-aktiviti pengemis jalanan dan lokasi keberadaan mereka kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang selanjutnya. Dalam masa yang sama, orang awam juga tidak seharusnya memberikan muka kepada golongan pengemis ini dengan mudah-mudah memberikan mereka duit. Sikap suka memberi memang merupakan satu amalan yang murni tetapi ianya seolah-olah memberikan galakan kepada pengemis-pengemis ini untuk terus melakukan aktiviti mengemis. Oleh itu, orang awam perlulah mengabaikan tindakan pengemis jalanan ketika meminta-minta dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Orang awam juga dinasihatkan supaya menyalurkan sedekah melalui cara yang betul seperti Program Tanggungjawab Sosial atau Tabung Khas yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (Laman Web Mstar, 2014).

5.3 Peranan Badan Swasta / NGO

            Selain daripada pihak berkuasa dan orang awam, badan-badan swasta atau NGO juga dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Badan swasta atau NGO boleh membantu dalam menyediakan kemudahan kepada gelandangan yang ada di Tawau agar mereka tidak bertindak menjadi pengemis jalanan. Contohnya, menubuhkan penempatan khas untuk golongan gelandangan dengan menyediakan kemudahan asas seperti makanan, pakaian, dan perubatan. Pihak NGO juga boleh membantu dengan memberi mereka kemahiran supaya dapat berdikari dan boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

 

6.0 KESIMPULAN

            Kesimpulannya, isu pengemis jalanan di Bandar Tawau merupakan satu isu yang sangat serius. Walaupun isu ini telah lama berlaku di Bandar Tawau tetapi masih belum ada sebarang perubahan positif yang dapat dilihat dengan ketara. Sebaliknya, jumlah pengemis jalanan di Bandar Tawau dilihat semakin bertambah. Perkara ini amat membimbangkan sekiranya ia dibiarkan berterusan berlaku kerana pengemis jalanan membawa pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan imej Bandar Tawau sendiri. Semua pihak seperti pihak berkuasa, orang awam, dan badan swasta/NGO perlulah berganding bahu dan bersama-sama menggembleng tenaga dalam melaksanakan langkah yang proaktif dan efisien untuk mengatasi isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing agar isu ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

 

 

RUJUKAN

Bakri Amboala. (2013). Politik Islam di Sabah: Analisis Perkembangan Parti Islam SeMalaysia    di Daerah Tawau (Master thesis). Universiti Malaya. Diperoleh daripada http://studentsrepo.um.edu.my/5380/

Laman Web Sabah Post. (2019, April 19). 25 Kanak-kanak antara 45 pengemis jalanan dan        PATI ditahan imigresen Tawau. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada   https://www.sabahpost.net/2019/04/19/25-kanak-kanak-antara-45-pengemis-jalanan-dan-       pati-ditahan-imigresen-tawau/

Laman Web Malaysia Kini. (2016, Oktober 18). Pengemis ramai disebabkan oleh sikap   pemurah rakyat malaysia. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada https://www.malaysiakini.com/news/359429

Laman Web Astro Awani. (2021, Mac 25). Komuniti | Pengemis jalanan sanggup meludah,          gores kereta. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada https://www.astroawani.com/video-           malaysia/komuniti-pengemis-jalanan-sanggup-meludah-gores-kereta-1896822

Laman Web Buletin Semasa Sabah. (t.t). Kebanyakan gelandangan dan pengemis di Sabah       adalah rakyat asing. Diperoleh pada 2022, Mei 21, daripada             https://buletinsemasasabah.blogspot.com/2014/10/kebanyakan-gelandangan-pengemis-di.html

Laman Web Mstar. (2014, Julai 3). KPWKM, DBKL bincang langkah atasi masalah peminta        sedekah. Diperoleh pada 2022, Mei 22, daripada         https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2014/07/03/kpwkm-dbkl-bincang

Norzita Jamil & Siti Hadijah Che Mat. (2014). Realiti Kemiskinan: Satu Kajian Teoritikal. Jurnal    Ekonomi Malaysia, 48(1), 167-177. Diperoleh daripada             https://www.researchgate.net/publication/284576612_Realiti_Kemiskinan_Satu_Kajian_Teo         ritikal

Suraya Sintang. (2005). Punca Penghijrahan Orang Bugis ke Tawau, Sabah. Jurnal Peradaban Melayu, 3, 83-100. Diperoleh daripada    https://ojs.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/3383

 

NAMA: IZAL BIN BAHARUDDIN

NO. MATRIK: D20201094318

KUMPULAN: A

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...