Saturday, June 11, 2022

ISU PEMBUANGAN NAJIS KHINZIR KE DALAM SUNGAI DI KAMPUNG SELAMAT (PULAU PINANG)

 

 

Sent from Mail for Windows

ISU PEMBUANGAN NAJIS KHINZIR KE DALAM SUNGAI DI KAMPUNG SELAMAT (PULAU PINANG)

 

RINGKASAN KES

Isu pembuangan najis khinzir di Kampung Selamat, Tasek Gelugor (Pulau Pinang) merupakan satu masalah yang telah berlaku sejak empat puluh tahun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Keadaan ini dapat dilihat apabila penduduk di sekitar kampung ini hidup dalam suasana yang tidak menyenangkan disebabkan bau najis yang sangat kuat terutamanya ketika waktu malam dan selepas hujan. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila terdapat penduduk yang mengalami gejala gatal-gatal badan dan sesak nafas akibat terhidu bau busuk tersebut. Terdapat juga penyakit berbahaya yang pernah dijangkiti oleh seorang murid darjah enam di Kampung Selamat pada tahun 2014 akibat gigitan nyamuk yang membawa virus JE (Japanese Encephalitis) dan ianya berpunca daripada ternakan khinzir. Penduduk yang tinggal bersebelahan dengan kampung ini juga turut menerima tempias apabila terpaksa menghidu bau busuk tersebut pada waktu-waktu tertentu seperti malam walaupun baunya tidak kuat. Ekoran daripada permasalahan tersebut, air sungai bertukar menjadi warna hitam dan mengeluarkan bau yang sangat busuk disebabkan ia bercampur dengan sisa-sisa buangan dari industri.

 

PUNCA

Masalah pencemaran bau dan pencemaran sungai yang berlaku di Kampung Selamat adalah berpunca daripada sikap penternak khinzir yang suka membuang najis haiwan tersebut ke dalam sungai yang berdekatan. Menurut Mohd Syalmizi Hamid (2021), laporan analisis makmal telah menunjukkan bahawa punca utama pencemaran Sungai Kereh adalah disebabkan aktiviti penternakan khinzir di Kampung Selamat. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat berpuluh-puluh kandang khinzir yang terdapat di sekitar kawasan Kampung Selamat. Menurut Zuhainy Zulkiffli (2021), terdapat 77 kandang yang menternak 135,000 ekor khinzir di kawasan penternakan di Tingkat Selamat 1 hingga 11 sudah beroperasi sejak tahun 1980-an. Walaupun banyak laporan telah dilakukan berhubung isu ini dan terdapat tindakan yang diambil, tetapi tiada sebarang jalan penyelesaian terbaik yang dijumpai sehingga ke hari ini bagi membanteras isu tersebut. Oleh itu, keadaan ini mungkin akan berlarutan jika semua pihak berwajib tidak memandang serius terhadap permasalahan ini. Tambahan pula, terdapat pembinaan kawasan perumahan baharu di Kubang Menerong yang bersebelahan dengan Kampung Selamat. Jadi, penduduk baharu yang bakal menetap di sekitar kawasan perumahan tersebut mungkin akan mengalami situasi yang sama nanti jika masalah ini tidak dibanteras.

Walau bagaimanapun, terdapat juga punca lain yang mengakibatkan pencemaran air sungai tersebut iaitu disebabkan sisa-sisa buangan dari industri (Bernama, 2020). Hal ini dikatakan demikian kerana Kampung Selamat mempunyai banyak kawasan perkilangan di sekitarnya seperti kilang plastik, kilang pemprosesan makanan dan sebagainya. Keadaan ini telah menyebabkan beberapa sungai yang lain turut terjejas. Jika dilihat daripada beberapa laporan yang dibuat, sungai-sungai yang turut tercemar adalah Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Parit Malakof, Sungai Lubuk Meriam dan sebagainya yang agak membimbangkan (Bernama, 2020). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa punca utama masalah pencemaran sungai adalah disebabkan najis khinzir termasuklah pembuangan sisa-sisa industri ke dalam sungai. Keadaan ini mungkin menjadi lagi teruk jika Kampung Selamat diwartakan sebagai pusat industri penternakan khinzir terbesar di Pulau Pinang.

 

MASALAH

Masalah pembuangan najis khinzir di Kampung Selamat ke dalam sungai berlaku disebabkan para pengusaha mengaku bahawa mereka mempunyai masalah kewangan untuk membina sistem ladang tertutup yang dilengkapi sistem pengurusan kumbahan secara moden. Akibatnya, berlaku pencemaran sungai dan pencemaran bau yang sangat kuat dan telah menimbulkan gangguan kepada masyarakat setempat. Keadaan ini juga telah menyebabkan berlakunya penularan wabak penyakit seperti gejala gatal-gatal badan dan sesak nafas. Difahamkan bahawa kira-kira 1,000 orang penduduk di beberapa buah kampung berhampiran turut terjejas berikutan masalah sama yang dihadapi, bahkan penduduk juga sudah lali setiap kali mengajukan permasalahan ini kepada pihak berwajib. Buktinya, tiada sebarang jalan penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan sehingga ke hari ini atas faktor-faktor tertentu walaupun terdapat pelbagai langkah yang ditemui.

Oleh itu, dapat dilihat di sini bahawa keadaan sungai menjadi lebih teruk apabila warna air berubah menjadi hitam dan mengeluarkan bau busuk kuat yang tidak menyenangkan disebabkan air tersebut bercampur dengan sisa-sisa kilang. Tambahan juga, masalah ini menyebabkan kegiatan pertanian terjejas di mana seperti yang kita ketahui, pesawah dikehendaki mencapai sasaran kira-kira 10 tan untuk bendang seluas satu hektar pada satu-satu musim mengikut rancangan Pertubuhan Peladang. Sejak masalah ini berlarutan dan umpama tiada penghujungnya, hasil tanaman padi telah menjunam sehingga 5 tan kerana padi rosak. Oleh itu, pencemaran tersebut menjadikan air bersih yang diperlukan untuk mengairi sawah-sawah padi menjadi semakin terhad.

 

Rajah 1: Foto Pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor (Pulau Pinang)

Sumber: Kosmo (2021)

 

Rajah 2: Foto Pencemaran Sungai Kereh, Tasek Gelugor (Pulau Pinang)

Sumber: Utusan Malaysia (2021)

 

 

CADANGAN PENYELESAIAN

Menurut Nur Izzati Mohamad (2020), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengusulkan cadangan untuk memberhentikan operasi penternakan ladang khinzir sehingga penternak bekerjasama untuk melaksanakan sistem pelepasan sifar (zero discharged). Tujuannya adalah untuk menangani masalah penderitaan penduduk sekitar kawasan tersebut yang sudah menderita sejak 40 tahun lalu ekoran masalah najis khinzir. Dalam melaksanakan konsep (zero discharged) ini, pelepasan efluen ternakan ke dalam air sungai tidak berlaku di mana air buangan yang telah diproses akan dikitar semula bagi kegunaan ladang seperti membasuh kandang dan sebagainya (Jabatan Alam Sekitar, 2014). Akan tetapi, jika pelepasan sisa terpaksa dilakukan maka ia perlu mematuhi had pelepasan yang ditetapkan. Dengan itu, cara terbaik yang boleh diambil adalah menghentikan operasi penternakan ini sehingga penternak memberi kerjasama untuk melakukan sistem pelepasan sifar buangan dengan tidak melepaskan najis secara langsung ke dalam sungai. Buktinya, bukan satu sahaja sungai yang tercemar malah terdapat beberapa batang sungai lain yang turut dikesan mengalami masalah yang sama sehingga ke hari ini.

Disebabkan tiada sistem rawatan kumbahan yang sistematik, maka najis khinzir telah disalurkan secara langsung ke dalam Sungai Kereh. Oleh itu, semua pemilik ladang ternakan khinzir perlulah menaik taraf ladang mereka kepada ladang tertutup serta memastikan ladang memiliki keluasan yang mencukupi untuk membina kolam kumbahan (Jabatan Alam Sekitar, 2014). Tujuannya supaya sisa kumbahan tidak terus dibuang ke dalam sungai. Sistem kandang tertutup ini dikatakan dapat mengurangkan penggunaan air dan memudahkan proses untuk mengurus najis. Jika dapat dilihat dalam Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang, langkah menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dilihat paling berkesan bagi menyelesaikan masalah ini (Nur Izzati Mohamad, 2020). Hal ini dikatakan demikian kerana ramai pengusaha kandang khinzir seakan-akan tidak mengambil endah mengenai syarat pengurusan sisa kumbahan, walaupun penduduk kampung memerlukan sungai yang bersih untuk pelbagai kegunaan. Oleh itu, pihak berwajib seperti Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar perlulah bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

            Di samping itu, salah satu kaedah rawatan yang murah dan mudah untuk sisa buangan cecair atau air buangan dari aktiviti ternakan adalah dengan menggunakan sistem kolam pengolahan (Jabatan Alam Sekitar, 2014). Hal ini dikatakan demikian kerana kos yang perlu ditanggung adalah kos pembinaan kolam serta penyelenggaraan 2 hingga 3 tahun sekali untuk pembersihan enap cemar. Walau bagaimanapun, kolam pengolahan ini memerlukan kawasan yang luas. Dalam melaksanakan kaedah ini, kolam pengolahan perlulah diselenggara dengan baik supaya enap cemar yang terhasil di atas permukaan kolam dan mendap di dasar kolam dapat dibersihkan apabila telah penuh. Namun begitu, dasar kolam hendaklah dilapik dengan bahan kalis air seperti plastik tebal atau konkrit. Tujuannya supaya air kolam tidak meresap ke dalam tanah yang boleh membawa kepada pencemaran sumber air bawah tanah. Enap cemar daripada kolam pengolahan ini juga dikatakan dapat dijadikan sebagai baja. Terdapat empat jenis kolam yang boleh digunakan untuk merawat sisa buangan khinzir yang bergantung kepada proses penguraian biologi kolam tersebut. Antaranya ialah Kolam Anaerobik, Kolam Fakultatif, Kolam Fakultatif Berudara dan juga Kolam Aerobik / Maturasi.

 

Rajah 3: Jenis-jenis Kolam Rawatan Air Buangan

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2019)

 

            Terdapat juga sistem alternatif seperti sistem biogas bagi merawat sisa buangan ternakan khinzir di mana ia digunakan untuk menguraikan bahan organik secara anaerobik (tertutup) di dalam tangki pencernaan. Tambahan pula, sistem biogas ini membantu menangani pelepasan gas rumah hijau yang membawa kepada pemanasan global. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2019), komponen utama yang terhasil dalam sistem biogas adalah gas metana (CH4, 60-70%) dan karbon dioksida (CO, 30-40%). Oleh itu, pelepasan gas metana ini dapat dikawal dengan menjadikannya sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti bahan api dan juga menjana tenaga elektrik. Melalui proses yang berlaku, enap cemar (separa cecair) yang telah stabil akan dihasilkan dari tangki anaerobik.  Walau bagaimanapun, enap cemar yang termendap perlulah dikeluarkan dan dikeringkan bagi menghasilkan baja untuk kegunaan tanaman atau menyuburkan tanah. Disebabkan efluen yang terhasil masih lagi tidak mencapai tahap kualiti air yang ditetapkan maka ia perlu dirawat sebelum dialirkan ke dalam sungai agar masalah pencemaran dapat dikurangkan.

 

Rajah 4: Biogas untuk menstabilkan bahan organik termasuk menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2019)

 

Sistem Bioreaktor Aerobik merupakan salah satu cara untuk mengatasi masalah pencemaran air di mana ia mempunyai persamaan dengan sistem biofilter tetapi ia tidak menggunakan tangki biofi­lter (Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 2019). Akan tetapi, kos pembinaannya bergantung kepada populasi ternakan, bahan konkrit dan ejen pengaktifan yang digunakan. Contohnya seperti kaedah (Toyo Bioreactor System) yang telah diuji di ladang khinzir di Mersing, Johor Bharu (Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 2019).  Sistem ini juga direka untuk kegunaan sejumlah 6,000 populasi khinzir dalam satu-satu ladang yang menghasilkan sisa air kumbahan harian sebanyak 40L /ekor khinzir. Sistem ini terdiri daripada tangki penerima, tangki pengudaraan, tangki pemendapan, penjernih dan sebagainya di mana air yang telah dirawat akan dikitar semula. Tambahan pula, sistem ini juga mempunyai ciri-ciri khas iaitu menggunakan ejen pengaktifan (EM) yang membolehkan pertumbuhan mikroorganisma aerobik. Secara keseluruhannya, sistem ini dapat menurunkan kadar pencemaran ke suatu tahap yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di samping air yang dirawat dapat dikitar semula untuk tujuan pembersihan kandang khinzir.

 

                Toyo Bioreactor System         Ejen pengaktifan 'Rozai'

 

Rajah 5: Sistem Bioreactor Aerobik di Ladang Babi

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2019)

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Bernama. (2020, Jun 17). Pencemaran sungai di Tasek Gelugor disiasat. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pencemaran-sungai-di-tasek-gelugor-disiasat-247651

Iswan Shafiq Isa. (2021, Jun 21). Berpuluh tahun hidu bau najis babi. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/2021/06/berpuluh-tahun-hidu-bau-najis-babi/

Jabatan Perkhidmatan Veterinar. (2019). Garis panduan pengurusan sisa buangan ternakan babi. Jabatan Perkhidmatan Veterinar. https://www.dvs.gov.my/dvs/resources/user_1/2021/BPIT/Babi/GP-Pengurusan-Sisa-Babi.pdf

Jabatan Alam Sekitar. (2014). Garis panduan kawalan pencemaran daripada aktiviti penternakan babi. Jabatan Alam Sekitar. https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/uploads/2016/08/1420512419-GARIS%20PANDUAN%20KAWALAN%20PENCEMARAN%20DARIPADA%20AKTIVITI%20PENTERNAKAN%20BABI.pdf

Mohd Syalmizi Hamid. (2021, Februari 4). Najis babi Kampung Selamat sah punca pencemaran Sungai Kereh. Kosmo. https://www.kosmo.com.my/2021/02/04/najis-babi-kampung-selamat-sah-punca-pencemaran-sungai-kereh/

Nur Izzati Mohamad. (2020, Ogos 23). Cadang henti sementara penternakan babi di Kampung Selamat. My Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/613263/cadang-henti-sementara-penternakan-babi-di-kampung-selamat

Zuhainy Zulkiffli. (2021, Februari 4). Najis babi punca pencemaran Sungai Kereh. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/02/782901/najis-babi-punca-pencemaran-sungai-kereh

 

 

NAMA: SITI MURNI BINTI SAAD

NO MATRIK: D20201094306

KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN A

 

 

 

 

           

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...