Sunday, June 12, 2022

ISU PENYAHUTANAN TERHADAP PERSEKITARAN PENDUDUK DI BANDAR TENGGARA, KOTA TINGGI, JOHOR

NAMA PELAJAR: MUHAMMAD 'AIZAT BIN SHAHZAN

NO. MATRIKS: D20201094315

KUMPULAN KULIAH: A

TAJUK: ISU PENYAHUTANAN TERHADAP PERSEKITARAN PENDUDUK DI BANDAR TENGGARA, KOTA TINGGI, JOHOR


1.0 PENGENALAN

Pada umumnya, hutan merupakan sebuah anugerah daripada Tuhan kepada seluruh hidupan di dunia untuk mendapatkan pelbagai sumber alam semula jadi seperti makanan, ubat-ubatan, habitat hidupan liar dan sebagainya. Menurut Jamaluddin Md. Jahi, Rusli Zainal dan Muhammad Rizal Razman (2013), hutan merupakan sebahagian daripada persekitaran fizikal yang mempunyai banyak kegunaan sama ada dalam interaksinya dengan dengan komponen-komponen fizikal yang lain seperti atmosfera, litosfera dan hidrosfera ataupun manusia serta hidupan yang lain. Hal ini demikian, pada peringkat awalnya, hutan berperanan sebagai sebuah ekosistem yang menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan fauna. Sehubungan dengan itu, hutan juga merupakan sebahagian daripada komponen utama alam sekitar fizikal. Namun demikian, pertambahan jumlah populasi manusia di sesebuah kawasan telah menyebabkan berlakunya peningkatan terhadap aktiviti penyahutanan yang lebih dikenali sebagai aktiviti penerokaan kawasan hutan.

Penyahutanan bermaksud aktiviti penerokaan kawasan hutan yang dilakukan oleh manusia secara besar-besaran bagi memperoleh pelbagai manfaat. Menurut Maharam Mamat (2009), sebahagian daripada hutan yang terdapat di Malaysia telah diteroka melalui aktiviti pembalakan bagi tujuan perkayuan, pembangunan kawasan pertanian dan penempatan, pembangunan infrastruktur dan aktiviti pertanian pindah. Justeru itu, jelaslah bahawa penyhutanan dilakukan bertujuan bagi mendapatkan pelbagai manfaat, tetapi sudah pasti wujudnya kesan negatif terutamanya kepada persekitaran manusia.

            Isu penyahutanan iaitu penerokaan kawasan hutan merupakan salah satu isu yang mendatangkan impak negatif terhadap persekitaran penduduk di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor. Pada asalnya, aktiviti penyahutanan di Bandar Tenggara adalah pada skala yang kecil. Namun, aktiviti penyahutanan di kawasan Bandar Tenggara diperhatikan telah menjadi semakin berleluasa kerana telah banyak kawasan hutan yang diteroka untuk dijadikan sebagai tempat bagi pelbagai jenis aktiviti manusia.


1.1 KAWASAN KAJIAN

Peta 1: Peta kawasan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor

Sumber: Majlis Daerah Kota Tinggi, 2020

Bandar Tenggara merupakan salah satu kawasan yang telah diuruskan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi iaitu mempunyai lebih 20,000 orang jumlah penduduk. Bandar Tenggara telah diwujudkan sekitar tahun 1972. Seterusnya, Bandar Tenggara juga merupakan sebuah kawasan pekan yang sedang membangun kerana terdapat pelbagai jenis aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh penduduk tempatan. Jumlah penduduk dilihat semakin bertambah dari semasa ke semasa disebabkan oleh pertambahan kawasan perumahan baharu di sekitarnya. Bandar Tenggara juga merupakan pusat bagi dua buah rancangan tanah Felda iaitu Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur. Terdapat pelbagai kemudahan infrastuktur utama yang telah disediakan seperti masjid, taman rekreasi, stadium, balai polis, pejabat pos dan sebagainya. Bandar Tenggara merupakan sebuah kawasan yang aktif dengan aktiviti perindustrian. Hal ini kerana, wujudnya kawasan perkilangan seperti kilang kelapa sawit, kilang elektronik dan sebagainya.


2.0 PUNCA AKTIVITI PENYAHUTANAN DI BANDAR TENGGARA

Tujuan utama aktiviti penyahutanan adalah untuk mencapai modenisasi. Hal ini demikian, modenisasi adalah bertujuan untuk aktiviti pembangunan, pemodenan serta bagi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat. Namun demikian, perkara tersebut turut mendatangkan impak negatif sekiranya tidak dikawal atau tidak mengikut garis panduan secara wajar. Oleh itu, terdapat beberapa punca berlakunya aktiviti penyahutanan di Bandar Tenggara.

            Antara punca berlakunya aktiviti penyahutanan di kawasan Bandar Tenggara adalah pembukaan kawasan tapak perindustrian. Aktiviti perindustrian merupakan salah satu aktiviti ekonomi utama bagi penduduk di sekitar kawasan Bandar Tenggara. Hal ini kerana, kedudukan kawasan Bandar Tenggara yang strategik telah menyebabkan ianya sesuai untuk dijadikan kawasan perindustrian. Menurut Woham, T. W., Mohd Yusof Hussain dan Azima Abdul Manaf (2010), pemilihan lokasi perindustrian merupakan unsur penting dalam menentukan corak pertapakan aktiviti perkilangan kerana ianya dapat mempengaruhi kecekapan dan keuntungan bagi sesebuah pengeluaran. Terdapat beberapa kawasan kilang di Bandar Tenggara. Antaranya adalah kilang pemprosesan makanan, kilang perkayuan, kilang elektronik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, kawasan hutan telah diteroka oleh para pemaju bagi membina kawasan perindustrian tersebut.

Gambar 1: Salah satu kawasan kilang di Bandar Tenggara

Sumber: Kajian Lapangan, 2022

     Selain itu, punca berlakunya aktiviti penyahutanan di kawasan Bandar Tenggara adalah pembukaan kawasan tapak perumahan baharu. Hal ini kerana, pembukaan kawasan tapak perumahan baharu di Bandar Tenggara adalah bertujuan untuk menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Perumahan merupakan salah satu keperluan asas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara (Junaidi Awang Besar, Rosmadi Fauzi & Amer Saifude Ghazali, 2012). Oleh itu, bagi membangunkan kawasan tapak perumahan baharu, pihak pemaju telah meneroka kawasan hutan yang terdapat di sekitar Bandar Tenggara. Pelbagai jenis rumah yang telah dibina dan akan dibina pada masa hadapan iaitu terdiri daripada rumah awam kos rendah, rumah kos rendah swasta, rumah kos rendah sederhana dan rumah kos rendah kos tinggi. Sebagai contoh, pembukaan kawasan tapak perumahan baharu iaitu projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PBGF) di Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur. Justeru itu, pembukaan kawasan tapak perumahan baharu merupakan salah satu punca utama berlakunya penyahutanan di Bandar Tenggara.

Gambar 1: Pembukaan kawasan tapak perumahan di Bandar Tenggara

Sumber: Kajian Lapangan, 2022

Selanjutnya, pembukaan kawasan tanah bagi tujuan aktiviti pertanian juga merupakan salah satu punca berlakunya aktiviti penyahutanan di kawasan Bandar Tenggara. Hal ini demikian, aktiviti pertanian merupakan salah satu aktiviti ekonomi bagi penduduk. Antara jenis tanaman yang ditanam oleh penduduk tempatan adalah pokok kelapa sawit, pokok pisang, pokok cili, pokok betik dan pokok nanas. Namun demikian, terdapat segelintir penduduk yang melakukan aktiviti penerokaan kawasan hutan secara haram untuk tujuan pertanian. Keadaan tersebut telah menyebabkan aktiviti penyahutanan dijalankan secara berleluasa dan tidak terkawal oleh penduduk setempat yang seterusnya mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar terutamanya persekitaran penduduk.

Gambar: Penanaman pokok betik di Bandar Tenggara

Sumber: Kajian Lapangan, 2022

3.0 KESAN AKTIVITI PENYAHUTANAN TEHADAP PERSEKITARAN PENDUDUK DI BANDAR TENGGARA

Aktiviti penyhutanan di sekitar kawasan Bandar Tenggara sememangnya mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar terutamanya terhadap persekitaran penduduk. Antara kesan aktiviti penyahutanan terhadap persekitaran penduduk di Bandar Tenggara adalah kemusnahan dan kerosakan harta benda. Antara kemusnahan dan kerosakan harta benda yang dialami oleh penduduk di Bandar Tenggara adalah kerosakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan jambatan. Hal ini demikian, penyahutanan telah menyebabkan bencana alam seperti kejadian tanah runtuh, banjir kilat, banjir lumpur dan sebagainya. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh telah berlaku disebabkan oleh kurangnya tumbuhan di kawasan tanah cerun. Hal ini demikian, struktur permukaan tanah yang terlalu longgar disebabkan tiada cengkaman oleh akar tumbuh-tumbuhan. Fenomena tanah runtuh menjadi semakin parah terutamanya apabila waktu hujan kerana kadar hakisan tanah yang tinggi. Menurut Adi Jafar, Mohamad Tahir Mapa dan Nordin Sakke (2012), permukaan tanih yang terdedah kepada titisan hujan tanpa adanya halangan daripada litupan tumbuhan meningkatkan lagi daya potensi agen penghakis untuk mencungkil atau melonggarkan partikel permukaan tanih. Kejadian tanah runtuh telah menyebabkan kerosakan terutamanya di kawasan jalan raya. Justeru, kemusnahan dan kerosakan infrastuktur di Bandar Tenggara telah mengganggu aktiviti harian penduduk di sekitarnya.

Gambar: Kejadian tanah runtuh di Bandar Tenggara

Sumber: Kajian Lapangan, 2022

            Selanjutnya, kesan aktiviti penyahutanan terhadap persekitaran penduduk di Bandar Tenggara adalah penyebaran wabak penyakit. Hal ini demikian, aktiviti penyahutanan telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan pencemaran air. Hal ini kerana, kawasan persekitaran yang tercemar akan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit merebak dalam kalangan penduduk. Sebagai contoh, pencemaran air akan menyebabkan penyakit seperti hepatitis, demam berdarah dan cirit-birit kerana bekalan sumber air bersih yang tercemar telah bercampur dengan lumpur kesan daripada aktiviti penyahutanan. Pencemaran udara pula menyebabkan penyakit seperti sesak nafas, asma dan kanser kulit. Hal ini demikian kerana, kandungan udara telah bercampur dengan debu dan sebagainya menyebabkan udara tercemar. Perkara tersebut juga telah meningkatkan kos sara hidup penduduk bagi menampung kos rawatan disebabkan wujudnya pelbagai wabak penyakit.


4.0 CADANGAN PENYELESAIAN ISU PENYAHUTANAN DI BANDAR TENGGARA

Jelaslah bahawa aktiviti penyahutanan mendatangkan impak negatif terhadap persekitaran penduduk di kawasan Bandar Tenggara. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa cadangan penyelesaian yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu penyahutanan di Bandar Tenggara bagi memastikan persekitaran penduduk sejahtera dan terjamin pada masa hadapan.

Antara cadangan penyelesaian yang boleh dilakukan dalam mengatasi isu penyahutanan adalah memperketatkan penguatkuasaan undang-undang. Hal ini kerana, masih terdapat individu tidak bertanggungjawab yang masih melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam melakukan aktivti penyahutanan. Individu-individu ini melanggar garis panduan yang telah ditetapkan seperti melakukan aktivti pembalakan secara meluas. Oleh itu, undang-undang yang sedia ada haruslah diperketatkan lagi melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling seperti meningkatkan jumlah bayaran denda serta hukuman yang lebih berat. Oleh hal yang demikian, mereka akan lebih akur dengan setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

            Selain itu, cadangan penyelasaian bagi mengatasi isu penyahutanan bagi menjamin kesejahteraan persekitaran penduduk di Bandar Tenggara adalah mewartakan hutan simpan. Pihak kerajaan perlu mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara atau Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini adalah untuk memastikan kawasan hutan itu terus terpelihara daripada sebarang aktiviti penyahutanan dan penerokaan. Penetapan undang-undang yang dilakukan akan memberi peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah negara yang tidak ternilai. Melalui pewartaan hutan simpan ini, kawasan tadahan air dapat dikekalkan walaupun semasa musim kemarau kepada hidupan flora dan fauna. Sebagai contoh, Hutan Simpan Templer, Selangor dan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang. Oleh itu, bencana-bencana yang menjejaskan persekitaran penduduk di Bandar Tenggara dapat dielakkan. Oleh itu, bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya yang mengganggu persekitaran penduduk dapat dielakkan.

Akhir sekali, cadangan penyelesaian bagi mengatasi isu penyahutanan di Bandar Tenggara adalah melalui penghutanan semula. Penghutanan semula ialah kegiatan menanam semula hutan yang telah ditebang dengan spesies pokok yang cepat tumbuh dan bermutu. Sebagai contoh, penanaman pokok akasia, pokok pain dan pokok batai. Melalui kaedah ini, kelembapan suhu juga dapat dikekalkan dan seterusnya masalah peningkatan suhu alam sekitar dapat dielakkan. Melalui penghutanan semula juga dapat mengurangkan kejadian hakisan tanah dan menjamin bekalan kayu-kayuan pada masa depan. Contoh kaedah penghutanan semula yang telah dilaksanakan adalah seperti di Hutan Simpan Kemasul, Pahang dan Hutan Simpan Paya Laut, Perak. Justeru itu, keselesaan dan kesejahteraan persekitaran penduduk di sekitar Bandar Tenggara dapat ditingkatkan.

 

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, aktiviti penyahutanan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar fizikal, malahan ianya juga mampu mendatangkan kesan negatif terhadap kesejahteraan persekitaran penduduk di Bandar Tenggara. Oleh itu, bagi memastikan supaya kebersihan dan kualiti alam sekitar dapat dikekalkan ataupun ditingkatkan, maka semua pihak perlu memainkan peranan yang penting dan saling berkejasama menjaga alam sekitar ini supaya kehidupan lebih sihat dan bermutu dari semasa ke semasa. Menurut Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah dan Mazdi Marzuki (2006), bagi memastikan segala masalah dapat dibincang bersama dan pemantauan serta pelaksanaannya dapat dijalankan dengan lebih teratur tanpa menundingkan kesalahan kepada orang lain, sebuah jawatankuasa yang lebih khusus perlu diwujudkan. Oleh itu, kesejahteraan dan keselesaan persekitaran penduduk di kawasan Bandar Tenggara terjamin pada masa akan datang.


RUJUKAN

Adi Jafar, Mohamad Tahir Mapa, & Nordin Sakke. (2012). Impak aktiviti pembangunan terhadap trend kekerapan dan magnitud banjir di lembangan Sungai Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Jurnal Kinabalu18, 97-116. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/498

Jamaluddin Md. Jahi, Rusli Zainal, & Muhammad Rizal Razman. (2013). Masalah alam sekitar berkaitan perhutanan di Provinsi Riau, Indonesia. International Journal of the Malay World and Civilisation, 1(1), 125-131. https://www.ukm.my/jatma/wp-content/uploads/makalah/IMAN1_11.pdf

Junaidi Awang Besar, Rosmadi Fauzi, & Amer Saifude Ghazali. (2012). Penilaian awal impak perlaksanaan Dasar Perumahan Negara terhadap sektor perumahan di Kuala Lumpur. Geografia: Malaysian Journal of Society and Space8(6), 90-108. https://core.ac.uk/download/pdf/11494439.pdf

Maharam Mamat. (2009). Impak modenisasi terhadap alam sekitar: Penelitian beberapa buah novel penulis Sarawak. Jurnal e-Utama, 2, 81-107. http://www.mlc.alc.nie.edu.sg/docs/maharam_mamat.pdf

Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). (2020). Peta kawasan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor. Kajian Lapangan.

Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah dan Mazdi Marzuki. (2006). Kajian Impak Pembangunan terhadap Alam Sekitar di Lembah Bernam (Tanjong Malim). https://ir.upsi.edu.my/files/docs/2020/1861_1861.pdf

Woham, T. W., Mohd Yusof Hussain, & Azima Abdul Manaf. (2010). Faktor penentuan pemilihan lokasi industri pembuatan: Kajian kes Kawasan Perindustrian Nilai. Malaysian Journal of Society and Space, 6(2), 20-36. http://www.ukm.my/geografia/images/upload/3.2010-2-tara&yusof-melayu-.pdf

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...