Monday, June 13, 2022

ISU PENGURUSAN SAMPAH SARAP DI KAMPUNG PAYA, JAUH, JALAN MARAN, TEMERLOH PAHANG.

1.0  PENGENALAN

Menurut Haslinda Mohd Anuar & Harlida Abdul Wahab (2015), sisa pepejal secara umumnya merujuk kepada sampah-sarap atau bahan buangan yang bukan dalam bentuk cecair mahupun gas. Pembuangan dan pelupusan sisa sampah ini memerlukan satu sistem pengurusan yang mampan demi kelestarian alam sekitar. Pencemaran sampah merujuk kepada pembuangan benda-benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan gangguan keselesaan kehidupan manusia. Berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 memperuntukkan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma, tumbuhan dan haiwan.

Merujuk kepada kes ini, isu-isu berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal bukanlah suatu isu yang baru di Malaysia. Isu ini dilihat seperti tiada kesudahanya jika pihak berkuasa tidak menangani dan mengambil serius perkara ini. Menurut Laporan Berita Harian Metro (2022), dianggarkan sebanyak 14 juta tan sampah akan dikutip menjelang tahun 2022. Ini kerana anggaran yang dibuat oleh pihak berkuasa mengikut trend pungutan sampah di negara mencatatkan peningkatan sejak tahun 2012. Seiring dengan peredaran teknologi masa kini, kadar pertambahan penduduk juga kian hari semakin bertambah. Sehubungan dengan itu trend peningkatan sisa pepejal akan meningkat saban tahun berdasarkan pertambahan populasi penduduk yang meningkat 1.8 peratus. Pertambahan penduduk ini akan menyebabkan sisa pepejal bertambah kerana semakin ramai yang membuang sampah hasil daripada aktiviti harian mereka. Oleh itu, kajian ini memfokuskan isu pengurusan sampah sarap di kawasan terpilih.

 

2.0  KAWASAN KAJIAN

Kawasan yang dipilih untuk menjalankan kajian ini ialah di Kampung Paya Jauh, Temerloh, Pahang. Kampung ini terletak di daerah Temerloh yang jaraknya 5-10 minit ke bandar utama. Temerloh merupakan daerah yang berada di titik semenanjung Malaysia ini sebuah kawasan yang besar. Selain itu, Kampung Paya Jauh ini juga berhampiran dengan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas). Jumlah penduduk kampung ini juga dianggarkan seramai 300 - 400 orang yang majoritinya menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan mereka. Antara pertanian yang giat dijalankan di kampung ini ialah tanaman pokok getah dan kelapa sawit. Kebanyakkan golongan yang berusia bekerja sebagai penoreh getah manakala golongan muda bekerja sebagai guru, askar dan pekerjaan lain-lain. Disamping itu juga, majoriti penduduk kampung ini ialah orang Kelantan kerana orang terawal membuka penempatan di kampung ini ialah orang Kelantan yang berhijrah ke Temerloh ini untuk mencari sumber pendapatan melalui hasil pertanian dengan adanya tanih yang subur. Jika dahulu penduduk kampung ini tidaklah ramai, namun dengan kemajuan, kemudahan serta berdekatan dengan bandar utama, penduduk di kampung ini semakin bertambah disamping terdapat juga pembinaan perumahan baharu. Dengan adanya pertumbuhan penduduk ini, maka sistem pengurusan sampah sarap di kampung ini juga tidak terurus disebabkan oleh beberapa faktor. Oleh itu, Kampung Paya Jauh ini telah dipilih oleh pengkaji untuk membuat kajian dan pemerhatian mengenai isu pengurusan sampah sarap ini.


                        Rajah 1: Lokasi Kajian Kampung Paya Jauh

Sumber: Google Maps

 

3.0  ISU PENGURUSAN SAMPAH SARAP DI KAMPUNG PAYA JAUH, TEMERLOH.

Umum mengetahui, semakin bertambah populasi penduduk, semakin bertambah sisa pepejal selari dengan aktiviti manusia yang mengeluarkan sisa pepejal ini. Oleh itu, terdapat tempat pembuangan sampah yang tidak strategi dan terurus telah mengakibatkan pengurusan sampah sarap di Kampung Paya Jauh ini menjadi isu. Jika tidak diuruskan dengan baik ianya menimbulkan masalah kepada penduduk serta alam sekitar. Gambah rajah di bawah merupakan beberapa bukti yang menunjukan pengurusan sampah sarap di kampung ini tidak terurus:



Rajah 2: Tempat Pelupusan Sampah

Sumber: Kajian Lapangan 2022


      Berdasarkan gambar rajah diatas, pembuangan sampah sarap atau sisa pepejal ini tidak terurus. Hal ini demikian kerana sampah dibuang di tepi jalan secara berlonggok sebelum simpang keluar kampung. Tanpa sebarang tong sampah yang disediakan penduduk telah membuang sampah secara sesuka hati telah menjadikan pemandangan di kawasan ini tidak indah. Selain itu, longgokan sampah sarap ini telah menimbulkan bau yang tidak menyenangkan apabila lalu di kawasan ini. Melalui pemerhatian dan kajian yang pengkaji lalukan terdapat juga sisa pepejal yang besar seperti perabot rumah yang telah rosak turut di buang disini. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengurusan sampah sarap ini tidak terurus.

 

4.0  FAKTOR- FAKTOR

Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu pengurusan sampah sarap ini. Antara faktor utama pengurusan sampah ini tidak terurus ialah sikap penduduk. Segelintir sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab telah membuang sampah di tempat yang salah. Pembuangan sisa sampah yang salah seperti tidak mengasingkan sampah yang kering dan yang basah. Hal ini telah menyebabkan bau yang tidak menyenangkan apabila lalu di kawasan ini. Sikap penduduk yang membuang sampah di luar daripada tong sampah ini telah menyebabkan banyak longgokan sampah walaupun pihak berkuasa telah menyediakan tong sampah. Sampah yang terlalu banyak telah menyebabkan segelintir penduduk mula membuang sampah di sekitar kawasan ini. Justeru itu, sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan sampah sarap dibuang sesuka hati.

      Selain itu, faktor kedua ialah pengutipan sampah sarap yang tidak konsisten dan berjadual. Pihak pengurusan Alam Flora Majlis Daerah Temerloh yang tidak membuat kutipan yang seperti yang sepatutnya. Menurut salah seorang warga penduduk kampung ini, beliau menyatakan bahawa sememangnya pihak berkuasa tidak mengutip sampah secara berkala menyebabkan longgokan sampah menjadi banyak apabila tidak dikutip. Selain itu, warga penduduk turut menyatakan punca adanya longgokan sampah sarap di luar daripada tong sampah ini kerana pihak Alam Flora hanya menyediakan tong sampah yang kecil. Hal ini menyebabkan ianya tidak mampu untuk menampung kuantiti sampah yang banyak. Jadi sampah-sarap yang dibuang itu akan menjadi longgokan di sekitar tepi jalan keluar dari kampung ini.

      Faktor yang ketiga ialah sikap pengusaha kedai makan. Berdasarkan temubual yang dijalankan bersama dengan salah seorang warga penduduk kampung ini, beliau mendapati bahawa terdapat sesetengah pengusaha kedai makan yang turut membuang sampah di tong sampah kampung ini. Pengusaha kedai makan yang berhampiran dengan hospital, tepi tepi jalan yang sedikit jauh dari kampung ini telah membuang sampah di kampung ini juga. Alasan mereka membuang sampah ini kerana pihak Alam Flora telah mengurangkan jumlah tong-tong sampah di tepi jalan pada waktu sekarang. Namun, sikap ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati warga penduduk Kampung Paya Jauh ini kerana telah mencemarkan pemandangan masuk ke kampung ini. Ini kerana pengusaha kedai makan ini membuang sisa sampah yang basah akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan di sekitar kawasan tersebut.

 

5.0  LANGKAH MENGATASI

Terdapat beberapa langkah yang harus diambil bagi mengatasi isu sampah sarap daripada terus berleluasa. Antara langkah-langkahnya ialah mengambil tindakan undang-undang kepada pelaku. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) haruslah mengenakan saman kepada pelaku yang membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan larangan. Ini kerana perbuatan mereka telah mencemarkan alam sekitar di kampung ini. Melalui temubual yang dijalan dengan warga kampung ini, sememangnya mereka telah membuat notis larangan membuat sampah di kawasan ini namun sikap mereka yang acuh tidak acuh telah mengulangi perbuatan ini kembali. Jadi, tindakan saman ini sewajarnya dikenakan kepada pelaku atau pesalah ini.

      Langkah yang kedua ialah mempergiatkan pemantauan di kawasan pembuangan sampah tersebut. Ahli Jawatankuasa Kampung atau JKK harus bertanggungjawab dalam isu pengurusan sampah sarap ini agar ianya tidak terus menjadi habit segelintir penduduk atau pengusaha membuang sampah di sekitar tepi jalan utama kampung ini. Pada pendapat pengkaji, JKK dan warga penduduk kampung harus bekerjasama di dalam memantau kawasan larangan pembuangan sampah sarap tersebut. Pada masa yang sama, pihak PBT juga haruslah menjalankan pemantauan berkala di kawasan pembuangan sampah ini. Ini bertujuan memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak mengulangi perbuatan mencemarkan alam sekitar lagi.

      Seterusnya, mengadakan kempen 1 Rumah 1 Tong Sampah. Setiap rumah diwajibkan untuk menyediakan satu tong sampah bagi mengelakkan longgokan sampah di kampung ini tidak menjadi semakin teruk. Usaha ini haruslah dijalankan dengan kerjasama semua penduduk agar sikap mencemarkan alam sekitar tidak diamalkan demi kelangsungan kemandirian alam sekitar. Disamping itu, PBT juga haruslah menyediakan tong sampah yang besar di tempat pengutipan terutamanya pada musim perayaan kerana jumlah sampah akan bertambah 2 kali ganda berbanding hari biasa. Dengan adanya kerjasama ini, pastinya agensi pengurusan sampah dapat memastikan sampah dikutip mengikut jadual yang ditetapkan.

      Akhir sekali, amalan kitar semula. Barangan seperti kayu, logam, plastik minuman hendaklah di kitar semula bagi mengurangkan kadar pembuangan sisa sampah sarap ini. Melalui amalan kitar semula ini, penduduk dapat mengurangkan bahan buangan serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Contohnya botol plastik minuman boleh dijadikan tempat penanaman pokok cili mahupun bunga. Dengan itu, pembuangan sampah sarap dapat dikurangkan dan ianya dapat menyelamatkan alam sekitar daripada terus dimusnahkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab ini.

 

6.0  KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, sistem pengurusan sampah sarap merupakan perkara yang serius yang harus dititikberatkan oleh setiap golongan lapisan masyarakat. Isu sampah atau sisa pepejal ini adalah tanggungjawab masyarakat setempat bersama memastikan alam sekitar dijaga dengan baik. langkah ini selaras dengan matlamat mencapai negara maju di samping membuktikan komitmen terhadap prinsip pembangunan mapan (sustainable development) yang diakui menerusi Deklarasi Rio 1992. Kualiti alam sekitar harus dijaga demi kelangsungan generasi akan datang. Proses pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu direncanakan secara sistematik bagi menjamin kelangsungannya serta mengawal elemen-elemen luar yang boleh mendatangkan kemudadaratan terhadap alam (Hazura & Norhaidah, 2007).

Dengan ini, diharapkan isu pengurusan sampah di Kampung Paya Jauh ini dapat diselesaikan dengan segera. Kerjasama antara penduduk juga amatlah penting untuk memastikan tempat pembuangan sampah ini diuruskan dengan baik melalui amalan pembuangan sampah yang betul. Melalui beberapa langkah serta usaha yang mampan ini ianya pasti dapat menyelesaikan kemelut ini.

7.0  RUJUKAN

Akta Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Haslinda Mohd Anuar & Harlida Abdul Wahab. (2015). Sisa Pepejal dan Perundangan Awam: Pengurusan dan Perundangan. Solid Waste Solutions Journal. Vol.1 2005. https://www.researchgate.net/publication/319090214_Sisa_Pepejal_dan_Pembersihan_Awam_Pengurusan_dan_Perundangan

Harian Metro. 2022. 14 Juta tan sampah pada 2022. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022

Hazura Abu Bakar & Sharidah Norhaidah Syed Idros. 2007. Pemeliharaan Alam Tabii Bersumberkan Pengetahuan Islam DP. Vol. 7, No. 1. https://www.researchgate.net/publication/323118346_KEPENTINGAN_PENJAGAAN_ALAM_SEKITAR_MENURUT_PERSPEKTIF_MAQASID_SYARIAH

Portal Rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Air. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dipaut daripada https://www.doe.gov.my/akta/akta-kualiti-alam-sekeliling-1974-act-127-100/

 

NAMA: SHAZREEN SYAFINA BINTI MAT SAMBERI

NO MATRIK: D20201094308

KUMPULAN KULIAH: B


Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...