PENGENALAN
Proses pemodenan menyebabkan peningkatan sampah sarap secara drastik. Malah, kebanyakan negara membangun, khususnya di Malaysia berdepan masalah pelupusan sampah selari dengan peningkatan kadar urbanisasi yang tidak terancang dan pertumbuhan pesat penduduk. Pencemaran sampah boleh ditakrifkan sebagai pembuangan bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam sekitar sehingga menyebabkan perubahan landskap alam sekitar. Akta Kualiti Alam Sekitar (1974) pula memperuntukkan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat fizik, kimia, biologi atau aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan mengeluar, meletakkan atau melepaskan buangan hingga membahayakan manusia, tumbuhan dan haiwan. Penghasilan jenis dan kuantiti sampah bergantung kepada aktiviti atau kegiatan penduduk di sesuatu kawasan.
Sampah sarap (municipal solid waste) dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Pelbagai jenis bahan buangan antaranya sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp), dianggarkan 38,000 tan sisa domestik dan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari. Disamping itu, jumlah sisa pepejal telah meningkat dari masa ke semasa disebabkan oleh pertumbuhan penduduk. Tempat pembuangan sampah terbuka menjadi tumpuan kepada masyarakat yang tidak prihatin mendorong berlakunya risiko pencemaran alam sekitar, menjejaskan kesihatan dan memberi kesan kewangan kepada penduduk yang tinggal di sekitar tempat pembuangan sampah terbuka tersebut. Masalah pembuangan sampah dan lambakan sisa pepejal yang dilihat di kawasan pekan Sungai Besar menyebabkan berlakunya pelbagai pencemaran. Lambakan sisa pepejal ini menjadi masalah utama di pekan Sungai Besar, Selangor.
Peta 1: Lokasi Pekan Sungai Besar, Selangor
Rajah 1
Rajah 1: Kawasan di pekan Sungai Besar, Selangor
Pekan Sungai Besar terletak di negeri Selangor Darul Ehsan dan berada dalam daerah Sabak Bernam, di antara Sekinchan dan Sabak Bernam. Pekan Sungai Besar merupakan pekan terbesar dan merupakan pusat bandar di daerah Sabak Bernam. Selain itu, penduduk Sungai Besar dianggarkan berjumlah 22,673 dan 43% adalah dalam lingkungan umur antara 20 tahun ke 55 tahun. Daripada jumlah keseluruhan penduduknya, 73% terdiri dari Melayu, Cina (23%) dan India (3.5%). Majoriti penduduk Sungai Besar terdiri daripada kaum tani, pengusaha industri kecil dan sederhana dan nelayan. Sungai Besar juga merupakan salah satu dari 9 kawasan yang dikenalpasti untuk dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan perumahan, industri kecil dan sederhana, institusi-institusi pendidikan dan pertanian serta akuakultur.
PUNCA-PUNCA LONGGOKAN SAMPAH DI PEKAN SUNGAI BESAR, SELANGOR
Terdapat pengelola sampah haram yang beroperasi di pekan Sungai Besar menjadikan tanah kosong sebagai tempat pembuangan pelbagai jenis sampah demi meraih keuntungan. Walaupun pemantauan telah dibuat dan amaran telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan daerah Sabak Bernam namun masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab masuk ke kawasan tersebut untuk membuang sampah secara haram. Hal ini berlaku kerana pengelola sampah mendapat bayaran daripada setiap lori yang membuang sampah ke tempat tersebut. Perkara ini menguntungkan pihak lori yang tidak perlu berfikir di mana mereka perlu membuang sampah dan pihak pengelola mendapat wang hasil habuan daripada membenarkan pembuangan sampah tersebut. Bayaran yang dikenakan oleh pihak pengelola untuk membuang sampah di tempat tersebut lebih murah berbanding tempat pelupusan sampah yang sememangnya menggalakkan aktiviti haram tersebut berlaku.
Selain itu, punca masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar adalah sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Sampah sarap dibuang di merata-rata tempat menyebabkan longgokan sampah terlihat di pekan Sungai Besar. Sikap segelintir masyarakat yang malas menguruskan sisa sampah sendiri membuatkan mereka membuang sampah sesuka hati sahaja di pekan Sungai Besar. Penduduk kawasan ini masih gagal dalam bab pengurusan sampah walaupun pendedahan dan didikan telah diberikan kepada mereka. Sebagai contoh, mereka membuat longgokan sampah serta membakar sampah-sampah tersebut tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatannya.
Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menjadi punca berlakunya masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar. Sebagai contoh, peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang dan pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan masyarakat sesuka hati membuang sampah di sekitar kawasan pekan Sungai Besar sehingga kawasan pekan Sungai Besar kelihatan kotor dengan sampah yang dibuang merata-rata dan tidak peduli dengan undang-undang yang sedia ada. Pungutan sampah dijalankan sekali dalam sehari menyebabkan tempat pembuangan sampah penuh dan sampah-sampah tersebut bertaburan apabila ditiup angin serta diselongkar oleh binatang seperti biawak, tikus, anjing dan kucing.
Punca masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar disebabkan sikap tidak peduli pengusaha premis-premis perniagaan gerai dan restoran. Masalah pembuangan sampah oleh premis-premis perniagaan ini menyebabkan longgokan sampah terbiar di merata-rata tempat. Mereka tidak mengurus sampah dengan baik dan hanya meletakkan sampah terbiar tersebut di tepi-tepi kawasan perniagaan mereka. Terdapat sesetengah premis makanan didapati tong sampah dipenuhi sisa makanan yang tidak dibuang ke tempat pembuangan sampah menyebabkan sampah bertaburan, longkang dipenuhi dan dicemari air kotor kerana sisa minyak dan sampah dibuang di dalam longkang sehingga aliran tersekat. Pengusaha makanan tidak sepatutnya membiarkan tong sampah mereka penuh dengan sisa makanan dan sampah seperti plastik, botol dan lain-lain lagi kerana masalah ini dapat menjejaskan kebersihan kawasan persekitaran pekan Sungai Besar. Selain itu, air busuk yang keluar dari longkang juga berpunca daripada kurangnya proses penyelenggaraan yang berkesan.
Akhir sekali, punca masalah pembuangan sampah di Sungai Besar adalah kurang tapak pelupusan sampah dan kekurangan tong sampah yang disediakan pihak berkuasa tempatan. Apabila kurang tapak pelupusan sampah dan kekurangan tong sampah penduduk di kawasan ini membuang sampah sesuka hati tanpa mempedulikan kesannya kepada masyarakat dan alam sekitar. Kawasan pembuangan sampah terbuka di tempat-tempat tertentu, menjadi tumpuan masyarakat di Pekan Sungai Besar untuk membuang sampah mereka di tempat tersebut sehingga berlakunya lambakan sampah domestik dan sampah bukan domestik di kawasan tersebut. Ketiadaan tong sampah khas menyebabkan masyarakat membuang sampah di tempat terbuka tersebut sekaligus menyebabkan lambakan sampah yang menarik perhatian binatang liar.
Rajah 3
Rajah 4
Rajah 3 dan Rajah 4: Lambakan sampah di pekan Sungai Besar
KESAN-KESAN LONGGOKAN SAMPAH DI PEKAN SUNGAI BESAR, SELANGOR
Antara kesan masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar adalah pencemaran bau. Pencemaran bau disebabkan longgokan sampah yang tidak diambil mengikut jadual. Sampah terlalu banyak dan sampah tidak dibuang dengan betul ke dalam tong sampah menyebabkan pencemaran bau berlaku. Sampah yang diletakkan di tepi tong sampah dan dibiarkan di atas jalan dan lantai oleh peniaga selepas berniaga mengakibatkan longgokan sampah bertaburan dan mendatangkan bau yang busuk di kawasan sekeliling pekan Sungai Besar. Sampah dan air kumbahan dari pasar menyebabkan longkang tersebut tersumbat dan menyebabkan air longkang tidak dapat mengalir dengan lancar. Hal ini menyebabkan datangnya bau busuk dari longkang disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab masyarakat terhadap pembuangan sampah ke dalam longkang.
Kesan daripada masalah ini juga boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Sisa-sisa longgokan sampah membawa pelbagai wabak penyakit yang disebarkan oleh vektor atau haiwan-haiwan perosak seperti lalat, tikus, lipas, anjing, biawak dan lain-lain. Hal ini menyebabkan berlakunya penularan pelbagai wabak penyakit kesan daripada pembuangan sampah yang tidak teratur dan longgokan sampah yang tidak diselenggara memberi kesan kepada kesihatan masyarakat seperti demam denggi, taun, malaria, keracunan makanan dan sebagainya. Sebagai contoh, pembuangan sampah yang menyebabkan air bertakung boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes sehingga penyakit demam denggi tersebar kepada orang sekeliling di pekan Sungai Besar sehingga boleh membawa maut.
Selain itu, masalah pembuangan sampah juga mengganggu keseimbangan ekosistem. Pengurusan sampah yang tidak teratur di pekan Sungai Besar menyebabkan pelbagai kesan yang negatif kepada keseimbangan ekosistem persekitaran di pekan Sungai Besar. Sampah-sampah yang mengandungi bahan kimia atau bahan organik seperti sisa-sisa makanan yang dibuang oleh pihak restoran, peniaga-peniaga ke dalam kawasan air mengakibatkan ekosistem terganggu. Hal ini dikatakan demikian kerana, sisa makanan yang dibuang di kawasan itu mendapat jumlah nutrien yang berlebihan. Keadaan ini boleh menyebabkan proses "eutrophication" dimana nutrien-nutrien tersebut menyebabkan alga tumbuh berlebihan dan apabila alga-alga itu mati, bakteria yang mereputkan alga tersebut akan mempergunakan jumlah oksigen yang banyak hingga menyebabkan hidupan air yang lain tidak dapat hidup kerana kekurangan oksigen. Bau busuk bangkai hidupan akuatik yang mati di kawasan sungai kecil di Pekan Sungai Besar menyebabkan ketidakselesaan kepada masyarakat di sekeliling akibat bau busuk tersebut.
Akhir sekali, menjejaskan imej dan reputasi daerah Sabak Bernam Selangor serta negara di mata masyarakat antarabangsa. Longgokan sampah dan sisa sampah yang dibuang ke dalam longkang mencacatkan keindahan yang terdapat di pekan Sungai Besar. Hal ini kerana sikap masyarakat yang membuang sampah tanpa mempedulikan alam sekitar dan kesihatan sekeliling terjejas disebabkan sifat mereka. Pelancong luar yang datang ke kawasan ini pasti akan berasa tidak selesa disebabkan pencemaran bau akibat sampah-sampah yang tidak diselenggara dengan baik sekaligus menjejaskan imej pekan Sungai Besar.
LANGKAH MENANGANI LONGGOKAN SAMPAH DI PEKAN SUNGAI BESAR
Antara langkah menangani masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar adalah penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan sampah. Undang-undang sedia ada perlu diperketatkan dan pihak berkuasa perlu kerap membuat pemantauan dan rondaan di tempat-tempat tumpuan utama tumpuan bagi mendidik masyarakat di pekan Sungai Besar. Jika tidak, masalah ini akan berlarutan sehingga menjadi budaya dalam masyarakat. Pelaksanaannya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar meletakkan tanda amaran tanpa sebarang tindakan. Segelintir masyarakat yang membuang sampah secara sesuka hati serta mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan pembuangan sampah secara haram akan dikenakan tindakan yang sewajarnya. Dengan cara ini diharapkan agar mereka dapat menguruskan sampah dengan baik dan bukan meninggalkan sampah secara sesuka hati.
Langkah seterusnya, membuat perancangan dan pengurusan sampah yang sistematik. Masyarakat mestilah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian. Program 3R iaitu program Pengurangan, Penggunaan Semula dan Kitar Semula. Pihak berkuasa perlu meletakkan tempat-tempat khas untuk masyarakat membuang sampah atau bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti botol, plastik, bekas minuman aluminium, bateri terpakai, tayar buruk, kertas atau surat khabar lama dan besi. Walaupun program ini melibatkan kos yang tinggi, tetapi kesan program ini dilihat memberi kesan dalam jangka panjang. Kaedah ini dapat membantu mengurangkan pembuangan sampah merata-rata dan sekaligus menjimatkan sumber alam.
Selain itu, menambah baik sistem pengurusan pembuangan sampah dan menambah jumlah bilangan tong sampah di tempat awam merupakan langkah berkesan dalam menangani masalah ini. Dengan menambah jumlah tong sampah di kawasan-kawasan utama di pekan Sungai Besar masyarakat tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan tiada lagi masalah yang berlaku akibat kekurangan jumlah tong sampah di tempat awam. Dengan penambahan bilangan tong sampah membantu menangani masalah pembuangan sampah di Pekan Sungai Besar. Sungguhpun begitu, pihak berkuasa juga perlu menambah baik sistem pengurusan pembuangan sampah bagi memastikan lori-lori sampah dapat bertugas untuk mengutip segala sampah-sarap yang ada pada masa-masa tertentu mengikut jadual yang lebih efektif dan berkesan agar proses mengutip sampah ini dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Kutipan sampah yang lebih kerap dapat menghindarkan sampah daripada berlonggok yang seterusnya boleh mengundang haiwan terbiar seperti anjing, kucing dan tikus menyebabkan sampah-sampah tersebut bersepah dan seterusnya boleh mengundang kepada penyakit lain.
Penutupan tapak pelupusan sampah-sampah haram juga merupakan langkah terbaik dalam menangani masalah pengurusan sampah di pekan Sungai Besar. Penutupan tapak pelupusan sampah haram diselesaikan dengan membersihkan tanah di kawasan tersebut, menanam pokok-pokok dan lain-lain. Pihak berkuasa juga perlu memasang kamera keselamatan di jalan tumpuan utama untuk mengawal aktiviti haram ini daripada terus berlaku. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menyediakan tong sampah besar bagi setiap lot perumahan atau jalan kampung bagi memudahkan penduduk kampung membuang sampah tanpa perlu membuangnya ke tong sampah besar yang terletak agak jauh daripada rumah mereka.
Langkah menangani masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar adalah melalui pendidikan. Pihak sekolah mestilah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada pelajar-pelajar di sekolah. Pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah dapat memberikan pengekalan alam sekitar yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan mengenai alam sekitar menjadi didikan kepada pelajar-pelajar agar menerapkan kebersihan alam sekitar pada setiap masa. Kurikulum ini boleh dilaksanakan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menanamkan kesedaran secara lebih mendalam kepada mereka. Selain itu, murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah juga wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang cara pembuangan sampah dengan lebih sistematik dan berkesan.
Akhir sekali, pihak berkuasa juga perlu mengadakan kempen-kempen berkaitan penjagaan alam sekitar dengan lebih berkesan. Pelbagai media massa boleh digunakan untuk penyampaian maklumat melalui kempen-kempen tersebut. Contohnya, televisyen, surat khabar, majalah dan radio boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembuangan sampah terutama di kawasan pekan Sungai Besar. Kempen yang dijalankan dengan berkesan dapat menangani masalah ini. Masyarakat perlu dididik tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Oleh itu, melalui kempen yang dilaksanakan penduduk setempat dapat mengurangkan masalah ini daripada berlanjutan.
PENUTUP
Kesimpulannya, semua pihak perlulah bersama-sama menangani masalah pembuangan sampah di pekan Sungai Besar demi kesejahteraan dan keselesaan masyarakat. Pelbagai langkah boleh digunakan agar masalah ini tidak berlanjutan dan penjagaan alam sekitar dapat diterapkan dalam diri masyarakat. Masalah sampah sudah melebihi kapasiti di tempat pembuangan sampah sehingga menjadi longgokan bukan hanya menjejaskan pemandangan malah lebih teruk boleh mengundang haiwan pembawa penyakit termasuk tikus. Longgokan itu menarik perhatian haiwan liar termasuk anjing serta tikus untuk membongkarnya dan membahayakan penduduk. Pihak berkuasa perlu memberi perhatian tentang masalah ini kerana pembuangan sampah sesuka hati akan memberi kesan negatif seperti menjejaskan kesihatan masyarakat setempat, hidupan akuatik musnah dan pupus di sungai-sungai kecil. Secara tidak langsung pencemaran juga berlaku seperti pencemaran bau, pencemaran udara yang memberi kesan buruk kepada kualiti udara, kualiti air dan lain-lain lagi.
RUJUKAN
Abdul Rashid Ahmad, Hasnah Ali (2001) Municipal solid waste reduction: Material flow analysis. In: Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd Rashid Ahmad, Mohd Zahir Abdul Hamid (eds) Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, pp, 107-116. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob (2012) Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi. Jurnal Masyarakat Ruang dan Alam Sekitar, 5(64-75)
MUHAMAD FIQRURAZI BIN AHMAD SHAMSURI. (2015). MASALAH LONGGOKAN SAMPAH KAWASAN PERUMAHAN BERTERES KAJIAN KES: TAMAN UNIVERSITI, SKUDAI, JOHOR. Diperolehi daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf
Muhamad Fiqrurazi. (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Fakulti Geoinformasi Dan Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia
Nurul Hidayah Liew Abdullah, Haryati Binti Shafii & Seow Ta Wee. (2013). PENDIDIKAN ALAM SEKITAR SEBAGAI MEDIUM UTAMA DALAM KONTEKS MENINGKATKAN KESEDARAN ALAM SEKITAR: SATU KAJIAN PERSEPSI DARI SUDUT PANDANGAN PENTADBIR, GURU, IBU BAPA DAN MURID. Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Malaysia. Diperolehi daripada
NURUL NATASYA LYANA BINTI RAZEMI
D20201094281
KUMPULAN A
No comments:
Post a Comment