Sunday, June 12, 2022

ISU LAMBAKAN SAMPAH DI PULAU LANGKAWI, KEDAH

Sisa pepejal merupakan hasil buangan daripada aktiviti sosio-ekonomi manusia yang mempunyai sifat kotor dan dianggap tidak berguna dan pengurusan sisa pepejal adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan bandar di negara membangun (Hasnah, 2012). Peningkatan penghasilan sisa pepejal dipengaruhi oleh pembangunan ekonomi, pertumbuhan penduduk dan perindustrian (Zuroni, 2018). Isu sampah merupakan isu global yang tiada penghujungnya. Ramai yang terkesan apabila pengurusan sampah tidak dilakukan dengan baik. Peningkatan sampah yang sering meningkat semakin merunsingkan. Pulau Langkawi iaitu pulau pelancongan tidak terkecuali dibelengu dengan masalah lambakan sampah yang tidak diurus dengan baik. Semakin parah apabila alam sekitar turut menerima tempias lambakan sampah seperti masalah banjir kilat, sampah hanyut dan tapak pelupusan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Melalui penulisan ini, akan diterangkan lebih terperinci lokasi kajian, kajian kes, punca dan langkah-langkah pengurusan sampah.

LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN

Pulau Langkawi yang disebut sebagai Permata Kedah merupakan salah satu tempat pelancongan yang bertaraf antarabangsa yang terletak di utara Malaysia dan dibawah negeri Kedah. Kedudukan yang strategik iaitu pelancong boleh datang ke Langkawi dengan menaiki feri kerana jaraknya dari Kuala Kedah ialah sejauh 51.5km dan dari Kuala Perlis pula hanya sejauh 30km. Bagi pelancong luar negara boleh datang ke Langkawi menggunakan kapal terbang kerana Langkawi mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan di Semenanjung Malaysia.. Pulau Langkawi terdiri daripada enam mukim iaitu Kuah, Padang Matsirat, Kedawang, Bohor, Air Hangat, dan Ulu Melaka manakala Pekan Kuah merupakan pusat bandar dan pentadbiran bagi Pulau Langkawi (Adnan, 2013). Pulau Langkawi mempunyai sungai yang sangat indah seperti Sungai Kuah, Sungai Menghulu, Sungai Kisap dan Sungai Air Hangat. Sehingga kini, pembangunan di Langkawi semakin pesat dan ekonomi di Langkawi juga semakin maju. Ramai penduduk di Langkawi memilih untuk menjadikan perniagaan sebagai pendapatan utama. 



Rajah 1: Peta Pulau Langkawi

Pada tahun 1987, Pulau Langkawi telah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai  dan telah menerima peruntukan dana sebanyak RM521.5 dalam Rancangan Malaysia ke-6 dan disalurkan kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi pelancong serta menggalakkan kemudahan perniagaan dan perdagangan. LADA merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan serta memajukan kawasan Pulau Langkawi (Suhaya Samad, 2013). Fungsi LADA ialah bagi dalam sektor melaksanakan pembangunan sosioekonomi, menggalakkan dan memajukan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan bebas cukai, memfokuskan pembangunan pelancongan dan infrastruktur serta menyelaraskan prestasi aktiviti-aktiviti pembangunan di sekitar kawasan Pulau Langkawi. Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) juga merupakan sebuah lagi agensi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Langkawi bersama-sama dengan LADA. 


RINGKASAN KES LAMBAKAN SAMPAH DI PULAU LANGKAWI

Menjadi satu isu yang sering diperbahaskan apabila Pulau Langkawi menerima jolokan nama "Pulau Sampah". Memetik petikan dari Berita Harian (2021), kebanyakan sampah berpunca dari kawasan penempatan haram iaitu Bukit Malut yang didiami sekitar 5000 orang. Pihak MPLBP yang mengurus sisa pepejal di kawasan itu berkata bahawa mereka memperoleh tiga tan sampah dalam sekali kutipan di kawasan penempatan itu. Ini menunjukkan bahawa kawasan Bukit Malut masih tidak peka dengan pengurusan sisa pepejal dengan  baik walaupun telah menerima kemudahan membuang sampah seperti menerima dua tong roro bermuatan empat tan dari pihak MPLBP. Pihak MPLBP juga mengagihkan plastik sampah kepada penduduk di penempatan itu agar penduduk dapat membuang sampah dengan betul. Menjadi satu masalah besar kepada masyarakat Langkawi apabila sampah-sampah yang dibuang akan hanyut ke laut apabila air mula pasang dan memberi imej yang buruk kepada Pulau Langkawi.

Gambar 1: Kawasan Penempatan di Bukit Malut

Sumber: Utusan Malaysia

Selain lambakan sampah berpunca di Bukit Malut. Pulau Langkawi juga menerima kesan pembuangan sampah dari sektor pelancongan. Lambakan sampah ini  dapat di lihat di kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di Pantai Cenang, Pekan Kuah, sungai-sungai dan di kawasan rekreasi seperti Kilim Geopark, Air Terjun Telaga Tujuh, Taman Lagenda dan pantai-pantai. Walaupun pengurusan sisa pepejal di Langkawi sangat cekap namun apabila masalah ini tidak diatasi dari akar umbi, isu ini mampu merosakkan reputasi Pulau Langkawi. Sebagai contoh, Sungai Kuah sentiasa menghadapi masalah longgokan sampah walaupun telah berkali-kali dilakukan pembersihan besar-besaran oleh pihak berkuasa.  Menurut tinjauan yang telah dilakukan oleh Sahabat Alam Malaysia (2015) mendapati bahawa punca utama berlakunya pencemaran di Sungai Kuah adalah kerana sungai tersebut dicemari oleh buangan sisa kumbahan dari premis-premis perniagaan dan kawasan perumahan di sekitar Kuah yang telah menimbulkan bau busuk dan mencemarkan air laut berhampian. Selain itu, Kemasukan pelancong yang tidak terkawal di Taman Laut Pulau Payar menyumbang kepada pencemaran laut akibat tumpahan minyak dari bot-bot pelancong, penjanaan sampah sarap, kerosakan terumbu karang hasil aktiviti menyelam disamping kemudahan pelancong tidak diselenggara dengan baik (Johan & Zaki, 2011).


Gambar 2: Longgokan sampah di salah satu pantai di Pulau Langkawi

Sumber: Harian Metro


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SAMPAH DI PULAU LANGKAWI

Pelbagai langkah yang boleh dilakjukan sama ada dari pihak MPLBP atau dari rakyat Pulau Langkawi sendiri. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak MPLBP ialah dengan melakukan kutipan sampah dengan teratur dan terancang. Isu lambakan sampah boleh terjadi apabila pihak yang bertanggungjawab tidak melakukan kutipan sampah mengikut jadual dan waktu yang telah ditetapkan. Maka, terjadilah lambakan sampah yang tidak terkawal sehingga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Selain itu, pihak MPLBP juga perlu meletakkan roro atau tong sampah mengikut jumlah penduduk di satu-satu tempat. Melalui kaedah ini, penduduk lebih mudah untuk membuang sampah dan tidak perlu mencari tong sampah yang lain  jika tong sampah di kawasan tersebut penuh.

Langkah seterusnya yang boleh dilakukan bagi mengekang masalah lambakan sampah ialah dengan mewartakan undang-undang dan memastikan semua penduduk di Pulau Langkawi dapat mengikuti dan mematuhi undang-undang tersebut. Sebagai contoh, Bermula 1 September 2015, kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat. Pelaksanaan ini adalah berdasarkan peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah (Tan Su Lin, 2016). Melalui kaedah ini, penduduk perlu mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi pepejal. Pihak Jabatan Laut juga telah melakukan beberapa langkah bagi memelihara kebersihan pulau-pulau di sekitar Pulau Langkawi dengan menutuop sementara pulau bagi tujuan pembersihan dan telah menghad kedatangan pelancong seramai 200 orang sehari berbanding 400 orang sehari sebelum ini (Berita Harian, 2010)

Langkah yang terakhir yang boleh dipraktikkan oleh penduduk di Pulau Langkawi adalah dengan mengamalkan amalan zero waste. Maksud zero waste ataupun sisa sifar adalah menggunakan semua material sehingga maksimum mungkin bagi mengelakkan material tersebut hanya berakhir di tong sampah.  Muhammad Hisyam (2014) mentakrifkan sisa sifar sebagai kegiatan memaksimumkan amalan kitar semula dan meminimumkan sisa lebihan mengurangkan penggunaan, serta memastikan barangan yang digunakan boleh dikitar semula, diguna semula, dibaiki dan dikompos. Melalui pendekatan ini, setiap individu masyarakat menjadikan nilai kitar semula sebagai amalan. 

KESIMPULAN

Tuntasnya, setiap individu masyarakat perlu bertanggungjawab dalam mengendalikan sampah bagi mengelakkan berlakunya lambakan sampah. Masyarakat di Pulau Langkawi juga harus sedar dalam pentingnya menjaga alam sekitar kerana pulau pelancongan ini menerima pelancong dari dalam negara dan luar negara, maka imej pulau harus dijaga. Selain dari keselesaan penduduk Pulau Langkawi sendiri, penduduk sendiri haruslah sedar bahawa lambakan sampah akan merosakkan alam sekitar seperti kerosakan terumbu karang, membahayakan hidupan laut, penularan denggi dan mencemarkan kualiti air sungai dan laut. Semoga masyarakat semua berganding bahu dalam memelihara dan menjaga alam sekitar.



RUJUKAN

Adnan, M. A. H. (2013). Dasar dan strategi pembangunan pelancongan di Langkawi: analisis menurut perspektif ekonomi Islam/Mohd Al Hafiz bin Adnan (Doctoral dissertation, University of Malaya).

Berita Harian. (2010). 9 Lokasi Menyelam Popular Ditutup. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my

Berita Harian (2021). Langkawi Ditimbuni Sampah. Diperoleh dari https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/767421/langkawi-ditimbuni-sampah-metrotv

Ibrahim, J. A., & Ahmad, M. Z. (2011). Pelancongan Langkawi 1987–2010: Pencapaian dan cabaran masa depan. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI), 5-7.

Muhammad Hisyam, M. (2014), Sisa sifar: Pendekatan Terbaik Pengurus. Muat turun pada 5 Oktober 2018 dari laman sesawang http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7349- sisa-sifar-zero-waste-pendekatan-terbaik-pengurus-mengurus-sumber

Sahabat Alam Sekitar (2015). Sungai Kuah Semakin Tercemar. Diperoleh daripada https://foe-malaysia.org/my/articles/sungai-kuah-semakin-tercemar-sam/

Suhaya Samad, Md Shafiin & Norlida Hanim (2013). Impak pembangunan industri pelancongan kepada komuniti di Pulau Langkawi. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VIII (PERKEM VIII). 


AINOOL MARZIYAH BINTI MUTAWALI

D20182085707

KUMPULAN A


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...