Tuesday, June 14, 2022

ISU GANGGUAN BEKALAN AIR DI FELDA CHINI TIMUR, PEKAN, PAHANG DARUL MAKMUR

1.0  PENGENALAN

 

Air merupakan salah satu daripada keperluan manusia yang paling penting. Badan air merupakan sebuah kawasan yang meliputi kira-kira 25 peratus daripada keluasan di permukaan bumi. Air membentuk lebih kurang tiga per empat daripada berat badan manusia. Hal ini menunjukkan bahawa kehidupan manusia bergantung kepada air kerana ianya akan menyukarkan tubuh manusia sekiranya kekurangan air seterusnya boleh membawa maut jika kekurangan air. Menurut Ang Kean Hua (2015), air juga mempunyai kelebihan dalam membantu menyeimbangkan kitaran haba bumi melalui laut yang luas dengan sifatnya yang mempunyai inersia haba yang tinggi.

 

      Selain itu, air juga dapat wujud dalam bentuk cecair, pepejal dan gas. Air juga bersifat tidak berwarna, tidak mempunyai rasa dan bau. Tambahan pula, air juga merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana, air digunakan untuk keperluan di rumah, aktiviti sosial dan aktiviti ekonomi yang menggunakan air atau badan air. Kehidupan manusia akan menjadi kurang sempurna sekiranya ketiadaan air di dalam kehidupan. Di samping itu, kadar sejatan yang tinggi iaitu melebihi jumlah kerpasan semasa musim kemarau telah menyebabkan paras air di empangan dan sungai-sungai menjadi semakin susut. Empangan dan sungai-sungai ini amatlah penting untuk kepentingan penduduk yang menjadi sumber bekalan air utama bagi mereka. Malah, permintaan yang tinggi sedangkan sumber bekalan air yang terhad juga menyebabkan berlakunya krisis bekalan air khususnya kepada kawasan-kawasan bandar yang mempunyai bilangan penduduk yang agak ramai. Oleh itu, terbitlah beberapa isu yang mempunyai kaitan dengan penggunaan air kepada masyarakat.

 

2.0  KAWASAN KAJIAN

 

Kawasan kajian yang telah dipilih untuk melaksanakan kajian ini adalah di Felda Chini Timur di Pekan Pahang. Kawasan ini merupakan salah satu daripada daerah di Pekan, Pahang Darul Makmur. Felda Chini Timur merupakan sebuah tanah rancangan yang dibuka pada tahun 1978. Felda Chini Timur ini terletak di tengah-tengah laluan utama yang menghubungkan Kuantan dan Segamat. Jarak antara Kuantan dan Felda Chini Timur adalah sebanyak 90 km manakala antara Segamat adalah lebih kurang 135 km. Felda Chini Timur juga dipisahkan kepada tiga kawasan iaitu Felda Chini Timur 1, Felda Chini Timur 2 dan Felda Chini Timur 3.

 

      Rajah 1 di bawah menunjukkan kedudukan Felda Chini Timur dalam peta daerah Pekan manakala rajah 2 menunjukkan kawasan Felda Chini Timur.

 

Rajah 1. Peta Daerah Pekan, Pahang

Sumber : Pusat Ekonomi Digitial, Felda Chini Timur 2

 

Rajah 2. Peta Felda Chini Timur, Pekan, Pahang

Sumber : Google Maps


3.0  ISU GANGGUAN BEKALAN AIR

 

Kajian yang dilaksanakan adalah berkaitan dengan isu gangguan bekalan air di Felda Chini Timur. Isu ini telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu sehingga menjadi sebuah isu yang agak besar. Isu ini telah menjadi buah mulut penduduk kerana masih belum diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab.

 

      Menurut sebuah artikel daripada Sinar Harian (2020), dinyatakan bahawa Felda Chini Timur telah mengalami gangguan bekalan air selama 30 tahun di mana gangguan ini telah menganggu 33,000 penghuni isu rumah di kawasan Felda Chini Timur. Isu ini kerap berlaku apabila wujudnya beberapa punca yang mendorong kepada gangguan bekalan air. Menurut Shahrinnahar Latib (2019), seramai 1707 keluarga di Felda Chini Timur  mengalami kesukaran berikutan daripada gangguan bekalan air yang berlaku sejak bulan Februari pada tahun 2019. Tambahan pula, pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil inisiatif yang agak serius dalam membendung isu ini.

 

      Rajah di bawah menunjukkan isu gangguan bekalan air yang berlaku di Felda Chini Timur.

 


Rajah 3. Agihan bekalan air kepada penduduk di Felda Chini Timur

Sumber : Berita Harian, 2019 

 

Rajah 4. Jemaah Masjid Felda Chini Timur 3, Pekan mengambil air wuduk menggunakan air yang keruh daripada kolah tadahan air wuduk

Sumber : Berita Harian, 2019

 

Rajah 5. Penduduk terpaksa menggunakan air perigi yang digali bagi mendapatkan bekalan air mentah di kawasan Felda Chini Timur 2, Pekan

Sumber : Harian Metro, 2019

 

 

4.0  PUNCA GANGGUAN BEKALAN AIR BERLAKU

Punca gangguan bekalan air yang berlaku adalah disebabkan oleh kejadian kemarau. Kemarau berlaku apabila jumlah air di permukaan bumi mengalami proses sejatan dan perpeluhan yang tinggi daripada jumlah air yang masuk ke dalam permukaan bumi melalui proses kerpasan seperti hujan, embun dan salji dalam jangka masa yang panjang. Menurut Pegawai Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) iaitu Nurul Farhana Abdul Hamid menyatakan bahawa fenomena kemarau yang berlanjutan sehingga penghujung bulan Mac telah mengakibatkan Sungai Mentiga di Felda Chini menjadi kering sekaligus menyebabkan penyusutan mendadak terhadap paras bekalan air di Loji Air Chini (T.N Alagesh 2019). Situasi kemarau ini telah menyebabkan kawasan badan air mengalami kekurangan air seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di Felda Chini Timur

Selain itu, punca gangguan bekalan air yang seterusnya adalah sistem perparitan yang tidak sistematik. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem perparitan yang sempit dan cetek menyebabkan pengaliran air tidak berlaku dengan keadaan yang cekap dan sempurna. Tambahan pula, paip yang yang menyalurkan air ke kawasan rumah juga kerap mengalami kebocoran seterusnya menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terpaksa menutup penyaluran air ke kawasan rumah. Perkara ini berlaku kerana mereka perlu membaikinya terlebih dahulu sebelum menyalurkan kembali air ke kawasan perumahan.

Di samping itu, pencemaran air sungai juga menjadi salah satu punca kepada gangguan bekalan air berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana, pencemaran sungai yang berlaku akibat pembuangan sampah-sarap dan sisa domestik membuatkan kawasan sungai menjadi kotor dan berbau. Situasi ini telah memaksa pihak bertanggungjawab untuk memotong bekalan air terlebih dahulu supaya air yang disalurkan ke kawasan rumah adalah dalam keadaan yang bersih dan sihat. Oleh itu, pencemaran sungai juga telah menjejaskan salah satu kawasan badan air yang menjadi salah satu punca bekalan air utama kepada penduduk di Felda Chini Timur.

Punca gangguan bekalan air yang berlaku juga adalah disebabkan oleh kekurangan kawasan badan air. Menurut, Nor Khalilah Gusti Hassan (2020), badan air seperti sungai serta takungan air di Felda Chini Timur adalah kecil. Hal ini telah mendorong kepada limpahan air ke kawasan sekitar dan tidak disalurkan dengan mudah ke kawasan perumahan penduduk. Kekurangan kawasan badan air seperti sungai dan tasik juga menyebabkan bekalan air di Felda Chini Timur tidak mencukupi. Hal ini dikatakan demikian kerana, sungai yang berada di Felda Chini Timur hanya mempunyai satu sahaja iaitu Sungai Mentiga. Jika air sungai ini kering pada musim kemarau, ianya secara langsung mengganggu bekalan air kepada penduduk. 

 

5.0  KESAN GANGGUAN BEKALAN AIR

Kesan gangguan bekalan air adalah menjejaskan aktiviti harian penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana, air digunakan untuk pelbagai perkara oleh penduduk di rumah masing-masing. Sebagai contoh, air digunakan untuk membasuh pakaian, membersihkan diri dan membersihkan barang basah seperti ikan, sotong dan ayam. Berikutan bekalan air yang terputus, aktiviti harian penduduk juga akan terjejas kerana sukar menjalankan aktiviti harian dengan mudah dan cekap. Ketiadaan air ini juga akan mengganggu keselesaan penduduk dalam menjalankan kehidupan seharian ditambah pula dengan cuaca pada masa ini yang cukup panas.

Kesan kedua gangguan bekalan air adalah menjejaskan aktiviti perniagaan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kekurangan bekalan air akan membantutkan beberapa aktiviti perniagaan seperti kedai mendobi baju, gerai makanan, bengkel kenderaan dan sebagainya. Keperluan mereka terhadap air cukup tinggi kerana memerlukan kepentingan air kepada sektor ekonomi mereka. Kesannya, pendapatan pengusaha perniagaan akan terjejas sedikit demi sedikit kerana tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Seterusnya kesan gangguan bekalan air adalah menyebabkan penularan pelbagai penyakit. Hal ini dikatakan demikian kerana, gangguan bekalan air telah menyumbang kepada pelbagai jenis jangkitan dan penyakit berbahaya. Sebagai contoh, penyakit kulit, gatal-gatal, sakit perut dan sebagainya. Perkara ini berlaku disebabkan oleh kebersihan bekalan air yang tidak ditapis terlebih dahulu sebelum digunakan oleh penduduk. Bekalan air sementara lazimnya mempunyai kelodak dan beberapa bahan lain yang boleh memberikan bahaya kepada si peminum. Menurut Pengarah Kesihatan Pahang iaitu Dato' Dr Zainal Ariffin Omar, air bukit yang diambil berhampiran dengan Pusat Latihan Felda Chini tidak selamat untuk tujuan memasak atau minum kerana melalui ujian terhadap sampel yang dilaksanakan menunjukkan bahawa ianya adalah positif dengan bakteria coliform dan e-coli (Bernama, 2016). Justeru itu, air di kawasan bukit itu cukup bahaya untuk digunakan oleh penduduk di Felda Chini Timur.

 

6.0  LANGKAH MENGATASI GANGGUAN BEKALAN AIR

Langkah bagi mengatasi gangguan bekalan air adalah dengan melaksanakan catuan air. Hal ini dikatakan demikian kerana, jumlah air yang disalurkan kepada kawasan perumahan penduduk adalah dalam kuantiti yang sedikit. Oleh yang demikian, para penduduk haruslah bijak dalam menggunakan bekalan air yang disimpan. Catuan air juga dapat dilakukan dengan penggunaan bekalan air sehari sekali bagi menjimatkan jumlah air.

Langkah kedua adalah dengan mengekalkan kawasan tadahan hujan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kawasan tadahan hujan adalah sebuah kawasan penyimpanan air bawah tanah. Kawasan tadahan air atau kawasan hutan simpan juga bertindak sebagai span yang boleh menyerap air hujan masuk ke dalam tanah. Silara yang diwujudkan oleh daun-daun pokok juga boleh melakukan pintasan terhadap air hujan seterusnya mengurangkan halaju hujan yang turun ke kawasan permukaan bumi. Kekurangan halaju membolehkan air hujan meresap masuk ke dalam tanih yang dikenali dengan proses infiltrasi. Simpanan air bawah tanah ini juga penting kerana menjadi sumber air untuk sungai dan tasik.

Langkah seterusnya bagi mengatasi gangguan bekalan air adalah meningkatkan pengurusan air. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengurusan yang cekap oleh beberapa agensi yang bertanggungjawab mampu mengatasi masalah gangguan bekalan air di Felda Chini Timur. Penubuhan Majlis Sumber Air Negara juga mampu berperanan dalam merancang dan menguruskan sumber air negara. Langkah lain juga yang boleh dilaksanakan seperti menswastakan agensi sumber air yang lain seperti Pengurusan Air Pahang (PAIP). Pengurusan yang cekap juga merujuk kepada keupayaan dalam membina dan menguruskan loji rawatan air.  Tambahan lagi, Menteri Besar Pahang iaitu Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan bahawa kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM18 juta bagi pembinaan kolam takungan yang dijangka akan mengatasi gangguan bekalan air bagi penduduk di Felda Chini Timur (Noraniza Kamsani, 2020).

Langkah mengatasi gangguan bekalan air yang seterusnya juga adalah memupuk kesedaran masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, penduduk sendiri yang perlu disedarkan tentang kepentingan dalam menggunakan bekalan air dengan cara yang berhemah. Kesedaran kepada penduduk ini dapat dilaksanakan melalui beberapa kempen yang boleh dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan. Kempen-kempen kesedaran ini juga boleh dilaksanakan melalui penggunaan media cetak dan media elektronik bermula pada usia yang muda. Sebagai contoh, kempen penjimatan bekalan air. Perkara ini dapat memupuk sikap peka dalam diri penduduk sewaktu menggunakan bekalan air di rumah masing-masing.

7.0  KESIMPULAN

Secara rumusannya, isu gangguan bekalan air ini harus diatasi dengan kadar yang segera. Isu ini perlulah diatasi oleh pelbagai pihak supaya dapat mengembalikan sistem saluran air yang cekap kepada penduduk. Pihak-pihak yang bertanggungjawab juga hendaklah menjalankan tugas yang telah diamanahkan supaya isu ini tidak menjadi sebuah isu yang serius di masa akan datang. Langkah –langkah yang dihuraikan juga dapat diguna pakai atau dilaksanakan supaya isu bekalan air dapat diatasi dengan kadar yang segera. Semoga isu gangguan bekalan air di Felda Chini Timur dapat diatasi dengan segera. 

 

8.0  RUJUKAN

Ang Kean Hua. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia : Satu analisis. Malaysia Journal of Society and Space, 11 (6), 98-108. http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf


Nor Khalilah Gusti Hassan. (2020, Jun 14). 30 tahun derita, penduduk gembira masalah air bakal selesai. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/87792/EDISI/Pahang/30-tahun-derita-penduduk-gembira-masalah-air-bakal-selesai


Shahrinnahar Latib. (2019, Mac 27). Yayasan Pahang serah bekalan air minuman. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/545930/yayasan-pahang-serah-bekalan-air-minuman


Bernama. (2016, April 29). Air bukit di Chini tak selamat untuk memasak dan minum. Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/339723


Noraniza Kamsani. (2020, June 13). Masalah gangguan bekalan air di Chini setiap kali musim kemarau bakal berakhir. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/masalah-gangguan-bekalan-air-di-chini-setiap-kali-musim-kemarau-bakal-berakhir-246999


T.N Alagesh. (2019, Mac 8). Panas melampau daerah Pekan alami gangguan bekalan air. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/538816/panas-melampau-daerah-pekan-alami-gangguan-bekalan-air



NAMA: NURUL HADIRAH BINTI PAUZI

NO MATRIK: D20201094305

KUMPULAN KULIAH: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...