1.0 PENGENALAN
Banjir adalah keadaan air yang menenggelami atau menggenangi kawasan yang luas, bah atau air bah (Kamus Dewan Edisi Keempat). Banjir boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di bandar atau luar bandar yang berpunca daripada limpahan air takungan, sungai, tasik dan sebagainya sehingga ke kawasan tempat tinggal penduduk. Banjir juga boleh ditafsirkan sebagai kuantiti air yang banyak atau berlebihan yang mampu menenggelamkan sesuatu kawasan yang luas atau harta benda. Banjir telah diiktiraf sebagai bencana alam semulajadi yang sering berlaku (Web Portal World Meteorological Organization) di dunia termasuklah di Malaysia dan antara kejadian banjir yang sering terjadi adalah banjir kilat dan banjir monsun. Bagi Kampung Chenor, banjir yang berlaku setiap tahun ini ialah banjir monsun yang mana berlaku akibat peredaran bumi pada paksinya yang menghasilkan pergerakan angin iaitu angin monsun timur laut yang mengandungi banyak wap air dari kawasan bertekanan tinggi ke kawasan bertekanan rendah.
2.0 KAWASAN KAJIAN
Chenor adalah sebuah perkampungan kecil yang mula dibuka pada tahun 1971. Ketika itu, penduduk yang awal menetap di sini memilih untuk membina penempatan di tebing sungai Pahang atas faktor kemudahan sumber air untuk kegunaan domestik, kemudahan makanan seperti menangkap ikan atau udang selain kemudahan pengangkutan kerana pada waktu tersebut, perahu menjadi alat pengangkutan utama penduduk. Kini Chenor adalah sebuah pekan kecil yang sedang membangun dengan kegiatan ekonomi dan perniagaan dan menyaksikan pertambahan penduduk dari tahun ke tahun atas pelbagai faktor. Bagi penduduk di Kampung Chenor ini, banjir bukanlah satu isu atau perkara baru yang perlu mereka hadapi memandangkan banjir akan berlaku setiap tahun menjelang musim tengkujuh bermula bulan November sehingga Mac terutamanya di kawasan negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Banjir saban tahun ini adalah mimpi ngeri bagi setiap penduduk yang mengalaminya terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai kerana risiko menjadi mangsa banjir sangat tinggi.
3.0 FAKTOR BANJIR
Banjir yang berlaku di Kampung Chenor ini adalah disebabkan oleh faktor hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari tanpa henti dan meliputi satu kawasan luas serta tidak disebabkan oleh faktor manusia seperti penebangan hutan tanpa kawalan serta pembinaan infrastruktur berlebihan. Ini kerana kawasan Chenor masih kurang dengan aktiviti pembangunannya dari segi kemajuan bandar dan kepesatan ekonomi. Hujan lebat yang berterusan di kawasan Chenor ini dan daerah-daerah lain seperti Kuantan dan Jerantut telah menambah jumlah air sungai sedia ada dan mengalir terus ke dalam sungai Pahang. Air sungai seterusnya melimpah keluar melebihi tebing kerana jumlah air tidak lagi mampu ditampung oleh kedalaman dan keluasan sungai yang mana menenggelami rumah penduduk di kawasan rendah. Tambahan lagi, pada musim tengkujuh iaitu ketika monsun timur laut, udara sejuk telah bertemu dengan sistem bertekanan rendah lalu membawa hujan lebat di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.
4.0 KESAN SEMASA BANJIR
Banjir yang berlaku ini telah meninggalkan kesan terhadap manusia sama ada semasa banjir berlaku atau selepas air surut. Kesan yang menimpa penduduk Chenor semasa kejadian banjir berlaku adalah masalah emosi seperti kerisauan dan kegelisahan. Hal ini kerana, mereka berasa risau dan bimbang apabila terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan barang-barang yang tidak sempat diselamatkan disebabkan perlu menyelamatkan diri dan keluarga dahulu. Tambahan lagi, setelah sampai ke pusat pemindahan, mereka tidak berpeluang untuk melihat keadaan rumah yang telah dimasuki air atas faktor keselamatan. Semasa banjir, keselesaan penduduk juga akan terganggu kerana terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara bersama penduduk lain dan tidur di dalam khemah yang sempit dan panas. Mereka juga perlu berkongsi kemudahan dan peralatan yang terhad seperti bilik air dan dapur serta tidak mempunyai ruang peribadi seperti di rumah sendiri.
Rajah 2 : Kesan emosi terhadap penduduk yang berpindah
5.0 KESAN SELEPAS BANJIR
Manakala kesan negatif selepas banjir yang pertama terhadap manusia ialah kemusnahan harta benda. Harta benda seperti rumah, barangan dalaman rumah, kereta dan sebagainya akan musnah ditenggelami air terutamanya barang-barang elektrik seperti mesin basuh, televisyen dan peti ais dan tidak boleh dibaiki. Seperti yang terjadi kepada penduduk Chenor pada penghujung tahun lalu iaitu tahun 2021 di mana air sungai naik secara mendadak dan tiada persediaan awal dilakukan oleh penduduk setempat selain menyelamatkan diri sendiri dan membawa dokumen-dokumen penting sahaja. Keadaan air yang naik begitu cepat ini menjadikan penduduk tidak sempat mengalihkan kenderaan dan barang ke atas jambatan Chenor seperti kebiasaan atau ke dalam rumah bot yang sememangnya disediakan untuk kegunaan waktu banjir. Ini seterusnya mendatangkan kerugian kepada penduduk kerana mereka terpaksa membeli baru semua perkakasan elektrik untuk kegunaan harian. Selain barangan yang musnah dan dihanyutkan air banjir, ada rumah penduduk yang turut musnah dibawa arus deras sungai Pahang dan begitu menambah kos bina semula rumah baharu yang semakin meningkatkan harga barangannya.
Rajah 3 : Barangan rumah yang rosak ditenggelami air banjir
Rajah 4 : Keadaan rumah yang musnah teruk akibat banjir
Kesan negatif kedua banjir terhadap manusia adalah mendatangkan kerugian kepada penduduk dalam bidang pertanian. Di Chenor, pertanian yang dijalankan adalah pertanian getah, kelapa sawit, padi dan sayuran fertigasi seperti timun, terung, cili dan sebagainya. Apabila banjir berlaku, tanaman ini akan mati kerana terendam dalam air sekurang-kurangnya seminggu. Kemusnahan tanaman ini mendatangkan kerugian besar kepada petani dan mereka perlu bermula semula dari awal proses penanaman seperti penanaman biji benih selain terpaksa mengeluarkan kos membeli anak-anak pokok dan membaiki pagar yang tumbang dilanggar arus deras. Selain kerugian dalam sektor pertanian, sektor penternakan juga menerima tempias daripada bencana banjir ini. Aktiviti penternakan ikan sangkar seperti ikan patin dan talapia akan musnah dihanyutkan air yang mana melepaskan ikan tersebut ke dalam sungai dan perlu membeli semula anak ikan serta membuat sangkar baharu supaya aktiviti ini dapat dijalankan semula selepas banjir. Penternakan kerbau, lembu, kambing dan biri-biri juga terganggu apabila banjir berlaku ekoran penternak tidak sempat mengalihkan haiwan ternakan mereka ke tempat selamat dan akan mati lemas atau kebuluran tanpa makanan.
Seterusnya kesan negatif ketiga adalah meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan. Banjir yang berlaku setiap tahun di Kampung Chenor ini lama-kelamaan telah merosakkan harta awam seperti infrastruktur bangunan, jalan raya, tiang elektrik dan sebagainya yang memerlukan pemulihan agar kembali seperti sediakala. Banjir pada penghujung tahun 2021 ini telah meruntuhkan sebahagian jalan raya berhampiran tebing sungai yang mana memaksa pihak kerajaan dan pihak pengurusan bertindak segera membaiki keadaan jalan supaya tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat dan mereka boleh menggunakan jalan tersebut untuk menjalankan aktiviti seharian. Pembinaan jalan raya ini memerlukan kos yang tinggi dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan serta menimbulkan masalah kepada penduduk setempat kerana perlu menggunakan jalan lain yang lebih jauh untuk ke kawasan tebing sungai. Di samping itu juga, infrastruktur dan warna bangunan yang lama terendam dalam air akan pudar seterusnya memerlukan kos mengecat bangunan oleh pihak kerajaan atau pihak pentadbiran daerah Chenor.
Kesan negatif terakhir akibat banjir ini ialah mendatangkan bahaya kepada penduduk sehingga boleh membawa kepada kematian. Pertamanya, banjir boleh membawa maut di mana risiko untuk lemas amat tinggi terutamanya kepada kanak-kanak. Hal ini kerana ibu bapa atau anggota keluarga lain dalam kesibukan mengemas barang serta terleka atau terlepas pandang kepada kanak-kanak tersebut yang bermain sendirian dan sudah ada beberapa kes seperti ini berlaku dan cukup bahaya. Selain itu, arus elektrik yang masih mengalir apabila tiangnya ditenggelami air banjir juga menjurus kepada kes renjatan elektrik dan membawa maut sekiranya terjatuh ke dalam air. Tambahan lagi, ketika banjir berlaku, banyak penyakit bawaan air yang mudah merebak ke dalam sistem kesihatan tubuh badan manusia. Ini kerana banjir yang berlaku menenggelamkan kawasan takungan najis, sampah sarap dan lumpur dan mengalir merata-rata mengikut arus sungai sehingga menimbulkan penyakit taun, demam kepialu dan sebagainya yang memerlukan rawatan segera di hospital.
6.0 CADANGAN PENYELESAIAN
Cadangan penyelesaian yang boleh diambil bagi menangani atau mengurangkan risiko banjir yang pertama adalah dengan melaksanakan aktiviti mengorek dasar sungai bagi tujuan mendalamkan sungai. Projek pedalaman sungai di sepanjang sungai Pahang ini adalah langkah bersesuaian kerana dasar sungai yang semakin cetek akibat sampah-sarap atau hakisan tanah sejak sungai ini wujud yang mana pada zaman dahulu, sungai Pahang ini masih boleh menampung jumlah air sungai ketika banjir berlaku ekoran dasarnya yang masih dalam. Projek pedalaman sungai ini memerlukan pihak bertanggungjawab seperti Kerajaan Negeri dengan mengorek semua mendapan dan memindahkannya ke kawasan yang lebih sesuai. Apabila projek ini selesai, sungai akan mampu menampung aliran air yang banyak dalam satu-satu masa terutamanya ketika musim tengkujuh yang mana hujan turun dengan lebat tanpa henti dan akan mengurangkan limpahan air sungai ke kawasan rumah penduduk.
Cadangan penyelesaian kedua adalah dengan memelihara kawasan berhutan. Secara umumnya, semua orang mengetahui bahawa hutan adalah kawasan tadahan air yang mana berperanan menyimpan dan menyerap hujan melalui proses resapan ke dalam tanah serta membantu mengurangkan aliran air hujan dari masuk terus ke dalam sungai dan menambah isipadu sungai tersebut. Jika hutan dimusnahkan terutama di kawasan berbukit, hujan yang turun akan mengalir terus ke dalam sungai dan membawa sekali tanah dan lumpur yang akhirnya mencetekkan dasar sungai. Disebabkan itu, hutan sedia ada perlu dijaga dan dipelihara serta dikekalkan selain usaha menanam rumput di kawasan tebing yang mana boleh menghalang hakisan dan gelongsoran tanih.
7.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, isu banjir di Chenor ini adalah perkara serius dan tidak boleh dipandang enteng oleh sesetengah pihak seperti pihak kerajaan dan tempatan atas alasan mereka tidak mengalaminya. Justeru, kerjasama semua pihak perlu diperkukuhkan agar bencana banjir ini dapat dikurangkan supaya memberi manfaat kepada semua pihak dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Saliran dan Pengairan sahaja. Penduduk kampung Chenor juga perlu bersama-sama menjaga sungai dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan amanah dan sempurna agar penduduk menerima keselesaan dan tidak lagi menimbulkan masalah di lain hari. Akhir kata, setiap orang perlu berhati-hati dengan air kerana umpama peribahasa, air kecil adalah kawan dan besar adalah lawan.
RUJUKAN
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Banjir. Diperoleh pada Jun 5, 2022 daripada https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=banjir
Pusat Ekonomi Digital Kg Chenor. (2022, Jun 4). Sejarah Chenor. https://kgchenor.pjk.com.my/index.php/warga-pi1m/maklumat-pi1m/sejarah/43-sejarah-chenor
Majlis Keselamatan Negara. (2022, Mac 12). Akibat banjir : kesan yang anda perlu tahu. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/12/31179/
Hello Doktor. (2021, Disember 30). 4 kali lebih tertekan, ini antara kesan jangka panjang terhadap mangsa banjir. https://hellodoktor.com/kesihatan/berita/akibat-banjir-mangsa/
TN Alagesh. (2022, Januari 1). Langkah jangka panjang kurangkan risiko, kesan banjir. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/906528/langkah-jangka-panjang-kurangkan-risiko-kesan-banjir-pm
Ang K, H. (2016). Persepsi masyarakat terhadap bencana banjir monsun di Malaysia : Kajian kes di Kota Bharu, Kelantan. Malaysia Journal of Society and Space. Diperoleh dari https://www.ukm.my/geografia/images/upload/3x.geografia-jul16-angkeanhua-edam.pdf
No comments:
Post a Comment