Tuesday, May 31, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK-ISU KEMISKINAN DAN TARAF HIDUP RENDAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI SUNGAI RUAL.

PENGENALAN

Taraf hidup dapat didefinisikan sebagai tahap keselesaan yang dicapai dalam kehidupan individu mahupun masyarakat di mana takrif ini di ambil daripada pengertian taraf itu sendiri yang bermaksud tingkat kedudukan masyarakat, martabat serta darjat manakala hidup pula ialah cara tertentu individu atau sesuatu kumpulan menjalani kehidupan samada secara bersederhana, mewah dan sebagainya. (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Menurut  Julizah Sabstu (2014) taraf hidup ialah satu formula yang digunakan untuk mengukur perbandingan antara boleh belanja yang diterima oleh seseorang individu atau keluarga dengan mengambil kira kos sara hidup. Maka jika pendapatan yang diterima oleh seseorang individu mahupun keluarga melebihi kadar kos sara hidup maka boleh dikatakan bahawa taraf hidup mereka adalah tinggi dan meningkat. Manakala jika pendapatan yang diterima adalah rendah berbanding kos sara hidup maka taraf kehidupannya adalah rendah dan merosot. Mengikut data yang diperoleh secara atas talian menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kadar kemiskinan luar bandar adalah lebih tinggi berbanding data statistik miskin bandar iaitu sebanyak 1.0% berbanding masalah miskin bandar hanyalah 0.2% sekitar tahun-tahun sebelum penularan wabak Korona Virus. Oleh itu, kemiskinan luar bandar yang mengakibatkan isu kemiskinan dan taraf hidup rendah khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli juga harus diberi perhatian oleh masyarakat bahkan bekas perdana menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir beliau berkata "Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli melalui penjanaan pendapatan yang tetap dan stabil".

Perkampungan orang asli Sg. Rual merupakan sebuah perkampungan unik orang asli yang terletak di daerah Jeli, Kelantan di mana perkampungan tersebut memiliki enam buah perkampungan orang asli secara keseluruhannya dan didiami oleh masyarakat Orang Asli Jahai. Kampung ini ditubuhkan pada 1972 dalam program petempatan semula oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Jika dilihat dalam aspek taraf hidup masyarakat orang asli di perkampungan ini memiliki taraf hidup yang rendah akibat sektor ekonomi yang dijalankan oleh mereka juga amat terhad iaitu bergantung kepada sektor ekonomi pertama seperti pertanian dan perladangan. Kebanyakan penduduk di sana ialah terdiri daripada golongan masyarakat B40 kumpulan B1 iaitu dengan kadar purata pendapatan bulanan ialah kurang daripada Rm2,500 sebulan.


Gambar rajah 1: Lokasi Perkampungan Masyarakat Orang Asli Sg. Rual.



FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TARAF HIDUP RENDAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI SUNGAI RUAL, JELI, KELANTAN.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan taraf hidup masyarakat orang asli di kampung Sungai Rual adalah rendah namun faktor utama yang menyebabkan isu tersebut berlarutan ialah faktor pekerjaan dan faktor sosial. Hal ini dikatakan sedemikian kerana:-


I. Faktor  Pekerjaan.

Faktor pekerjaan menjadi faktor utama kemiskinan dan taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang asli di perkampungan Sungai Rual ialah kerana kurangnya peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada masyarakat orang asli akibat beberapa kekangan dan batas perhubungan yang terhad yang terpaksa dihadapi oleh mereka. Menurut maklumat yang diperoleh melalui kaedah tinjauan ke kawasan kajian pengkaji boleh menyatakan bahawa sektor ekonomi utama masyarakat orang asli di kawasan tersebut ialah tertumpu kepada sektor pertanian. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, faktor pembangunan dan perhubungan masyarakat orang asli yang sangat terhad dan kurangnya pembangunan yang dijalankan di kawasan tersebut menyebabkan golongan ini hanya mengharapkan sektor pertanian semata-mata. Antara pekerjaan yang banyak di dominasi oleh penduduk kampung ialah penoreh, peladang dan pemungut hasil hutan.

Seperti yang umum diketahui pekerjaan ini bukanlah mendatangkan hasil dan pendapatan yang lumayan di mana kadar upah yang diperoleh oleh mereka adalah sedikit dan ada di antara mereka yang tidak bekerja dan menganggur. Maka  isu ini menjadi salah satu sebab mengapa taraf hidup masyarakat orang asli di perkampungan tersebut adalah rendah tambahan pula kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh penduduk adalah tinggi melebihi hasil pendapatan bulanan yang diperoleh oleh mereka lebih-lebih lagi apabila krisis makanan yang berlaku akhir-akhir ini menyebabkan harga barangan keperluan naik secara mendadak.

Jika disoal "bukankah ada bantuan daripada agensi kerajaan yang menghulurkan bantuan?" maka boleh dikatakan bahawa ianya adalah benar namun bantuan yang diterima oleh mereka bukanlah mencukupi bahkan ada sesetengah mereka terpaksa mengikat perut dan menahan lapar kerana jumlah bantuan yang diberi hanya boleh di gunakan pada awal-awal bulan sahaja dan banyak tanggungjawab lain yang terpaksa ditanggung oleh mereka seperti pengurusan sekolah anak-anak dan sebagainya.

Walaupun ada di antara mereka yang berkhidmat sebagai peladang namun mereka hanyalah bekerja untuk tuan ladang yang kebanyakannya ialah berbangsa Cina. Bagi penduduk yang menjalankan kegiatan mencari hasil hutan seperti herba tradisional, pokok rotan untuk dijadikan kraf tangan hasil pendapatan seumpama itu tidaklah lumayan kerana ianya adalah bergantung kepada rezeki mereka. Hal ini dikatakan sedemikian kerana,  kurangnya pembeli yang membeli barangan yang dibuat oleh mereka dan masyarakat orang asli di perkampungan tersebut kurang pandai dalam ilmu perniagaan dan tidak tahu bagaimana cara untuk mempromosikan barangannya kepada orang luar akibat tiada pengetahuan dalam perniagaan dan teknologi (ICT).


II. Faktor Sosial

Selain daripada faktor sektor ekonomi iaitu pekerjaan faktor sosial juga menjadi salah  satu penyebab rendahnya taraf hidup masyarakat orang asli di Kampung Sungai Rual Jeli. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, faktor sosial seperti pendidikan menyebabkan masyarakat orang asli Sungai Rual tidak memiliki ilmu untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan kebanyakan daripada mereka hanyalah bergantung dengan bantuan kerajaan dan badan-badan NGO semata-mata. Sebagai buktinya anak-anak orang asli yang di beri peluang untuk melanjutkan persekolahan hanyalah pada tahap rendah dan menengah sahaja dan kebiasaannya mereka selalu tidak hadir ke sekolah dan kurang berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang lain. Menurut  Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli, beliau berkata bahawa peratusan pelajar orang asli yang lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM (Sijil Pembelajaran Malaysia) adalah sangat rendah dan jika ada hanya mata pelajaran asas sahaja yang boleh dikuasai oleh mereka seperti Bahasa Melayu.  Amat jarang anak orang asli di perkampungan asli Sungai dapat melanjutkan pembelajaran ke peringkat universiti menjadikan faktor sosial iaitu pendidikan salah satu sebab taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang asli di sana.

Seterusnya ialah,  faktor sosial seperti kedudukan kawasan kediaman masyarakat orang asli yang agak jauh daripada kawasan bandar turut menjadi salah satu faktor penyebab utama masalah kemiskinan dan taraf hidup rendah. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, jarak perkampungan masyarakat orang asli daripada bandar Jeli ialah dianggarkan berjumlah 22KM. Masalah ini menjadi semakin terbeban apabila kebanyakan masyarakat orang asli di perkampungan asli Sungai Rual tidak memiliki akses pengangkutan dan hanya mengharapkan bantuan daripada warga yang lain. Jika ada di antara mereka yang memiliki kenderaan seperti motosikal dan kereta namun bilangan penumpang yang boleh menumpang amatlah terhad. Tambahan pula, kebanyakan masyarakat orang asli di Sg. Rual tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Melayu yang lain dan hal ini menyebabkan mereka kurang berminat untuk bekerja dengan kaum-kaum bumiputera yang lain. Isu mengenai pendidikan yang terhad seperti masalah berkomunikasi, mengeja dan matematik juga turut menyebabkan peniaga-peniaga berbangsa lain tidak dapat menjadikan mereka pekerja untuk berkhidmat dengan mereka.

Menurut Encik Bidin (45 tahun) yang merupakan Tok Batin atau penghulu bagi perkampungan orang Asli Sungai Rual tersebut beliau berpendapat bahawa sumber pendapatan yang diperoleh oleh masyarakat orang asli di kampungnya adalah sangat tidak berpatutan dan amat rendah jika dibandingkan dengan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, kebanyakan pekerja yang berkhidmat di kawasan ladang sawit di bawah penguasaan majikan berbangsa Cina mereka mendapat upah dengan kadar sedikit sahaja manakala bagi penduduk yang berkhidmat sebagai penoreh upah yang mereka terima adalah lebih kecil. Hal ini kerana, cuaca yang tidak menentu menyebabkan penoreh rugi dan terpaksa menoreh mengikut musim menyebabkan kadar upah dan pendapatan mereka juga tidak menentu.



Carta 1: Kegiatan Ekonomi Yang dijalankan oleh Masyarakat Orang Asli Sg. Rual.




KESAN TARAF HIDUP RENDAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Penurunan taraf hidup atau taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang asli khususnya di perkampungan orang asli akan memberi pelbagai kesan negatif kepada masyarakat. Antaranya ialah:-


I.Kos Sara Hidup Yang Tinggi.

Kesan utama kemiskinan dan taraf hidup yang rendah dalam kalangan masyarakat ialah peningkatan kos sara hidup yang tinggi atau purata jumlah pendapatan bulanan yang diterima oleh seseorang individu adalah kurang daripada jumlah pembelanjaan bulanan yang dikeluarkan oleh mereka. Bahkan mereka juga tidak dapat merasai sebarang perkhidmatan atau barangan yang melibatkan pertukaran wang mata. Jika masalah ini berlaku secara berterusan maka tidak mustahil ianya akan menyebabkan sesebuah keluarga akan merasai kelaparan dan terpaksa berdepan dengan masalah kebuluran.

Sebagai contohnya, tawaran pekerjaan yang ditawarkan kepada masyarakat orang asli adalah amat terhad dan kurang disebabkan oleh beberapa faktor malah jika isu masalah taraf hidup berlanjutan disamping kos sara hidup yang terpaksa dihadapi oleh mereka semakin meningkat hal ini akan menyebabkan mereka terpaksa dibelenggu dengan masalah kewangan dan tidak mustahil masyarakat orang asli akan terperangkap dengan masalah hutang demi kelangsungan hidup mereka.


II.Berlaku Kemunduran Secara Berterusan Dalam Kalangan Masyarakat Orang Asli.

Masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual boleh dikatakan belum lagi mencapai tahap kemajuan secara 100% malah ada antara mereka yang masih mundur dan tidak bergaul dengan masyarakat luar secara aktif. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, jika dinilai melalui aspek pendidikan masyarakat orang asli masih ada lagi yang tidak dapat membaca, menulis dan mengira dengan lancar bahkan ada sesetengah mereka yang tidak gemar untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jika isu mengenai taraf hidup rendah semakin berterusan dalam kalangan masyarakat orang asli hal ini justeru akan menyebabkan golongan ini akan mengalami kemunduran secara berterusan dan menyebabkan mereka jauh ketinggalan berbanding masyarakat-masyarakat yang lain yang terdapat di Malaysia khususnya di Kelantan.

Hal ini justeru akan menyebabkan mereka mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang boleh memperdayakan mereka. Sebagai contohnya, pemikiran masyarakat asli Sungai Rual kini terikat dengan pembalak Cina yang rakus menjalankan pembalakan di perkampungan orang asli di sana di mana mereka menawarkan wang kepada masyarakat orang asli untuk meneroka tanah-tanah di sana. Walaupun wang yang diterima adalah tidak terlalu banyak dan tidak setimpal dengan pembalakan yang berlaku namun masyarakat di sana amat mempercayai peneroka tersebut.

Maka hal ini jelas menunjukkan sekiranya masalah mengenai kemiskinan dan taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang asli maka ianya akan mendatangkan pelbagai jenis kesan negatif kepada mereka.



 

LANGKAH MENGATASI ISU KEMISKINAN DAN TARAF HIDUP RENDAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI SUNGAI RUAL.

Menyedari akan masalah taraf hidup rendah dalam kalangan orang asli di negara ini termasuklah di perkampungan orang asli Sungai Rual maka terdapat banyak inisiatif dan langkah telah dijalankan oleh pelbagai pihak seperti badan kerajaan dan bukan badan kerajaan dalam mengatasi masalah ini sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka. (Muhd Aqmin Abdul Wahab et. Al, 2018) beliau berpendapat bahawa kos sara hidup yang tinggi merupakan punca utama kepada taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang  asli khususnya di kawasan pedalaman Kelantan. Maka terdapat beberapa langkah telah dilaksanakan dalam usaha mengatasi masalah ini. Antaranya ialah:-


I. Skim Bantuan Galakan Pendidikan.

Melihat bahawa pendidikan dapat menjadi salah satu langkah yang paling berkesan bagi seseorang untuk merubah corak kehidupan maka kerajaan telah melaksanakan Skim Bantuan Galakan Pendidikan kepada masyarakat orang asli agar mereka dapat mengenal apa itu pendidikan sekaligus merubah nasib keluarga mereka. Skim bantuan ini adalah di bawah pengelolaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat orang asli di kawasan mereka. Jika dilihat di penempatan orang asli Sungai Rual agensi yang bertanggungjawab dalam mengurus hal ini ialah JAKOA yang terdapat di bandar Jeli. Menurut Encik Anuar (2019) beliau berpendapat bahawa masyarakat orang asli Sg. Rual telah diberi pendedahan terhadap alam persekolahan di mana telah disediakan sebuah tadika bagi anak-anak mereka memulakan alam persekolahan dan seterusnya meneruskan pembelajaran ke peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Rual telah ditubuhkan di kawasan perkampungan orang asli itu sendiri pada tahun 2009. pada tahun pertama sekolah itu ditubuhkan seramai 123 orang pelajar orang asli telah menimba ilmu di sana dengan menggunakan khidmat seramai 12 orang tenaga guru. Melalui skim ini dapat dinyatakan bahawa pihak kerajaan amat menjaga kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat orang asli termasuklah orang asli di Kampung Sungai Rual agar mereka dapat berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka.


II. Bantuan-Bantuan Daripada Badan Kerajaan dan Bukan Badan Kerajaan (NGO).

Selain daripada keprihatinan pihak kerajaan terhadap pendidikan anak-anak orang asli di Sungai Rual dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli kerajaan juga menghulurkan pelbagai jenis bantuan lain termasuklah dalam bentuk kewangan. Malah bantuan ini bukan sahaja dihulurkan oleh badan kerajaan semata-mata malah badan bukan kerajaan juga turut memberi bantuan kewangan yang selayaknya. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, kerajaan melalui pihak JAKOA telah memberi bantuan bulanan kepada masyarakat orang asli agar mereka dapat menampung pembelanjaan mereka secara bulanan dan hak mereka sebagai rakyat orang asli bumiputera. Melalui bantuan kewangan ini diharapkan mereka dapat menampung kos sara hidup mereka sekaligus dapat membasmi masalah kemiskinan dalam kalangan orang asli.

Dato' Haji Mustaphar merupakan antara orang kuat yang banyak memperjuangkan nasib masyarakat orang asli Sungai Rual dan merupakan individu yang paling memainkan peranan dalam memajukan kawasan perkampungan orang asli. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, kebajikan orang asli seperti tempat perlindungan atau perumahan yang dahulunya hanya dibuat menggunakan pelepah buluh dan berbumbung pokok kayu semata-mata kini diberi wajah baharu iaitu bantuan perumahan PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin). Maka rumah yang lebih selesa iaitu menggunakan simen diberikan oleh masyarakat orang asli Sungai Rual demi menjaga kebajikan dan taraf hidup mereka.

Malah bukan itu sahaja, terdapat pelbagai lagi bantuan yang telah dihulurkan oleh pihak kerajaan dan bukan badan kerajaan seperti kemudahan perhubungan dan telekomunikasi, perkhidmatan tenaga pengajar seperti EMPOWER untuk memberi pendedahan kepada orang asli mengenai teknik asas kemahiran dan sebagainya.


Gambar rajah 2: Bantuan Perumahan PPRT yang diberikan oleh masyarakat orang asli.
Gambar rajah 3: Masyarakat orang asli bersama Dato Haji Mustaphar Muhammed

Gambar rajah 4: Masyarakat Orang asli Sg. Rual bersama pelajar universiti.



III. Bantuan Dalam Aspek Sosio-ekonomi.

Langkah seterusnya yang boleh dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli khususnya di perkampungan orang asli Sungai Rual, Jeli ialah bantuan dalam aspek sosio-ekonomi. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, pihak Kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan boleh menjalankan beberapa projek yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli seperti memberi didikan kepada mereka mengenai teknik tanaman sayur-sayuran, ilmu mengenai perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh, sekitar tahun 2018 orang asli Sungai Rual telah diberi pendedahan mengenai tanaman jagung yang boleh memberi pendapatan secara bulanan kepada mereka dan seorang tenaga pengajar dari Universiti Malaysia Kelantan telah turun padang dalam menjayakan projek tersebut di mana beliau bertanggungjawab untuk memberi penerangan dan turun pada padang dalam usaha memantau projek tersebut. Namun ianya hanyalah sia-sia apabila dikatakan bahawa masyarakat orang asli membiarkan tanaman tersebut begitu sahaja jika tiada sebarang pengawasan. Bukan itu sahaja ilmu mengenai penternakan ayam daging juga diberikan kepada mereka malah ianya juga menemui kegagalan. Akhir -akhir ini satu lagi projek penanaman sayuran berjenis cendawan tiram kelabu telah diperkenalkan kepada masyarakat orang asli dan dipantau secara berperingkat oleh individu yang bertanggungjawab dan projek tersebut boleh dikatakan hampir berjaya.

Manakala bantuan dalam aspek sosial pula, penempatan masyarakat orang asli yang agak unik dan bertemakan kepada alam semulajadi boleh dijadikan daya tarikan kepada masyarakat luar untuk mengenal corak kehidupan masyarakat orang asli dengan lebih mendalam. Maka melalui langkah ini masyarakat orang asli boleh membuat pendapatan sampingan sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup mereka.


Gambar rajah 5: Individu yang bertanggungjawab dalam projek penanaman cendawan tiram kelabu di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual.


Gambar rajah 6: Jenis cendawan tiram kelabu yang ditanam dan diusahakan oleh masyarakat orang asli Sungai Rual.




Kesimpulan

Melalui penulisan ini jelaslah dapat dinyatakan bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya isu kemiskinan dan taraf hidup rendah dalam kalangan masyarakat orang asli khususnya di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual. Namun bagi mengatasi masalah ini terdapat beberapa langkah boleh diambil oleh pihak kerajaan dan badan-badan yang bertanggungjawab demi menjaga kebajikan orang asli. Masalah kemiskinan dan taraf hidup rendah ini juga menjadi salah satu penyebab utama masyarakat dibelenggu dengan krisis kewangan yang amat ketara malah mereka juga tersepit untuk mendapatkan sesuatu tawaran dalam bentuk kewangan mahupun perkhidmatan. Tambahan pula penawaran pekerjaan yang terhad yang ditawarkan kepada masyarakat orang asli menjadikan masalah taraf hidup rendah ini semakin berterusan dan harus di ambil perhatian dengan sewajarnya.

 

 

 

 

Rujukan

 

Berita Atas Talian. (2019). "Sinar Harian: Kerajaan Bantu Tingkat Taraf Hidup Masyarakat Orang Asli". 22 Apr 2019. https://www.goggle.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/24716 

 

BERNAMA. (2020). "UMK Kongsi Kepakaran dengan Orang Asli". Pejabat Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. https://hepa.umk.edu.my/index.php/component/k2/item/15-umk-kongsi-kepakaran-dengan-orang-asli 

 

Empower ECER. (2020). "ECER Mentransformasi Kehidupan Orang Asli di Sungai Rual, Kelantan: Program-Program Pembangunan Modal Insan ECERDC Bantu Tingkatkan Kesejahteraan Rakyat B40". 13 Feb 2020. https://www.ecerdc.com.my/media_releases/empower-ecer-mentransformasi-kehidupan-orang-asli-di-sungai-rual-kelantan-program-program-pembangunan-modal-insan-ecerdc-bantu-tingkatkan-kesejahteraan-rakyat-b40/ 

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Aqmin Abdul Wahab et al. (2018). "Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan     Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat?" Jurnal     Ekonomi Malaysia. 52(1) 117 - 133

Vivien W.C Yew, Saiful Farisan Md Ramlah & Mohd Rusydi Ahmad. (2019). "Pendekatan Kualitatif Untuk Memahami Kualiti Hidup Masyarakat Orang Asli di Pahang" Malaysia Journal of Society and Space. (191-2050. http://journalarticle.ukm.my/14211/1/36209-114166-1-PB.pdf

Yew, V.W.C., Abd Hair Awang, Sivapalan Selvadurai & Mohd Yusof Hussain. (2018). "Mengukur kesejahteraan Orang Asli". Dlm. Abdul Ghafar Don, Aniza Ismail & Zulkefli Aini (sunt.), Pemerkasaan Kesejahteraan Hidup Orang Asli Malaysia (ms. 29-40). Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

NAMA: WAN NUR ANISHA BINTI WAN ISHAK

NOM MATRIK: D20201094245

KUMPULAN: B


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...