Thursday, June 9, 2022

ISU PENCEMARAN AIR LAUT DI SEKITAR PERAIRAN KAWASAN PEKAN SEMPORNA


PENGENALAN (RINGKASAN KES)

Alam sekitar adalah ruang penting untuk kehidupan manusia kerana secara normatif, persekitaran yang bersih dapat dijamin keselesaan dan kesejahteraan penduduk. Keadaan persekitaran yang bersih merupakan hasil daripada usaha masyarakat setempat dalam menjaga dan memelihara kebersihan alam persekitaran. Daerah Semporna adalah sebuah kawasan yang mempunyai ruang penempatan yang luas dan dikelilingi oleh pulau-pulau yang indah serta didiami oleh pelbagai kategori komuniti yang berbilang bangsa. Semporna merupakan sebuah pekan nelayan kecil yang terletak di pantai timur Sabah dan berhampiran sempadan dengan perairan antarabangsa Filipina dan Indonesia. Ekonomi pelancongan di Semporna dibentuk oleh ciri geografinya iaitu kegiatan ekonomi utama masyarakatnya ialah menangkap ikan, penanaman rumpai laut, berkebun, dan pembinaan bot. Sehingga hari ini, Semporna merupakan pengeluar rumpai laut terbesar dan terkemuka di Sabah dan menerima bantuan daripada Jabatan Perikanan Sabah dalam membantu penduduk tempatan menjana rezeki.

 Sumber: SABAH POST portal online negeri Sabah

Pencemaran air laut dikawasan perairan pekan Semporna telah memberikan impak yang buruk terhadap landskap dan juga komunitinya. Hal ini berpunca daripada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pencemaran air laut sehingga dapat menjejaskan penduduk sekelilingnya dan juga kelestarian alam sekitar. Menurut laporan berita Sinar Harian Bianus berkata masalah sampah di Semporna agak kronik dan 'ubat' mengawalnya adalah dengan pelaksanaan kaedah yang agresif dan tegas terhadap kutu sampah. Sementara itu, Shafie ketua menteri sabah pada ketika itu mengatakan mahu penglibatan semua masyarakat memastikan kebersihan Semporna berterusan di samping budaya membuang sampah ke dalam tong sampah diterap dalam kalangan kanak-kanak.


PUNCA/SEBAB BERLAKU PENCEMARAN AIR LAUT

Pencemaran ialah pelepasan bahan yang tidak diingini sama ada dilautan ataupun daratan dan udara, banyak aktiviti manusia seperti pembuangan sampah, pengeluaran perindustrian, pembakaran bahan api fosil, pertanian dan penggunaan produk yang boleh menjana bahan pencemar mencemari lautan. Bahan pencemar selalunya berasal jauh di pedalaman dan diangkut ke lautan melalui sungai atau melalui udara. Bahan pencemar yang menjadi perhatian khusus termasuk sampah sarap, sisa domestik, petroleum, lebihan nutrien daripada baja, serpihan, dan bahan cemar industri. Malah bunyi bising, daripada aktiviti seperti penghantaran, penerokaan seismik, dan sonar, boleh menjejaskan kehidupan laut. Masalah pencemaran air laut di Semporna adalah disebabkan pembuangan sampah di Semporna berlaku sejak sekian lama dan puncanya didakwa akibat sikap penduduk khususnya warga asing yang membuang sampah merata-rata, termasuk di kawasan rumah, atas air dan pekan.

Salah satu punca pencemaran air laut di daerah Semporna ialah pembuangan sampah merata-rata oleh masyarakat setempat dan juga warga asing yang masuk ke daerah ini. Menurut Jabatan Alam Sekitar, punca utama pencemaran air boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu punca titik (point source) dan punca tidak bertitik (non-point source). Pencemaran punca titik merujuk kepada pelepasan sumber-sumber atau sisa-sisa buangan dari paip atau longkang terus memasuki badan air di lokasi tertentu. Justeru itu, sumber-sumber ini juga termasuk pelepasan dari industri, loji rawatan kumbahan dan ladang ternakan. Sementara itu, pencemaran punca tidak bertitik adalah berkait dengan resapan atau berselerak dan tidak mempunyai pelepasan tertentu, sebagai contohnya aktiviti pertanian dan larian air permukaan.

 Sumber: BERITA HARIAN ONLINE

Pembuangan sampah sarap ke dalam air laut perairan Semporna jelas menunjukkan iainya mencemarkan kelestarian air laut tersebut. Menurut Berita Harian Online Seramai 30 penyelam profesional tempatan dan antarabangsa menyertai program Voluntourism iaitu Pembersihan Dasar Laut dari jam 8 pagi hingga 3 petang sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah serta Tourism Malaysia. Aktiviti pembersihan membabitkan penyelam profesional secara sukarela itu dilihat dapat membantu memulihara hidupan dan ekosistem Marin daripada ancaman kesan pencemaran sisa plastik di dasar laut. Kebanyakan sampah yang dipungut di dasar laut adalah plastik dan botol. Hal ini jelas menandakan bahawa sikap penduduk yang leka membuang sampah kedalam air laut sehingga menyebabkan ekosistem tercemar dan perubahan landskap air laut disebabkan samapah-sampah yang terapung dikawasan pinggir pantai perairan pekan Semporna.

Selain itu, pencemaran air laut di daerah Semporna juga disebabkan oleh pembuangan sisa-sisa pepejal oleh penduduk kampung yang tinggal di atas air. Oleh sebab itu, Kerajaan perlulah mengkaji semula perkampungan di kawasan pulau dan perkampungan di daerah ini yang dilihat dapat menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Perumahan perkampungan yang tumbuh bak cendawan dikawasan atas air laut jelas menyumbang terhadap pemcemaran air laut di daerah ini ekoran daripada aktiviti penduduk kampong yang membuang sisa-sisa pepejal kedalam air laut. Menurut Berita Terkini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kewujudan perkampungan berkenaan dilihat merosakkan pemandangan seterusnya bertentangan dengan status Semporna sebagai antara syurga pulau dunia. Segala sisa buangan seperti sampah sarap dibuang terus ke laut sekali gus menyebabkan pencemaran air berlaku," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pemuliharaan Terumbu Karang Di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Pulau Kapalai, jelaslah bahawa kewujudan perumahan perkampungan diatas air laut ini mencemarkan alam sekitar iaitu kawasan perairan Semporna disebabkan aktiviti penduduk kampung, bukan itu sahaja iai akan menganggu ekosistem hidupan laut seperti terumbu karang kerana telah tercemar ekosistemnya. Dalam masa sama, Bung mahu usaha menambah baik dan memulihara khazanah marin di sini dipertingkatkan dengan pelbagai program kesedaran dengan kerjasama daripada TTS, Yayasan Sabah dan badan bukan kerajaan. "Misalnya pemuliharaan terumbu karang dilakukan menerusi penanaman terumbu tiruan sekitar perairan Taman Tun Sakaran dilihat mampu menyumbang kepada kelestarian habitat laut," katanya.

 

MASALAH YANG DIHADAPI PENDUDUK

Menurut Habibullah, 1999, industri pelancongan sangat berkait-rapat dengan kualiti alam sekitar fizikal. Secara amnya, sumber alam sekitar asli merupakan sumber tarikan yang utama kepada pelancong. Pelancong akan tertarik dengan kawasan yang mempunyai pemandangan yang indah, iklim yang menyegarkan, pantai yang putih, air laut yang jernih dan alam sekitar yang asli serta mempunyai landskap yang menarik dan cantik. Semporna merupakan daerah yang menjadi tumpuan utama pelancong luar negara kerana tertarik dengan keindahan pulau-pulau yang terdapat di daerah ini. Industry pelancongan di Semporna berkembang pesat dengan maju disebabkan keindahan dasar lautnya yang menandingi pulau-pulau tercantik di serata dunia. Dalam perkembangan era globalisasi kini, industri pelancongan menjadi semakin penting iaitu merupakan salah satu pemangkin dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang banyak memberi sumbangan dalam pendapatan ekonomi negara.

 Sumber: https://www.researchgate.net/publication/318352036

Namun begitu, dalam Semporna menjadi daerah tumpuan dengan wujudnya pulau-pulau yang indah telah mendatangkan masalah terhadap penduduk setempat terutamanya dalam isu pencemaran alam sekitar. Sikap pelancong yang membuang sampah merata-rata di kawasan pekan Semporna telah mendatangkan masalah kepada masyarakat setempat. Hal ini telah menjejaskan pemandangan sekaligus mencemarkan air laut yang jernih di daerah ini. Pembuangan sampah oleh pelancong asing juga menyebabkan berlakunya pencemaran bau teritamanya di kawasan pinggir pantai daerah Semporna. Sisa-sisa sampah yang terkumpul akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan kepada penduduk kampung dikawasan pekan ataupun perkampungan berhampiran di pulau-pulau pelancongan. Justeru itu, keadaan ini telah menjadi satu masalah besar terhadap penduudk kerana ia akan memburukkan imej nama daerah Semporna. Namun begitu tindakan telah pun diambil, menururt Sinar Harian, dua wanita warga China antara 48 individu yang didenda kerana membuang sampah merata-rata di pekan Semporna. Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong berkata pelancong China itu antara 32 individu lain, memilih untuk membayar kompaun RM100 selepas didapati melakukan perbuatan itu dalam Ops Payung Bersepadu yang dilaksana sejak awal bulan ini. "Mereka yang dikenakan kompaun ini perlu membayar denda serta-merta manakala 16 individu lagi memilih untuk melakukan kerja amal selama sejam dengan mengutip sampah sambil memakai vest di belakangnya bertulis 'Monyet'," katanya.


CADANGAN PENYELESAIAN/LANGKAH

Sisa pepejal merupakan salah satu cabaran terbesar di Semporna dan dilabel sebagai 'bandar kotor' di Sabah oleh Menteri Negeri (New Strait Times, 2010). Keadaan menjadi lebih teruk apabila sejumlah besar sampah dibuang ke laut. Sebagai akibatnya, pembuangan sampah mencemari laut dan menyebabkan penularan penyakit seperti malaria dan taun. Usaha menangani pencemaran air laut di daerah Semporna ini adalah tanggungjawab bersama antara pemerintah dan juga masyarakat setempat. Langkah yang proaktif perlu dilaksanakan bagi memelihara kelestarian alam sekitar terutamanya kawasan perairan laut Semporna yang telah tercemar.  Usaha meningkatkan kesedaran harus bermula daripada kepelbagaian anjuran program pendidikan dijalankan bagi menangani permasalahan pengurusan sisa berkenaan.

Antara cadangan penyelesaian dalam isu ini adalah dengan menjalankan kempen kesedaran alam sekitar terhadap masyarakat setempat sekaligus pendedahan terhadap pelancong asing yang masuk ke daerah ini. Menganjurkan program yang berkaitan dengan isu alam sekitar di tempat yang terbuka bagi semua msayarakat setempat dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menunjukkan penjagaan alam sekitar. Selain itu, menyampaikan ucapan tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar dan impaknya terhadap kehidupan manusia dan juga hidupan laut. Tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar perlu berada pada tahap yang tinggi agar segala usaha yang dilakukan berjaya dilaksanakan. Menurut Utusan Borneo online Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, usaha meningkatkan kesedaran harus bermula daripada kepelbagaian anjuran program pendidikan dijalankan bagi menangani permasalahan pengurusan sisa berkenaan. "Sebagai contoh, banyak badan atau kumpulan yang menjalankan program-program pendidikan pengurusan sisa seluruh negeri untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penjagaan alam sekitar.

Seterusnya, melalui sistem pendidikan negara juga akan membantu melahirkan masyarakat yang mencintai alam sekitar sejak dibangku sekolah lagi. Silibus pemebelajaran dalam subjek geografi perlu ditekankan lebih lagi berkaitan topik-topik penjagaan alam sekitar. Bukan itu sahaja, di peringkat sekolah juga perlu dijalankan pelbagai progrcemaran alam sekitar agar pelajar mengetahui tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dengan baik. Pendekatan ini dapat memastikan generasi yang bakal mewarisi negara diterapkan tanggungjawab dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar serta tahu cara menjaga atau melindungi sumber alam semula jadi negara. Menurut Berita Harian online, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata "Saya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai pengisian subjek dan keperluan melatih tenaga pengajar sebelum membentangkan usul ini di Kabinet serta berharap dapat dilaksanakan tahun depan. "Kaedah ini dapat mendorong golongan muda membudayakan amalan mengutamakan pemuliharaan alam sekitar dengan lebih berkesan," katanya dan menekankan, kepentingan tiga perkara asas yang turut dikongsi oleh peserta sesi dialog iaitu udara, air dan alam sekitar yang bersih, hanya boleh dizahirkan menerusi kerjasama semua pihak termasuk segenap lapisan masyarakat.

Akhir sekali, selain daripada langkah diatas tindakan undang-undang juga perlu dikenakan terhadap pelaku yang menyebabkan berlakunya pencemaran terutamanya pencemaran air laut di kawasan perairan Semporna. Tindakan diambil, menururt Sinar Harian, terhadap dua wanita warga China antara 48 individu yang didenda kerana membuang sampah merata-rata di pekan Semporna adalah wajar dilakukan kerana perbuatan individu tersebut adalah salah disis undang-undang negara Malaysia.  Pegawai Daerah Semporna iaitu Bianus Kontong berkata pelancong China itu antara 32 individu lain, memilih untuk membayar kompaun RM100 selepas didapati melakukan perbuatan itu dalam Ops Payung Bersepadu yang dilaksana sejak awal bulan ini. "Mereka yang dikenakan kompaun ini perlu membayar denda serta-merta manakala 16 individu lagi memilih untuk melakukan kerja amal selama sejam dengan mengutip sampah sambil memakai vest di belakangnya bertulis 'Monyet'. Hal ini bukan sahaja dilakukan terhadap pelancong asing tetapi perlu dijadikan pengajaran oleh masyarakat setempat di daerah Semporna.

 

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, kemajuan pelancongan telah berkembang pesat di daearah Semporna yang merupakan aspek penting dalam sektor ekonomi daerah ini. Namun begitu, dalam memperkenalkan keindahan pulau-pulau yang cantik di Semporna isu alam sekitar juga perlu dititikberatkan.  Punca berlakunya pencemaran alam sekitar perlu bersama-sama ditangani bagi menjaga imej daerah Semporna yang terkeknal dengan keindahan pulau-pulaunya. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa persekitaran yang bersih boleh menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup penghuninya. Walau bagaimanapun, keadaan persekitaran yang bersih adalah alam sekitar yang bebas dari sebarang bentuk pencemaran yang memerlukan usaha pemeliharan berterusan dilakukan. Walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan, namun alam sekitar masih menghadapi masalah yang semakin serius. Terdapat banyak strategi telah dicadangkan atau dilaksanakan untuk meminimumkan impak pencemaran air laut yang berlaku dikawasan perairan Semporna. Isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak kerana kesan negatif berpanjangan yang boleh dibawa melaluinya seperti kesan buruk terhadap tahap kesihatan manusia di sekeliling, kesan buruk kepada haiwan, tentang kualiti air dan lain-lain lagi. Jika aktiviti pencemaran tidak dibendung dari sekarang maka pencemaran ini boleh menjejaskan imej daerah Semporna. Antara undang-undang perlindungan alam sekitar yang paling penting yang perlu digunakan bagi melindungi alam sekitar dalam negara kita serta yang perlu digunakan secara tegas bagi membawa yang pihak-pihak didapati bertanggungjawab melakukan sebarang kegiatan yang boleh membawa kepada pencemaran ialah melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127].

 

RUJUKAN

1. Ang Kean Hua. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia: Satu analisis, GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 11 issue 6 (98 - 108), http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf.

2. Berita Harian Online. (2019). Penyelam kutip lebih 700kg sampah dari dasar laut, https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/636908/penyelam-kutip-lebih-700kg-sampah-dari-dasar-laut.

3. Berita Harian Online. (2017). Pendidikan alam sekitar di sekolah, https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/11/345541/pendidikan-alam-sekitar-di-sekolah.

4. Berita Terkini. (2021). Perkampungan di Pulau Peranginan perlu dikaji semula, https://www.getaran.my/artikel/semasa/2909/perkampungan-di-pulau-peranginan-perlu-dikaji-semula-bung-mokhtar.

5. CHIA KEI WEIa, AHMAD B.SHUIB. (2014). Assessing Rural Tourism Development in Semporna, Sabah, Malaysia, Universiti Putra Malaysia, https://www.researchgate.net/publication/325625854.

6. MOHD YUSOF HJ. ABDULLAH, LATIFFAH PAWANTEH. (2010). Kesedaran dan Sikap Komuniti dalam Pengurusan Persekitaran Di Wilayah Iskandar, Johor, Jurnal Melayu (5), http://journalarticle.ukm.my/3019/1/01ADNAN_JUSOH.pdf.

7. Shaik azahar. (2016). PENDUDUK TEMPATAN TERHADAP IMPAK PEMBANGUNAN EKOPELANCONGAN DI SEMPORNA, SABAH, https://www.researchgate.net/publication/318352036 PERSEPSI.

8. Sinar Harian. (2019). Padah buang sampah di Semporna, https://www.sinarharian.com.my/article/7497/EDISI/Sabah-Sarawak/Padah-buang-sampah-di-Semporna.

9. Utusan Borneo Online. (2018). Usaha tanagani pencemaran laut tanggungjawab bersama, https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/01/usaha-tangani-masalah-pencemaran-laut-tanggungjawab-bersama.

 

NAMA: NORSHARIDA BINTI MAGINI

NO.MATRIK: D20192091251

KOD DAN NAMA KURSUS: HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK

NAMA PENSYARAH: DR. KAMARUL BIN ISMAIL

KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN A

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...