Tuesday, June 14, 2022

KESAN ISU BANJIR KEPADA PENDUDUK TANJUNG MALIM

 PENGENALAN

Banjir merujuk kepada badan air yang melimpah dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan akibat hujan lebat, pencairan ais, air pasang dan halangan pada saluran (Jabatan Pengairan dan Saliran, 2011). Banjir merupakan aliran air yang agak tinggi yang melebihi tebing semula jadi atau buatan manusia di bahagian sungai atau anak sungai dan limpahan air yang berlaku di kawasan sekitar yang luas dalam keadaan yang biasanya tidak digenangi air (Baharuddin et al., 2012 dan Ching et al., 2013). Dari sudut terminologi teknikal, banjir merujuk kepada sumbangan hujan luar biasa yang tidak mampu ditampung oleh sesebuah lembangan sungai yang melimpah keluar tebing (Haliza., 2009). Faktor semulajadi menyebabkan berlakunya banjir adalah hujan, air pasang tinggi, saiz lembangan saliran, bentuk muka bumi yang rendah dan kehadiran garis badai (Noorazuan et al., 2011). Bencana banjir berlaku apabila aliran air sungai berlaku dalam keadaan luar biasa atau normalnya disebabkan oleh hujan yang menimpa bahagian hulu atau sesebuah kawasan secara berterusan sehingga tidak mampu ditampung oleh aliran sungai menyediakan air melimpah keluar dan membanjiri kawasan sekitarnya. Hujan merupakan faktor semulajadi yang paling dominan berlakunya bencana banjir ialah kelebatan, berterusan, tempoh yang lama, berlaku secara menyeluruh, kekerapan dan jumlah hujan tersebut.


RINGKASAN KAJIAN KES

Perubahan Monsun Barat Daya yang berlaku di negara kita adalah disebabkan perubahan tiupan arah angin memasuki rantau negara yang menggalakkan pembentukan awan aktif dan cuaca lembap sehingga menyebabkan kekerapan hujan di beberapa negeri di Malaysia. Hujan yang turun secara berterusan telah menyebabkan berlaku kejadian banjir dan banjir kilat beberapa buah kawasan di Malaysia termasuklah daerah Muallim iaitu Tanjong Malim (Peta 1). Tanjong Malim terletak kira-kira 70 KM di utara Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak di selatan Perak dan berhampiran dengan sempadan negeri Selangor dan Perak. Tanjong Malim dikenali di mata umum sebagai bandar pendidikan atau bandar belia dengan penubuhan pusat pengajian tinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikenali sebagai nama Sultan Idris Training College (SITC). Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2017), jumlah penduduk Tanjung Malim adalah sekitar 70, 791 orang yang dibahagikan kepada peratusan kaum iaitu penduduk Cina (41.33%), penduduk Melayu (40.88%), penduduk India (15.76%) dan lain-lain (2.03%).

Berbalik kepada isu banjir di Tanjung Malim, isu banjir di Tanjung Malim kerap berlaku saban tahun yang memberi kesan kepada bukan sahaja alam sekitar namun kepada manusia iaitu penduduk di Tanjung Malim. Misalnya, akibat curahan hujan yang lebat tanpa henti telah menyebabkan kejadian banjir lumpur berlaku di Felda Trolak Selatan, Tanjung Malim yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada penduduk namun mengancam nyawa penduduk (Rajah 1).


Peta 1: Peta Daerah Tanjung Malim

Sumber: Google Maps (2022)


Rajah 1: Keadaan rumah penduduk Tanjung Malim setelah dilanda banjir lumpur

Sumber: Utusan Malaysia (2022)


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJADIAN BANJIR DI TANJUNG MALIM

Faktor yang mempengaruhi kejadian banjir di kawasan berkenaan adalah jumlah curahan hujan yang banyak. Oleh disebabkan kawasan tadahan yang semakin berkurang akibat daripada proses pembandaran yang berlaku untuk menampung penambahan penduduk. Penggunaan tanah bukan sahaja untuk kawasan penempatan tetapi digunakan untuk aktiviti perindustrian, kemudahan awam, pengangkutan, perniagaan dan perkhidmatan, pertanian dan kawasan rekreasi. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Hairy et. al (2009), keluasan guna tanah di stesen UPSI pada tahun 2009 bagi kemudahan awam adalah 33 hektar manakala pengangkutan adalah 31 hektar. Dari sini kita boleh lihat aktiviti guna tanah yang berlaku di kawasan yang kecil ini telah mencatatkan nilai yang besar belum lagi kawasan di daerah Muallim yang lain. Kekurangan kawasan hujan yang mampu menyerap jumlah hujan yang turun telah menyebabkan air menjadi air larian permukaan berbanding diserap masuk ke dalam tanah. Sistem perparitan yang tidak sistematik menakung air hujan yang banyak telah menyebabkan air melimpah keluar dan menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku di kawasan tersebut. Tambahan lagi, kelajuan aliran air permukaan yang tinggi di kawasan berbukit khususnya dengan faktor kekurangan litupan tumbuhan telah menyebabkan kejadian banjir lumpur berlaku dalam masa yang pantas.

            Faktor yang seterusnya adalah sistem perparitan yang tidak sistematik. Menurut Munirah Che Hassan et al (2020), proses penyelenggaraan sistem saliran yang tidak sistematik menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir terutama di kawasan kampung dan perumah. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem saliran yang dipenuhi dengan sampah sarap telah menyekat aliran air yang menyebabkan air bertakung dan melimpah keluar (Rajah 2). Tambahan lagi, kapasiti sungai yang rendah telah menyebabkan sungai tidak dapat menampung air larian yang berlaku dan menyebabkan limpahan berlaku di kawasan yang berlalitud rendah yang biasanya merupakan kawasan penempatan penduduk (Rajah 3).


Rajah 2: Air yang bertakung di longkang Pekan Tanjung Malim disebabkan sistem perparitan yang tidak sistematik

Sumber: Kajian Lapangan 2022



Rajah 3: Air sungai yang melimpah keluar sehingga menenggelamkan kawasan penempatan penduduk di daerah Mualim.

Sumber: Utusan Malaysia (2021)



KESAN-KESAN BANJIR KEPADA PENDUDUK DI TANJUNG MALIM

Menimbulkan kerugian kepada penduduk

Banjir yang berlaku di sesebuah kawasan telah menyebabkan kerugian kepada penduduk terutama di kawasan yang kerap berlakunya banjir. Hal ini kerana banyak harta benda seperti alatan elektronik, perabot, kenderaan dan sebagainya terjejas akibat kejadian banjir yang berlaku. Contohnya, menurut Utusan Malaysia iaitu kejadian banjir yang sering melanda di kawasan Felda Trolak Selatan di Tanjung Malim telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit setiap kali banjir melanda. Kerugian yang dialami penduduk ini bukan sahaja mempengaruhi ekonomi penduduk namun turut mempengaruhi psikologi penduduk. Hal ini disebabkan penduduk perlu menghadapi jumlah kerugian yang dialami dan ada di antara mereka yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan punca pendapatan yang digunakan untuk mereka menjana pendapatan rosak atau mati akibat banjir (Foudi et al., 2017). Contohnya terdapat penternak yang mengalami kerugian kira-kira RM 5,000 akibat daripada kejadian banjir yang melemaskan 200 ekor arnab ternakan di kawasan Tanjung Malim (Mohamad Hafizi Mohd Said., 2022). Kesannya, mereka terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar dalam pada masa yang sama punca pendapatan mereka hilang akibat kejadian banjir. Hal ini yang menyebabkan kualiti hidup penduduk merosot berikutan kejadian fenomena alam yang bukan sahaja merosakkan alam sekitar fizikal namun turut merosakkan alam sekitar manusia.



Rajah 4: Bangkai arnab yang mati akibat kejadian banjir di Felda Trolak Selatan, Tanjong Malim

Sumber: Muhamad Nazreen Syah Musthafa (2022)

Penduduk terdedah dengan penyakit banjir

Kejadian banjir yang berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersam-sama limpahan air yang mengakibatkan pelbagai penyakit berjangkit. Antaranya adalah jangkitan pernafasan akut, Konjunktivitis (sakit mata), Cirit Birit, Hepatitis A, Taun/Kolera dab sebagainya. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui air minuman dan makanan yang dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut (Anis Nadia Lathpi., 2016). Penjagaan yang tidak rapi seperti membekalkan air minuman dan makanan yang bersih akan menyebabkan jumlah mangsa yang menghidapi penyakit berkenaan tinggi. Secara tidak langsung, jumlah penduduk yang terdedah dengan penyakit ini akan menyebabkan kualiti hidup penduduk merosot yang mempengaruhi pertumbuhan penduduk di sesebuah kawasan. Menurut kajian daripada Epstein et al (1994) dan Robbin (2000) dalam Pimental et al. (2007), kadar peratusan jangkitan penyakit berjangkit dan berbahaya penduduk melalui air adalah sebanyak 90% bagi negara membangun. Keadaan ini juga turut menyumbang kepada 4 billion penyakit taun berlaku yang menyebabkan 2 juta kematian dicatatkan setiap tahun terutamanya bayi dan kanal-kanak (One World Health., 2004). Keadaan ini yang berlaku setiap kali kejadian banjir terutama di pusat perlindungan iaitu kawasan yang tidak bersih dan tidak disanitasi oleh pihak berwajib. Namun, tiada rekod lagi penyakit berjangkit akibat banjir dicatatkan di Tanjong Malim menandakan pihak berwajib menjaga baik kebajikan penduduk yang terjejas.


Mengancam nyawa penduduk

Seperti yang dibincangkan di atas, banjir boleh menyebabkan penduduk menghidapi penyakit berjangkit semasa banjir yang mampu menjejaskan kesihatan penduduk. Dalam pada masa yang sama, jika tidak dirawat dengan awal, penyakit tersebut boleh mengundang maut. Keadaan ini yang berlaku dalam jangka masa yang lama boleh mengganggu pertumbuhan penduduk di dalam sesebuah kawasan. Dalam pada masa yang sama, kejadian banjir yang melanda kawasan ini juga turut mengancam nyawa penduduk daripada kejadian lemas. Daripada kejadian banjir pada bulan Mac yang lalu, warga emas merupakan salah satu mangsa lemas akibat kejadian banjir yang melanda kawasan kampung di Terengganu akibat daripada limpahan air sungai (Rosli Ilham., 2022). Dari kejadian ini, kita boleh lihat bahawa kejadian banjir yang berlaku bukan sahaja mampu mencatatkan kerugian kepada penduduk dan membawa penyakit namun turut mengancam nyawa penduduk. Dengan air banjir yang deras bukan sahaja mampu menghanyutkan manusia namun turut mampu menghanyutkan kereta. Namun begitu, setakat ini tiada lagi kejadian mati lemas dicatatkan oleh penduduk di Tanjung Malim akibat daripada kejadian banjir yang melanda kawasan ini.

Rajah 5: Air banjir yang tinggi dan berhalaju tinggi mampu menenggelamkan bukan sahaja manusia namun kawasan penempatan

Sumber: Abd Razak Mohd Ali (2021)


CADANGAN BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR

Penyelenggaran longkang secara berkala

Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memastikan longkang dan parit di kawasan pentadbiran diselenggara secara sistematik sebagai langkah segera bagi memastikan mengurangkan kejadian banjir berlaku di masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana kejadian banjir yang berlaku biasanya parit yang cetek dan penuh dengan sampah-sarap telah menyebabkan air limpahan dan hujan tidak dapat mengalir dengan baik. Oleh sebab itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memastikan bahawa longkang atau parit, pengaliran airnya adalah lancar serta tiada sampah sarap dengan melakukan pembersihan longkang sekurangnya 2 kali seminggu. Melalui cara ini, bukan sahaja banjir tidak berlaku namun pembiakan nyamuk aedes yang disebabkan oleh air longkang yang bertakung juga tidak berlaku. Kesannya, penduduk boleh terbebas daripada serangan penyakit dan kejadian bencana alam yang boleh memudaratkan kesihatan. Secara tuntasnya, kesihatan manusia mampu dijaga jika pihak berwajib melakukan tugasnya dengan baik yang bakal membawa kepada kesejahteraan manusia yang memberi kesan kepada kadar pertumbuhan manusia di sesebuah kawasan.

 

Memperdalamkan parit atau sungai

Kejadian banjir yang berlaku biasanya disebabkan kecetekan sungai dan parit. Jika sungai dan parit sesebuah kawasan dalam, sejumlah air yang banyak dapat dialirkan dengan banyak dalam sesuatu masa yang mampu meningkatkan pengaliran. Namun begitu, oleh disebabkan faktor dari penduduk yang membuang sampah atau bahan buangan ke dalam longkang atau sungai telah menyebabkan sungai menjadi cetek. Tambahan lagi, proses pemendapan yang berlaku daripada larian air permukaan yang membawa bendasing telah memendapkan sungai yang menyebabkan sungai menjadi cetek. Contohnya, kejadian banjir yang berlaku di Felda Trolak adalah disebabkan sungai tidak diperdalamkan selama 10 tahun yang menyebabkan paras air bertambah tiap kali. Oleh sebab itu, pihak berkuasa boleh menangani masalah ini dengan menjalankan proses pendalaman longkang dan parit dengan mengorek lumpur dan sampah yang terdapat di sungai (Hafez, 2019). Melalui cara ini, bukan sahaja dapat mengurangkan risiko banjir daripada melanda kawasan penempatan manusia namun mampu mengurangkan risiko penyakit dan kemalangan jiwa penduduk disebabkan kejadian banjir.

 

Memperbanyakkan kawasan hijau

Tiada langkah yang terbaik selain daripada memperbanyakkan kawasan hijau kerana pokok mampu meningkatkan kadar penyerapan air bawah tanah. Hal ini dikatakan proses pintasan atau cegatan silara dapat memastikan air hujan mengalir masuk ke dalam tanah berbanding menjadi air larian permukaan. Di samping itu, daun-daun yang berguguran daripada tumbuh-tumbuhan mampu mengurangkan halaju air terutama di kawasan tanah tinggi daripada masuk terus ke dalam sungai. Oleh sebab itu, memperbanyakkan kawasan hijau mampu mengurangkan kejadian banjir daripada berlaku dan mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk dengan mengurangkan risiko mereka daripada menjadi mangsa banjir.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, banjir yang berlaku iaitu sama ada banjir atau banjir kilat memberi kesan kepada bukan sahaja kepada alam sekitar fizikal namun mempengaruhi populasi manusia di sesebuah kawasan. Hal ini kita dapat lihat melalui kesan yang dihadapi oleh penduduk disebabkan kejadian banjir yang menjejaskan kehidupan penduduk selain mampu menyebabkan kualiti hidup penduduk di sesebuah kawasan menjadi merosot. Oleh sebab itu, cadangan yang dicadangkan seperti di atas adalah bersifat mesra penduduk iaitu penduduk tidak perlu berhijrah ke kawasan yang lain disebabkan isu banjir. Mereka boleh terus kekal di kawasan tersebut apabila semua pihak memainkan peranan dalam membanteras kejadian banjir ini berlaku menimpa semua populasi atau penduduk di kawasan tersebut. Secara tuntasnya, isu banjir ini biasanya dibincangkan berdasarkan aspek geografi fizikal namun dari segi pandangan geografi penduduk isu banjir ini mampu mengganggu kadar pertumbuhan manusia yang mengganggu corak graf anjal pertumbuhan penduduk di sesebuah kawasan.


RUJUKAN

Baharuddin Yatim, Maimon Abdullah, Salmijah Surif (2012) Beberapa peristiwa banjir besar dan tindakan mengawal banjir di Malaysia. Dalam: Baharudin Yatim et al. (eds) Banjir Besar Johor, pp. 19-30. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor

Foudi, S., N. Os_es-Eraso, and I. Galarraga (2017), The effect of flooding on mental health: lessons learned for building resilience, Water Resour. Res., 53, 5831–5844, doi:10.1002/2017WR020435.

Hafez, H (2019). Langkah-Langkah Mengatasi Banjir. https://edoc.pub/langkah langkahmengatasi-banjir-pdf-free.html
Hairy Ibrahim, Mohmadisa Hashim, Nasir Nayan, Mohd Hafiz Omar Baki dan Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah. (2009). Hubungkaitan jenis guna tanah terhadap suhu di Tanjong Malim, Perak. Journal of Techno-Social, 2(2),47-67. https://myjurnal.mohe.gov.my/filebank/published_article/17217/relashionship.pdf

Haliza Abdul Rahman (2009) Suatu tinjauan terhadap permasalahan banjir kilat di Lembah Klang. Dalam: Nasir Nayan et a. (eds). Persekitaran fizikal di Malaysia: Isu dan cabaran semasa, pp. 31-43. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

M Mohd Yusoff. (2012). Pengurusan banjir [Master's thesis]. http://studentsrepo.um.edu.my/688/8/BAB7.pdf

Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, Rozlin Zainal, & Narmah Kasim. (2020). Kajian permasalahan pembinaan sistem saliran yang menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan perumahan. Research in Management of Technology and Business1(1), 588-605. https://doi.org/10.30880/rmtb.2020.01.01.045

Noorazuan Md Hashim, Sulong Muhamad, Kadarudin Aiyub, & Norhayati Yahya. (2011). Pembangunan hutan dan fenomena banjir kilat: kes Sungai Lembing, Pahang. Jurnal e-Bangi6(2), 155-69. https://www.researchgate.net/publication/245586245_Pembangunan_Tanah_Hutan_Dan_Fenomena_Banjir_Kilat_Kes_Sungai_Lembing_Pahang

One World Health. (2004). Diarrheal Disease Fact Sheet. http://ww.oneworldhealth.org/pdf/Diarrheal%20Disease%20Fact%20sheet.pdf.).

Pimental, D., Cooperstein, S., Randell, H., Filiberto, D., Sorrentino, S., Kaye, B., Nicklin, C., Yagi, Y., Brian, J., O'Hern, J., Habas, A., & Weinstein, C. (2007). Ecology of increasing diseases: Population Growth and Environmental Degradation. Human Ecology35, 653-668. https://doi.org/10.1007/s10745-007-9128-3


 

NAMA: EDLYN ANGIE ANAK SILAMAT

NO MATRIKS: D20201094317

KURSUS: HGM 3033 GEOGRAFI PENDUDUK (Kumpulan B)

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...