Friday, June 3, 2022

FENOMENA BANJIR DI KAMPUNG TELUK JERING, TUMPAT.

Oleh: Rabiatul Afiqah Binti Rosdi (D20182085700)

Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

 

1.0 PENGENALAN

Kampung Teluk Jering merupakan salah satu kampung yang terletak di dalam DUN Pengkalan Kubor berlokasikan di dalam daerah Tumpat, Kelantan. Seperti yang kita sedia maklum, daerah Tumpat merupakan antara daerah yang paling terkesan apabila tibanya musim tengkujuh. Musim tengkujuh atau juga dipanggil sebagai musim Monsun Timur Laut ini kebiasaannya berlaku bermula daripada bulan November hinggalah bulan Mac. Pada musim ini, taburan hujan akan mengalami peningkatan di samping berlakunya fenomena angin kencang dan laut bergelora yang boleh menyebabkan kejadian banjir berlaku di kawasan-kawasan yang rendah. Kampung Teluk Jering merupakan kampung yang seringkali menerima impak daripada kejadian ini. Oleh itu, apabila tibanya musim tengkujuh, penduduk kampung akan gusar dan sentiasa berwaspada dengan sebarang amaran tentang bencana banjir ini. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), jika hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, ianya akan lebih berisiko dan menyebabkan kejadian banjir menjadi lebih buruk.

Rajah 1 menunjukan peta daerah Tumpat 

 

2.0 KEJADIAN BANJIR YANG LEPAS

Umum diketahui bahawa pada setiap tahun, Kelantan merupakan salah satu negeri yang sering terjejas dengan bencana banjir apabila musim tengkujuh menjelang. Tambah-tambah lagi banjir yang berlaku pada tahun 2014.  Ketika ini, seluruh negeri Kelantan boleh dikatakan lumpuh berikutan daripada bencana banjir yang dipanggil sebagai "bah kuning". Kejadian yang berlaku pada bulan Disember 2014 ini merupakan satu kejadian banjir yang terbesar dan terburuk dalam sejarah Malaysia (Zulkifli Yusop dan Abdul Hamid Mar Iman, 2020). Kampung Teluk Jering turut terkesan dengan keadaan ini malahan ketika itu, kampung ini menerima kehadiran air banjir sebanyak 2 kali sekaligus. Berpandukan kepada rajah 2, dapat dilihat bahawa kedudukan DUN Pengkalan Kubor ini terletak berhampiran dengan laut dan juga bersebelahan dengan sungai Golok yang menjadi pemisah di antara Malaysia dengan negara jiran iaitu Thailand.

Rajah 2 menunjukkan peta lokasi Dun Pengkalan Kubor di mana terletaknya kampung Teluk Jering


 

Sewaktu December 2014 sebelum Kelantan dilanda bah kuning, Kampung Teluk Jering telahpun mengalami banjir akibat daripada hujan serta limpahan sungai air Golok. Sewaktu penduduk kampung mula menarik nafas lega kerana limpahan banjir daripada sungai Golok menunjukkan aras penurunan, namun sekali lagi penduduk kampung dilanda kegusaran apabila mendengar berita mengenai bah kuning yang melumpuhkan ibu negeri iaitu Kota Bharu serta kawasan-kawasan lain yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami air. Ketinggian air yang melepasi tahap bumbung rumah dan sememangnya ianya kejadian yang tidak pernah dijangka akan berlaku. Di kampung Teluk Jering ini yang ketika itu air banjir masih tidak surut sepenuhnya kini dilanda banjir gelombang kedua akibat daripada bah kuning ini dan menjadikan keadaan menjadi bertambah buruk. Ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir ekoran daripada kejadian ini serta lebih banyak pusat-pusat pemindahan banjir dibuka untuk menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat. Selepas daripada bah kuning tersebut, kampung Teluk Jering terus dilanda banjir namun ianya tidaklah seteruk pada tahun 2014. Namun, tahap kedalaman air masih juga memerlukan penduduk untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir.

 

 

Rajah 3 menunjukkan keadaan banjir di Kampung Teluk Jering

 

3.0 FAKTOR BERLAKUNYA BANJIR 

Bencana banjir boleh berlaku di kampung Teluk Jering adalah berpuncakan oleh beberapa faktor. Secara umumnya dapat dikatakan bahawa fenomena kejadian banjir adalah terjadi disebabkan oleh faktor semula jadi dan juga faktor daripada manusia. Antara faktor semula jadi yang menyebabkan berlakunya banjir di kampung ini adalah seperti penerimaan taburan hujan yang tinggi pada musim tengkujuh. Menurut Siti Nurul Temrin dan Azahan Awang (2016), hujan merupakan faktor semulajadi yang paling dominan untuk menyebabkan berlakunya banjir. Sifat hujan yang dikenalpasti telah menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir adalah seperti kelebatan, berterusan, tempoh yang lama, berlaku secara menyeluruh, kekerapan dan jumlah hujan (Sharifah Meryam & Haryati 2012). Jika dilihat di dalam Rajah 4, dapat dikatakan bahawa Kelantan menerima jumlah hujan yang paling banyak berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa hujan menjadi faktor yang menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir di Kampung Teluk Jering ini.

 Rajah 4  menunjukkan jumlah hujan pada bulan November hingga Disember 2016

 

            Selain itu, kedudukan kampung Teluk Jering juga berhampiran dengan sungai Golok dan perkara ini telah menjawab persoalan mengapa kampung ini sering dilanda banjir. Menurut Izwan Abdul Halim (2022), Rantau Panjang merupakan kawasan utama yang akan menerima limpahan air daripada sungai Golok sebelum ianya tiba di kampung-kampung lain yang berada di dalam DUN Pengkalan Kubor. Kampung Teluk Jering serta beberapa lagi kampung yang berada di DUN Pengkalan Kubor ini merupakan kampung terakhir yang mengalami banjir sebelum air tersebut mengalir keluar dari Tai Bai terus ke Laut China Selatan.  Jadi, perkara ini juga menjadi salah satu faktor penyumbang yang menjadikan kawasan kampung sering dinaiki air apabila tibanya musim tengkujuh.

           Seterusnya, sistem perparitan dan saliran yang tidak terancang juga turut menjadi antara faktor penyumbang yang menyebabkan berlakunya banjir di kampung Teluk Jering. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih banyak sungai serta longkang-longkang yang menjadi saliran air telah ditambak untuk pembangunan perumahan. Tanah-tanah sawah yang dahulunya digunakan untuk tanaman padi turut ditambak bagi pembinaan tar untuk memudahkan perhubungan di antara penduduk kampung ini. Perkara-perkara sebegini menyebabkan banjir mudah berlaku kerana sungai yang sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung air hujan. Jadi air sungai ini akan melimpah keluar menyebabkan berlakunya banjir kilat. Di samping itu, perkara ini mendorong kepada berlakunya banjir termenung. Menurut Muhafandi Muhamad dari astroawani (2017), fenomena air termenung yang dihadapi oleh penduduk di jajahan tumpat yang melibatkan kampung bendang Pak Yong, kampung Teluk Jering, Kampung Ana dan Jelujur memerlukan masa sehingga 2 minggu untuk surut.

            Tambahan pula, pembuangan sampah sarap dan sisa domestik dari kediaman terus ke sungai memburukkan lagi keadaan. Sikap penduduk kampung yang tidak bertanggungjawab telah menjadikan sungai, parit dan dan longkang sebagai tempat untuk membuang sisa sampah. Mereka mengambil jalan mudah tanpa memikirkan akan kesan yang akan mereka perolehi akibat daripada perbuatan tersebut. Mereka beranggapan bahawa sampah tersebut akan mengalir di bawa arus tanpa berfikir bahawa perbuatan mereka ini akan menyebabkan sungai akan tersumbat dan tidak dapat berfungsi. Lama-kelamaan sampah yang menutup saliran air serta menghalang air daripada mengalir dan situasi ini akan menyebabkan air tersebut akan melimpah keluar ke tebing dan membanjiri kawasan berhampiran. Impak daripada perkara ini sebenarnya bukan hanya menyebabkan mudah berlakunya banjir malahan turut menyumbang kepada berlakunya pencemaran sungai.

Rajah 5 menunjukkan longkang yang dipenuhi sisa sampah sarap

 

 

4.0 KESAN BANJIR 

Banjir merupakan bencana alam semula jadi yang membawa kepada beberapa kesan yang buruk kepada kawasan yang terlibat. Kampung Teluk Jering merupakan kampung yang penduduknya adalah majoriti didiami oleh kaum petani yang menjalankan padi sawah. Oleh itu, tidak hairanlah jika dilihat daripada rajah 6 bahawa kampung ini adalah dikelilingi oleh bendang dan sawah yang menghijau. Apabila berlakunya banjir, banyak padi-padi yang tidak sempat dituai akan musnah dan ianya menyebabkan para petani akan kerugian serta kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Khairul Maidin, Nor Amna dan Mohd Syauqi Nazmi (2015) bersetuju bahawa bencana banjir bukan sahaja akan menyebabkan sebahagian kawasan bertanam tidak dapat dituai malahan ianya turut menyebabkan kekurangan nutrient tertentu yang diperlukan oleh pokok padi. Keadaan ini akan menyebabkan kawasan pertanian akan mengalami kekurangan ketersediaan zink dan perkara ini mengakibatkan hasil padi menurun. Situasi seumpama ini akan menyebabkan hasil beras negara menurun di samping ia akan meningkatkan kes import beras dari luar negara. Jadi ekonomi negara turut terjejas dengan bencana banjir ini.

Rajah 6 menunjukkan lokasi satelit kampung Teluk Jering

 

Selain itu, banjir yang berlaku juga menyebabkan kehilangan dan kerosakan harta benda. Apabila air banjir mencecah masuk sehingga ke dalam rumah, banyak perkakas rumah yang tidak sempat diselamatkan akan ditenggelami oleh air. Ada juga barangan akan hanyut dibawa oleh arus air dan perkara ini akan menyebabkan barangan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi. Keadaan ini akan menyebabkan penduduk kampung mengalami kerugian yang banyak. Sudahla begitu, mereka terpaksa pula mengeluarkan belanja yang banyak untuk proses baik pulih bagi mengembalikan keadaan rumah mereka seperti sediakala. Kos baik pulih ini juga diperlukan bagi mencuci kembali keadaan rumah daripada lumpur dan sampah yang dibawa oleh air.

Di samping itu, penduduk juga akan mengalami masalah kesihatan akibat daripada banjir yang berlaku. Penyakit-penyakit berjangkit bawaan banjir mudah berlaku semasa dan selepas banjir berlaku. Antaranya adalah seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Hal ini adalah disebabkan oleh banjir yang berlaku akan menyebabkan segala sampah sara dan takungan najis akan keluar bersama limpahan air. Penyakit-penyakit lain yang berpontesi untuk berlaku selepas banjir adalah penyakit leptospirosis, penyakit konjunktivitis serta demam denggi. Jadi, jelaslah di sini bahawa banjir membawa banyak kesan yang negatif yang akan dihadapi oleh penduduk kampung Teluk Jering ini ekoran daripada kejadian banjir yang berlaku ini.

 

 

5.0 LANGKAH MENGATASI 

Bencana banjir merupakan kejadian yang amat membimbangkan kerana ia akan memberikan pelbagai impak negatif terhadap manusia dan juga alam sekitar. Oleh itu, pelbagai langkah-langkah perlulah dijalankan bagi membendung kejadian banjir daripada berlaku. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan membina benteng tinggi di tebing sungai Golok. Pembinaan ini hendaklah dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kampung Teluk Jering menerima banjir besar. Menurut Syaherah Mustafa (2020), tinjauan yang dilakukan oleh pasukan Berita Harian mendapati benteng di tebing sungai Golok sebelah Thailand telah pun siap dibina. Jadi, benteng ini dapat menghalang limpahan air sungai daripada memasuki negar mereka. Limpahan air yang sepatutnya dibahagi dua yang dahulunya separuh melimpah ke Siam dan separuh lagi ke Malaysia kini semuanya sudah melimpah ke Malaysia sepenuhnya. Perkara ini akan menyebabkan kampung-kampung di sekitar sungai Golok akan senang dimasuki air serta paras air juga akan menjadi lebih tinggi daripada kebiasaan.

Seterusnya, usaha mendalamkan sungai dan parit juga boleh dilakukan bagi memastikan ianya dapat mengalirkan sejumlah air yang banyak bagi sesuatu masa. Hal ini dikatakan demikian kerana kecetekan sungai yang terhasil daripada proses pemendapan dan pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan banjir mudah untuk berlaku. Apabila hujan lebat berlaku, ianya akan menyebabkan sungai tidak mampu menampung air lalu melimpah keluar ke kawasan di sekitarnya, Perkara ini juga akan menjerumus kearah terjadinya banjir kilat dan juga banjir termenung. Lantaran itu, proses pendalaman semula sungai dan parit perlu dilakukan dengan mengorek semula lumpur serta kekotoran yang ada di dasar sungai. Dengan adanya proses sebegini, sungai bukan sahaja akan menjadi dalam, malahan ia dapat mengalirkan sejumlah air dengan banyak.

Di samping itu, pihak berwajib juga perlulah merangka sistem pembinaan sistem perparitan yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem perparitan yang sesuai dengan kapasiti air pada musim banjir, kesan banjir mungkin dapat dikurangkan (Khairul Maidin, Nor Amna & Mohd Syauqi Nazmi, 2015). Pembinaan-pembinaan bangunan yang baru perlulah seiring dengan sistem perparitan yang sempurna agar ianya dapat mengalir ke sungai dengan baik.  

 

5.0 KESIMPULAN 

Secara keseluruhnannya, kejadian banjir di kampung Teluk Jering merupakan suatu fenomena bukan bukan lagi asing di kampung kami. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, banjir yang berlaku adalah semakin memburuk daripada kebiasaanya. Apabila musim tengkujuh tiba, kebimbangan mula menjetik hati setiap penduduk kampung. Malahan, penduduk kampung ini terpaksa berdepan dengan 2 hingga 3 gelombang air banjir untuk sampai ke penghujung musim tengkujuh. Perkara ini adalah amat membimbangkan bagi kami yang mana persiapan mental dan fizikal perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Jadi, diharapkan dengan kerjasama daripada semua pihak dapat membendung dan mengurangkan kesan banjir di kampung ini.


 

RUJUKAN 


Izwan Abdul Halim. (2022, March 2). Komitmen wakil rakyat Lembangan Sungai Golok. HarakahDaily. https://harakahdaily.net/index.php/2022/03/02/komitmen-wakil-rakyat-lembangan-sungai-golok/

 

Jabatan Meteorologi Malaysia. (2022). Met.gov.my. https://www.met.gov.my/


Khairul Maidin, Nor Amna & Mohd Syauqi Nazmi. (2015). Kesan Banjir Terhadap Pengeluaran Padi dan SosiekonomiEconomic and Technology Management Review 10, 11–19


Muhafandi Muhamad. (2017, 4 Disember). Kerajaan Pusat Akan Kaji Fenomena Air Termenung di Tumpat. Astroawani Online. Bahan diakses pada 24 Mei 2022, daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-pusat-akan-kaji-fenomena-air-termenung-di-tumpat-161964


‌Mustafa, S. (2020, November 26). Penduduk bimbang banjir besar akibat benteng Sungai Golok. Berita Harian. Bahan diakses di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/758700/penduduk-bimbang-banjir-besar-akibat-benteng-sungai-golok


Sharifah Meryam & Haryati Shafii. ‌(2012). Pengurusan Sistem Saliran Dalam Menangani Masalah Banjir Di Batu Pahat, Johor. Isu-Isu Alam Sekitar Dan Kelestarian, 125-146


Siti Nurul Temrin & Azahan Awang. (2017). Bencana Banjir dan Tahap Pengetahuan Penduduk Terhadap Pengurusan Banjir di Serian, Sarawak. Geografia Malaysian Jorunal of Society and Space 13(4). 22-36


‌Zulkifli Yusop & Abdul Hamid Mar Iman Bah Kuning 2014 di Kelantan. (2020). PENERBIT UTM PRESS.

 

 

 

NAMA: RABIATUL AFIQAH BINTI ROSDI

NO MATRIK: D20182085700

KUMPULAN: A

Thursday, June 2, 2022

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN KAMUNTING PERAK 34600

1.0 PENGENALAN

 

Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat adalah suatu isu yang tidak asing lagi di Malaysia. Pada masa kini di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari berbanding 0.8 kilogram oleh penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Masalah pembuangan sampah di Malaysia adalah semakin serius dan boleh menjadi punca berlakunya masalah keharmonian dan keselesaan manusia jika tidak dibendung dengan kadar yang segera.

 

Sampah sarap dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak diurus dengan baik. "Sampah sarap boleh ditakrifkan sebagai sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan atau keharmonian kehidupan"(Muhamad Fiqrurazi, 2015). "Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik" (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik merupakan bahan buangan yang dibuang dari rumah seperti botol, kaca, kertas, beg plastik dan sisa-sisa makanan. Manakala, sampah bukan domestik pula adalah bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan dan juga di pejabat yang mana bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa-sisa daripada proses pengilangan. Kebiasaannya, sisa-sisa sampah tersebut akan dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada dengan menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya.

 

1.1  RINGKASAN KES


Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini masih berlaku di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak sehingga kini, (Rujuk Rajah 1). Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan, terdapat beberapa jenis-jenis longgokan sampah yang sering dibuang di merata-rata tempat di kawasan taman ini yang terdiri daripada bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman dari rumah. Longgokan sampah ini berlaku di simpang-simpang jalan melalui pemerhatian secara kasar. Timbunan longgokan sampah ini turut dibiarkan tanpa dilupuskan. Jika dilupuskan para penduduk akan menggunakan cara yang salah di sisi undang-undang seperti melupuskan dengan cara membakar.     


Rajah 1 : Sampah sarap di tepi simpang jalan di Taman Azizul Rahman, 34600 Kamunting, Perak



1.1 LOKASI KAJIAN



Peta 1: Kedudukan Taman Azizul Rahman di Kamunting, 34600 Taiping Perak



2.0 PUNCA MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK.

 

Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat masih berlaku di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak seperti mana yang dapat dilihat dalam Rajah 1. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak. Antara faktor yang utama ialah kurangnya kesedaran sivik serta kerjasama daripada masyarakat setempat. Hal ini disebabkan oleh penduduk di Taman Azizul Rahman ini tidak peka terhadap isu yang berkaitan dengan pembuangan sampah sarap serta kurangnya ilmu pengetahuan tentang amalan pengurusan sampah sarap yang betul sehingga mendorong mereka untuk membuang sampah sarap di merata-rata tempat tanpa menghiraukan kesan terhadap kawasan persekitarannya walaupun sudah terdapat papan tanda amaran yang telah diletakkan di kawasan tersebut (Rujuk rajah 2). Hal ini membuktikan  tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar masih berada pada tahap yang rendah. Jika masalah ini terus berlanjutan, pastinya akan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar terutamanya akan berlaku longgokan sampah akibat daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal mereka dengan baik (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh hal yang demikian, pencemaran alam sekitar yang lebih serius akan berlaku sekiranya masyarakat setempat tidak mengambil inisiatif dalam membendung masalah pembuangan sampah ini. 


Rajah 2 : Papan tanda amaran yang telah diletakkan di kawasan pembuangan sampah


 Selain itu, pengutipan sampah yang tidak teratur oleh pihak PBT juga merupakan salah satu punca yang berlakunya masalah pembuangan sampah di Taman Azizul Rahman, Kamunting Perak. Penduduk di taman ini akan mengumpul dan meletakkan sampah yang ingin dibuang di dalam tong sampah di hadapan rumah untuk dikutip oleh pihak PBT mengikut tarikh yang telah ditetapkan iaitu pada hari Isnin, Rabu Dan Jumaat. Namun begitu, pengurusan masa yang telah ditetapkan masih tidak diuruskan dengan baik oleh pihak PBT. Hal ini akan menyebabkan penghasilan sampah akan bertambah dan akan mengundang kepada pencemaran alam sekitar di mana keadaan ini akan menyebabkan penduduk mengambil inisiatif dengan membuang sampah yang masih tidak dikutip oleh pihak PBT di kawasan pembuangan sampah haram yang mempunyai tanda amaran dan penduduk juga akan melakukan aktiviti pembakaran untuk melupuskan sampah tersebut (Rajah 3).  Oleh hal yang demikian, akan berlakunya pencemaran udara berpunca daripada aktiviti-aktiviti pembakaran yang menggalakkan pembebasan bahan-bahan seperti karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain.



Rajah 3 : Pembakaran sampah secara terbuka


Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menyebabkan isu pembuangan sampah ini tidak berkesudahan, malah semakin menjadi-jadi. Hal ini kerana peranan pihak berkuasa dilihat semakin merosot dan pemantauan yang tidak konsisten telah menyebabkan lahirnya penduduk yang tidak mempedulikan atau mengendahkan tentang isu ini. Walaupun kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu mengandungi peruntukan untuk mencegah, menghapus, mengawal serta memperbaiki kualiti alam sekitar, namun jika melakukan kerja secara sambil lewa akan menyebabkan masalah pembuangan sampah ini juga tidak dapat dibendung seperti terjadinya masalah pembuangan sampah di tepi jalan sekitar Taman Azizul Rahman (Rujuk Rajah 4). Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlulah dilaksanakan agar masalah pembuangan sampah ini dapat dikurangkan serta dapat membuka mata penduduk untuk menjaga alam sekitar.




Rajah 4 : Pembuangan sampah di tepi jalan sekitar Taman Azizul Rahman


Faktor yang keempat ialah PBT tidak menyediakan tong sampah dalam kawasan Taman Azizul Rahman seperti mana telah disediakan di Taman sebelah. Hal ini menyebabkan penduduk di taman ini membuang sampah di kawasan larangan jika sampah tersebut tidak dikutip oleh PBT pada hari yang telah ditetapkan. Namun begitu, sekiranya PBT menyediakan tong sampah dalam kawasan taman ini, perkara ini memudahkan penduduk setempat untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Terdapat juga penduduk Taman Azizul Rahman yang mengambil inisiatif dengan membuang sampah di tong sampah yang telah disediakan oleh PBT di Taman sebelah. Hal ini menyebabkan timbunan sampah di kawasan tersebut semakin meningkat dan akan menyebabkan kemarahan penduduk di kawasan tersebut (Rajah 5). Oleh itu, jika pihak PBT menyediakan tong sampah yang bersesuaian untuk setiap kawasan di Taman perumahan, pencemaran alam sekitar dapat diatasi. 



Rajah 5: Timbunan sampah sarap di kawasan pembuangan sampah 



3.0 KESAN MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK.


Masalah pembuangan sampah sarap yang tidak sistematik dan tidak diurus dengan baik akan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga manusia. Oleh itu, kesan-kesan masalah pembuangan sampah sarap di Taman Azizul Rahman ini antaranya adalah akan menjejaskan kesihatan penduduk sekeliling. Hal ini kerana pengurusan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik akan menarik perhatian vektor-vektor pembawa penyakit seperti nyamuk aedes, tikus dan lipas untuk membiak di kawasan yang tercemar tersebut. Malah haiwan-haiwan liar seperti anjing, monyet dan khinzir juga akan menjejaskan tahap kebersihan di taman ini. Tambahan pula, longgokan sampah sarap yang dibiarkan dalam tempoh yang lama juga akan mengakibatkan jumlah haiwan dan serangga meningkat. Perbuatan membuang sampah sembarangan bukan sahaja akan mencemarkan pemandangan dan menghasilkan bau busuk malah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk aedes, lalat serta tikus sekali gus membahayakan kesihatan dan nyawa penduduk setempat (Utusan Borneo, 2017). Kesannya, persekitaran fizikal akan menjadi tidak sihat bukan sahaja dari pandangan luar, malah mewujudkan kesan sampingan lain seperti mendatangkan penyakit dan juga mengganggu kesihatan manusia seperti demam denggi, kencing tikus dan keracunan makanan yang boleh membawa maut.



Rajah 6 : Sampah sarap berselerakan di sekitar tong sampah

 

Kesan yang kedua ialah berlakunya pencemaran bau. Pencemaran bau merupakan satu kacau-ganggu yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keadaan yang tidak selesa, memudaratkan dan kejatuhan nilai harta tanah (Zaini Sakawi, 2018). Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di Taman Azizul Rahman,, pencemaran bau ini berlaku disebabkan adanya lambakan sampah yang tidak terurus dengan baik di kawasan taman ini. Kebiasaannya, bau yang busuk ini berpunca daripada sisa-sisa makanan dan sampah sarap yang dibuang di merata tempat oleh penduduk taman ini. Sememangnya kegiatan tersebut telah menyebabkan laluan dan jalan ke kawasan kediaman ini dicemari dengan bau yang sangat busuk dan tidak menyenangkan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk sekitar. Hal ini disebabkan tapak pembuangan sampah secara haram tersebut berdekatan dengan kawasan perumahan dan perkara ini akan menimbulkan ketidakselesaan kepada penghuni rumah tersebut. Penduduk taman juga telah mengambil langkah iaitu telah meletakkan papan amaran pembuangan sampah namun penduduk sekitar taman tersebut tetap melakukan perkara dan kesalahan yang sama iaitu dengan membuang sampah sarap secara berleluasa di kawasan semak samun dan bahu jalan.



Rajah 7 : Pembuangan sampah di bahu jalan dan kawasan semak samun

Kesan yang terakhir adalah berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku di sekitar kawasan sekitar Taman Azizul Rahman kerana penduduk taman telah mengambil inisiatif untuk melupuskan lambakan sampah sarap yang bertimbun dengan cara membakar sampah sarap secara terbuka hampir setiap hari pada waktu petang. Pembakaran sampah sarap ini sudah pasti akan menyebabkan udara tercemar dengan asap yang dibebaskan dari tempat pembakaran sampah. Bukan itu sahaja, aktiviti-aktiviti pembakaran sampah sarap secara terbuka ini menggalakkan pembebasan bahan-bahan seperti karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain. Menurut Fazrul Sulaiman (2015), pembakaran  bahan  api  fosil  telah menyebabkan  masalah  pencemaran  ini  menjadi  lebih  serius. Pembakaran terbuka merupakan penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi. Oleh itu, jelaslah bahawa kesan lambakan sampah sarap ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara.


4.0 CADANGAN PENYELESAIAN  MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI TAMAN AZIZUL RAHMAN, KAMUNTING PERAK

 

Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah sarap di tempat pembuangan sampah secara haram di Taman Azizul Rahman adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menyediakan tong sampah di setiap taman di kawasan kediaman ini. Masalah penyediaan infrastruktur seperti tong sampah(RORO) dalam pengurusan sisa pepejal merupakan perkara yang amat penting untuk diberi perhatian. Hal ini demikian kerana, apabila infrastruktur tong sampah dalam pengurusan sisa pepejal dapat disediakan dengan baik oleh pihak-pihak tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan atau kontraktor pembersihan sampah yang dilantik, maka perkara ini akan menggalakkan lagi masyarakat untuk mengurus sisa pepejal yang dijana dengan lebih teratur dan sistematik (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu, apabila PBT menyediakan tong sampah di setiap kawasan kediaman di Taman Azizul Rahman, sudah pasti masalah pembuangan sampah sarap ini dapat diatasi dengan jayanya. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk Taman Azizul Rahman tidak perlu lagi bersusah payah untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah di taman sebelah kerana mereka sudah diberikan kemudahan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan taman mereka sendiri. Malah, aktiviti pembuangan sampah secara haram juga dapat diatasi dan dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan lambakan sampah di sesuatu tempat, seperti di semak samun dan juga di kawasan bahu jalan.


Langkah yang seterusnya dalam mengatasi isu ini adalah dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang ini boleh dilaksanakan melalui PBT, di mana PBT boleh mengenakan tindakan undang-undang seperti denda dan juga penjara kepada mana-mana penduduk taman yang masih lagi berdegil untuk membuang sampah sarap di merata tempat. Hukuman seperti ini sudah pasti akan memberikan pengajaran kepada semua penduduk Taman Azizul Rahman supaya tidak lagi membuang sampah sarap sewenang-wenangnya mengikut kehendak mereka. Malah, pihak PBT juga boleh melakukan pemantauan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu di kawasan Taman Azizul Rahman bagi mengawasi aktiviti-aktiviti pembuangan sampah secara haram oleh penduduk taman tersebut. Dengan penglibatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan ini, maka aspek alam sekitar di negara ini akan lebih teratur dan terjaga kerana pemantauan yang ketat dapat dilakukan oleh mereka (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu jelaslah bahawa tindakan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dilihat dapat mengatasi masalah pembuangan sampah sarap di Taman Azizul Rahman.

 

Akhir sekali, kempen cintai alam sekitar juga boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen cintai alam sekitar secara besar-besaran melalui media cetak, media elektronik, bengkel pemahaman dan penghayatan alam sekitar, ceramah serta seminar. Dengan adanya kempen ini, ia dapat memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada penduduk Taman Azizul Rahman tentang betapa pentingnya pengurusan sampah yang sistematik dalam kehidupan harian. Melalui kempen ini juga, mereka akan didedahkan tentang denda dan hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka apabila mereka mengamalkan sikap suka membuang sampah di merata tempat. Selain itu, menerusi kempen ini juga mereka turut didedahkan dengan kesan buruk pembuangan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram terhadap alam sekitar dan juga kesihatan manusia. Dalam usaha memulihara alam sekitar, masyarakat seharusnya bergerak bersama dan seiring dengan pihak kerajaan dengan menyertai setiap program pemuliharaan alam sekitar yang dianjurkan sama ada memberi sokongan, bantuan dan yang paling penting turut menjaga keharmonian alam sekitar dengan tidak melakukan pencemaran (Haliza Abdul Rahman, 2009). 

 

   Kesimpulannya, isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini adalah isu yang tiada pengakhiran, malah berlaku secara berterusan dalam kehidupan. Isu pembuangan sampah sarap ini boleh mengancam kehidupan manusia dan haiwan serta menjejaskan kesejahteraan alam sekitar jika dibiarkan tanpa adanya kerjasama dari semua pihak. Isu ini tidak dapat dibendung secara drastik, namun pihak yang bertanggungjawab perlulah sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah di merata-rata tempat ini. Oleh itu, penduduk di Taman Azizul Rahman ini haruslah sentiasa peka dan prihatin terhadap isu pembuangan sampah dan perlulah memberikan kerjasama antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama. Tambahan pula, penjagaan alam sekitar adalah sangat penting kerana ia merupakan aset penting kepada kesejahteraan hidup manusia di muka bumi ini. 



Rujukan


Abd. Jalil, Musfirah (2017) Persepsi penduduk terhadap kutipan sisa pepejal di kawasan luar bandar. Masters thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Faculty of Geoinformation and real estate.

 

Sulaiman, Fazrul. (2015). Atmosfera Bumi dan Tindakbalas Kimia Pencemaran Udara. Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Pahang, 26400 Bandar Tun Abdul Razak Jengka Pahang Darul Makmur  

 

Mamat, Mohamad & Mohd Najib, Sumayyah. (2020). Pendidikan Amalan Kitar Semula Sisa Pepejal kepada Masyarakat. Jurnal Geografi. 8. 43-69. 10.37134/Geografi.Vol8.1.3.2020.

 

Mohd Hariri Ariffin & Nur Shahazira Izzati Shahaziran. (2021). Kaedah terbaik lupus sampah. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/06 /715955/kaedah-terbaik-lupus sampah. 

 

Khairunnisa Kasnoon. (2021). Tahap kesedaran rendah punca isu sampah plastik tidak terurus terus meruncing. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/ berita-malaysia/tahap-kesedaran-rendah- punca- isu-sampah-plastik-tidak-terurus-terus-meruncing-288008.

 

Muhamad Fiqrurazi. (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Fakulti Geo informasi Dan Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia

 

Ridwan Lubis (1994). Peningkatan Peranan Serta Masyarakat dalam Mensukseskan Program Medan Bestari. Ucapan Sarasehan Hari Lingkungan Hidup Sedunia, Medan. 25 Julai.

 

Zaini Sakawi. (2018). Pencemaran Bau di Malaysia: Keperluan bagi Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Peraturan-Peraturan Pencemaran Kualiti Udara). Malaysian Journal of Society and Space 14(4), 158-173. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/13260/1/28568-89102-1-PB.pdf

 

Haliza Abdul Rahman. (2009). Penglibatan Masyarakat Awam di Malaysia dalam Isu Berkaitan Persekitaran. Jurnal Sarjana, 24(2), 49-65. Diperoleh daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/SARJANA/article/view/10366/7374.



NAMA : NIK JASMIN NURINA BINTI AHMAD NORGIBUL RAHMAN


NO MATRIK : D20182085716


KUMPULAN : A

Wednesday, June 1, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU PENGEMIS JALANAN DI SEKITAR BANDAR TAWAU

1.0 PENGENALAN

Tawau merupakan nama sebuah daerah dan bandar yang terletak di Negeri Sabah.  Asal usul perkataan 'Tawau' sebenarnya diperoleh daripada beberapa bahasa kelompok etnik yang mendiami Tawau pada masa itu. Jika merujuk kepada bahasa suku kaum Suluk, perkataan Tawau diperoleh dari nama seekor burung 'Tuwau'. Sekiranya berpandukan kepada suku kaum Bugis, makna perkataan Tawau membawa maksud 'Tawa ku' iaitu bahagianku. Perkara ini adalah sesuai dengan tujuan asal kedatangan suku kaum Bugis ke Tawau iaitu ingin memiliki hak bahagian mereka. Menurut OKK Sulaiman Abdullah, beliau menjelaskan bahawa 'Tawau' atau 'menawau' merujuk kepada pancing yang digunakan dalam kegiatan menangkap ikan (Suraya Sintang, 2005).

Rajah 1 menunjukkan peta daerah Tawau yang meliputi kawasan seluas 6,125 km persegi atau 612,506 hektar. Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di selatan serta dikelilingi oleh Laut Sulu di timur, dan Laut Sulawesi di selatan. Tawau kini merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km. Tawau secara ringkas mendapat gelaran sebagai 'Bumi Peladang' kerana sebahagian besar bentuk muka buminya dikelilingi oleh kawasan perladangan seperti kelapa sawit (Bakri Amboala, 2013). Tawau pada hari ini dilihat berkembang dengan sangat pesat dan maju terutamanya di kawasan pusat Bandar Tawau. Namun demikian, masih terdapat isu-isu berkaitan penduduk yang sering kali timbul di sekitar Bandar Tawau salah satunya ialah isu pengemis jalanan. Isu berkaitan dengan pengemis jalanan di Bandar Tawau akan dibincangkan dengan lebih mendalam di bahagian yang seterusnya.

Rajah 1. Peta Daerah Tawau

 

2.0 RINGKASAN KES – ISU PENGEMIS JALANAN DI SEKITAR BANDAR TAWAU

            Isu pengemis jalanan bukan merupakan satu isu yang baharu di Tawau dan perkara ini sering kali menjadi topik bualan hangat dalam kalangan masyarakat Tawau. Rajah 2 menunjukkan kelibat pengemis jalanan yang berada di sekitar Bandar Tawau dan terdiri daripada pelbagai lapisan umur dari kanak-kanak sehingga dewasa dan warga emas. Kebanyakan dari mereka ini adalah dari keluarga yang sama lalu dipisahkan di merata tempat untuk mengemis dan mengaut pendapatan yang lebih banyak. Mereka berkeliaran di sekitar Bandar Tawau dengan berpakaian lusuh dan kotor serta membawa cawan pakai buang untuk menyimpan duit. Antara lokasi yang sering menjadi perhatian atau 'Hot Spot' bagi golongan pengemis jalanan di Tawau untuk mengemis ialah di Jalan Masjid Al-Kauthar, Taman Traulsen, dan di hadapan bank-bank. Pengemis jalanan ini lazimnya terdiri daripada kalangan gelandangan itu sendiri yang berstatus 'palauh' dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah (Laman Web Buletin Semasa Sabah, t.t) atau dikenali sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Golongan ini juga membina tempat tinggal iaitu pondok-pondok kecil sesuka hati secara haram di kawasan pinggir laut, bawah pokok atau bangunan-bangunan kosong di sekitar Bandar Tawau.

Rajah 2. Pengemis jalanan di Bandar Tawau

 

3.0 PUNCA KEWUJUDAN PENGEMIS JALANAN DI BANDAR TAWAU

3.1 Kedatangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Kebanjiran kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dilihat menjadi penyumbang terbesar terhadap punca kewujudan pengemis jalanan di Bandar Tawau. Kedudukan Tawau yang berjiran dengan negara-negara seperti Filipina memudahkan lagi kemasukan PATI dari negara tersebut ke Bandar Tawau. Tinjauan mendapati bahawa majoriti pengemis jalanan yang terdapat di Bandar Tawau adalah berasal dari negara Filipina. Buktinya, pada 18 April 2019, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cawangan Tawau menerusi Operasi Bersepadu telah berjaya menahan 45 individu disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pengemis jalanan warga Filipina di sekitar Bandar Tawau (Laman Web Sabah Post, 2019) seperti yang ditunjukkan dalam rajah 3. Kewujudan 'jalan-jalan tikus' yang banyak dihubungkan dengan Daerah Tawau memudahkan lagi kemasukan PATI ke bandar ini. Kelicikan PATI dalam menggunakan 'jalan-jalan tikus' untuk sampai ke Tawau telah menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kehadiran mereka.

Rajah 3. PATI dan pengemis jalanan yang berjaya ditahan di Bandar Tawau

 

3.2 Keinginan Mendapatkan Duit dengan Mudah

Dalam dunia pekerjaan pada hari ini, untuk mendapatkan satu pekerjaan bukanlah satu perkara yang mudah kerana persaingan yang cukup tinggi. Dengan erti kata yang lain permintaan kerja lebih banyak berbanding dengan yang ada ditawarkan terutamanya di Bandar Tawau. Kebanyakan pekerjaan pada hari ini memerlukan individu dengan pengalaman dan tahap pendidikan yang tinggi agar dapat bersaing dan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan. Ada pun pekerjaan yang ditawarkan tidak menawarkan gaji yang setimpal dengan pekerjaan yang perlu dilakukan dan masa bekerja. Oleh yang demikian, satu-satunya jalan mudah yang tinggal untuk mereka mendapatkan duit ialah dengan mengemis. Tidak dinafikan bahawa ada yang bertekad untuk menjadi pengemis jalanan tanpa menghiraukan harga diri dan perasaan malu demi mendapatkan pendapatan yang lumayan tanpa perlu melakukan kerja-kerja berat. Keadaan yang berterusan menyebabkan pengemis ini menganggap mengemis sebagai satu aktiviti pekerjaan yang menguntungkan dan lama-kelamaan mereka menjadi taasub.

3.3 Sikap Masyarakat yang Terlalu Pemurah

Masyarakat Tawau dikenali dengan sikapnya yang baik, ramah, dan pemurah hati. Keadaan ini lah yang telah membuka ruang dan peluang kepada pengemis-pengemis jalanan ini bergiat aktif di sekitar Bandar Tawau. Pengemis jalanan akan menagih simpati masyarakat di Bandar Tawau dengan menggunakan anak-anak kecil untuk mengemis atau menggunakan kekurangan diri seperti kecacatan anggota tubuh badan. Dengan ini masyarakat di sekitar Bandar Tawau akan merasa kasihan dengan pengemis-pengemis jalanan ini lalu memberikan mereka duit. Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Roslan Baba berkata, sikap masyarakat yang pemurah dan suka memberi, membuka ruang kepada pengemis menyebabkan kehadiran mereka diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan (Laman Web Malaysia Kini, 2016).

3.4 Kemiskinan

            Faktor kemiskinan dan keadaan ekonomi isi rumah yang mendesak juga mempengaruhi terjadinya perilaku seseorang yang berhujung menjadi peminta-minta atau mengemis. Kemiskinan boleh merujuk kepada kekurangan pendapatan untuk membeli keperluan asas, tingkat pendidikan yang rendah, tidak memiliki harta benda, tidak sihat tubuh badan (kurang upaya), kekurangan makanan dan pakaian, tidak mempunyai tempat tinggal, dan sebagainya yang dapat menjamin kelangsungan hidup mereka (Norzita Jamil & Siti Hadijah Che Mat, 2014). Kesukaran hidup ditambah dengan ketiadaan pekerjaan mendorong seseorang untuk menjadi pengemis jalanan dalam keadaan terpaksa kerana sudah tiada pilihan lain yang boleh dilakukan. Golongan ini mengemis bukan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih banyak tetapi sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contohnya, golongan gelandangan di sekitar Bandar Tawau yang hidup dalam kemiskinan tidak mempunyai tempat tinggal dan keperluan asas seperti makanan telah mendorong mereka menjadi pengemis jalanan.

 

4.0 MASALAH YANG TIMBUL

4.1 Mengganggu Ketenteraman Masyarakat

Kewujudan pengemis-pengemis jalanan telah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat di sekitar Bandar Tawau. Mereka sering kali datang mengganggu dengan meminta-minta ketika orang awam sedang bersantai, makan, atau melakukan aktiviti-aktiviti tertentu. Misalnya, pengemis ini akan datang menyerbu orang awam yang sedang bersantai di sekitar Taman Traulsen, Tawau atau keluar dari bank lalu meminta duit mereka. Kadang kala pengemis ini datang secara beramai-ramai terutamanya pengemis kanak-kanak dengan tingkah laku yang kurang sopan seperti memaksa dan merampas. Biasanya mereka akan kekal berdiri di samping orang awam dan menunggu sehingga mereka diberikan duit. Ada kalanya sesetengah dari pengemis jalanan ini bertindak agresif dengan menggores kereta dan meludah tangan orang awam apabila tidak diberikan duit (Laman Web Astro Awani, 2021). Keadaan ini menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan orang awam di sekitar Bandar Tawau sekali gus menggugat kesejahteraan masyarakat sekitar.

4.2 Membahayakan Pengguna Jalan Raya

Rajah 4 menunjukkan tindakan pengemis-pengemis jalanan di Bandar Tawau yang juga melakukan aktiviti mengemis di atas jalan raya. Contohnya, situasi yang berlaku di Jalan Masjid Al-kauthar, Tawau. Jalan Masjid Al-kauthar tepatnya di Dunlop Street merupakan jalan yang sibuk dengan kehadiran kenderaan terutamanya pada waktu kemuncak menyebabkan sering berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut. Situasi seperti ini menjadi peluang keemasan bagi pengemis-pengemis jalanan ini untuk meminta-minta di setiap kenderaan yang ada di situ. Tindakan mereka yang berlegar-legar di atas jalan raya, dan mengetuk tingkap kenderaan sambil mendukung anak kecil bagi meraih simpati untuk mendapatkan duit adalah sangat berbahaya. Hal ini kerana, ianya akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan yang mungkin melibatkan kenderaan-kenderaan di atas jalan raya dan pengemis jalanan itu sendiri. Masalah ini amat membimbangkan kerana melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.

Rajah 4. Pengemis jalanan berlegar di atas jalan raya

 

4.3 Mencemarkan Imej Bandar Tawau

            Kewujudan pengemis jalanan di sekitar Bandar Tawau telah mencemarkan imej bandar ini di mata orang luar. Hal ini kerana, kewujudan pengemis jalanan akan memberi satu tanggapan kepada orang luar bahawa rakyat di bandar ini terlalu miskin sehingga sanggup mengemis di tepi jalan, walaupun hakikatnya mereka bukan warga tempatan. Kehadiran pengemis-pengemis jalanan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti Taman Traulsen, Tawau menyebabkan pengunjung tidak selesa. Keadaan ini akan memberi impak buruk kepada imej negara yang akan dibawa keluar oleh pengunjung-pengunjung tersebut. Imej bandar adalah amat penting untuk memberikan satu gambaran kepada orang luar agar mereka tertarik untuk datang melawat. Oleh itu, apabila imej bandar telah tercemar dengan perkara-perkara seperti ini secara tidak langsung ianya akan menjejaskan aktiviti pelancongan di Bandar Tawau. Dalam masa yang sama, perkara ini juga akan menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) kerana akan memberikan pandangan negatif bahawa kerajaan tidak prihatin dengan masalah sosial di bandar Tawau.

 

5.0 CADANGAN PENYELESAIAN

5.1 Peranan Pihak Berkuasa

            Pihak-pihak yang berkuasa seperti Polis, Imigresen, dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras isu ini dengan sebaik mungkin. Laporan-laporan yang diterima dari orang awam rentetan daripada isu ini perlulah disusuli dengan tindakan yang pantas dan proaktif. Pihak-pihak yang berkuasa tidak seharusnya hanya membiarkan isu ini terus berlaku atau melengah-lengahkan masa seolah-olah melepas tangan dari perkara ini. Dalam pada itu, Operasi Bersepadu perlu lebih giat dijalankan dengan skala operasi yang lebih meluas. Hal ini kerana, golongan pengemis ini sangat licik dan bijak dalam bersembunyi dan melarikan diri dari pihak berkuasa. Dengan ini, kumpulan pengemis-pengemis jalanan di sekitar Bandar Tawau dapat ditahan dengan lebih cepat sekali gus mengurangkan aktiviti mengemis di bandar ini. Di samping itu, kawasan sempadan perlulah dikawal dengan ketat agar dapat mengurangkan kemasukan PATI yang berpotensi untuk menjadi pengemis jalanan di Bandar Tawau. Penguasaan undang-undang juga perlulah diperketat kan agar golongan pengemis jalanan ini mendapat hukuman yang setimpal. Pihak berkuasa juga hendaklah melakukan siasatan yang lebih teliti terhadap isu pengemis jalanan di Bandar Tawau kerana dirisaukan ada unsur sindiket di sebalik semua ini.

Rajah 5. Majlis Perbandaran Tawau (MPT)

 

5.2 Peranan Orang Awam

            Peranan orang awam juga sangat penting dalam menangani isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Antara peranan yang dapat dilakukan oleh orang awam ialah dengan melaporkan aktiviti-aktiviti pengemis jalanan dan lokasi keberadaan mereka kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang selanjutnya. Dalam masa yang sama, orang awam juga tidak seharusnya memberikan muka kepada golongan pengemis ini dengan mudah-mudah memberikan mereka duit. Sikap suka memberi memang merupakan satu amalan yang murni tetapi ianya seolah-olah memberikan galakan kepada pengemis-pengemis ini untuk terus melakukan aktiviti mengemis. Oleh itu, orang awam perlulah mengabaikan tindakan pengemis jalanan ketika meminta-minta dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Orang awam juga dinasihatkan supaya menyalurkan sedekah melalui cara yang betul seperti Program Tanggungjawab Sosial atau Tabung Khas yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (Laman Web Mstar, 2014).

5.3 Peranan Badan Swasta / NGO

            Selain daripada pihak berkuasa dan orang awam, badan-badan swasta atau NGO juga dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Badan swasta atau NGO boleh membantu dalam menyediakan kemudahan kepada gelandangan yang ada di Tawau agar mereka tidak bertindak menjadi pengemis jalanan. Contohnya, menubuhkan penempatan khas untuk golongan gelandangan dengan menyediakan kemudahan asas seperti makanan, pakaian, dan perubatan. Pihak NGO juga boleh membantu dengan memberi mereka kemahiran supaya dapat berdikari dan boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

 

6.0 KESIMPULAN

            Kesimpulannya, isu pengemis jalanan di Bandar Tawau merupakan satu isu yang sangat serius. Walaupun isu ini telah lama berlaku di Bandar Tawau tetapi masih belum ada sebarang perubahan positif yang dapat dilihat dengan ketara. Sebaliknya, jumlah pengemis jalanan di Bandar Tawau dilihat semakin bertambah. Perkara ini amat membimbangkan sekiranya ia dibiarkan berterusan berlaku kerana pengemis jalanan membawa pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan imej Bandar Tawau sendiri. Semua pihak seperti pihak berkuasa, orang awam, dan badan swasta/NGO perlulah berganding bahu dan bersama-sama menggembleng tenaga dalam melaksanakan langkah yang proaktif dan efisien untuk mengatasi isu pengemis jalanan di Bandar Tawau. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing agar isu ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

 

 

RUJUKAN

Bakri Amboala. (2013). Politik Islam di Sabah: Analisis Perkembangan Parti Islam SeMalaysia    di Daerah Tawau (Master thesis). Universiti Malaya. Diperoleh daripada http://studentsrepo.um.edu.my/5380/

Laman Web Sabah Post. (2019, April 19). 25 Kanak-kanak antara 45 pengemis jalanan dan        PATI ditahan imigresen Tawau. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada   https://www.sabahpost.net/2019/04/19/25-kanak-kanak-antara-45-pengemis-jalanan-dan-       pati-ditahan-imigresen-tawau/

Laman Web Malaysia Kini. (2016, Oktober 18). Pengemis ramai disebabkan oleh sikap   pemurah rakyat malaysia. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada https://www.malaysiakini.com/news/359429

Laman Web Astro Awani. (2021, Mac 25). Komuniti | Pengemis jalanan sanggup meludah,          gores kereta. Diperoleh pada 2022, Mei 20, daripada https://www.astroawani.com/video-           malaysia/komuniti-pengemis-jalanan-sanggup-meludah-gores-kereta-1896822

Laman Web Buletin Semasa Sabah. (t.t). Kebanyakan gelandangan dan pengemis di Sabah       adalah rakyat asing. Diperoleh pada 2022, Mei 21, daripada             https://buletinsemasasabah.blogspot.com/2014/10/kebanyakan-gelandangan-pengemis-di.html

Laman Web Mstar. (2014, Julai 3). KPWKM, DBKL bincang langkah atasi masalah peminta        sedekah. Diperoleh pada 2022, Mei 22, daripada         https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2014/07/03/kpwkm-dbkl-bincang

Norzita Jamil & Siti Hadijah Che Mat. (2014). Realiti Kemiskinan: Satu Kajian Teoritikal. Jurnal    Ekonomi Malaysia, 48(1), 167-177. Diperoleh daripada             https://www.researchgate.net/publication/284576612_Realiti_Kemiskinan_Satu_Kajian_Teo         ritikal

Suraya Sintang. (2005). Punca Penghijrahan Orang Bugis ke Tawau, Sabah. Jurnal Peradaban Melayu, 3, 83-100. Diperoleh daripada    https://ojs.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/3383

 

NAMA: IZAL BIN BAHARUDDIN

NO. MATRIK: D20201094318

KUMPULAN: A

 

Sent from Mail for Windows

 

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...