Sunday, August 7, 2022

 

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU BANJIR DAN KESAN KEPADA PENDUDUK DI DAERAH PITAS KHUSUSNYA KAMPUNG TAKA, PITAS

 

1.0 PENGENALAN

Banjir ialah satu bencana alam yang berlaku disebabkan oleh faktor klimatologi atau faktor iklim seperti keadaan suhu, taburan hujan, sejatan, pergerakan angin dan keadaan semulajadi muka bumi (Balek, 1983). Dalam konteks Malaysia, banjir adalah sesuatu yang berlaku secara tradisi terutamanya di Pantai Timur Semenanjung semasa musim tengkujuh. Peningkatan kekerapan banjir yang berlaku di Malaysia adalah disebabkan semulajadi akibat daripada perubahan monsun atau peningkatan kawasan setinggan di dalam bandar (Chan 1996; Jamaluddin & Sham 1987; Rose & Peter 2001). Banjir berlaku disebabkan sama ada hujan yang berterusan mengakibatkan kuantiti yang lebih besar daripada biasa atau air sungai yang melimpah ke tebing sungai ataupun kedua-duanya sekali (Balkema et al. 1993; Schulz et al. 1972). Oleh hal yang demikian, disebabkan bencana banjir di Malaysia berlaku secara kerap dan menyebabkan masyarakat banyak kehilangan tempat tinggal, nyawa, harta benda dan lain-lain.

 

2.0 KAWASAN KAJIAN (DAERAH PITAS)

 

Daerah Pitas terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari Kudat. Bersempadan dengan daerah Kota Marudu di sebelah barat, Daerah Beluran dan Paitan di sebelah timur. Populasi penduduk di daerah ini kebanyakkannya adalah daripada etnik Rungus dan orang Sungai (termasuk etnik Tambonuo) dan sedikit daripada kaum Cina serta kaum etnik minoriti yang lain.

 

Suatu masa lalu, nama daerah ini sinonim dengan daerah Kudat. Ramai yang beranggapan bahawa Pitas adalah Kudat. Golongan veteran masih dengan pemikiran bahawa 'Pitas di bawah Kudat'. Ini disebabkan sebelum tahun 1975, daerah ini ditadbir oleh daerah Kudat. Semua urusan pentadbiran dilakukan di daerah Kudat dengan menggunakan motorbot menyeberangi Teluk Marudu yang memakan masa perjalanan sekitar tiga jam. Pada masa yang sama, sewaktu zaman Jepun, ramai orang Cina di daerah Kudat melarikan diri ke daerah Pitas dan membuka petempatan di tebing-tebing Sungai Bengkoka. Oleh itu, penduduk tempatan akan menumpang motorbot peniaga Cina ke daerah Kudat untuk memasarkan hasil pertanian.

 

Nama Pitas adalah berasal dari perkataan "NOPITAS" iaitu perkataan bahasa suku Kaum Sungai yang bererti 'terputus'. Pada masa itu Sungai Bengkoka dilanda banjir dan akibat arus banjir yang deras Sungai Bengkoka telah terputus. Maka perkataan "NOPITAS" (terputus) diabadikan oleh penduduk pada masa itu dengan menjadi Pitas sehingga sekarang. Pada tahun 1975, Pitas dinaiktaraf menjadi daerah penuh dengan wujudnya cawangan beberapa agensi kerajaan seperti JKR, Pondok Polis, Pendidikan dan Kesihatan. Walau bagaimanapun, dengan kemudahan dan bilangan staf yang terhad, tidak banyak urusan rasmi yang dapat diselesaikan di daerah ini.

 

Gambar 1: Peta Daerah Pitas

Sumber: Internet

 

Kebanyakkan urusan yang dijalankan masi merujuk di daerah Kudat. Menjelang awal 80-an tapak Pekan Baru Pitas telah dikenalpasti dengan bermulanya pembinaan bangunan urusetia. Sejak itu, daerah ini mula berubah wajah dengan lebih banyak agensi kerajaan dibuka. Apabila jalan raya ke Kota Marudu boleh digunakan penduduk dengan menggunakan kereta menuju ke Kudat maka penggunaan melalui laut semakin tidak popular sehinggalah sekitar tahun 1997. Kampung Taka Pitas terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Baru Pitas, kawasan ini sering dilanda banjir akibat daripada limpahan sungai Kampung Taka, Pitas.

 

3.0 PUNCA MASALAH BANJIR DI KAMPUNG TAKA, PITAS

 

Antara punca masalah banjir berlaku adalah disebabkan ketiadaan hutan sebagai tadahan hujan. Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenus tumbuhan dan haiwan. Selain itu, hujan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Tumbuhan yang berperanan sebagai menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara dua peratus sehingg 20%. Kemudian air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Proses pemeluwapan dilakukan dengan membebaskan semula titisan-titisan air ke udara secara tidak langsung kitaran air secara semula jadi berlaku. Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak dapat  menampung air hujan dalam jumlah yang banyak seterusnya berlaku limpahan air sungai yang mengakibatkan hujan.

 

 

Gambar 2: Aktiviti penebangan hutan di daerah Pitas

Sumber: Kajian Lapangan tahun 2022

 

 

            Selain itu, hakisan sungai yang kerap berlaku juga merupakan punca masalah banjir. Hakisan sungai berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa domestik seperti sampah sarap dan sisa-sia industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau mengalir air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing seterusnya banjir berlaku.

 

 

Gambar 3: Sungai Taka, Pitas.

Sumber: Kajian Lapangan tahun 2022

 

            Selanjutnya, masalah sistem perparitan yang tidak terancang di daerah Pitas. Masalah banjir yang sering melanda di kampung-kampung adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang dibina serta ianya terlalu kecil dan cetek. Masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan sistem perparitan ditumbuhi tumbuhan dan sampah sarap yang menyebabkan sistem perparitan kelihatan semak serta aliran air hujan tersekat. Hal ini menyebabkan air dalam sistem perparitan mudah naik dan berlakunya banjir kilat dengan cepat.

 

 

Gambar 4: Sistem Perparitan di daerah Pitas

Sumber: Kajian Lapangan tahun 2022

 

4.0 KESAN BANJIR KEPADA PENDUDUK DI KAMPUNG TAKA, PITAS

 

Fenomena bencana banjir menjadi tradegi kepada penduduk di daerah Pitas khususnya di Kampung Taka Pitas kerana mendatangkan pelbagai bentuk kemusnahan dan kerosakan. Kemusnahan akibat banjir yang berlaku memberikan impak negatif dari sudut sosial ke atas penduduk di daerah Pitas. Berdasarkan hasil kajian, impak yang dialami oleh penduduk merangkumi aspek perpindahan penduduk, ekonomi dan kesihatan.

 

            Impak sosial yang boleh dilihat daripada kejadian banjir adalah perpindahan penduduk. Kesan daripada kemusnahan tempat tinggal ini menyebabkan penduduk terutamanya di Kampung Taka Pitas terpaksa berpindah meninggalkan kediaman mereka ke kawasan yang lebih selamat. Berdasarkan data yang diperoleh, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang telah dipindahkan di Kampung Taka, Pitas adalah seramai 725 orang. Banjir besar yang berlaku di daerah Pitas telah menyaksikan sebahagian besar kawasan kediaman mangsa telah ditenggelami air. Ketika itu, ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ada juga memilih untuk tinggal sementara di rumah kenalan. Kebanyakkan mangsa banjir ketika itu dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara seperti sekolah, masjid dan dewan orang ramai. Bahkan, ada di antara mereka yang tidak sempat berpindah kerana air naik dengan mendadak. Penduduk di kampung Taka, Pitas terpaksa berlindung di tempat tinggi seperti atas bumbung atau bukit berhampiran menunggu masa untuk diselamatkan dan ada yang berlindung sehingga air kembali surut. Kesan daripada perpindahan tersebut bukan sahaja boleh menyebabkan tahap kesejahteraan mangsa banjir menurun malah aktiviti harian mangsa banjir dan penduduk di kampung Taka, Pitas turut terganggu. Terdapat dalam kalangan mangsa banjir merasa tidak selesa tinggal di pusat berkenaan disebabkan bising.

 

Gambar 5: Perpindahan penduduk ke Dewan daerah Pitas

Sumber: Kajian lapangan tahun 2022

 

Selain itu, kesan yang paling dirasai mangsa banjir ialah kesan ekonomi. Kejadian bencana banjir telah membawa kerugian kepada ekonomi penduduk sama ada disebabkan harta benda mereka tenggelam ataupun dihanyutkan oleh arus deras. Kerugian ekonomi ini merupakan impak yang besar dan boleh dinilaikan dari segi wang ringgit. Kehilangan aset melibatkan kerugian daripada pemilikan harta benda oleh mangsa banjir dan penduduk sekitarnya. Terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti kehilangan rumah, kenderaan, barangan berharga, pekakas rumah dan barangan saraan hidup menyebabkan kemerosotan ekonomi bagi penduduk di kampung Taka, Pitas. Taksiran kerugian akibat kerosakan dan kehilangan aset menunjukkan mangsa banjir terpaksa berbelanja untuk menggantikan atau menambahpulih yang telah rosak. Impak ekonomi daripada kemusnahan dan kehilangan aset mengakibatkan satu kejatuhan dalam kualiti hidup atau kemelesetan serius daripada pelaburan sosial.  Meskipun terdapat aset gantian hasil daripada sumbangan atau dibeli kemudiannya namum sama sekali tidak dapat menggantikan kehilangan aset sebelum ini yang dianggap sebagai satu kerugian. Keadaan ini bertambah serius apabila mangsa bencana tidak mempunyai jaminan sosial seperti insuran menyebabkan proses untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang menjadi satu hambatan apabila dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan dan juga kebergantungan (Lindell & Prater, 2008). Bencana banjir yang berlaku bukan sahaja melibatkan kesan ekonomi yang boleh dinilaikan tetapi secara tidak langsung boleh mengakibatkan kesan ekonomi yang mendalam kepada mangsa disebabkan oleh kejatuhan ekonomi yang teruk.

 

Di samping itu, bencana banjir yang berlaku membawa impak terhadap  kesihatan mangsa terutamanya terhadap aspek emosi atau psikologi mereka. Kesan psikologikal yang diterima adalah berbeza bagi setiap individu mengikut perbezaan usia, jantina, tempat atau daerah (Rohnany Nasir & Zainab Zamani, 2012). Kesan masalah banjir mengikut Norris (2005) termasuk mengalami tekanan, kebimbangan, kecelaruan, panik dan masalah kesihatan. Kebanyakkan mangsa banjir mengalami kecemasan (distress) kerana merasa terancam, risau dan sedih atas kehilangan yang menimpa diri dan keluarga serta masalah lain seperti kekurangan keperluan asas hidup seperti tempat tinggal, makanan, minuman dan sebagainya. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa masalah banjir di kampung Taka, Pitas menyebabkan mereka berasa takut dan trauma apabila berhadapan dengan keadaan tertentu. Trauma atau post-traumatic stress disorder merupakan satu tindak balas emosi terhadap sesuatu keadaan mengejutkan atau menyedihkan dan seterusnya trauma boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan mangsa banjir (Carrol et al., 2010). Penduduk banjir juga berhasrat untuk berpindah dari kediaman mereka kerana setiap kali hujan lebat mereka mengalami masalah banjir tetapi dalam mengalami masalah kewangan kerana tidak mampu membayar kadar sewa yang tinggi di kawasan lain, mereka terpaksa untuk tinggal di kawasan tersebut. Tuntutan kerja juga menyebabkan mangsa banjir terus menetap di beberapa kampung yang cenderung banjir seperti Kampung Taka, Pitas.

 

Gambar 6: Pengagihan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Taka, Pitas

Sumber: Kajian lapangan tahun 2022

 

5.0 CADANGAN RELEVAN BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR DI KAMPUNG TAKA, PITAS

 

Cadangan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah banjir ialah usaha mendalamkan sungai perlu digiatkan dengan segera. Kebanyakkan kejadian banjir berlaku kerana kecetekan sungai. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran telah berkurangan. Hal ini demikian kerana proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan baungan. Langkah untuk menangani masalah ini adalah dengan menjalankan proses pendalaman sungai dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran yang terdapat di dasar sungai. Apabila proses ini dilakukan, sungai bukan sahaja menjadi dalam tetapi mampu mengalirkan jumlah air hujan dengan banyak. Bertitik tolak dengan itu, Jabatan Parit dan Saliran perlu lebih proaktif dalam mengatasi masalah ini.

            Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu mengawal kegiatan pembalakan untuk mengelakkan banjir besar berlaku. Kegiatan pembalakan di kawasan pinggir sungai menyebabkan tanah terhakis lalu tanah itu mengalir ke sungai. Keadaan yang sama juga berlaku apabila aktiviti pembalakan giat dilakukan di lereng-lereng bukit. Oleh itu, pemeliharaan hutan merupakan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah banjir. Hutan boleh dijadikan sebagai kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi. Tumbuhan yang berfungsi sebagai menyerap air hujan dan air mengalir dengan perlahan-lahan ke arah anak-anak sungai. Namun hakikatnya yang berlaku sekarang ialah bukit bukau kian gondol dan rata serta hutan belantara berganti hutan batu dengan alasan untuk pembinaan bangunan.

 

            Selain itu, setiap kawasan perumahan perlu disediakan sistem perparitan yang sempurna. Banjir sering berlaku apabila air yang bertakung di sesuatu tempat tidak dapat mengalir ke kawasan yang rendah untuk dialirkan ke sungai. Apabila hal ini berlaku, terjadilah banjir kilat setelah hujan lebat turun selama beberapa jam. Oleh hal demikian, sistem perparitan hendaklah diselenggara dan di periksa dari semasa ke semasa. Hal ini perlu diberikan perhatian kerana terdapat kawasan perumahan yang dimajukan dengan sistem perparitan yang terkini, namun air dari parit itu tidak dapat mengalir ke taman perumahan berdekatan sebelum air tersebut mengalir ke sungai. Hal ini demikian kerana antara sebuah kawasan perumahan dengan kawasan perumahan  yang lain tidak mempunyai sistem perparitan yang sempurna. Jika keadaan ini tidak dibendung akan mendatangkan masalah kepada kawasan perumahan lama kerana kawasan perumahan baharu biasanya dibuat di kawasan yang lebih tinggi. Situasi ini boleh dikaitkan dengan pepatah melayu "orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah". Air dari kawasan perumahan lain, tetapi kawasan perumahan yang lain menerima azabnya.

 

6.0 KESIMPULAN

 

Masalah banjir sememangnya memberi kesan yang besar dan mengakibatkan berlaku gangguan kepada kehidupan sosial  manusia. Selain merubah aspek persekitaran fizikal penduduk, bencana tersebut memberi kesan terhadap kehidupan manusia. Masalah banjir yang berlaku di daerah Pitas khususnya di Kampung Taka, Pitas menyebabkan kualiti hidup penduduknya merosot terutama bagi mereka yang menjadi mangsanya. Bencana banjir yang berlaku memberi impak sosial terhadap perpindahan penduduk, ekonomi dan kesihatan dalam kalangan penduduk. Impak ekonomi merupakan impak yang ketara dan paling dirasai oleh hampir kesemua mangsa banjir yang terlibat. Hal ini kerana kehilangan aset adalah satu kejatuhan dalam kualiti hidup atau kemelesetan serius daripada pelaburan sosioekonomi mangsa banjir. Dengan mengambil cadangan yang proaktif  penduduk mampu untuk meminimumkan impak negatif masalah banjir sekiranya berlaku lagi.

 

RUJUKAN

Balek, J. (1983). Hydrology and Water Reources in Tropical Regions. Developments in Water Science 18.

 

Carrol, B., Balogh, R., Morbey, H. dan Aroaz, G. 2010. Health and social   impact of flood disaster: responding yo needs and implications for           practice. Disasters, 34(1), pp. 1045-1063.

 

Chan, N.W. dan Parker, D.J. (1996). Response to Dynamic Flood hazard   Factors in Peninsular Malaysia, The Geographical Journal 162 (3), November, 313-325.

           

Jamaluddin, J. & S. Sham (1987). Development Process, Soil Erosion and Flashfloods in the Kelang Valley Region, Peninsular Malaysia: A general consideration. Arch Hydrobiol Beih 28: 399-405.

 

Lindell, M. K., dan Prater, C. S., 2003. Assessing community impacts of     natural disasters. Natural Hazard Review, 4(4), pp. 176-185.

 

Norris, F. H., 2005. Range, magnitude and duration of the effects of disasters       on mental health. Daripada        http://www/redmh.org/research/general/REDMH_effects.pdf [Diakses          pada 1 Jun 2022].

           

Rohany Nasir & Zainab Ahmad Zamani, 2012. Kesan psikologi ke atas       penduduk setempat akibat banjir besar Johor 2006/2007. Dlm:                      Baharudin, Y., Maimon, A., dan Salmijah,S., ed. 2012. Banjir Besar          Johor. Bangi: Penerbit UKM. Pp. 102-113.

 

Rose, S & Peter, E.N. (2001). Effect of Urbanization on Stream Flow in the            Atlanta Area (Georgia, USA): A comparative Balkema, A.A., Rotterdam     & Brookefield 1993, Hydrology and Water Management of Deltaic           Areas. Netherland: Center for Civil Engineering Research and Codes          hydrological approach. Hydrological Processess 15(8): 1441-1457.

 

Schulz, E.F., Koelzer, V.A. & Mohmood, K. (1972). Floods and Droughts,   United States: Water Resources Publications.

 

NAMA : ALQUWIMAFATHA BINTI ALFIAN

NO MATRIKS : D20201094294

KUMPULAN: B

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...