Monday, August 8, 2022

MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS DI RAWANG, SELANGOR

MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS DI RAWANG, SELANGOR

 

1.0  PENGENALAN

Rawang ialah sebuah bandar dan mukim yang terletak dalam daerah Gombak, Selangor. Ia merupakan antara bandar satelit Kuala Lumpur yang terawal. Setelah pembukaan perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur, ia beransur-ansur bergerak ke arah utara iaitu di Selayang dan Rawang. Ini menjadikan Rawang kawasan kedua aktiviti perlombongan bijih timah di jalankan di Selangor. Sehubungan dengan itu, penempatan di kawasan itu giat dibangunkan disusuli dengan pembinaan stesen kereta api, lebuh raya yang menghubungkan antara utara dan selatan Malaysia, infrastruktur seperti hospital, sekolah dan banyak lagi.

Rawang juga terkenal dengan sebuah bandar perindustrian di mana kegiatan utama di kawasan itu adalah perkilangan. Pelbagai sektor perkilangan telah wujud di kawasan itu sejak awal tahun 90-an seperti kilang simen, automotif, pembuatan plastik dan sebagainya. Masyarakat tempatan kebanyakannya berkerja dalam sektor perindustrian berhampiran kawasan tersebut, namun masih ada kebanyakan mereka turut berkerja di ibu kota tetapi memilih untuk tinggal di Rawang. Peningkatan penduduk setempat serta ditambah pula dengan pembangunan menjadikan Rawang sebagai satu kawasan yang sering mengalami kesesakan lalu lintas. Terdapat beberapa kawasan di Rawang yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang amat teruk setiap hari, antaranya ialah di Taman Seri Garing, persimpangan Sungai Choh serta di Jalan Rawang-Kuala Selangor berhampiran plaza tol Rawang.


Rajah 1: Peta mukim di Negeri Selangor



Rajah 2: Peta di daerah Gombak, Selangor.



Rajah 3: Kesesakan lalu lintas di hadapan Taman Seri Garing

 

2.0  PUNCA MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS

Masalah kesesakan lalu lintas di Rawang bukanlah suatu perkara baharu. Ia telah berlaku sejak pembangunan petempatan serta kawasan perindustrian bertahun yang lepas. Antara punca berlaku kesesakan lalu lintas di bandar ini adalah disebabkan oleh:

2.1 Kepadatan Penduduk

Saban tahun, peningkatan di Rawang dari segi teknologi menunjukkan perkembangan yang positif selari dengan pertambahan penduduk. Rekod bancian penduduk pada tahun 1959 menunjukkan bilangan seramai 30,000 penduduk di sekitar Rawang, Selangor, dan kini pada tahun 2022, bancian penduduk di Rawang adalah lebih kurang 127,267 orang penduduk. Ini jelas sekali menunjukkan pertambahan penduduk meningkat dalam tempoh 63 tahun. Rajah di bawah menunjukkan bilangan populasi penduduk di Rawang dalam jangka masa tahun 1959 hingga tahun 2022.



Rajah 4: Bilangan penduduk di Rawang dari tahun 1959 hingga 2006.
(Rujukan: https://ms.zhujiworld.com/my/972269-rawang/)

Pertambahan penduduk ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah peningkatan kemudahan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Infrastruktur kesihatan yang bagus mampu menyumbang kepada pertambahan penduduk melalui pembinaan klinik dan hospital di sekitar kawasan Rawang. Bukan itu sahaja, kemudahan pendidikan seperti pembinaan sekolah serta kolej-kolej pendidikan yang lain turut memberikan kesan kepada pertambahan penduduk. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini mampu menarik perhatian penduduk untuk menetap di Rawang dan sekitarnya.

Pertambahan penduduk akan memberikan kesan kepada peningkatan kesesakan lalu lintas. Hal ini disebabkan oleh setiap individu akan menggunakan kenderaan sama ada kereta, motosikal, bas dan sebagainya sebagai pengangkutan utama mereka dalam kehidupan seharian. Maka, penggunakan kenderaan persendirian yang terlalu banyak akan menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Tambahan pula di kawasan sekitar sekolah dan laluan pejalan kaki, kenderaan terpaksa diperlahankan bagi mengelakkan kemalangan daripada berlaku. Ini akan menyebabkan "ripple effect" atau kesesakan bersambungan, dan akan mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada sesak.

2.2 Kedudukan Berhampiran Ibu Kota

Antara faktor lain yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas adalah kerana kedudukan Rawang yang berhampiran dengan jalan utama ke ibu kota, Kuala Lumpur. Kebanyakan penduduk di Rawang bukan sahaja berkerja di kawasan sekitar itu, malah terdapat segelintir penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur. Kedudukan Rawang dan Kuala Lumpur hanya dipisahkan dengan jarak sebanyak lebih kurang 30km dan tempoh masa lebih kurang 40 minit.


Rajah 5: Kedudukan antara Rawang dan Kuala Lumpur.

Selain daripada pekerjaan di ibu kota, laluan Rawang merupakan antara jalan alternatif yang menghubungkan antara negeri-negeri di Utara Malaysia seperti Kedah dan Perak dan negeri-negeri di Selatan Malaysia seperti Melaka dan Johor. Kedudukan Rawang di negeri Selangor yang terletak di laluan utara dan selatan menjadikan ia sebagai antara laluan utama perhubungan, khususnya apabila berlaku kesesakan di laluan lebuh raya. Penduduk akan mengambil keputusan untuk melalui laluan dalam bagi mengelakkan kesesakan tersebut dan Rawang merupakan antara kawasan yang akan terjejas apabila perkara ini berlaku.

2.3 Kemudahan Awam Yang Tidak Efisien

Kemudahan pengangkutan yang disediakan seperti bas awam dan kereta api memainkan pernanan yang besar bagi mengurangkan pencemaran udara serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan. Tujuan penubuhan dan pelaksanaan kemudahan awam ini adalah menggalakkan penduduk berkongsi dan menggurangkan penggunaan kenderaan persendirian di atas jalan raya. Namun, kemudahan pengangkutan yang tidak efisien tidak mampu mengatasi masalah ini. Hal ini adalah disebabkan, penduduk akan berasa tidak selesa dan leceh untuk menggunakan perkhidmatan awam berbanding menggunakan kenderaan persendirian ke tempat yang ingin di tuju.

Umum mengetahui bahawa kemudahan kereta api yang disediakan di Rawang ialah komuter atau dikenali sebagai KTM. Laluan KTM ini menghubungkan antara Tanjung Malim, Perak hingga ke kawasan Klang, Selangor. Namun, isu yang berlaku ialah kekurangan kereta api yang disediakan menjadikan ia tidak efisien. Penduduk terpaksa menunggu sekitar satu hingga dua jam untuk menaiki kereta api seterusnya. Maka, ramai penduduk mengambil keputusan untuk memandu kenderaan sendiri ke tempat yang ingin dituju berbanding menghabiskan masa berjam-jam menunggu kereta api.

Selain dari itu, kemudahan pengangkutan bas awam yang terhad juga menjadi antara punca berlakunya kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan bas yang disediakan hanyalah mampu menampung sehingga 30 hingga 40 orang penumpang sahaja. Ditambah pula kitaran bas dilakukan sebanyak satu jam sekali sahaja. Maka, penduduk akan berasa membuang masa kerana terpaksa berebut masa serta tempat untuk menaiki bas.

Seterusnya ialah kemudahan lampu isyarat yang sering mengalami kerosakan turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di Rawang. Contohnya di kawasan persimpangan Taman Tun Teja/, kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut adalah disebabkan oleh kewujudan lampu isyarat serta jumlah trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak. Berdasarkan laporan "Road Traffic Volume Malaysia (RTVM)" data menunjukkan Tahap Perkhidmatan (Level of Service, LOS) di kawasan tersebut adalah sangat padat atau di kategori F. Maka, kesesakan lalu lintas ini wujud akibat daripada lampu isyarat yang tidak mempunyai sensor serta penyelenggaraan lampu isyarat yang jarang dilakukan.

 

3.0  KESAN BERLAKU MASALAH LALU LINTAS

Masalah kesesakan lalu lintas di Rawang akan memberikan kesan yang negatif kepada persekitaran. Antara kesan kesesakan lalu lintas di bandar ini adalah:

3.1  Keselamatan pejalan kaki

Kesesakan lalu lintas bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan trafik jalan raya, malah, ia amatlah memberikan kesan kepada keselamatan pejalan kaki. Pejalan kaki didedifinisikan sebagai orang yang berjalan atau mengembara dengan menggunakan kaki sama ada berjalan ataupun berlari di jalan raya ataupun turapan. Bilangan kenderaan yang banyak setiap masa akan menjadi ancaman kepada para pejalan kaki kerana ia akan menyukarkan mereka untuk merentas jalan dan berjalan di kaki jalan. Ditambah pula dengan cara pemanduan yang tidak selamat dan terburu-buru akan mengeruhkan lagi keadaan jalan raya. Sikap terburu-buru dan pemanduan yang berbahaya bukan sahaja akan menyebabkan kemalangan malah ia juga berisiko menyebabkan kematian.

            Di Rawang, Selangor, terdapat beberapa kawasan sekolah terletak berhampiran laluan utama yang digunakan oleh penduduk dalam kehidupan seharian. Contohnya seperti di SMK Sri Garing, laluan trafik adalah amat sesak setiap hari dan kenderaan yang melalui jalan tersebut bukan sahaja terdiri daripada kereta dan motosikal, malah kenderaan berat seperti lori turut sama menggunakan laluan tersebut kerana pembinaan kilang di kawasan berhampiran. Ini memberikan kesan serta menggugat keselamatan pejalan kaki khususnya pelajar sekolah.

3.2  Pencemaran Udara dan Bunyi

Kesesakan lalu lintas adalah berkait rapat dengan pencemaran udara dan bunyi. Hal ini adalah disebabkan oleh bilangan kenderaan di atas jalan raya majoritinya menggunakan bahan bakar seperti petroleum dan diesel. Hasil daripada pembakaran bahan api ini akan membebaskan gas-gas rumah hijau yang berbahaya dan beracun kepada persekitaran. Pencemaran udara terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder. Pencemaran primer ialah pencemaran yang dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida hasil daripada pembakaran tidak lengkap. Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar, dan penggunaan dapur arang kayu yang tidak terkawal. Gas karbon monoksida merupakan antara contoh pencemaran udara primer yang terhasil dari bahan bakar api kenderaan.

Pencemaran bunyi merupakan antara kesan pencemaran yang berlaku seiiring dengan masalah kesesakan lalu lintas. Pencemaran bunyi terhasil daripada bunyi yang kuat dan bising sama ada dari aktiviti manusia atau haiwaan sehingga mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan lain. Kebanyakan sumber pencemaran ini berlaku di kawasan aktiviti harian seperti sistem pengangkutan, yang terhasil daripada bunyi kenderaan, bunyi kapal terbang, dan kereta api. Perancangan bandar yang tidak tersusunakan menyebabkan pencemaran bunyi berlaku kerana pembinaan bangunan kilang dan kawasan perumahan yang bersebelahan antara satu sama lain akan mengeruhkan lagi keadaan semasa ditambah pula dengan aliran trafik yang tinggi. Bunyi yang dihasilkan daripada enjin dan hon kereta merupakan bunyi yang tidak menyenangkan telinga dan mengganggu pendengaran penduduk tempatan.

4.0  CADANGAN DAN LANGKAH MENGATASI MASALAH KESESAKANLALU LINTAS

Masalah kesesakan lalu lintas di Rawang dapat di atasi sekiranya pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha yang dapat membantu mengurangkan masalah ini.   Antara cadangan dan langkah mengatasi masalah kesesakan lalu di Rawang ialah:

4.1  Menaiktaraf dan memperluas jalan raya

Pihak kerajaan telah mengambil berat berkenaan isu ini dan pelbagai langkah di cadangkan untuk menaiktaraf dan memperluaskan jalan raya di Rawang, Selangor. Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembinaan jalan pintas Rawang daerah Gombak (Rawang Bypass) iaitu jajaran dua lorong sehala sepanjang sembilan kilometer akan dapat memendekkan perjalanan dari Serendah ke pusat bandar raya Kuala Lumpur pada waktu puncak dari dua jam kepada 30 minit.  Pembinaan jajaran ini telah dikaji semula pada tahun 2006 dan diteruskan dengan pembinaan secara berstruktur bertingkat (elevated structure) sepanjang 2.7km bagi mengurangkan penerokaan hutan dikawasan rezab itu. Jabatan Kerja Raya (JKR) berpendapat bahawa menerusi pembukaan Jalan Pintas Rawang ini mampu mengatasi kesesakan lalulintas yang sering berlaku di Jalan Tun Teja/ Persekutuan 1 dan di Bandar Rawang. Malahan ia juga dapat memendekkan masa perjalanan dari Utara ke Kuala Lumpur pada waktu puncak daripada dua jam kepada 30 minit, selain meningkatkan pertumbuhan pembangunan di Rawang, Serendah, Batang Kali sehingga Tanjung Malim.


Rajah 6: Jalan Pintas Rawang yang menghubungkan Serendah dan Selayang.

 

4.2  Penyelenggaraan Lampu Isyarat

Antara usaha lain yang dipertingkatkan oleh pihak kerajaan ialah, penyelenggaraan lampu isyarat akan dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual bagi mengelakkan berlakunya masalah kerosakan lampu isyarat. Lampu isyarat memainkan peranan yang penting dalam mengawal kesesakan lalu lintas dan mampu mengawal pengguna jalan raya untuk memandu secara berhemah. Pihak JKR Selangor akan melaksanakan kajian awalan dan seterusnya Kajian Trafik. Menerusi kajian ini, pihak JKR akan berkerjasama dengan pihak UPEN Selangor untuk menambah lagi bilangan lampu isyarat di beberapa kawasan yang terlibat.

Bukan itu sahaja, jika terdapat kerosakan lampu isyarat di kawasan- kawasan trafik sesak seperti berhampiran sekolah, penguatkuasa seperti RELA atau polis trafik akan diperlukan bagi mengawal kesesakan jalan tersebut. Hal ini akan membantu melancarkan lagi laluan di kawasan tersebut serta dapat mengurangkan risiko kemalangan daripada berlaku.

 

4.3  Penggunaan Kenderaan Awam

Peningkatan kemudahan awam bukan sahaja mampu menyumbang kepada naik taraf sesuatu kawasan, malah ia juga mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan. Pihak kerajaan telah pun membincangkan mengenai kewajaran menambah jajaran stesen MRT atau LRT ke Rawang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur. Menerusi pembinaan jajaran ini, penduduk yang tinggal di kawasan Rawang yang bekerja di ibu kota dapat memanfaatkan kemudahan ini dengan optimum. Hasilnya, penggunaan kenderaan bermotor akan dapat dikurangkan sekali gus mengalakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.

Kemudahan kenderaan awam seperti bas dan kereta api secara amnya akan dipertingkatkan dari segi bilangan kuantiti perkhidmatan selaras dengan jumlah dan populasi di kawasan Rawang ini. Jika kenderaan awam ini mampu menampung kepadatan penduduk, maka penduduk tidak akan mengalami masalah untuk menunggu giliran bas atau kereta api dalam tempoh yang lama. Sistem pengangkutan awam ini haruslah dipastikan dapat diefisyenkan terutama tempoh perjalanan, kebolehcapaian, keselesaan kepada pengguna dan penduduk.

 

5.0  KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah pencemaran lalu lintas di Rawang bukanlah suatu isu yang baharu, malah ia telah berlaku sejak bertahun-tahun yang lepas. Masalah kesesakan ini umunya berlaku disebabkan oleh bilangan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di sekitar kawasan Rawang, Selangor. Bilangan populasi penduduk yang padat ditambah pula dengan beberapa faktor lain yang menyebabkan kesesakan lalu lintas ini meningkat seperti jalan raya yang sempit serta masalah pengangkutan awam. Kesannya, ia menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi yang dihasilkan daripada kenderaan bermotor seperti kereta, motosikal, lori dan sebagainya. Maka, pelbagai usaha haruslah dilaksanakan bagi mengawal masalah kesesakan lalu lintas di Rawang menjadi semakin teruk dan tidak terkawal. Kerjasama daripada semua pihak sama ada kerajaan dan rakyat adalah amat penting demi mengatasi isu ini dan demi kemaslahatan penduduk di sekitar kawasan Rawang.

 

6.0  RUJUKAN

Azni, E. S. (2022, April 5). Penduduk Terpaksa Hadap Isu Jalan sesak sejak puluhan tahun. Sinarharian. Retrieved June 11, 2022, from https://www.sinarharian.com.my/article/196455/EDISI/Penduduk-terpaksa-hadap-isu-jalan-sesak-sejak-puluhan-tahun

Dewan Negeri Selangor. (2018). ISU Kesesakan Lalu Lintas. Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor. Retrieved June 11, 2022, from http://dewan.selangor.gov.my/question/isu-kesesakan-lalu-lintas/

Dewan Negeri Selangor. (2021). Kesesakan Lalu lintas Jalan Welman Rawang. Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor. Retrieved June 11, 2022, from http://dewan.selangor.gov.my/question/kesesakan-lalu-lintas-jalan-welman-rawang/

Jaafar, N. (2022). Penduduk Desak Segerakan naik taraf Jalan Perindustrian. Sinar Harian. Retrieved June 11, 2022, from https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=248677

Muzammil, Z., Amin, N. A. M., & Sidek, N. (2019, August 24). Larangan Kenderaan Berat Atasi Kesesakan di Taman Templer Rawang. Selangorkini. Retrieved June 11, 2022, from https://selangorkini.my/2019/08/larangan-kenderaan-berat-atasi-kesesakan-di-taman-templer-rawang/

Shamsuddin , M. A. (2017). Jalan Pintas Rawang Atasi Kesesakan - Berita Harian. Berita Harian. Retrieved June 11, 2022, from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/356302/jalan-pintas-rawang-atasi-kesesakan

Zulkifli, A. M. (2022, June 6). Tambah Jajaran MRT KE Rawang Mampu kurangkan Kesesakan trafik lembah klang. MalaysiaNow. Retrieved June 11,2022, from https://www.malaysianow.com/berita/2022/06/06/tambah-jajaran-mrt-ke-rawang-mampu-kurangkan-kesesakan-trafik-lembah-klang/


NAMA: ANNUR ANISE BINTI MUHAMMAD NOR HAKIM
NO. MATRIK: D20191088505
KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...