Thursday, May 26, 2022

ISU PENCEMARAN AIR MENGGANGGU TAHAP KESELESAAN PENDUDUK DI PEKAN KUDAT.

TAJUK: ISU PENCEMARAN AIR MENGGANGGU TAHAP KESELESAAN PENDUDUK DI PEKAN KUDAT.


1.0       PENGENALAN

Permukaan bumi akan kelihatan kebiruan dari pandangan atas langit. Menurut Gasim (2013), bumi mengandungi isipadu air yang terdiri daripada 93 peratus air laut, 2.5 peratus air bawah tanah, dua peratus sebagai litupan ais dan satu peratus merupakan air semula jadi yang terdiri daripada tasik, sungai, kolam dan air lembapan. Bagi kehidupan manusia pula, air membentuk tiga per empat daripada berat badan manusia. Manusia akan susah ataupun mati sekiranya tiada air. Air juga merupakan salah satu komponen ekosistem dunia. Komponen ekosistem terbahagi kepada dua iaitu biotik dan abiotik. Biotik merujuk kepada benda hidup seperti manusia dan abiotik merujuk kepada benda bukan hidup seperti air. Dengan itu, manusia mempunyai interaksi dengan abiotik dalam kehidupan seharian sehingga mewujudkan pencemaran air.

            Sehubungan dengan itu, pertambahan penduduk dan perkembangan kemajuan ekonomi negara khususnya bandar-bandar dalam sektor perindustrian, pelancongan, perniagaan dan sebagainya telah menyebabkan keperluan jumlah air meningkat kepada semua hidupan. Justeru itu, sumber air perlu dijaga dan dikendalikan oleh pihak berwajib agar tidak tercemar. Sungguhpun, negara Malaysia menerima hujan sepanjang tahun tetapi ia tidak memberi maksud sumber air sentiasa mencukupi dan boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti manusia (Mohmadisa et al., 2018). Sekiranya pencemaran air berlaku, air akan berubah dari segi kandungan, keadaan, bau dan warna yang terjadi pada pelbagai sumber air. Sumber air akan tercemar kerana kegiatan manusia menguntungkan lalu tidak mempedulikan sumber air.

            Pencemaran air dapat didefinisikan sebagai pencemaran aliran sungai, sungai, tasik, lautan atau hamparan air lainnya, merosot kualitas airnya dan menjadikan beracun bagi lingkungan dan manusia. Statistik pencemaran air di Malaysia pada tahun 2016 dan 2017 menunjukkan bahawa kebanyakan kualiti air sungai di Malaysia berada di Indeks Kualiti Air Kelas II dan Kelas III. Namun berlaku perubahan positif kepada kualiti air apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan kerana kurang aktiviti manusia berlaku khususnya dalam sektor perniagaan dan pelancongan. Melihat kepada kerelevanan, penduduk sesebuah kawasan sama ada pekan atau perkampungan yang banyak akan mempengaruhi pencemaran air di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, kajian ini dilaksanakan untuk memfokuskan lagi isu pencemaran air di kawasan terpilih yang mengganggu tahap keselesaan penduduk.

 

2.0       KAWASAN KAJIAN (PEKAN KUDAT, SABAH)

Kawasan kajian bagi pencemaran air ini telah dilaksanakan di Pekan Kudat, Sabah. Pekan Kudat merupakan sebuah bandar yang mempunyai populasi penduduk sebanyak 34,249 ribu orang. Bandar Kudat terletak kira-kira 190 KM dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu di bahagian utara negeri Sabah berhampiran dengan Tanjung Simpang Mengayau yang merupakan bahagian paling utara pulau borneo. Luas bandar Kudat pula ialah 1,287 km². Kudat juga merupakan kawasan yang didiami etnik Rungus, Kudat merupakan pusat kebudayaan utama untuk kumpulan etnik tersebut.



Rajah 1 : Peta Kawasan Pekan Kudat

Sumber: Google Maps.


            Menurut cerita rakyat bangsa Rungus, Pekan Kudat mendapat nama semasa kedatangan peniaga-peniaga Cina yang hairan akan dengan sejenis lalang tumbuh merata-rata tempat. Kehairanan mereka terhadap rumput tersebut telah memaksa mereka untuk bertanya kepada penduduk mengenai rumput tersebut. Salah satu penduduk Rungus menyatakan bahawa rumput itu "Kutad" dipanggil ataupun rumput lalang. Maka penduduk mengambil sebutan "Kutad" tersebut untuk dijadikan nama tempat tersebut iaitu "Kudat". Pekan Kudat dikelilingi oleh lautan yang berhampiran. Laut ini menjadi kawasan untuk penduduk menjana pendapatan melalui sektor perikanan. Namun terdapat segelintir penduduk di Pekan Kudat yang masih tidak sedar akan penjagaan sumber air itu penting kepada manusia. Sekiranya berlarutan akan mengundang kepada pelbagai kesan kepada manusia. Kawasan kajian ini telah dipilih untuk mengkaji isu pencemaran air mengganggu tahap keselesaan penduduk di Pekan Kudat. Pengkaji telah membuat pemerhatian di kawasan kajian untuk melihat keadaan pencemaran air.


3.0       PENCEMARAN AIR DI PEKAN KUDAT

Secara umumnya, pencemaran alam sekitar ini sentiasa berlaku selagi manusia berinteraksi dengan alam sekitar. Pencemaran yang meliputi pelbagai aspek seperti pencemaran udara, tanah, bunyi, lautan dan sebagainya. Apabila berlaku pencemaran air meningkat di Pekan Kudat akan memberikan kesan negatif kepada aktiviti manusia dalam lingkungan bandar terutamanya tahap keselesaan penduduk dengan keadaan pencemaran air. Sebagai penegas, pencemaran air ini topik yang luas, apa sahaja jenis sumber air yang tercemar akan termasuk dalam pencemaran air. Berikut merupakan beberapa rajah yang menunjukkan pencemaran air berlaku di Pekan Kudat;


Rajah 2 : Pembuangan Sampah ke Dalam Laut Esplaned Sidek.


  

Rajah 3 : Warna Air Sungai Berubah dan Sampah Banyak


Rajah 4 : Sistem Perparitan Yang Tercemar

Sumber : Kajian Lapangan. (2022)


            Setelah melihat rajah tersebut, kawasan kajian tersebut sememangnya mempunyai masalah pencemaran air yang serius. Bagi Rajah 2., permasalahan pembuangan sampah ke dalam laut Esplaned Sidek ini sehingga air laut tercemar sangat berkait rapat dengan masalah kewujudan setinggan di Pekan Kudat. Menurut Rahsid dan Ghani (2007), kewujudan penempatan setinggan akan memberikan kesan kepada masalah pencemaran alam sekitar, termasuklah pencemaran air laut. Semakin ramai penduduk asing bermigrasi di Pekan Kudat, maka semakin meningkat penempatan setinggan seperti rumah atas air yang akan dibina di persisiran pantai.

            Selain itu, Rajah 3., menunjukkan warna air sungai yang berubah daripada warna jernih ke warna coklat di mana kelodak lumpur terampai-ampai di permukaan air sungai. Kebanyakan sungai di kawasan Pekan Kudat akan mengalami seperti itu kerana pembukaan kawasan baru ataupun pembukaan kawasan pertanian di cerun bukit menyebabkan larian air permukaan akan menjadi laju masuk ke dalam sungai. Keadaan ini akan menyebabkan air sungai tercemar dengan sisa tumbuhan dan air yang sebati dengan tanih. Jabatan Alam Sekitar (2013) menyatakan bahawa punca pencemaran air tidak tetap juga ialah larian air permukaan dari guna tanah aktiviti pertanian, kediaman, perniagaan dan sebagainya.

            Tambahan pula, aktiviti perniagaan yang pesat tanpa menghiraukan isu pencemaran air juga membawa kepada ketidakselesaan penduduk Pekan Kudat. Air parit yang datangnya daripada alur sungai tercemar disebabkan oleh pembuangan sisa perniagaan ke dalam parit. Apabila perkara ini berlaku secara berulang-ulang akan menyebabkan air dalam parit akan kelihatan seperti berminyak dan berwarna gelap. Ini menunjukkan pencemaran air parit daripada alur sungai akan berlaku. Pencemaran air di Pekan Kudat bukannya berlaku secara tiba-tiba, ianya disebabkan oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga air di kawasan tersebut. Sebaiknya, punca-punca pencemaran air di Kudat dirungkai terlebih dahulu.


4.0       PUNCA-PUNCA PENCEMARAN AIR DI KUDAT

Berdasarkan kepada pemerhatian di Pekan Kudat, terdapat beberapa punca yang telah menyebabkan pencemaran air berlaku di kawasan kajian. Antara punca pencemaran air yang sangat ketara di Pekan Kudat ialah melalui sikap penduduk yang tidak mementingkan keindahan alam sekitar. Sikap individu yang membuang sampah sarap ke dalam sungai, laut, parit dan sebagainya telah mengakibatkan status air berubah menjadi tercemar. Selalunya, sampah sarap ini dibuang dari kawasan perumahan setinggan di sepanjang tepi laut. Tindakan tidak bertanggungjawab penduduk dengan sikap seperti ini akan mengundang kepada isu pencemaran air yang serius di Pekan Kudat. Pembuangan sampah sarap ke dalam laut, parit ataupun sungai ini merupakan jalan mudah kepada penduduk Pekan Kudat, walhal sudah banyak tong sampah yang disediakan di beberapa tempat di kawasan Kudat. Perkara ini amat membimbangkan kerana semakin banyak sisa sampah di kawasan perairan.


Rajah 5 : Pembuangan Sampah Sarap Penduduk Setinggan di Tepi Laut

Sumber : Kajian Lapangan. (2022)


            Selain itu, aktiviti perikanan dan pengangkutan laut di bahagian laut juga menjadi punca pencemaran air laut di Pekan Kudat. Salah satu aktiviti ekonomi yang sangat popular di Pekan Kudat ialah aktiviti perikanan yang membantu kepada pertumbuhan ekonomi melalui penjualan secara besar-besaran bagi daerah-daerah lain. Namun, nelayan tidak begitu mementingkan kualiti air laut, mereka akan membuang sisa ikan-ikan yang mati, sampah yang tidak digunakan ke dalam laut semula menyebabkan pH air laut berubah dan mengeluarkan bau busuk yang menyebabkan ketidakselesaan penduduk Pekan Kudat yang lain. Bukan itu sahaja, tumpahan minyak daripada kapal-kapal juga menjadi punca air laut tercemar. Kejadian ini akan menyebabkan halangan kepada sinaran cahaya tidak dapat menembusi dasar laut.

            Seterusnya, punca pencemaran air di Pekan Kudat juga ialah melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan kajian. Sesungguhnya, aktiviti perniagaan merupakan punca pendapatan penduduk Pekan Kudat. Mereka akan berniaga sama ada di Pasar Pagi, Pasar Malam dan kedai-kedai makan yang lain. Masalahnya ialah penduduk Pekan Kudat akan lupa dunia apabila sudah menerima keuntungan, mereka akan membuang sisa jualan dan sampah-sampah ke dalam parit yang berdekatan. Air parit yang sepatutnya bersih juga akan tercemar dengan perbuatan mereka ini. Seperti dalam Rajah 4., air parit tercemar dengan sisa toksik daripada kedai-kedai makanan yang berniaga.

            Pembukaan kawasan baru dan aktiviti pertanian di Pekan Kudat juga menyumbang kepada pencemaran air. Bertolak titik daripada itu, kawasan yang baru dibuka dengan bantuan jentera akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Setelah itu, apabila hujan turun, larian air permukaan akan membawa tanih yang longgar tersebut ke dalam sungai. Hal ini akan menyebabkan air sungai tercemar sepanjang masa selagi hujan turun. Perhatikan Rajah 3., air sungai berubah menjadi coklat biarpun hujan turun perlahan. Pertanian juga akan mengakibatkan pencemaran air dengan racun rumput masuk ke dalam air sungai, laut dan lain-lain.


5.0       KESAN-KESAN PENCEMARAN AIR TERHADAP PENDUDUK DI PEKAN KUDAT

Secara umumnya, segala pencemaran alam sekitar yang berlaku akan memberikan kesan kepada alam sekitar manusia. Pencemaran air di Pekan Kudat ini juga sememangnya memberikan kesan kepada penduduk yang tinggal dalam lingkungan kawasan kajian. Salah satu kesan pencemaran air terhadap penduduk di Pekan Kudat ialah ketidakselesaan penduduk lain yang tinggal berhampiran Pekan Kudat. Pencemaran air ini akan menghasilkan bau busuk yang sangat kuat daripada air tercemar. Dengan itu, penduduk terpaksa menahan bau busuk air tercemar semasa berurusan di Pekan Kudat. Tiupan angin dari arah parit ke premis makanan juga akan menghilangkan selera makan penduduk ketika makan. Jadi amat tidak selesa bagi penduduk lain dengan bau busuk pencemaran air ini.

            Pencemaran air ini juga memberikan kesan kepada penularan penyakit kepada penduduk Pekan Kudat. Patogen melalui sisa manusia menyebarkan penyakit kepada orang melalui air minum yang tercemar dan makanan laut yang diambil dari perairan tercemar. Penyakit diare, seperti rotavirus, kolera dan tifoid adalah masalah kesihatan yang dominan berkaitan dengan pencemaran air sisa, menyebabkan 1.6 juta kematian pada tahun 2017. Dalam satu kajian baru-baru ini di sepanjang pantai Myanmar, Littman dan rakan-rakannya (2020) mengenal pasti 5,459 patogen bakteria dalam tisu tiram, sedimen laut dan air laut. Keberadaan patogen ini dapat memberikan penyakit kepada jangkitan kulit juga.

            Tambahan pula, kesan pencemaran air terhadap penduduk di Pekan Kudat juga ialah menganggu aktiviti ekonomi penduduk yang lain. Sebagai contoh, penduduk yang ingin melakukan aktiviti rekreasi di kawasan-kawasan laut ataupun sungai akan terganggu sekiranya terlihat pelbagai sampah sarap dan sisa kumbahan yang ada dalam perairan tersebut. Aktiviti pelancongan juga terganggu. Hal ini kerana keindahan laut yang berubah akan menyebabkan pelancong tidak berniat datang semula ke Pekan Kudat.


6.0       CADANGAN RELEVAN BAGI MENGATASI PENCEMARAN AIR DI PEKAN KUDAT

Setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaiannya. Dalam konteks ini, terdapat beberapa cadangan relevan yang dapat diambil untuk mengatasi isu pencemaran air di Pekan Kudat. Antaranya ialah melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas. Pihak Berkuasa Tempatan seharusnya mengambil tindakan yang tegas kepada semua penduduk yang mencemarkan air di sekitar kawasan Pekan Kudat. Melalui ini, penduduk akan rasa takut lagi untuk mengulangi kesalahan mereka sebelum ini.

            Memperkemaskan lagi pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar terhadap kawasan-kawasan perairan yang berisiko mengalami pencemaran air juga merupakan cadangan mengatasi pencemaran air di Pekan Kudat. Jabatan Alam Sekitar di kawasan Kudat perlu lebih kerap memantau perairan ataupun sungai-sungai dengan tindakan-tindakan pengawasan, termasuklah dengan penggunaan dron, pengurusan data dan analisis kecerdasan buatan. Cadangan ini dapat memastikan para pesalah yang mencemarkan air dapat ditangkap dengan mudah.

            Di samping itu, cadangan relevan dalam mengatasi pencemaran air di Pekan Kudat juga ialah dengan menubuhkan satu Penubuhan Jawatankuasa Khas yang membantu dalam memastikan air tidak tercemar. Jawatankuasa Khas ditubuhkan dalam kalangan penduduk Pekan Kudat yang telus menjalankan tanggungjawab untuk memantau dan memastikan air laut, sungai dan parit tidak akan tercemar dengan sisa toksik dan sampah sarap yang boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan.

            Selain daripada itu, melalui pelaksanaan program kempen juga dapat membantu serba sedikit dalam mengatasi pencemaran air di Pekan Kudat. Kempen tersebut bukanlah hanya sekadar di poster sahaja, akan tetapi perlu direalisasikan oleh semua penduduk sekitar melalui satu program seperti "Cintailah Sungai Kita". Semasa program kempen ini dijalankan, semasa inilah penduduk akan bergotong-royong membersihkan sungai yang tercemar. Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai aktiviti dilaksanakan dengan memberikan insentif kepada para pemenang.

            Akhir sekali, Program 1 Rumah 1 Tong Sampah juga perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu pencemaran air di Pekan Kudat. Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa rumah di Pekan Kudat yang tidak menggunakan tong sampah warna hitam. Keadaan ini akan melalaikan keluarga tersebut untuk membuang sampah sarap merata-rata tempat. Dengan itu, pihak kerajaan dan swasta perlu bekerjasama bagi menyediakan tong sampah untuk diberikan kepada keluarga yang tidak mempunyai tong sampah. Satu rumah satu tong sampah.


7.0       KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, sumber air merupakan sumber yang diperlukan oleh semua organisma hidup untuk kelangsungan hidup. Pembangunan yang berlaku di Pekan Kudat telah mencetuskan isu pencemaran air yang menjadi salah satu kebimbangan kepada penduduk lain yang sedar akan kepentingan sumber air. Hal ini kerana aktiviti manusia sangat berkait rapat dengan fenomena alam yang bakal berlaku. Pencemaran air di Pekan Kudat ini telah menganggu tahap ketidakselesaan penduduk terhadap air yang tercemar ini. Pencemaran air ini banyak memberikan kesan kepada alam sekitar dan yang paling sinonim ialah kepada penduduk sekitar Pekan Kudat.

            Dengan itu, diharapkan semua penduduk Pekan Kudat berganding bahu bagi menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana untuk memastikan kesihatan mereka juga terjamin. Oleh itu, manusia perlu mengambil pendekatan dan inisiatif yang lebih bernas untuk mengekang faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah pencemaran air di Pekan Kudat. Menurut Abdullah et al. (2010), usaha menjaga dan memelihara alam sekitar untuk sentiasa bersih dan sihat berkait rapat dengan soal kesedaran dan sikap komuniti dan merupakan sesuatu yang penting kerana alam sekitar akan mengalami masalah dari masa ke masa.

8.0       RUJUKAN

Abdullah, M.Y.H., Pawanteh, L., Abdullah, S.M.S., & Mustaffa, N. (2010). Kesedaran dan sikap komuniti dalam pengurusan persekitaran di Wilayah Iskandar, Johor. Jurnal Melayu, 5, 71-86.

Fadzil Rashid & Ishak Ghani. (2007). Migrasi dan Kemiskinan Bandar: Suatu Kajian Literatur. Penerbit Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/260481112_migrasi_Dan_Kemiskinan_Bandar_Suatu_Kajian_Literatur.

Gasim, M.B. (2013). Pengurusan lembangan sungai berteraskan IWRM. Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hashim, M., Nayan, N., Saleh, Y., & Mahat, H. (2018). Penilaian kualiti air di Malaysia. Tanjung Malim, Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Raechel Littman, Evan Fiorenza, Amelia S. Wenger & Kathryn Berry. (2020). Coastal urbanization influences human pathogens and microdebris contatmination in seafood. DOI. 10.1016/j/scitotenv.2020.139081

 

NAMA: ADDWEY JARATIN

NO MATRIKS: D20201094302

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...