Saturday, May 28, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: FENOMENA BANJIR YANG DIALAMI OLEH PENDUDUK DI KAMPUNG KUALA BALAH, JELI, KELANTAN


Pengenalan

Kuala Balah merupakan sebuah pekan yang terletak di negeri Kelantan dalam jajahan Jeli. Kampung Kuala Balah ini mendapat nama sempena lokasinya yang terletak di pertemuan dua aliran sungai iaitu Sungai Pergau dan Sungai Balah. Kampung Kuala Balah memperoleh nama sempena nama sungai iaitu Sungai Balah. Pekan Kuala Balah merupakan sebuah pekan yang terletak dalam daerah Kuala Balah iaitu salah satu daerah kecil dalam jajahan Jeli.Pekan ini terletak kira-kira 32 km dari Pusat Bandar Utama Jajahan Jeli iaitu Bandar Jeli.Ia juga terletak 20 km dari Pekan Dabong Kuala Krai, 145 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, 100 km dari Pusat Bandar Kuala Krai melalui Jalan Jeli-Dabong-Sungai Sam-Kuala Krai dan 85 km dari Pusat Bandar Gua Musang melalui Jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang. Jumlah penduduk di Kuala Balah ini dianggarkan sekitar 13,700 orang penduduk. Majoriti penduduk yang menetap di kampung ini adalah berbangsa melayu. Pelbagai kemudahan yang sedang dinaik taraf oleh kerajaan bagi memudahkan setiap kemudahan infrastruktur penduduk mengikut keutamaan mereka.

Peta 1: Peta kawasan kampung Kuala balah, Jeli, Kelantan

Dalam mengejar arus modenisasi, Negara kita pada masa kini saling bersaing bagi meningkatkan ekonomi Negara termasuklah di Negara Malaysia. Walaubagaimanapun, Negara hanya memfokuskan terhadap kemajuan Negara tanpa mengambil peduli terhadap tahap persekitaran di sekeliling mereka yang semakin hari semakin mendatangkan masalah bencana alam yang berlaku seperti bencana banjir yang sering berlaku pada setiap tahun. Banjir biasanya berlaku di kawasan petempatan yang rendah dan memiliki kadar hujan yang tinggi.

Rajah 1: Kedatangan musim cuaca buruk hingga menyebabkan banjir bukan sahaja memusnahkan harta benda malah menjadi ancaman kepada nyawa. - Gambar Berita Harian

Sejak beberapa tahun yang lalu, kampung Kuala Balah ini telah dilanda fenomena banjir di beberapa kawasan petempatan perumahan mereka yang dimasuki air apabila kekerapan hujan lebat berlaku setiap tahun pada musim tengkujuh terutamanya sekitar bulan oktober sehingga disember akan berlakunya kejadian banjir besar di kampung ini. Menurut Mohd Zulhafiz Said et.al (2013), banjir merupakan antara fenomena yang yang berlaku akibat dari perubahan iklim yang berlaku di Malaysia. Menurut beliau lagi, banjir yang berlaku di Malaysia kebanyakannya sering berlaku di kawasan sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang pada ketika musim tengkujuh. Manakala menurut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (2011), banjir merujuk kepada badan air yang melimpah keluar dari tebing-tebing sungai, tasik atau sistem perparitan akibat daripada hujan yang lebat, pencairan ais, air pasang dan terdapat beberapa halangan pada saluran. Hal ini dapat disimpulkan bahawa banjir adalah fenomena daripada penerimaan jumlah air hujan yang sangat banyak dan tidak dapat ditampung oleh sesebuah kawasan sehingga membanjiri kawasan petempatan tersebut.


Punca-punca berlakunya fenomena banjir di kampung Kuala Balah

Rajah 2: Kawasan sungai di kampung Kuala Balah yang dicemari oleh pembuangan sampah sarap oleh penduduk kampung

Terdapat beberapa punca yang dapat dikenal pasti bagi masalah banjir yang berlaku di kampung Kuala Balah, Jeli, Kelantan. Antara puncanya adalah masalah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai ataupun saliran air yang berhampiran mereka. Sikap tidak bertanggungjawab oleh segelintir daripada masyarakat sering mengundang kemarahan penduduk setempat apabila mereka mengambil langkah mudah dengan membuang sampah sarap di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana, penduduk di sini sering membuang sampah mereka ke dalam kawasan sungai yang sempit mengakibatkan Kawasan aliran sungai menjadi tersumbat, malahan mereka beranggapan bahawa tong sampah yang disediakan tidak mencukupi dan jauh dari tempat penginapan mereka. Oleh itu, mereka telah mencemarkan alam sekitar dan memusnahkan ekosistem sungai melalui pencemaran sungai tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran alam. Seperti yang kita semua ketahui, apabila ekosistem tercemar hal ini akan menjejaskan hidupan akuatik di sungai. Di kampung Kuala Balah ini dipenuhi dengan ekosistem bagi penternakan ikan, aktiviti pertanian yang dijalankan juga memerlukan sumber air yang mencukupi. Apabila sumber air yang menjadi saluran kepada kegiatan penternakan dan pertanian ini tercemar hal ini akan memberi kesan kepada kualiti air yang tidak bersih untuk digunakan sebagai sumber perairan tanaman. Bukan itu sahaja, pembuangan sisa-sisa pepejal ini akan mengundang kepada sistem saliran dan perparitan yang tersumbat. Ekoran daripada itu, apabila saliran air sungai yang mengalir tersumbat, maka apabila hujan lebat berpanjangan berlaku menyebabkan saliran air mengalir menjadi sempit sekaligus akan memberi kesan kepada petempatan penduduk bagi kawasan rendah yang akan terjejas akibat banjir berlaku.

Rajah 3: Kawasan yang dijadikan sebagai aktiviti pembalakan haram

Selain itu, punca berlakunya banjir di Kampung Kuala Balah ini juga berpunca daripada berlakunya aktiviti pembalakan haram yang menyebabkan kemusnahan terhadap hutan melalui proses kegiatan manusia. Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh dijadikan sebagai keseimbangan ekosistem untuk penyederhanaan suhu. Di kawasan kampung ini terdapat hutan bukit dan kebanyakkannya penduduk setempat menjalankan kegiatan pembalakan adalah untuk mengusahakan tanah sebagai kawasan pertanian, perumahan serta pembangunan. Pembalakan hutan ini juga berlaku kerana pokok-pokok kayu yang ditebang akan dijual sebagai sumber perniagaan penduduk untuk proses pembuatan kayu jati. Hal ini akan menyebabkan permukaan bumi menjadi gondol dan terdedah kepada agen hakisan. Tanah akan ditarah untuk dijadikan sebagai kawasan petempatan penduduk. Oleh yang demikian, apabila hujan turun ke permukaan bumi hutan tidak dapat menyerap air hujan sepenuhnya dan larian air permukaan berlaku ke arah sungai tidak dapat menampung permukaan air yang banyak sehingga melimpah ke kawasan sekitarnya menyebabkan kejadian banjir akan berlaku terutamanya di kawasan rendah. Hal ini merupakan salah satu punca yang menyebabkan kejadian banjir mudah berlaku di kawasan sekitar kampung Kuala Balah. Aktiviti pembalakan haram ini bukan sahaja menjejaskan penduduk malah ia juga akan memusnahkan habitat flora dan fauna kerana peningkatan suhu akan berlaku ekoran daripada tiada kawasan penyederhanaan suhu.

 

Kesan-kesan fenomena banjir kepada penduduk kampung

Antara kesan yang paling ketara dialami oleh penduduk apabila berlakunya banjir di kampung Kuala Balah adalah kehilangan nyawa. Kejadian banjir ini merupakan fenomena alam semula jadi yang sangat tragik membawa kepada tragedi diluar jangkaan mereka kerana banjir besar sering berlaku di kampung ini melalui kawasan penempatan yang rendah dan berhampiran dengan kawasan sungai. Kehilangan nyawa ini mungkin terjadi akibat daripada lemas sewaktu meredah banjir dalam keadaan arus air yang deras dalam usaha menyelamatkan nyawa masing-masing daripada terperangkap dan disebabkan oleh putus bekalan makanan dan bekalan air bersih. Kehilangan nyawa ini juga sering berlaku kepada kanak-kanak yang sering bermain banjir tanpa pengawasan oleh ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak dapat melawan air deras yang menghampiri mereka. Mengikut berita Astro Awani, di Kelantan tiga kes kematian akibat lemas pada gelombang pertama melibatkan, kanak-kanak dan dewasa yang lemas ketika menjala ikan dan seorang dewasa yang terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir dilaporkan. Kesan kehilangan nyawa ini terhadap keluarga waris menyebabkan mereka akan mengalami gangguan emosi dan trauma terhadap fenomena banjir yang berlaku. Oleh itu, kita mestilah sentiasa berwaspada dan peka terhadap situasi cuaca dari masa ke semasa sebagai persediaan menghadapi banjir.

Rajah 4: Penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan akibat dilanda banjir baru-baru ini - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Selain itu, penduduk juga mengalami banyak kerosakan terhadap harta benda mereka. Begitu banyak barang-barang kepunyaan mereka, peralatan rumah, perabot serta pakaian dibawa oleh arus air banjir serta rosak akibat ditenggelami air menyebabkan semua barangan tidak dapat diselamatkan dan mengalami kerosakan yang teruk. banjir yang melanda ini telah menenggelamkan kediaman serta merosakkan barang-barang lain seperti barang-barang elektrik, kereta dan sebagainya. Segelintir daripada rumah mereka ada yang musnah teruk sehingga mereka tidak beranggapan sehelai sepinggang dan tiada harapan untuk dipulihkan. Penduduk kampung yang terjejas banjir terpaksa menghadapi kos kerugian yang sangat tinggi bagi menggantikan barang yang baharu. Oleh itu, mangsa banjir terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang telah disediakan bagi penempatan mangsa banjir sementara. Pada tahun 2014, di negeri Kelantan terutamanya kampung Kuala Balah telah dilanda bencana banjir yang terburuk sehingga boleh dikatakan hampir semua rumah mengalami kerosakan yang teruk sehingga hanya dapat menyelamatkan diri sendiri sahaja. Kejadian ini berlaku disebabkan hujan lebat yang berterusan selama 3 hari berturut-turut tanpa henti. Jika dilihat kepada Rajah 3 di atas, berikut merupakan antara kawasan rumah penduduk yang dinaiki air banjir dan melakukan kerja-kerja pembersihan.

 

Langkah-langkah dalam usaha menangani fenomena banjir

Usaha-usaha pihak kerajaan adalah mereka perlulah menghadkan kegiatan pembalakan yang berlaku di kampung Kuala Balah untuk mengelakkan banjir besar ini berlaku. Kegiatan pembalakan yang sering dilaksanakan di kawasan pinggir sungai menyebabkan tanah lebih mudah terhakis. Hal ini menyebabkan tanah terhakis akan mengalir ke dalam sungai dan mengalami pemendapan tanah. Kegiatan pembalakan yang giat dijalankan di lereng-lereng bukit juga akan mengalami keadaan sedemikian kerana ketiadaan tumbuhan untuk menyerap air hujan. Hal ini akan menyebabkan jumlah air yang banyak akan terkumpul di kawasan rendah serta mengalami fenomena banjir besar. Oleh itu, pemeliharaan hutan merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah banjir ini. Hal ini kerana, hutan boleh dijadikan sebagai kawasan tadahan air hujan yang mampu menyerap air daripada terus mengalir ke permukaan bumi. Hutan berfungsi sebagai bunga karang untuk menyerap air hujan dan mengalir perlahan-lahan ke arah anak-anak sungai. Justeru itu, diharapkan dengan usaha ini dapat membendung kejadian banjir daripada terus berlarutan.

Dalam pada itu, kita mestilah bersama-sama mengawal masalah pembuangan sisa-sisa pepejal ke dalam sungai bagi mengelakkan kejadian banjir ini daripada terus berlarutan. Bagi menangani masalah ini, tahap kesedaran penduduk di kampung Kuala Balah perlulah dipertingkatkan supaya masalah ini dapat dibanteras dengan mengadakan kempen kesedaran tentang menjaga kebersihan sungai kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, penyediaan tong sampah mengikut jenis mestilah disediakan untuk semua tempat yang berhampiran dengan penempatan penduduk kampung. Justeru itu, ini akan memudahkan memberi keselesaan kepada penduduk kampung bagi mengelakkan bau-bauan yang tidak diingini daripada sungai serta dapat mengelakkan daripada berlakunya pembuangan sampah di merata tempat. Pihak kerajaan serta penduduk haruslah bertanggungjawab bagi memastikan tahap kebersihan kawasan sungai dijaga dan tidak menjadikan sungai tersebut sebagai tempat pembuangan sampah. Oleh itu, dengan cara ini kita dapat membendung masalah kejadian banjir daripada terus berlaku.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, semua pihak mestilah berganding bahu bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan diharapkan agar semua usaha yang telah dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan manakala penduduk kampung Kuala Balah mestilah menanam sikap kesedaran dalam diri masing-masing agar dengan ini persekitaran ekosistem akan lebih terpelihara daripada masalah pencemaran sampah sarap. Seterusnya, semua pihak tidak kira kerajaan ataupun penduduk kampung perlulah bersama-sama meringankan beban mangsa-mangsa banjir dengan memberi bantuan penempatan dan membantu dalam kerja-kerja pembersihan Kawasan rumah mereka. Diharapkan dengan fenomena ini dapat membuka mata semua pihak untuk saling peka terhadap keadaan cuaca terkini.

Rujukan

Alam, B., Banjir Besar, I., Komuniti, T., Di, T., Dungun, H., Perspektif, S., Bencana, S., Yusoff, S., Abdul, R., Fakulti, A., Sosial, S., Kemanusiaan, U., Malaysia, & Bangi. (n.d.). Bencana Alam dan Impak Banjir Besar 2014 Terhadap Komuniti Tempatan di Hulu Dungun, Terengganu: Satu Perspektif Sosiologi Bencanahttp://eprints.usm.my/41159/1/ART_93.pdf

Awani, A. (2021, January 7). Bencana banjir 2021: Senarai korban nyawa setakat ini. Astroawani.com. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bencana-banjir-2021-senarai-korban-nyawa-setakat-ini-275993

Halid, O. (2021). Pembalakan secara meluas faktor utama banjir besarhttps://www.ukm.my/pkk/wp-content/uploads/bsk-pdf-manager/2021/01/BERITA-HARIAN-PROF-EMERITUS-IBRAHIM-KOMOO.pdf

Halid, S. (2021, January 11). Gondol hutan punca banjir makin buruk. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/774860/gondol-hutan-punca-banjir-makin-buruk

Muhammad, M. (2019, December 21). Gelombang pertama dan kedua banjir telah meragut 5 nyawa di Kelantan. Astroawani.com. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gelombang-pertama-dan-kedua-banjir-telah-meragut-5-nyawa-di-kelantan-225911

Zill, A. D. (2021, December 1). Contoh Karangan Langkah-langkah Mengatasi Masalah Banjir. 1001 Contoh. https://1001contoh.com/contoh-karangan-langkah-langkah-mengatasi-masalah-banjir/

 

 Auni iwani binti Anuar

D20201094345

HGM 3033 Kumpulan (A)

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...